Followers

Tuesday 30 July 2013

~ Saya Kenal Sayang Saya! 16 ~

“ Qis selesa ke dengan family akak kat sini?”
            Soalan yang tiba – tiba muncul dari arah belakang membuatkan Balqis terbantut seketika untuk mencedok nasi goreng sotong itu ke dalam pinggan.  Bebola matanya segera memandang wajah Damia di sebelah.
            “ Oh, Kak Damia! Hmm ok aje. Qis selesa dengan semua orang kak. Lagipun family akak semuanya ramah – tamah tau. Qis tak pernah rasa sunyi pun kat sini.” Balas Balqis bersungguh – sungguh lantas mencedok kembali nasi gorengnya ke dalam pinggan.
            “ Baguslah macam tu. Risau juga akak kalau – kalau Qis tak suka dengan layanan keluarga akak ni.” Damia senyum kecil seraya mencapai sebiji pinggan untuk mengambil juadah yang sudah terhidang itu.
            “ Eh, mana ada tak suka kak! Qis suka sangat keluarga macam ni. Teringin nak rasa ada sanak – saudara yang ramai macam ni buat gathering. Meriah. Macam suasana hari raya kan kak?”
            Damia hanya tersengih sejenak. “ Meriah tu meriah jugak. Tapi kadang – kadang bingit kepala dengan macam – macam ragam saudara – mara ni, Qis.”
            “ Biasalah tu kak. Yang penting ukhuwah persaudaraan tu masih kukuh betul tak? Hmm Qis pergi makan kat sana dulu ya kak? Lapar.” Balqis sengih sambil menggosok sedikit perutnya yang sudah berkumandang lagu joget lambak tu.
            “ Eh, kejap Qis! Nasi goreng yang Qis ambil ni nasi goreng apa ya? Ada campur seafood tak?” tanya Damia tiba – tiba.
            “ Ada rasanya. Tadi makngah cakap ni nasi goreng sotong. Kenapa kak?” Balqis sedikit pelik.
            “ Oh, akak nak ambilkan makanan untuk Fakhri. Takut pula terambil makanan yang ada seafood untuk dia.”
            Balqis serta – merta tersentak. Semakin pelik benaknya. “ Kalau ada seafood pun, kenapa kak? Abang Fakhri tak makan seafood ke?”
            “ Ha’ah. Dia alergik dengan seafood. Qis tak tahu ke?” Giliran Damia pula menjadi hairan. Kata kawan rapat dari kecil tapi takkan Balqis tak tahu pasal ni.
            Abang Fakhri alergik seafood?! Kenapa aku tak pernah tahu pun selama ni? Habis tu yang selama ni aku bagi makanan yang aku masak  ada udang, sotong bagai... Siapa yang makan? Kenapa dia tak pernah cakap apa – apa pun yang dia alergik?
            “ Eh, mestilah Qis tahu kak! Cuma terlupa aje.” Bohong Balqis sambil pura – pura sengih. Dia juga tak nak mengalah.
 “ Hmm akak kasi aje nasi goreng tu kat Abang Fakhri. Selama ni Qis bagi lauk – pauk yang ada seafood, dia makan aje.” Sambung Balqis lagi.
            “ Eh, boleh ke? Hari tu akak makan steamboat dengan dia, sikitpun dia tak nak sentuh seafood tu.”
            “ Memanglah kak. Steambot tu sebiji – sebiji makanan laut kita telan. Tapi kalau macam seafood yang dicampur dengan makanan lain contohnya nasi goreng sotong ni, boleh aje Abang Fakhri makan. Akak jangan risau.” Ujar Balqis yakin. Macam pakar pemakanan pula. Ah, tak mungkin Abang Fakhri tak bagitahu aku pasal dia alergik tu! Ni mesti dia tipu Kak Damia hari tu.
            “ Hmm kalau macam tu, akak ambil sikitlah. Nasi lain pun dah habis. Kang kebulur pulak budak tu kang.”
Akhirnya, Damia akur. Dicedok juga beberapa senduk nasi goreng sotong itu ke dalam pinggan. Balqis pula terus berlalu dari ruang itu untuk mengisi perutnya. Usai mengambil makanan yang berkenan dihati, Damia segera berlalu ke bilik yang dikongsinya bersama Fakhri.
Pintu bilik diketuk tiga kali lalu tombol pintu dipulas bila tidak kedengaran sebarang suara pun yang menyahut. Perlahan – lahan Damia menyusun langkah masuk sambil menatang sepinggan makanan. Risau pula kalau – kalau ternampak benda yang bukan – bukan walaupun dalam bilik sendiri. Cukuplah peristiwa pagi tadi yang sangat memalukan jiwa dan raga itu berlaku.
Damia meletakkan pinggan yang berisi makanan itu di atas meja kopi. Tiba – tiba kedengaran bunyi air dari shower jatuh ke lantai. Patutlah tak menyahut, mandi rupanya. Ngomel Damia sendiri seraya melabuhkan punggungnya di atas sofa. Punat on alat kawalan jauh televisyen dipicit dan kala itu juga telefon bimbitnya meronta – ronta meminta dijawab.
“ Ya, mak. Kenapa call?”
“ Datang bilik mak sekejap. Mak nak minta tolong sikit.” Kedengaran suara Puan Rozita dari hujung panggilan.
“ Sekarang ke?”
“ Habis tu, bila lagi?”
“ Orang tanya aje. Janganlah marah Puan Rozita oiii...”
“ Tak marah pun Puan Nurul Damia oiii...” balas Puan Rozita beserta tawa kecil.
Damia ikut ketawa sebentar. “ Yelah. Orang datang sekarang.” Talian telefon bimbit segera dimatikan.
Puan Nurul Damia? Buat seketika bibir Damia menguntum senyum kecil. Sedap jugak panggil macam tu. Puan kepada Fakhri Wafiy. Yang ni lagi sedap. Hahaha. Huish! Jauh kau berangan ya Nurul Damia. Kalau Fakhri tahu, memang harus buat terjunan ke dalam laut ni.
Pantas Damia mengambil sehelai kertas kecil lalu dicoretkan sesuatu. Kemudian, kertas tersebut diletakkan di tepi pinggan yang berisi makanan buat suaminya itu. Selang beberapa minit, Damia sudahpun berlalu menuju ke bilik Puan Rozita seperti yang dijanjikan.
***
Kunyahan makanan di dalam mulut terus terbantut bila mendengar soalan yang baru saja terbit dari bibir Puan Maria tadi. Namun, Fahim masih berlagak tenang dan selamba. Makanan dijamah semula dan dia berharap sangat soalan mamanya tadi dibiarkan berlalu sepi begitu sahaja.
            “ Kamu dengar tak mama tanya ni Fahim?” Puan Maria tak puas hati dengan soalannya yang masih tidak berjawab.
            “ Dengar, ma.” balas Fahim pendek. Nampaknya, memang takkan dapat larilah dari topik ni rasanya.
            “ Habis tu, kenapa tak jawab? Kamu tak nak kahwin ke?” Puan Maria ulang soalan.
            “ Mestilah nak, ma.” sepatah lagi Fahim jawab.
            “ Dah tu, kenapa tak cari calon isteri lagi kalau nak kahwin? Nak mama yang carikan ke?”
            “ Tak ada yang sesuai la ma.”
            “ Takkan seorang pun tak ada yang sesuai? Perempuan macam mana yang sesuai dengan kamu? Macam Puteri?”
            Mendengarkan sepotong nama yang sudah meremukkan hatinya dulu terus membuatkan Fahim angkat muka pandang tepat ke wajah mamanya. Air mukanya berubah cuaca. Puan Maria pula terus terdiam bila menyedari dia sudah terlebih kata.
            “ Kalau perempuan tu macam Puteri, perempuan tu pun akan buat benda yang sama macam Puteri ma.” Fahim ukir senyum tawar buat mamanya.
            “ Habis tu, macam mana? Kamu tu makin berumur bukan makin muda. Kalau kamu tak fikirkan pasal diri kamu pun, tolonglah fikir yang mama ni nak juga tengok ada orang jaga kamu sebelum mama dah tak ada.”
            “ Hish mama ni ada ke situ pulak! Fahim dah cukup bahagia dah mama seorang jaga Fahim. Tak nak perempuan lain dah tau.” Rengek pemuda itu tiba – tiba.
            “ Eleh, yelah sangat tu... Nanti dah dapat bini, mama pun dah lupa kan?”
            “ Eh, mana boleh lupa mama! Mama kan sayang Fahim lebih dari Fakhri.” Fahim tarik sengih panjang.
            “ Pandai ajelah kamu ni. Mama sayang anak mama sama – rata tau. Ha sebelum terlupa, mama nak tanya pasal Qis ni. Macam mana kerja dia? Okey?”
            “ Entahlah, ma. Fahim tak pantau lagi kerja dia sebab dia ambil cuti seminggu.”
            Puan Maria terus terbeliak biji mata. “ Seminggu? Dia sakit ke?”
            “ Taklah. Katanya nak ikut Fakhri dan Damia pergi Janda Baik.”
            Lagi besar terkejut Puan Maria jadinya. “ Apa?! Habis tu, kamu bagi cutilah ya?”
            “ Bagilah. Ala dia part time aje, ma. Suka hati dialah nak cuti bila pun.”
            “ Masalahnya sekarang yang dia nak ikut pergi Janda Baik tu nak buat apa? Lagi satu, macam mana dia boleh tahu Fakhri dan Damia ada kat sana?”
            “ Fahim yang bagitahu. Itupun sebab dia tanya Damia ambil cuti untuk apa.” Polos jawapan Fahim.
            Kedengaran Puan Maria membebaskan keluhan berat sejenak. “ Kamu ni memang bos yang jujur sangatlah, Fahim. Tension mama dengan kejujuran kamu ni tau.”
            “ Kenapa ma? Fahim ada buat salah ke?” Fahim kerut dahi. Pelik.
            “ Tak apalah. Kamu teruskan makan. Mama ada hal sikit.” Puan Maria bingkas dari kerusi lantas berlalu dari ruang makan itu meninggalkan Fahim yang masih terpinga – pinga dengan apa yang berlaku.
***
            Jangan lupa makan.
-Damia

Bibir Fakhri automatik mengukir senyum bila terbaca pesanan yang tertera di atas kertas kecil itu. Terasa bahagia seketika. Pantas dia mencapai pinggan yang berisi makanan di atas meja kopi itu lalu dijamahnya dengan penuh berselera. Kena sangatlah dengan perutnya yang asyik mendidih kelaparan sejak tadi. Hajatnya sesudah mandi nak keluar mencari makanan tapi tak sangka pula pucuk dicita, ulam mendatang.
            Sedang enak pemuda itu menjamu selera, tiba – tiba seluruh tubuhnya terasa panas. Hangat tidak tentu hala. Fakhri gelabah. Makanan yang sedang dikunyahnya di dalam mulut segera diluahkan kembali ke dalam pinggan. Dia mengais – ngais makanan yang diluahnya tadi. Dan saat itu juga biji matanya terbeliak bila mendapati beberapa ekor sotong di dalam nasi gorengnya. Sotong?!
            Tubuh Fakhri semakin tak keruan. Habis digarunya satu badan sehingga timbul ruam – ruam merah. Gatal dan pedih sangat. Dia tak boleh bertahan lagi. Paru – parunya terasa sukar untuk bernafas. Hendak mencari telefon bimbitnya pun dia sudah tidak mampu. Sesak nafasnya semakin menjadi – jadi. Sehinggakan dia tak mampu berkata apa – apa lagi. Dalam hati, dia hanya mampu berdoa semoga ada insan yang boleh selamatkan dirinya waktu itu.
            Kala itu juga, pintu bilik dikuak dari luar. Kelibat seseorang yang sedang melangkah masuk ke dalam bilik itu hanya mampu dipandang samar. Fakhri langsung tidak bermaya. Pandangannya yang sudah kabur akhirnya menjadi kelam. Dia terbaring di atas lantai tanpa sedarkan diri.
            “ Fakhri?!!!”
            Damia kaget. Terperanjat besar dibuatnya bila terpandangkan tubuh suaminya yang sudah terlantar di atas lantai. Sepantas kilat dia mendapatkan pemuda yang tidak sedarkan diri itu. Pipi Fakhri ditampar lembut dengan harapan suaminya sedar. Habis dibelek lengan suaminya yang beruam merah itu. Tiba – tiba Damia terlihat makanan yang diluah Fakhri tadi di dalam pinggan. Bibirnya bergetar. Dia takut.
            “ Ya Allah! Fakhri!! Aku minta maaf. Bangunlah, Fakhri! Bangun! Jangan macam ni.” berjurai – jurai air mata Damia merembes di pipi.
            “ Fakhri, bangun! Ya Allah, apa aku dah buat ni?! Bangun ya Fakhri!” Damia menampar lembut pipi suaminya lagi. Namun, Fakhri masih kaku seperti tadi.
            Damia semakin tak keruan. “ Telefon, mana telefon?” Pantas dia mencapai telefon bimbitnya lalu mendail nombor 999.
Usai membuat panggilan ambulans, Damia segera berlari keluar untuk memberitahu Puan Rozita. Suasana menjadi kecoh buat seketika. Hampir kesemua penghuni resort itu menjadi pelik dengan ketibaan ambulans secara tiba – tiba. Begitu juga dengan Balqis yang sedang berborak dengan kenalan barunya turut terkejut besar bila melihat Damia mengiringi Fakhri yang sedang terlantar di atas stretcher untuk di tolak masuk ke dalam ambulans. Apa yang dah berlaku?
Di dalam ambulans, Damia tidak putus – putus mendoakan keselamatan suaminya. Jari – jemari Fakhri digenggam erat bagai tidak mahu lepas. Dia tak sanggup sekiranya apa – apa yang buruk berlaku kepada Fakhri Wafiy. Air jernih masih lagi galak keluar dari kolam mata.

“ Fakhri, aku minta maaf sangat – sangat. Aku tak tahu benda ni akan jadi. Bangun ya Fakhri? Tolonglah jangan jadi apa – apa. Jangan tinggalkan aku, please...” Tapak tangan Fakhri dilekapkan ke pipi gebu gadis itu. Damia menangis semahu – mahunya.
                                                               *****
                                                     Bersambung ~ =)

Thursday 25 July 2013

~ Saya Kenal Sayang Saya! 15 ~


Hujung jemari kasar Fakhri mengetuk – ngetuk kecil stereng kereta. Jam di tangan kiri dikerling buat kesekian kalinya. Haih. Keluhan kecil kedengaran buat seketika. Biji matanya juga sudah penat memandang ke arah pintu rumah milik keluarganya itu. Damia tak juga muncul – muncul. Memang semua perempuan dalam dunia ni kena sumpahan bersiap lambat macam ni ke? Takkan sampai nak kena berjemput baru nak siap cepat kot.
            Namun belum sempat Fakhri menguak pintu kereta untuk ‘membentang karpet merah’ buat isterinya itu, daun pintu rumah dikuak terlebih dahulu. Fakhri kembali dengan posisinya yang sedang menunggu seseorang dalam kereta tadi. Dari arah cermin pandang belakang, dia melihat Damia menyalami tangan Puan Maria seraya mencium kedua belah pipi mamanya itu. Hai... mesra pulak! Sejak bila?
            “ Jalan elok – elok ya? Dah sampai sana jangan lupa call mama tau.” sempat Puan Maria berpesan sebelum Damia menghenyakkan punggungnya di dalam kereta.
            “ Baik, ma.” Damia senyum manis sambil melambaikan tangannya ke arah Puan Maria.
            “ Gerak dulu, ma!” laung Fakhri dari dalam kereta sambil membunyikan hon sekali. Puan Maria hanya menganggukkan kepala sambil tersenyum tanda merestui perjalanan anak dan menantunya itu.
            Tak sampai beberapa minit, Suzuki Swift putih milik Fakhri Wafiy sudahpun meluncur laju meninggalkan perkarangan rumah dan terus menelusur jalan raya menuju ke lebuhraya Pantai Timur Malaysia. Suasana di dalam ruang kereta itu hanya kedengaran bunyi lagu yang berkumandang perlahan dari corong radio. Fakhri masih menumpukan perhatian dalam pemanduan. Manakala Damia membuang pandangnya ke luar tingkap kereta.
            Perasaan malas dan beratnya kaki gadis itu untuk melangkah hanya Allah SWT yang tahu selepas mendapat panggilan dari Puan Rozita semalam bahawa keluarga besarnya sudah menetapkan perjumpaan keluarga itu akan diadakan hari ni. Bukannya dia tak masak dengan perangai ibu – ibu saudaranya itu. Sengaja mempercepatkan perjumpaan keluarga besar mereka bila dapat tahu Damia sudahpun bernikah. Dulu, gadis itulah yang sering dikatakan jodohnya lambat sebab siapalah yang nakkan perempuan yang tak berapa perempuan ni kan? Sekarang baru diorang tahu langit tu biru ke hijau.
            Walaupun dia sendiri tidak pernah sekecil kuman pun boleh terdetik dalam hati lelaki yang bernama Fakhri Wafiy itu menjadi suaminya, setidak – tidaknya dia amat bersyukur kepada Allah kerana mengurniakan seorang lelaki untuk melengkapi kekosongan hidupnya yang sekian lama tidak pernah diisi oleh mana – mana lelaki. Dia mengerti Fakhri bukan cinta tapi lelaki itulah yang mengajarnya perasaan seperti orang bercinta. Eh?
            Cinta? Ada apa dengan cinta? Macam tajuk lagu saja tapi itulah hakikatnya. Nurul Damia tidak pernah sekalipun merasai perasaan orang yang bercinta. Bukannya dia tak pernah menaruh perasaan pada lelaki selama ni. Bahkan waktu zaman sekolah dulu setiap tingkatan ada saja lelaki yang diminatinya. Dari tingkatan satu sampailah tingkatan lima. Tapi sekadar minat ajelah. Nak kata dia nak first move dulu, sorrylah. Timba masih perlu mencari perigi ya? Jangan lupa tu wahai kaum Adam seluruh dunia!
            Eleh, kau sendiri yang setuju kahwin dengan budak Fakhri tu lepas tu nasihat perigi jangan cari timba pula! Cakap tak serupa bikin. Pirahhh Damia!
            “ Mak dah sampai Janda Baik ke?” menyedari isterinya yang masih membisu, Fakhri bertindak mengeluarkan suara terlebih dahulu.
            “ Hah! Emm katanya tadi dah dekat dengan resort.” Damia sedaya – upaya menyembunyikan air mukanya yang sedikit tersentak.
            “ Berangan eh?” Fakhri menduga dengan sengih.
            “ Eh, mana ada! Pandai – pandai aje dia ni.” ngomel Damia dengan bibirnya yang dimuncungkan sedikit. Konon comel!
            “ Lagi mahu tipu...” omelan dibalas omelan.
Suasana di ruang itu kembali sunyi seperti tadi sehinggalah Fakhri mematikan enjin keretanya di stesen minyak. Sebelum pintu kereta dikuak, sempat Fakhri menoleh kepala ke arah isterinya yang masih membisu seribu bahasa.
            “ Nak pesan apa – apa tak?”
            “ Tak nak.” Laju Damia menggeleng dan Fakhri terus berlalu keluar dari perut kereta.
            Dari dalam kereta, Damia hanya memerhati kelibat suaminya yang sedang berjalan menuju ke kaunter bayaran. Kenapa kau terlalu baik dengan aku, Fakhri? Sedangkan aku tak pernah layan kau sebaik tu. Kau suka aku ke? Soalan yang baru terbit dalam benak hati itu hanya terluah sendiri dan Damia segera mengalihkan pandangan ke tempat lain pabila biji matanya bertembung dengan bebola mata Fakhri yang sedang terlihat ke arahnya sambil berjalan menuju ke kereta.
***
Perjalanan yang berjarak 45 kilometer dan hanya mengambil masa selama lebih kurang sejam itu akhirnya sampai ke destinasi. Fakhri segera memarkir keretanya di kawasan parkir Suria Hill Country Resort, Janda Baik. Kelihatan Puan Rozita tersenyum riang menyambut ketibaan anak dan menantunya di situ. Damia memeluk erat tubuh ibunya. Macam dah lama tak bersua muka. Fakhri pula hanya bersalaman dengan ibu mertuanya lalu mengambil beg – beg pakaian di dalam bonet kereta.
            Fakhri membebaskan keluhan kecil sambil membontoti isteri dan ibu mertuanya dari belakang menuju ke bilik mereka. Nasib baiklah mak ada sekali, kalau tak jangan harap aku nak angkut beg – beg kau ni Damia! Berat mengalahkan batu. Boleh timbul otot – otot bicep aku kalau hari – hari macam ni! Haish.
            “ Ni bilik kamu berdua. Mak dah book awal – awal dah.” Puan Rozita maintain senyum penuh makna sambil menghulurkan kunci bilik kepada Fakhri. Damia mula pelik dengan air muka ibunya yang sedang sengih semacam tu. Macam ada apa – apa yang tak kena aje.
            “ Bilik mak kat mana?” soal Damia tiba – tiba.
            “ Kat hujung sana.”
            “ Amboi, jauhnya!” Damia bulatkan biji mata sedikit.
            “ Habis tu kenapa? Kamu dah ada suami, takkan nak berkepit dengan mak lagi.” Sempat Puan Rozita membebel.
            “ Memanglah tapi...”
            “ Mak, kami masuk bilik dulu ya?” belum sempat Damia menghabiskan ayat, Fakhri segera memotong.
            “ Ya, silakan...” Puan Rozita sekali lagi senyum manis buat menantunya.
            “ Jom, sayang!” Bahu Damia serta – merta dipeluk erat lantas langkah kakinya menapak masuk ke dalam ruang kamar. Damia yang sudah tercengang hanya mampu menurutkan langkah.
            Usai pintu bilik ditutup rapat, Damia segera menjegilkan biji matanya ke arah Fakhri. Fakhri masih selamba dengan muka yang tidak bersalah dia terus berlalu menuju ke balkoni bilik. Angin petang yang bertiup sepoi – sepoi bahasa itu menyimbah rasa ketenangan buat penghidunya. Fakhri mendepakan tangannya sejenak. Nyamannya alam flora ciptaan Allah ini.
            Tiba – tiba perasaan nyaman itu ghaib serta – merta dengan kehadiran gadis yang bernama Nurul Damia di ruang balkoni itu. Aduh, makcik ni memang dengki ke apa tengok aku bahagia menikmati keindahan alam sekejap?!
            “ Kau ni suka – suka aje tunjuk mesra depan mak tadi kan?” Damia pasang peluru untuk menembak suaminya bertubi – tubi.
            “ Berdosa ke kita tunjuk mesra?” duga Fakhri tiba – tiba.
            Damia terus terbungkam kata. Air muka yang sedang berubah segera dikawal.
            “ Memanglah tak berdosa tapi kalau mak fikir yang bukan – bukan macam mana?” Damia masih tak mahu mengalah.
            “ Memang mak dah fikir bukan – bukan pun.” Fakhri sengih nakal.
            Damia kerut dahi. Pelik. “ Maksud kau?”
            “ Tengok tu.” Fakhri menuding jari ke arah katil.
Bebola mata Damia serta – merta terbeliak memandang dada katil yang sudah terhias dengan kelopak – kelopak bunga mawar merah lengkap disusun berbentuk hati lagi. Lidah terus kelu tak mampu nak berkata apa – apa lagi. Biar betul mak aku ni?! Mana dia belajar hias katil macam ni? Fakhri hanya tersengih memandang air muka isterinya. Memang mak betul – betul serius nak dapat cucu nampaknya.
***
Ketukan bertalu – talu di luar pintu bilik membuatkan kelopak mata Fakhri yang berat sedaya – upaya dicelik. Jam di skrin telefon bimbit diamati sejenak. Aduh, baru pukul 5 setengah pagi! Azan Subuh pun belum bunyi lagi. Makhluk mana yang bijak sangat ganggu orang nak tidur ni hah?! Dengan penuh perasaan tak ikhlas, Fakhri melangkah lemah menuju ke arah pintu. Hendak buat – buat tak dengar, risau roboh pulak pintu bilik resort tu kang.
            “ Abang!!!”
            Jerkahan dari gerangan si pengetuk pintu serta – merta mengejutkan Fakhri dari mamai. Fuh, semangat... Dan buat beberapa minit biji matanya terbeliak melihat wajah seorang gadis di hadapan pintu biliknya sekarang. Patutlah macam kenal suara tu. Balqis?!
            Balqis pandang atas bawah Fakhri yang hanya berseluar pendek paras lutut tanpa kedip. Inikah yang dinamakan rezeki pagi – pagi buta? Atau seksinya...
            “ Fakhri?!”
            Tak semena – mena kedengaran suara dari seorang gadis lain pula. Fakhri dan Balqis segera menoleh ke arah pemilik suara berkenaan. Dan ternyata kedua – duanya terlopong melihat Damia yang hanya membaluti tubuhnya dengan sehelai tuala. Buat seketika ketiga – tiga manusia di ruang itu tercengang memandang satu sama lain.
            “ Damia...” Fakhri hanya mampu bersuara perlahan melihat isterinya atas bawah. Air liur yang tersekat dikerongkong ditelan kelat.
            Balqis pula sudah merengus geram menyaksikan keadaan suami isteri itu. Turun naik nafasnya menahan marah. Tak guna!
            “ Korang berdua memang melampau!” Balqis segera berlalu dari ruang itu dengan tapak kakinya yang dihentakkan ke lantai macam tak cukup tanah nak pijak. Geram punya pasal. Sampai hati Fakhri buat aku macam ni.
            Pasangan suami isteri itu langsung tidak mengendahkan Balqis yang sudahpun ghaib tadi. Masing – masing berkira – kira dalam kepala hendak bertegur apa dalam keadaan yang agak panas di dalam bilik itu.
“ Baru habis mandi ke?” Huish, soalan apa kau tanya ni Fakhri? Dah tentulah dia baru lepas mandi dah berkemban macam tu. Tenang Fakhri tenang! Dia nak goda kau aje tu...
“ Err ha’ah. Nak ambil pakaian kejap.” Damia segera mencapai beg pakaiannya di dalam almari lalu berlari masuk ke dalam bilik air semula.
Usai pintu bilik air ditutup rapat, kedengaran nafas lega dilepas bebas – sebebasnya. Fuhhh! Tapi... Damia menghentuk – hentuk kepalanya di dinding bilik air. Sakit! Tapi baru padan muka dia. Perasaannya waktu itu hanya satu sahaja. M.A.L.U. Aduh, aku ingatkan Fakhri tidur lagi! Tak sangka pula dia dah bangun. Yang aku pun satu hal, macam mana boleh terlupa nak bawa pakaian tadi. Suka betul bikin malu sekampung. Hmm sorry Fakhri, aku bukan nak goda kau tau...
***
Dari jauh lagi kedengaran gelak tawa Balqis sedang berbual mesra dengan ibu – ibu saudara Damia. Baru sekarang Fakhri pelik bagaimana perempuan yang bernama Balqis itu boleh ada bersama – sama pada hari family gathering isterinya. Takkan mama yang suruh Balqis ikut kitorang sampai sini? Mustahil.
            Langkah kaki diatur menghampiri ruang makan yang menghimpunkan sanak – saudara Nurul Damia. Meriah. Macam pesta pun ada. Damia segera menyalami tangan – tangan wanita yang berada di ruang itu. Fakhri pula hanya menghadiahkan sebuah senyuman manis memandangkan tiada kaum lelaki di ruang itu untuk bersalaman.
            “ Pandai kamu pilih suami ya Damia. Handsome. Muda dari kamu ke?” kedengaran suara dari salah seorang ibu saudara Damia bertanya. Mulalah tu tak puas hati.
            Damia masih berlagak tenang. “ Ya, makngah. Muda dua tahun dari Damia.”
            “ Oh, macam mana boleh nikah tiba – tiba? Tak berjemput pulak tu.” sambung ibu saudaranya lagi. Macam soalan dalam Melodi pulak. Panas!
            Ok, kali ni Damia tak mampu bersahaja lagi! Damia terus pandang wajah suaminya. Begitu juga dengan Fakhri yang sedikit terkejut dengan soalan yang diajukan. Balqis pula terus mengunci mulut dari celotehnya lantas memandang tepat wajah pasangan suami isteri itu silih berganti.
            “ Saya yang buat keputusan nak nikah cepat, makngah. Lagipun tak elok melambatkan perkara yang baik ni betul tak sayang? Kita tak tahu apa yang jadi akan datang.” belum sempat Damia membalas, Fakhri terlebih dahulu membela kata isterinya. Peluang untuk merangkul bahu Damia sekali lagi tidak dilepaskan. Baru nampak mesra semanis kurma.
            “ Kot ya pun, takkan tak jemput kami semua ni datang majlis nikah tu. Teringin jugak makngah nak tengok.”
            “ Ala tak apalah, bu. Nanti majlis sanding diorang mesti kita dapat kad punya. Kan Mia?” Tak semena – mena kedengaran sebuah suara garau terus menyampuk perbualan tanpa rasa segan silunya. Damia dan Fakhri terus menoleh ke arah pemilik suara berkenaan.
            “ Abang Aiman?!” Damia bersuara tiba – tiba. Fakhri hanya mendiamkan diri walaupun hatinya melonjak – lonjak ingin tahu siapa ‘Abang Aiman’ yang dimaksudkan itu.
            “ Bila kamu sampai, Man? Tak bagitahu ibu pun.”
            Ibu? Maksudnya, ‘Abang Aiman’ ni sepupu Damialah. Hmm who cares! Menyedari kaum keluarga Damia sibuk dengan ketibaan ‘Abang Aiman’ tu, Fakhri segera menarik lengan Balqis menuju ke tempat yang agak jauh dari manusia – manusia lain.
            “ Apa ni abang? Sakitlah.” Bebel Balqis seraya melepaskan genggaman kuat dari tangan Fakhri.
            “ Macam mana kau boleh ada kat sini hah? Siapa suruh kau datang sini? Mama ke?” Bertubi – tubi soalan ditembak Fakhri. Geram benar dia dengan perangai Si Balqis yang hanya tahu buat ikut suka hati dia saja.
            “ Ha’ah aunty. Kenapa?” Balqis angkat muka dengan bangganya membalas.
            “ Tipu. Baik kau cakap betul – betul.” Kali ni Fakhri dah jegil biji mata.
            “ Hmm yelah... Ala takkan abang tak tahu bila Qis tahu abang pergi mana, Qis akan ikut jugak. Abang Fahim yang bagitahu Kak Damia ada family gathering kat sini. So?” Balqis sengih sambil menjongketkan bahunya sedikit.
            “ Habis tu keluarga Damia tak tanya kau siapa?”
            “ Tanya. Qis jawablah Qis ni saudara abang and menetap kat sekitar sini. Saja datang singgah sekejap bila tahu abang dengan Kak Damia ada kat sini.” Balqis tarik sengih lagi.
            “ Ha elok sangatlah tu menipu kan?”
“ Qis nak jumpa abang...”
“ Kau tak bosan – bosan lagi ke nak jumpa aku? Dari kecil sampailah ke besar dok merengek tak tentu hala. Rimaslah.”
“ Tak. Asalkan untuk Abang Fakhri, Qis tak pernah bosan tau.” Balqis tambah rengek lagi.
 Fakhri sudah membebaskan keluhan berat sejenak. Tak tahulah aku nak cakap bahasa apa lagi dengan perempuan ni. Haish. “ Hmm kau kata nak singgah sekejap aje kan? Tunggu apa lagi sekarang? Bolehlah balik rasanya.”
“ Abang, Qis ada satu soalan ni nak tanya ni.” Pantas Balqis tukar topik sebelum dia betul – betul dihalau balik.
“ Aku tak percaya dengan satu soalan kau tu. Mesti ada lagi soalan lain lepas tu.” Sempat lagi Fakhri loyar buruk.
Balqis maintain sengih sebelum mengajukan soalannya. “ Abang sukakan Kak Damia ke?”
Soalan yang baru terbit dari bibir mungil gadis itu betul – betul membuatkan Fakhri tersentak hebat. Lama dia tenung wajah Balqis sebelum memberikan jawapan. Aku suka Damia ke?
“ Kalau aku suka, kenapa?”
Kali ni, Balqis pula tersentak. “ Jadi, abang memang sukalah kena kahwin paksa dengan Kak Damia?”
“ Kau ni banyak beranganlah, Qis. Dah nama pun kahwin paksa. Siapa yang suka. Sudahlah tu. Pergilah balik. Tempat ni bukan untuk kau.” Fakhri menepuk perlahan bahu Balqis sebelum berlalu dari ruang itu.
“ Tapi abang cintakan dia tak?!”
Laungan Balqis secara tiba – tiba itu terus membuatkan tapak kaki Fakhri terpaku ke lantai. Langkahnya mati buat seketika. Soalan cepumas itu dibiarkan berlalu sepi tanpa sebarang jawapan. Dia sendiri tidak tahu apa jawapan yang setimpal untuk soalan yang dirasakan terlalu susah dari soalan exam lawnya.
                                                                      *****
                                                                  bersambung ~

Thursday 18 July 2013

~ Saya Kenal Sayang Saya! 14 ~


Damia memerhati lama belakang tubuh suaminya yang sedang leka menghadap komputer riba di meja study. Sekeliling  ruang kamar Fakhri sudah dijamah pandangannya tadi sejak dari pertama kali menapak masuk ke dalam. Cantik. Kemas. Tak sangka bilik seorang budak lelaki rapi sebegini. Kalah bilik aku!
            “ Sebenarnya, Balqis tu siapa dengan family kau?” Damia memecah sunyi antara mereka.
            “ Kawan.” Balas Fakhri sepatah. Biji matanya masih lagi menghadap skrin komputer.
            “ Kawan? Biasa ke rapat?” Erk! Soalan apa aku tanya ni?  Tak boleh diharap sungguh.
            “ Biasa.” Lagi sepatah dibalas.
            “ Biasa tapi nampak macam rapat.” Kali ni Damia dah tekup mulut. Memang aku cili juga mulut aku ni nanti!
            “ Kenapa? Jealous?” Fakhri serta – merta toleh kepala memandang wajah isterinya.
            Jealous? Terbeliak biji mata Damia mendengar perkataan yang bisa membuatkan dirinya segan seumur hidup itu. “ Tolonggg sikit! Tak ada masa aku nak jealous tau. Aku cuma curious. Aku rasa kau pun tahu apa maksud curiousity tu kan?”
            Fakhri senyum sinis. “ Tak payah nak curious sangat. Lepas ni, awak mesti akan nampak muka Qis di mana – mana sahaja.”
            “ Kenapa pula?” Damia tayang wajah pelik. Tak paham dengan statement suaminya itu.
            “ Sebab dia dah tahu kita berdua dah kahwin. Dia takkan lepas tangan bila perkara besar macam ni terbongkar depan dia.”
            “ Dia suka kau ke?” duga Damia tiba – tiba.
            “ Lebih pada suka.” Balas Fakhri selamba dengan sedikit campur bangga.
            “ Oh, patutlah... Perempuan cantik macam Balqis tu boleh dapat banyak lagi laki handsome. Buat apalah suka dekat kau.” Damia mencebik.
            “ Awak tak payahlah nak mempertikaikan kekacakkan saya ni. Dah memang Si Balqis tu gilakan saya sejak kecil lagi. Nasib badanlah kan?” Fakhri tarik sengih. Damia mula buat mimik muka menyampah. Ada sesiapa boleh bagi pinjam baldi? Rasa nak muntah hijau pulak!
            “ Sejak kecil ke korang kenal?”
            Yup! Mama dia dengan mama saya kawan baik. Kebetulan pulak kitorang satu kelas dulu waktu darjah satu.”
            “ Eh, satu kelas?! Tapi apasal dia panggil kau abang?” Damia pelik. Macam tak puas hati pun ada.
            “ Entahlah. Sejak dia tahu birthday saya lagi tua dari dia, terus dia panggil abang. Padahal umur sama.”
            “ Kelakarlah Balqis tu! Boleh pulak macam tu kan?” Damia ketawa kecil.
            “ Kelakar... tapi mengerikan sebenarnya.” Fakhri senyum misteri tiba – tiba.
            “ Eh, kenapa? Ada apa – apa yang buruk pernah berlaku ke?”
            Just wait and see.” Fakhri senyum kecil buat isterinya sebelum menoleh semula ke arah komputer riba. Damia pula sekali lagi disimbah perasaan pelik.
***
Pagi itu, Suzuki Swift putih milik Fakhri melencong masuk ke dalam kawasan parkir Tesco Hypermarket. Usai mematikan enjin kereta, tali pinggang keledar di tempat duduk pemandu dibuka. Damia masih membatu memerhatikan tingkah suaminya yang sudahpun menguak pintu kereta.
            “ Hoi! Tengok apa? Takkan nak suruh saya bukakan pintu dulu baru nak keluar kot.” Fakhri tayang wajah pelik bila melihat isterinya yang masih tidak berkutik.
            “ Kita nak buat apa datang sini?”
            Fakhri terdiam kejap. Dia pandang sekeliling kawasan parkir yang dipenuhi dengan kereta dan motorsikal itu. Aku salah tempat ke? “ Kita datang sini nak main pingpong. Kenapa?”
            Damia membebaskan keluhan kecil sebentar. Budak ni buat lawak kurang bijak pulak! Pintu kereta segera dibuka lalu kaki gadis itu menapak keluar. Pintu ditutup kembali dengan gaya macam nak meranapkan pintu kereta milik Fakhri Wafiy itu. Gedebushhh!!! Biji mata Fakhri bagai nak bergolek ke lantai punya terkejut.
            “ Hoi! Hoi! Suzuki tu tahu tak? S.U.Z.U.K.I. ! Ada duit ke nak ganti baru kalau rosak?” sempat lagi pemuda itu membebel sambil terkocoh – kocoh membontoti isterinya yang sudah menonong menuju ke arah travelator.
            Damia sengih jahat menoleh sekilas sambil menayangkan tapak tangan kanannya ke arah Fakhri. “ Talk to my hand!” siap dengan pakej jelir lidah sekaligus. Eleh, Suzuki je! Kalau BMW ke Merce ke... Haruslah!
            Fakhri merengus geram. Ewah – ewah sejak bila chef ni pandai main bahasa lawyer? Nak kata aku yang ajar pun bukan. Fahim? Lagilah tak. Businessman yang dia tahu duit, duit dan duit.
Namun belum sempat Fakhri membalas apa – apa, tiba – tiba berkerut dahinya terperanjatkan Damia yang hampir tergelincir ketika menapak ke atas travelator. Sepantas kilat Fakhri menyambar lengan isterinya. Fuh, nasib baik!
Damia menghela nafas lega sejenak. Alhamdulillah... Nasib baik tak tersungkur atas travelator. Tersungkur okey lagi, cuba kalau terbaring dan travelator tu bergerak sampai ke tingkat atas. Pergh! Memang aku takkan jejak dah kaki dalam Tesco ni sampai mati. Percayalah!
“ Berapa lama lagi nak peluk ni?”
Suara garau milik Fakhri membunuh lamunan Damia dengan kejamnya. Erkkk! Baru dia sedar tubuhnya sekarang berada dalam dakapan Fakhri. Cepat – cepat dia merenggangkan jarak antara mereka. Wajah mula berona merah. Tak boleh harap betul kau ni, Damia! Boleh pula buat filem Hindustan kat dalam Tesco. Nasiblah orang tak ramai.
“ Tu lah berdosa dengan kereta saya kan? Lain kali buatlah lagi.” Fakhri tarik sengih sinis.
Damia hanya mencebik sebelum mencapai troli yang disediakan untuk para pengunjung pasaraya itu. Tak ada modal nak menjawab dah. Eleh, daulat sangatlah tu kereta dia!
***
            Aunty, dari tadi Qis tanya aunty kan? Aunty tak jawab lagi soalan Qis!” tapak kaki Balqis dihentak – hentak ke lantai sambil membontoti Puan Maria yang sedang menatang dulang teko air ke meja makan.
            Meh cawan tu, aunty nak tuang air.” Puan Maria sudah siap sedia dengan teko importnya yang berisi air Nescafe panas itu.
            Aunty, sekarang bukan masanya untuk Qis minum air tau! Aunty jawablah soalan Qis tadi ya?” rengek Balqis lagi.
            Puan Maria sudah mengeluh kecil. Nasib baiklah aku tak ada anak perempuan yang mengada – ngada macam ni. Stress! “ Hmm aunty yang nak minum air. Siapa cakap aunty nak tuangkan untuk Qis? Bak sini cawan tu.”
            Balqis termalu sendiri. Cepat – cepat dia mencapai cawan kaca di atas meja itu lalu dihulurkan kepada Puan Maria. “ Macam mana boleh jadi macam tu, aunty?” Balqis sambung balik sesi soalannya tadi.
            Aunty sengaja satukan diorang berdua untuk ajar Fakhri supaya jadi matang sikit.” Bersahaja nada Puan Maria sambil menghirup perlahan Nescafe panas dalam cawannya.
            Membulat biji mata Balqis kala itu. Terkedip – kedip memandang bakal ibu mertuanya yang tak jadi itu. “ Biar betul, aunty? Sebab tu aje diorang kena kahwin?” Balqis seolah – olah tak percaya.
            “ Yup!”
“ Maksudnya Abang Fakhri kena kahwin paksalah ni?”
            “ Eh, apa pulak kahwin paksa? Fakhri sendiri yang...”
            Aunty, sampai hati aunty paksa Abang Fakhri kahwin dengan orang yang dia tak cinta! Tapi kenapa dengan Kak Damia?” belum sempat Puan Maria menyambung kata, Balqis terus menyelinap masuk ke dalam perbualan.
            “ Habis tu, aunty nak kahwinkan dia dengan siapa pulak? Dah memang Fakhri yang...”
            “ Qis kan ada?” Balqis potong lagi. Siap promote diri.
            Puan Maria sudah tayang wajah pelik. “ Tapi Qis kan masih belajar. Mesti mama Qis takkan setuju punya.”
            “ Kalau Qis nak, mama mesti setuju. Lagipun, apa salahnya kahwin waktu belajar aunty? Nanti kitorang boleh study sama – sama, siapkan assignment sama – sama, bantu – membantu antara satu sama lain... betul tak, aunty?”
            “ Betul tu memanglah betul, sayang. Tapi Fakhri tu dah nikah dah pun. Aunty rasa yang part study, buat assignment dan bantu – membantu tu boleh dipraktikkan sama – sama tapi bukan dengan Fakhrilah.”
            Balqis serta – merta tarik muncung empat belas. “ Aunty dah rosakkan masa depan Qis tahu tak?” bentak Balqis tiba – tiba.
            “ Eh, aunty pula yang dipersalahkan? Hmm mama Qis mana? Kenapa tak ajak dia datang rumah sekali malam semalam?”
            “ Nak ajak macam mana? Kan Qis dari restoran datang rumah aunty terus dengan Abang Fahim.”
            “ Oh, betul juga! Eh, cakap pasal restoran ni Qis tak kerja ke hari ni? Selamba je datang lepak dengan aunty ni nampak.”
            “ Tak ada mood nak pergi kerja hari ni. Aunty tolong inform Abang Fahim yang Qis mintak cuti ya? Qis ada hal sikit ni.” Balqis terus bingkas dari kerusi dan berlalu dari ruang makan itu.
            Puan Maria tercengang buat seketika. Amboi, amboi... baru masuk kerja beberapa hari dah pandai nak minta cuti? Tak boleh jadi ni! Anak kawan, tak anak kawan! Peraturan adalah peraturan tau.
***
Troli yang masih kosong itu ditolak dengan penuh perasaan bosan dan sabar menuruti langkah Fakhri yang sedang khusyuk mencalit Ipadnya. Geram pula rasa hati bila memerhatikan suaminya yang masih tidak mengambil barang – barang yang hendak dibeli. Dia ni memang sengaja nak ajak aku bersiar – siar dengan troli kosong ni ke apa?
            “ Encik Fakhri kalau nak main facebook, bukan sini tempatnya. Rasanya boleh main kat rumah kot.” Damia jegil sikit biji mata bila langkahnya sudah menyamai langkah Fakhri.
            “ Siapa cakap saya main facebook?”
            “ Dah tu dari tadi dok menghadap Ipad tu kenapa? Bila kau nak ambil barang – barang yang kau nak beli?”
            “ Cuba bawa bersabar sikit. Saya tengah baca resepi ni. And you, silent please!” langkah kaki Fakhri dilajukan meninggalkan isterinya yang sedang tercengang. Heol...
            Silent? Dah lama hidup kot budak hingusan ni!
            Sekali lagi Damia menyamakan langkah dengan suaminya. “ Resepi apa yang kau cari? Karipap pusing ke?” ledakan tawa Damia hampir menggamatkan suasana di kawasan yang dikhaskan untuk sayur – sayuran itu.
            “ Apa yang kelakarnya?” Fakhri tayang wajah pelik.
            “ Tak ada apa – apa.” Balas Damia dengan tawa yang masih berbaki. Serius rupanya budak ni! Bagus! Bagus! Aku pun dah lupa dah bab karipap pusing tu.
            “ Tolong ambil ubi kentang tu kejap.” Fakhri memberi arahan tiba – tiba.
            Berdesup Damia menolak trolinya ke kawasan di mana letaknya sebakul ubi kentang. “ Nak berapa biji?”
            “ Ambillah dalam setengah kilo ke... Bukannya ramai yang nak makan pun.”
            “ Oh, okey!” Damia segera memilih ubi kentang yang segar – bugar lalu dimasukkan ke dalam plastik. Baru beberapa biji ubi yang dipilih tiba – tiba tingkahnya terhenti. Wait! Apasal pula aku yang kena ambil barang ni? Yang nak kena test masak tu dia! Hisy budak ni kan...
            “ Nah, tepung sekilo. Sardin satu tin. Apa lagi eh tak cukup?” Fakhri memasukkan barang – barang yang dicapainya tadi ke dalam troli. Damia yang baru berniat nak bagi ceramah bebas tadi terus terbantut. Bibirnya mengukir senyuman kecil melihat gelagat suaminya yang sibuk melilaukan biji mata mencari barang itu. Pandai jugak budak ni beli barang dapur rupanya!
            “ Ha serbuk kari kan? Awak tunggu kejap kat sini ya.”
            Belum sempat Fakhri menapak, Damia segera merentap lengan suaminya. Erat. Langkah Fakhri serta – merta mati. Terkesima sebentar. Lambat – lambat dia memalingkan kepala memandang isterinya.
            “ Tak payahlah. Dekat rumah saya dah ada serbuk kari dah. Jom cari barang lain pulak.” Tanpa sedar, Damia terus menarik lengan suaminya. Fakhri masih tercengang. Kaki dipaku ke lantai tidak berganjak.
            “ Eh, jomlah! Tunggu apa lagi?”
            “ Pegang tangan saya sampai lupa troli ke?” Fakhri senyum nakal.
            Damia tersentak dahsyat. Erkkk! Sepantas kilat gadis itu melepaskan lengan Fakhri. Okey! Ini baru boleh dikategorikan malu seumur hidup. Untuk mengelakkan perasaan malu melimpah – ruah dalam diri, cepat – cepat Damia mencapai troli yang setia bersamanya dari tadi. Segera dia berlalu meninggalkan suaminya yang sedang galak tersenyum sendiri. Pergh! Rasa macam nak main roller blade aje dengan troli ni supaya dapat lari laju – laju dari mamat tu. Segannya!
                                                                              *****
Terima ksh pd yg menunggu. kpd umat Islam, pastikan dah solat baru baca ye =). selamat menjalankan ibadah puasa n enjoy reading dears..