Followers

Tuesday, 20 August 2013

~ Saya Kenal Sayang Saya! 20 ~ Last entry

Kelopak mata yang dipejam rapat tadi cuba dicelik perlahan – lahan. Terasa berat. Kepala pula masih sengal – sengal rasa pening lalat. Kelihatan petak – petak syiling putih di hadapan mata Damia kini membuatkan gadis itu pelik seketika. Soalan yang klise terpacul dari bibir mungil itu. Aku kat mana ni?
            “ Awak dah sedar?” tegur Fakhri yang menuju ke arah isterinya sambil membawa sehelai tuala kecil dan seterika.
            “ Saya kat dalam bilik ke ni?” soalan yang dia omel sendiri tadi, dia balik yang jawab.
            “ Dah tu takkan kat luar bilik.” Fakhri melabuhkan punggung di tepi katil.
            “ Bukan ke saya tengah tengok korang semua main futsal tadi? Macam mana boleh terbaring kat atas katil pula ni?” Damia seperti cuba memikirkan sesuatu. Gaya macam baru lepas koma pulak.
            “ Awak injured tadi. Terkena bola. Sepatutnya pemain yang injured, ini referee yang injured. Hahaha.” Fakhri ketawa tak semena – mena.
            “ Oh, terkena bola... Hah?!! Bola? Awak yang tendang bola kena kepala saya tadi kan? Sekarang macam mana? Kepala saya... Kepala saya sihat tak?” Damia kelam – kabut tak tentu pasal.
            “ Cuba bertenang. Kalau kepala awak tak okey, awak tak macam ni sekarang Puan Damia oii. Mari sini dahi tu.” Fakhri sudah bersedia dengan tuala kecil ditangannya berserta seterika yang sudah dipanaskan.
            “ Awak nak buat apa?” Damia mengelak sedikit.
            “ Nak seterika mulut awak tu. Kenapa? Cuba kalau orang cakap, jangan banyak soal. Mari sini cepat!”
            Damia terkunci mulut terus. Teragak – agak dia mendekatkan dahi ke arah suaminya. Wajah mulus itu ditadah betul – betul depan muka Fakhri. Pemuda itu cuba kawal perasaan tiba – tiba. Dup! Dap! Dup! Dap! Ni apasal pula jantung aku buat larian pecut bila tengok muka Damia dekat – dekat ni?
            “ Tutup mata kejap.” Sekali lagi Fakhri memberi arahan.
            Okey, kali ni Damia memang betul – betul pelik! Kenapa pulak sampai nak tutup mata segala? Budak ni nak kiss curi ke apa? Beraninya dia... Umur baru 23 tahun ada hati nak buat macam tu kat aku? Argh!
            “ Saya tahu apa yang awak fikir tapi sangkaan awak tu sama sekali meleset ya. tak ada masa saya nak buat macam tu. Cepatlah!” Fakhri berkeras lagi.
            Eh? Damia termalu sendiri. “ Hmm yelah!” kelopak mata dipejam rapat – rapat seperti yang diarahkan.
            Perlahan – lahan pemuda itu menuam dahi dan mata isterinya dengan gumpalan tuala kecil yang dipanaskan menggunakan seterika tadi. Damia terkesima dua minit. Dia celikkan biji mata semula memandang raut wajah tampan yang betul – betul berada di hadapannya sekarang. Tingkah Fakhri mati. Mata bertentang mata sebentar.
            “ Kenapa?” sepatah perkataan yang keluar dari bibir lelaki itu membunuh lamunan Damia.
            “ Tak apalah. Biar saya buat sendiri.” Damia cuba mengambil tuala tuaman itu dari tangan Fakhri.
            Namun, Fakhri sempat mengelak. Dia tuam juga dahi isterinya yang bengkak itu dengan teliti. “ Awak duduk diam – diam. Nanti lagi teruk bengkaknya.”
            “ Saya sapu minyak angin nanti eloklah.” Damia cuba nasib lagi.
            “ Jangan terlalu tunjuk kuat, Damia. Kalau awak rasa sakit, bagitahu awak sakit.” Fakhri masih menuam dahi gadis itu dengan berhati – hati.
            “ Mana ada saya tunjuk kuat?”
            “ Tak semestinya seorang abang atau orang yang lebih tua boleh menjadi pelindung dan penjaga. Kalau hati awak mengiyakan dan membenarkan, seorang adik pun boleh jaga dan protect orang yang dia sayang.”
            Dua baris ayat yang baru kedengaran itu terus membuatkan Damia membungkam kata – kata. Sentap dua minit. Dia cuba mencerna dalam kotak fikiran bait – bait ayat tadi. Tingkah suaminya yang masih mendemah dahi itu dengan penuh kasih – sayang diperhati lama. Kenapa lelaki di hadapannya itu tiba – tiba cakap macam ni?
            “ Sakit lagi?” soal Fakhri tiba – tiba memecah sunyi antara mereka.
            Hah?! Damia tersentak dari lamunan. “ Hmm sakit lagi...”
            “ Nak saya tuam lagi?”
            “ Nak!” Opss! Apa benda mulut aku merepek ni? Haih. Fakhri sudah mengawal senyuman yang ingin melebar hingga ke telinga itu. Lantas dia memanaskan kembali tuala kecil itu dengan seterika untuk merawat dahi isterinya semula.
***
Balqis menghenyakkan punggungnya di atas sofa empuk dalam rumah besar itu. Sampai sahaja di Kuala Lumpur, dia terus melencong ke jalan menuju rumah keluarga Fakhri Wafiy. Bukannya dia nak pulang ke rumah sendiri dulu. Puan Maria yang muncul dari arah dapur itu sudah menggeleng kepala perlahan melihat gelagat anak dara temannya seorang ini.
            “ Penat?” Puan Maria melabuhkan punggung berhadapan dengan gadis itu.
            “ Penat jugalah, aunty.” Balas Balqis malas. Memang betul – betul penat pun. Sejam lebih memandu tanpa rehat.
            “ Penat yang dicari sendiri nak buat macam mana kan...” omel Puan Maria lantas membuang pandang ke kaca televisyen.
            Balqis serta – merta kalih muka pandang wajah yang mula dimamah usia itu. Bibirnya dicebikkan sedikit. Dia tahu dia sedang diperli oleh wanita yang bergelar bakal mertua tak jadi itu.
            “ Ala sorry lah aunty... Qis bukan sengaja tak nak bagitahu aunty. Tapi Qis takut aunty tak bagi Qis pergi sana.” Rengek Balqis cuba separa memujuk.
            “ Memang aunty tak bagi pun. Qis buat apa sampai ke sana? Ha ni tiba – tiba balik KL baru sehari pergi sana kenapa pula?” soal Puan Maria bertubi – tubi. Tak faham betul dengan apa yang difikirkan gadis yang baru berusia 23 tahun itu. Ikut suka hati dia saja nak buat apa yang dia suka.
            “ Hmm Qis tak sedap hatilah biar Abang Fakhri dengan Kak Damia pergi sana berdua, aunty. Sebab tu Qis ikut diorang.” Balqis berkata perlahan. Mukanya ditunduk sedikit. Dia sudah dapat agak ayat apa yang akan disembur Puan Maria sebentar lagi.
            “ Ya Allah, Qis... Diorang kan suami isteri. Qis nak rasa tak sedap hati kenapa pula? Lagipun ada hari keluarga Damia kan. Ramai orang kat sana. Tak ada apa – apa yang berlaku pun.” Sekali lagi Puan Maria geleng kepala dengan alasan yang Balqis berikan.
            “ Eh, mana aunty tahu tak ada apa – apa yang berlaku?”
            “ Dah Fakhri dan Damia tak bagitahu apa – apa pun. Mestilah tak ada apa – apa yang berlaku.”
            Balqis ukir senyum sinis sebentar. “ Aunty tahu kenapa Qis tanya pasal Abang Fakhri ada alahan malam semalam?”
            “ Tak tahu. Kenapa?” Puan Maria mula pelik.
            “ Abang Fakhri masuk hospital semalam sebab termakan nasi goreng sotong.” Ujar gadis itu teragak – agak.
            Puan Maria seperti yang dijangka sudah terbeliak biji mata mendengar ayat yang baru terbit dari bibir Balqis. Terperanjat besar dibuatnya.
            “ Apa?!!”
            Balqis yang turut terkejut dengan gemaan suara Puan Maria yang sudah memenuhi ruang tamu itu segera menyejukkan keadaan yang dia sendiri panaskan tadi. “ Eh, sabar aunty sabar!”
            “ Sabar?! Kenapa diorang tak bagitahu aunty perkara besar macam ni ha? Sekarang Fakhri macam mana? Hish ada isteri pun tak reti nak bagitahu kita. Telefon! Mana telefon?” belum sempat Puan Maria bingkas mengambil telefon bimbitnya, Balqis segera menahan.
            “ Relaxlah aunty. Abang Fakhri dah keluar hospital dah pagi tadi. Lepas doktor rakwat semalam, Qis tengok Abang Fakhri sihat je.” Terbayang pula di dalam kepala bila dia mengintai adegan suami isteri itu di dalam wad pesakit. Sedih campur sakit dicucuk – cucuk hati kecil itu.
            Puan Maria membebaskan keluhan berat sejenak. Mendengarkan laporan kesihatan Fakhri sekarang dari gadis itu membuatkan Puan Maria cuba menghela nafas lega sedikit.
            “ Macam mana boleh tersalah makan tu? Fakhri cukup jaga pantang dia.” Soal Puan Maria lagi.
            Balqis tersentak. Dah tentu salah utamanya berpunca dari dia. Nak cerita yang sebenar ke tak nak eh? “ Err entahlah, aunty. Tahu – tahu saja ambulans dah sampai kat resort malam semalam.” Jawapan yang selamat akhirnya diberi.
            Sekali lagi Puan Maria melepaskan keluhan berat. Syukurlah Fakhri kembali sihat. Harap – harap tak ada lagi perkara buruk yang berlaku di sana. Balqis pula sudah mengunci mulut. Diperhatinya seketika wajah wanita yang tampak agak risau dengan berita yang disampaikan tadi. Pelik. Kenapa Abang Fakhri dan Kak Damia tak bagitahu aunty pasal semalam?
            “ Aunty, sebenarnya nasi goreng sotong tu Kak Damia yang hidangkan untuk Abang Fakhri!” Balqis menyambung tiba – tiba.
            Sekali lagi wajah Puan Maria terperanjat besar. “ Apa kamu cakap?!”
***
Kuliah maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Ismail merangkap bapa saudara Damia sendiri selepas solat maghrib berjemaah tadi banyak memberi renungan dan pengajaran kepada setiap ahli keluarga di situ. Antara salah satu topik yang dibangkitkan adalah berkenaan aurat dan batas pergaulan antara lelaki dan perempuan bukan muhrim. Sekali lagi, Damia berasa terlalu kerdil dalam memperindahkan dirinya sebagai wanita solehah.
            Dia memerhati belakang suaminya yang duduk bersila betul – betul berhadapan dengan bapa saudaranya yang sedang memberi kuliah kecil itu. Sungguh segak bila suaminya itu berbaju melayu hitam, berkain pelekat dan bersongkok di kepala. Dia tahu Fakhri teringin melihat dirinya itu bertudung seperti perempuan lain. Kenapa susah sangat nak pakai tudung, Damia? Nak tunggu dapat hidayah? Hidayah perlu dicari, bukannya datang bergolek. Kalau sayangkan suami, jagalah aurat tu untuk suami. Pelihara sebaik – baiknya.
            “ Damia, kamu tenung apa tu?” Puan Rozita separuh berbisik di telinga anak perempuannya yang dilindungi dengan telekung itu.
            Lamunan Damia dibunuh dengan kejamnya. “ Eh, mana ada tenung apa – apa mak!” Damia cepat – cepat senyum untuk meyakinkan ibunya itu.
            “ Yelah sangat tu. Kamu tengok Fakhri ya? Tu lah elok – elok duduk sebilik, lari bilik mak. Tapi bagus juga. Semalam mak tak berapa nak boleh tidur. Macam ada bunyi bukan – bukan dekat tingkap. Eloklah malam ni kamu teman mak, Damia.” Puan Rozita menepuk lembut paha Damia sebelum kembali memandang hadapan.
            Hah? Aiseyman, ingatkan lepas solat Isyak ni aku nak ambil beg dari bilik mak balik nak tidur bilik Fakhri... Nampaknya jadi kenyataan jugalah niat aku waktu berperang dengan Fakhri pagi tadi. Haih menyesal pula lari bilik tadi rasanya.
***
Damia memusingkan tubuh membelakangkan Puan Rozita buat kesekian kalinya. Kedengaran bunyi keluhan kecil dibebaskan sebentar. Tangannya menggenggam kemas telefon bimbit yang berjenama Samsung itu. Skrin telefonnya dipandang lagi sekali. Masih kosong tiada sesiapa yang memanggil atau menghantar pesanan ringkas. Perlukah aku yang mencari timbaku sendiri?
            Ataupun apa kata aku pergi bilik Fakhri secara curi – curi? Rasanya mak dah tidur dah ni. Hehehe pintar otak kau, Damia! Tapi... alasan apa pula aku nak bagitahu Fakhri yang aku nak tidur dalam bilik tu? Takkan aku nak terus – terang aku memang nak tidur kat situ? No way, man! Tak pasal – pasal malu satu keturunan pula nanti. Hah! Aku ada idea...
            Damia segera membuka kunci skrin telefon bimbitnya. Dicarinya ruang untuk menghantar sms. Ya, dah tentulah dia akan menghantar sms untuk Fakhri di tengah malam buta itu! Saja nak tanya khabar. Untung – untung Fakhri ajak aku tidur bilik kitorang balik. Hihihi. Tapi mamat tu nak ajak ke? Entah – entah dah berdengkur dibuai mimpi. Argh tak cuba macam mana nak tahu!
            Hai, dah tidur?
Ya Allah, aku nak cakap ‘hai’ kat dia ke? Sejak bila berbudi bahasa sangat ni, Nurul Damia oii! Ah, padam!
Awak dah tidurkah?
Aiseyman, formalnya! Padam lagi.
Dah tidur ke baby?
Hoi geli bulu hidung akulah!
Dah tidur? ^_^
Ha yang ni sesuai dengan citarasa! Tak berbudi bahasa sangat, tak formal dan tak geli. Okey, send!
Tak tentu arah Damia dibuatnya bila sms yang dihantar tadi masih belum dibalas. Jam telefon bimbit dilihat sebentar. Dah 2 minit dah tak dibalas ni. Takkan nak taip sms pun ambil masa lama kot. Takpun mamat ni dah tidur? Argh, stress! Apasallah aku hantar sms kat dia tadi?
Selang sepuluh minit, kedengaran bunyi pesanan ringkas masuk. Damia yang bagaikan hendak melonjak kegembiraan tak semena – mena itu cepat – cepat membuka sms yang baru diterimanya. Berdebar – debar pula rasa hati. Pertama kali nalurinya terasa begitu bahagia. Apa yang membuatkan dia bahagia pun entahlah...
Nak tidurlah ni.
Nak tidurlah ni? Tak ada smiley?!! Biji mata Damia terbeliak buat seketika. Kedekutnya mamat ni. Menyesal aku letak smiley kat dia tadi. Bukannya kena cas lebih pun. Ah, kenapalah aku baik sangat tadi tunjuk mesra dengan dia? Lain kali ingat Damia, jangan gatal – gatal tangan lagi nak bubuh smiley untuk insan yang bernama Fakhri Wafiy ni. Haih tak jadi aku nak merayap bilik Fakhri. Menyakitkan hati aje. Lebih baik tidur sini lagi tenteram.
Fakhri yang sudahpun memejamkan kelopak matanya mengukir senyum tiba – tiba. Hatinya berputik bunga bila menerima sms dari isterinya tadi. Bukan sms cinta pun tapi cukuplah sms yang menunjukkan sebuah ingatan terhadap dirinya. Sengaja dia balas ada tidak sms tersebut. Saja bikin Damia tidur dalam wajah masam malam ini. Manakala dia pula tidur dengan wajah manis. Jahat betul kau ni Fakhri! Isy..isy..
Bunyi telefon bimbit yang sedang menjerit – jerit ditengah malam itu segera dimatikan. Sangkanya Damia yang menelefon akibat tidak puas hati dengan conversation mereka berdua sebentar tadi, rupanya meleset bila melihat perkataan ‘mama’ yang terpapar di skrin sentuh itu.
“ Assalamualaikum, ma. Ada apa call tengah – tengah malam ni?”Fakhri bersuara terlebih dahulu.
“ Waalaikumussalam. Mama call tengah – tengah malam sebab kamu tu sibuk sangat waktu lain sampai tak jawab call.” Perli Puan Maria pula.
Fakhri sudah tersengih kecil. “ Sorry, ma. Fakhri lupa nak call mama balik siang tadi. Ha ada benda penting nak bagitahu ke ma?”
“ Ada. Mama nak kamu balik KL esok juga!” Puan Maria memberi arahan tiba – tiba.
Fakhri tersentak kejap. “ Kenapa pula ma? Kitorang kan sepatutnya balik sana lusa.”
“ Mama cakap balik tu balik ajelah! Jangan banyak soal. Bawak Damia balik sekali. Mama nak ajar dia macam mana nak jadi seorang isteri. Ada isteri pun tak boleh diharap. Balik!” Pitch suara Puan Maria sudahpun memenuhi corong telefon bimbit itu.

Fakhri yang sudah terperanjat tidak dapat membalas apa – apa dengan arahan keras yang baru saja diberikan sebentar tadi. Puan Maria sudahpun memutuskan panggilan. Pelik. Mama tahu ke pasal aku masuk hospital semalam? Aduh, ni mesti kerja Balqis ni! Tak serik – serik lagi perempuan ni rupanya. Sikap penyibuk dia tu tak reti – reti nak bertaubat. Haih.
                                                                 +++++
dah baca kan tajuk tulis bab ni adalah last n3? Bab 20 ni post trakhir utk SKSS! tau.. skrg ni sy tgh kerja keras nak siapkan full manuskrip cerita ni utk dihantar ke penilaian terbit. Doakan sy rajin menaip sokmo deh? Hihi.. hmm dah alang2 membebel ni kan, sy sbnrnya nak minta maaf sepanjang SKSS! dipublish kat sini byk kesalahan tatabahasa, simpulan bahasa dan sume jenis bahasa yg blaku. Ampunkan kite ye? em buat masa ni mungkin tak ada cerita2 baru kat dlm blog ni.. tpi x janji jugakla kan tiba2 muncul cite baru kang sape nak jwb pulak?hehe..ha buat yg pernah follow novel Pemegang Watak Cinta, PWC akan dterbitkan tak lama lg. bulan bape? publisher mana? sy rahsia dulu sampai dpt covernya nanti ye?huhu bg yg blum pernah jenguk PWC, sy alu2kan sgt..manalah tahu kalo2 bkenan d hati..hehe bg yg sukakan SKSS! ni, sy hargai sgt2. Love uolls! Bg yg tak suka tu, cubalah utk suka. Mana tahu kot2 tersuka nanti..hihi akhir kata utk sume kesayangans, doakan yg terbaik ye utk SKSS! ni. Ada rezeki nanti, kita sama2 jumpa versi cetak. In shaa Allah… =)

Friday, 16 August 2013

~ Saya Kenal Sayang Saya! 19 ~

Sampai saja di dalam bilik, Damia mengeluarkan beg pakaiannya dari dalam almari. Beberapa helai pakaian yang tergantung juga dicapainya kasar lalu disumbatkan ke dalam beg. Berang betul hatinya kala itu. Apa? Nak jadi isteri owner? Kalau sehari tak cari gaduh dengan aku memang tak sah betullah budak ni! Menyakitkan hati aje tahu. Cubalah kalau sekali tak sindir aku, tak boleh ke? Ini tidak. Fahim, Fahim, Fahim! Pergi sini ada Fahim. Sana ada Fahim. Stress! Tak faham lagi ke? Aku dah tak ada perasaan kat dia, Fakhri!
            “ Nak pergi mana?” tegur Fakhri tiba – tiba sebaik saja sampai di muka pintu bilik.
            “ Tidur bilik mak.” Damia masih menyumbat pakaian ke dalam beg. Time – time ni lah pun beg tak boleh zip.
            “ Ha eloklah tu. Tak payah saya nak tidur atas lantai lagi. Aduh, sakitnya belakang badan ni! Kalau pergi pusat urut pun nikmat ni.” Fakhri sengih untuk menyakitkan hati.
            Damia pula sudah mengerling tajam wajah suaminya. Nak pergi, pergilah! Ada aku kisah? Usai zip beg pakaiannya ditutup rapat, Damia segera melangkah keluar dari bilik itu. Dia punya hentak kaki macam tak cukup tanah nak pijak. Saja tunjuk protes. Ingat dia saja boleh pergi pusat urut? Aku pun boleh pergi bilik maklah. Mak tolong urut.
            “ Jangan lupa tutup pintu tu. Kunci sekali. Nanti ada pula yang patah balik bilik kang.” Fakhri menghangatkan lagi suasana.
            Damia pula rasanya dah angin satu kepala. “ Tak hingin! Goodbye, Fakhri! Lepas ni awak jagalah makan minum sendiri. Jangan sampai salah makan seafood lagi. Nanti tak ada siapa nak teman kat hospital dah.” Damia ketawa mengejek.
            “ Oh, really? Ambil berat juga awak kat saya ya?” Fakhri tayang sengih lagi.
            Damia tersentak kejap. Eh, ambil berat ke macam tu? “ Sudah! Sudah! Bye! Assalamualaikum.”
            “ Waalaikumussalam.” Fakhri mencebik bila menyaksikan pintu biliknya sudah tertutup rapat. Eleh, ingat aku takut?
            Belum sempat Fakhri menambah lagi bebelan seorang diri, kedengaran telefon bimbitnya berdering meminta dijawab. Fakhri segera mendapatkan telefon bimbitnya yang ditinggalkan semalaman dalam bilik itu. Dia mengamati seketika panggilan tidak dikenali yang tertera di skrin telefon bimbit. Lantas butang call dicalit.
            “ Helo.”
            “ Helo, Encik Fakhri. Saya doktor yang merawat Encik Fakhri semalam.” Kedengaran suara garau seorang lelaki di hujung speaker.
            “ Ya, doktor. Kenapa?” Fakhri pelik tiba – tiba.
            “ Berkenaan dengan laporan pemeriksaan Encik Fakhri semalam, saya dah hantar ke hospital besar kat KL memandangkan Encik Fakhri memang dari sana.” Sambung doktor itu lagi.
            Sekali lagi Fakhri pelik. “ Kenapa doktor? Ada apa – apa yang berlaku ke?”
            “ Eh, bukan macam tu maksud saya. Cuma kami di sini kurang tenaga pakar. Jadi eloklah buat pemeriksaan selanjutnya di hospital besar.”
            “ Oh, kalau begitu tak apalah doktor.” Nada Fakhri kembali tenang.
            “ Nanti encik boleh ambil result pemeriksaan tu di hospital sana ya?” sekali doktor itu berpesan.
            “ Ok, doktor. Terima kasih.”
            “ Sama – sama.” Talian dimatikan.
***
Rasanya kali ni saja entah keberapa kali Fakhri mencuri pandang isterinya yang sedang leka bermain dengan anak – anak saudara itu. Damia juga dalam tidak sedar turut mengerling suaminya yang sedang bersantai bersama sepupu – sepapat yang lain. Hajatnya tadi memang ingin sama turut serta tapi bila mengenangkan perasaan tak mahu mengalah dengan Encik Suami itu, dia lebih rela memilih untuk melayan kerenah budak – budak kecil.
            “ Damia memang sukakan budak – budak pun.” Tegur satu suara garau bila perasankan Fakhri yang dari tadi asyik mencuri pandang isterinya.
            Fakhri terus kalih kepala mencari pemilik suara garau berkenaan. Abang Aiman?! Terkejut dua minit.
            “ Macam mana korang berdua boleh kenal?” Aiman terus melabuhkan punggungnya di kerusi yang berdekatan dengan Fakhri. Soalan terus diajukan walaupun Fakhri masih tidak bersuara sepatah pun.
            “ Hmm kenal kat tempat kerja dulu.” Balas Fakhri ada tidak. Takkan nak cerita habis pasal topi chef masuk dalam air kotoran mop lantai kot.
            “ Kahwin tanpa cinta?” duga Aiman tiba – tiba.
            Soalan itu membuatkan Fakhri pandang tepat wajah pemuda yang agak tampan bersebelahannya itu. “ Taklah. Damia cintakan aku.” Bidas Fakhri dengan yakin. Ah, yang penting dia takkan tunjuk dia kalah dengan lelaki yang tiba – tiba datang menyibuk ni!
            “ Oh, kau cintakan Damia?”
            Eh, soalan apa pulak yang lelaki ni tanya? Nak soal selidik latar belakang aku ke apa. Sepupu aje pun dia ni. Kalau ex boyfriend tu haruslah nak busy body. Fakhri tidak membalas. Pandangannya dibuang ke tempat lain. Rasanya tak perlu kot aku jawab soalan yang tak penting dari ‘Abang Aiman’ ni.
            “ Dulu waktu kecil, Damia selalu cakap bila dah besar nanti dia nak kahwin dengan lelaki yang lebih tua dari dia. Sebab dia anggap seorang abang itu sebagai tempat untuk dia berlindung.” Aiman menyambung lagi tanpa disuruh. Fakhri masih seperti tadi tidak bersuara. Rasa macam kena sindir pun ada dengan ayat baru keluar dari mulut lelaki itu.
            “ Damia tu nampak aje macam hati kering tapi sebenarnya dia lemah. Dia teringin nak ada seorang abang. Waktu sekolah dulu, dia selalu kena buli dengan budak – budak perempuan nakal. Alasan yang dia guna untuk selamatkan diri, dia cakap dia ada abang kat sekolah tu. Nasiblah aku satu sekolah dengan dia dulu. So, dia minta aku tolong marah budak – budak yang buli dia tu.” Aiman ketawa kecil. Fakhri masih fokus memasang telinga.
            “ Cubalah jadi seorang abang untuk dia. Lindung dia. Jaga dia. Dalam cinta ni umur tu tak penting. Kalau kita rasa sayang kenapa kita nak halang hati tu untuk suka, betul tak?” Aiman senyum kecil lantas menepuk perlahan bahu Fakhri.
            Fakhri masih menyepi. Tidak membalas apa – apa. Walaupun dia sendiri tidak tahu apa motif Aiman bercerita tanpa ditanya itu tapi dia seperti mendapat satu ilmu baru tentang hati isterinya. Kali ni, dia tidak lagi mencuri pandang ke arah Damia. Gadis itu diperhati jelas dengan kedua – dua biji mata. Dalam tidak sedar, bibirnya sudah meniti nama indah seorang perempuan. Nurul Damia...
***
            “ Nak main jugak!” Damia segera menghampiri sepupu – sepapatnya yang sudah dibahagikan kepada dua kumpulan itu. Sempat juga dia mengerling wajah Fakhri yang sudahpun turut serta dalam permainan yang bakal berlangsung sebentar lagi.
            “ Eh, tapi kitorang dah cukup pemain ni! Lagipun, Mia pandai main futsal ke?” soal Aiman pelik.
            “ Haah betul tu. Kau nak masuk kumpulan mana kalau nak main? Kau jadi referee aje lah.” kedengaran Ain, seorang dari sepupu perempuannya pula menyampuk.
            “ Weh aku nak main jugak! Korang ni tak adillah. Tak naklah jadi referee. Lagipun, permainan apa je yang aku tak tahu main? Ala setakat futsal. Bukan ada law macam bola sepak pun.” Damia berkata sambil memeluk tubuh. Yakin sungguh dia!
            “ Damia, awak tak payah mainlah. Pandu kereta pun tak berani, inikan nak main futsal.” Giliran Fakhri pula menyibuk. Sengaja nak menyakitkan hati si isteri.
            Damia dah bagi jelingan maut buat suaminya. Geram pula bila tiada sesiapapun yang menyebelahinya kala itu. “ Pandu kereta dengan main futsal adalah perkara yang berbeza, Encik Fakhri oii. Awak tak boleh nak judge saya macam tu.” bulat biji mata Damia membidas kata – kata suaminya. Fakhri pula sudah tersengih kerang busuk.
            “ Oklah! Mia main sekali. Mia masuk team Fakhri ok?” Aiman cepat – cepat meredakan keadaan sebelum berlaku perang mulut antara mereka. Kalau tak, futsal ke mana apa ke mana kang.
            “ Tak naklah!” Damia bantah tiba – tiba. Dia kerling wajah Fakhri sikit.
            “ Mia nak masuk team abang.” Damia segera menghampiri kumpulan Aiman. Kesemua yang berada di situ terkejut seketika. Terutama sekali Fakhri. Mencerlang biji matanya memandang wajah isterinya yang memang sengaja mencari nahas itu.
            “ Err kalau macam tu biar abang jadi refereelah.” Aiman menarik diri cepat – cepat bila perasankan wajah Fakhri yang sudah kelat di situ.
            “ Ala mana boleh macam ni. Nanti team kitorang tak cukup pemain lelakilah.” Ain pula membantah. Damia mula tunduk muka. Rasa bersalah pula bila menjadi pengacau tak diundang di situ.
            “ Hmm abang mainlah. Biar Mia jadi referee aje.” Perlahan nada itu seraya melangkah keluar dari kumpulan yang tidak menerima kehadirannya.
Fakhri mula jatuh kasihan melihat wajah isterinya yang masam mencuka tidak dapat turut serta. Namun, jauh di sudut hatinya dia tersangat bersyukur Damia tidak boleh bermain bersama mereka. Dia memang tak berkenan isterinya bercampur main bersama lelaki – lelaki lain. Walaupun mereka bersaudara tapi bukannya muhrim. Mesti ada yang tersentuhlah apalah. Better kau bersila atas rumput tu jadi pengadil tengok aku seorang aje. Hahaha. Lebih – lebih pula kau berangan ya Fakhri!
“ Ok! Kita mula sekarang ya?” Bola dilambung tinggi di tengah – tengah antara dua kumpulan dan bermulalah aksi merebut bola antara mereka. Ada yang sedang berlari, ada yang sedang menjaga barisan pertahanan, dan ada juga yang sempat bermain sms sambil mengejar bola. Hebat! Harimau Malaya pun tak buat macam tu.
Awal permainan, khusyuk sungguh Damia menyaksikan perlawanan antara dua kumpulan itu. Ke kiri, ke kanan kepalanya bergerak mengikut bola yang ditendang. Siap bersorak. Terlompat – lompat macam cheer group. Semangat! Walaupun tak dapat main, tapi rasa macam dia pula yang bermain.
Pertengahan permainan, Damia sudah mula bersila di atas rumput. Tangan menongkat dagu melihat aksi kejar – kejaran antara mereka. Dalam kepala otak mula berfikir, apasallah diorang ni beria – ria nak berebut bola yang satu? Pergi kedai, beli sorang satu kan senang. Tak payah nak kejar – kejar, main sorang – sorang. Lagi puas! Ini tidak, bola yang satu tulah yang nak direbutnya. Buat penat aje.
Di minit akhir permainan, tumpuan Damia sudah ke tempat lain. Anak – anak saudaranya yang comel – comel itu sudah mengelilingi dia. Dan dia sibuk melayan karenah budak – budak kecil itu. Suka sungguh dia dengan kanak – kanak. Kanak – kanak juga suka dengannya. Rasa macam artis pula bila budak – budak asyik menyendeng dengannya. Acik Mia nak itu, Acik Mia nak yang ni... Alahai, comel! Tapi sayang... malang yang sangat tidak berbau!
“ Damia, jaga kepala!!!”
Damia tersentak hebat. Kedengaran suara Fakhri yang sudah melaung kuat namanya dan membuatkan dia menoleh kepala ke arah pemain – pemain futsal yang sudah berhenti beraksi itu. Bukkk!!! Bunyi macam nangka busuk jatuh. Damia terlalu terperanjat bila bola yang ditendang oleh siapa entah mendarat di mukanya. Berpinar biji matanya sekejap. Kebas. Seminit berlalu, gadis itu terus rebah di atas rumput tanpa sebarang bicara.
“ Acik Mia! Acik Mia!” anak – anak saudaranya cuba menggoyangkan tubuhnya yang kaku di situ.
Pemain – pemain ‘handalan’ futsal itu segera berlari menghampiri Damia yang sudah tidak sedarkan diri. Fakhri yang merupakan orang paling risau di situ berlari pecut mendapatkan isterinya yang sudah terbaring. Siapa tak sayang bini oiii!
“ Damia!!! Bangun!” Fakhri menggongcang tubuh isterinya banyak kali. Hendak menampar lembut pipi gadis itu risau pula bengkak di muka isterinya semakin teruk.
“ Damia! Damia! Bangun!” Fakhri tak putus asa. Yang lain juga turut menyeru nama gadis itu.
Perlahan – lahan Damia mencelikkan kelopak matanya. Terasa pedih dan sakit. Pening sebentar bila melihat beberapa orang yang sedang mengerumuninya tika itu. Fakhri serta – merta membantu isterinya menegakkan badan.
“ Damia, awak okey tak?” soal Fakhri resah dengan keadaan isterinya itu.
“ Hmm kenapa saya rasa sakit kat mata dengan kepala ni eh?” lambat – lambat Damia menyoal kembali. Peningnya masih belum reda.
Sorry. Saya tertendang bola kena kepala awak tadi. Awak okey tak ni?” Fakhri segera membalas. Dahi isterinya yang bengkak dan bertukar warna merah itu disentuh perlahan.
Biji mata Damia dah terbeliak. “ Awak tendang kepala saya?!”
“ Haah eh sorry, sorry bukan tendang kepala tapi tendang bola kena kepala. Sorry sangat. Saya minta...”
Belum sempat Fakhri menyambung kata, tubuh Damia sekali lagi longlai. Sepantas kilat Fakhri memaut tubuh kecil itu. “ Damia! Dengar tak saya cakap ni?”
Damia tidak berkutik sedikitpun dalam lengan suaminya. Kelopak matanya tertutup rapat kembali. Lantas Fakhri mencempung tubuh kecil isterinya untuk di bawa ke bilik. Langkahnya dilajukan menuju ke ruang rehat. Makcik ni tidur ke pengsan sebenarnya? Haih. Aku pun satu hal. Tak pasal – pasal aje tendang bola kena muka orang. Isteri sendiri pula tu.

            Semua mata yang berada di situ sudah menggeleng kepala perlahan menyaksikan adegan suami isteri itu. Nasib baik Puan Rozita and the geng tak ada di tempat kejadian. Kalau tidak, lagi gamat jadinya.
                                                                             *****
                                                                        bersambung ~

Monday, 12 August 2013

~ Saya Kenal Sayang Saya! 18 ~

Baru menjadi penunggu selama sepuluh minit, kedengaran Fakhri sudah membebaskan sebuah keluhan kecil. Jam di pergelangan tangan Damia dilihatnya beberapa kali sehinggakan gadis itu mengerling tajam suaminya yang sikitpun tidak kenal erti kesabaran itu.
            “ Cuba bawa bersabar. Bertenang tahu?” Damia membulatkan biji matanya ke arah Fakhri.
            “ Dah sepuluh minit dah ni tau. Awak call ke tak teksi ni sebenarnya?” sekali lagi Fakhri mengambil tangan isterinya untuk melihat jarum jam.
            “ Awak dengar kan saya call tadi? Bersabarlah sikit. Macam tak biasa naik teksi pula.” Bebel Damia dengan bibirnya yang dicebikkan.
            “ Haih ni lah masalahnya bila ada lesen tapi tak boleh pandu kereta.” Giliran Fakhri pula membebel.
            Damia yang berasa pedas diperli segera toleh kepala ke arah suaminya. “ Awak sindir saya eh?”
            “ Mana ada. Perasan!” Fakhri jelir lidahnya sikit.
            “ Habis tu, awak cakap untuk siapa? Kalau saya boleh pandu kereta pun, saya tetap tak boleh bawa kereta datang hospital malam semalam. Saya kan naik ambulans sama awak semalam.” Damia jegil biji matanya sambil memberi penerangan pagi – pagi buta itu. Ni lah contoh orang yang tak reti nak bersyukur. Kita dah teman dia semalaman tak tidur kat hospital pun ada hati nak mengata kita lagi.
            “ Apa yang susahnya pandu kereta?” soal Fakhri tiba – tiba.
            Damia sedikit tersentak namun air mukanya masih terkawal. “ Hmm mungkin saya takut kemalangan.”
            “ Awak belum cuba bawa macam mana awak boleh tahu akan kemalangan?”
            “ Namanya pun malang tidak berbau, Encik Fakhri...” balas Damia bersahaja.
            “ Okey contohnya kalau kita berada di simpang, siapa yang patut kita bagi laluan dulu?” Fakhri menyoal lagi.
            “ Awak ni nak bagi tutor buat lesen pula ke kat saya? Saya dah ada lesenlah. Saya tahulah semua tu.” Damia tak puas hati.
            “ Jawab cepat!”
            “ Hmm mestilah bagi laluan kat semua orang. Dah pastikan semua kenderaan dah tak ada barulah kita jalan.” Damia memberi jawapan dengan penuh keyakinan.
            “ Memang patutlah pun. Tak payahlah bawa kereta. Entah berapa tahun lagi nak sampai rumah pun tak tahu kalau macam tu punya perangai.” Bebel Fakhri.
            “ Pulak? Dah nak jaga keselamatan, mestilah kena pastikan kawasan selamat baru jalan.” Damia masih tak mahu mengalah.
            “ Kalau kita berada di kawasan simpang, kita kena beri laluan pada lorong kanan. Faham? Soalan simple pun tak boleh jawab? Tak perlu jadi seorang genius la nak jawab soalan macam ni.” Bukan main panjang lagi Fakhri membebel. Damia dah mencebik. Sejak bila budak ni tukar profesion jadi lecturer pulak?
            “ Baiklah, cikgu. Next question, please?” Malas hendak berbalah. Lagi melawan, lagi teruk dia kena bebel pulak nanti.
            “ Hmm kalau lampu merah, kita kena buat apa?”
            Soalan Fakhri kali ni betul – betul membuatkan Damia merengus geram. Lama dia merenung tajam wajah suaminya yang sedang tersengih jahat itu.
            “ Awak ni tak padan dengan sakitkan? Nak saya tambahkan sakit tu lagi ke?” Damia jegil mata buat suaminya. Geram dengan soalan budak – budak yang diajukan padanya. Tanya budak belum tadika pun diorang tahu lampu merah kena buat apa.
            “ Jawablah soalan tu. Mana tahu awak confuse ke nak kena buat apa bila lampu merah.” Fakhri ketawa mengejek. Cepat – cepat dia menjauhkan dirinya dari Damia yang dah macam singa hendak membaham mangsa itu.
            “ Awak memang tak serik kan? Mari sini!” Damia cuba mendapatkan Fakhri yang sudah menjauhkan diri daripadanya.
            “ Orang gila saja yang akan menyerah diri, Damia. Haha kejarlah kalau dapat! Wekkk!” siap dengan jelir lidah lagi.
            “ Okey fine! Siaplah awak kalau saya dapat nanti.” Damia tak putus asa. Baru saja dia hendak memasang langkah untuk mendapatkan suaminya, kedengaran bunyi hon teksi di kawasan itu. Serta – merta Damia memberi sengihan jahat. Terima kasih, teksi! Kau datang tepat pada masanya.
            “ Fakhri, awak tak nak balik ke? Kalau tak nak, saya balik dulu...” laung Damia sambil melambaikan tangannya ke arah Fakhri.
            Mahu tak mahu, Fakhri terpaksa mendekati isterinya semula. Aduh, cepatlah pula teksi ni sampai!
            “ Ingatkan tak nak balik tadi?” Damia sengih. Sengaja memberi teguran apabila Fakhri sudah melabuhkan punggungnya di dalam kereta.
            “ Nanti kita sambung lagi aci ligan tadi tu ya? Belum ada pemenangnya lagi tau.” Fakhri balas sengih.
            Damia hanya ketawa kecil. “ Syukurlah awak dah sihat, Fakhri.”
            “ Orang kata bila orang yang kita sayang teman kita waktu sakit, nanti cepat sihat.” Balas Fakhri bersahaja.
            Damia terkesima buat seketika. Serta – merta dia pandang wajah suaminya di sebelah. Orang yang kita sayang? Aku tak salah dengar kan?
***
            “ Helo, ma! Ada apa call tiba – tiba ni?” soal Fahim segera. Kelam – kabut dia meminta diri dari bilik mesyuarat itu bila menerima panggilan dari Puan Maria. Nasib baiklah dia bos.
            “ Kamu busy ke?”
            “ Busy jugalah. Dalam meeting ni.” Fahim memberi alasan.
            “ Oh, tak apalah kalau macam tu. Mama cuma nak bagitahu kamu ni. Balqis nak balik KL hari ni.”
            “ Eh, cepatnya balik! Damia pun balik sekali dia juga ke?” soal Fahim pula. Pelik.
            “ Kamu ni mama cakap pasal Balqis, Damia pula yang disibukkannya. Damia mestilah balik dengan Fakhri nanti. Mama pun tak tahu kenapa Qis tiba – tiba cakap nak balik awal. Call Fakhri dan Damia pun tak berjawab.” Bebel Puan Maria.
            “ Eh, kan bagus tu ma! Boleh dia masuk kerja cepat sikit. Mama kan tak suka pekerja yang suka makan gaji buta ni.” perli Fahim sambil ketawa kecil.
            “ Sudah! Sudah! Pergi sambung meeting kamu tu balik. Nak kutuk mama je tahu kan?”
            Fahim hanya ketawa kecil. “ Oklah, ma. Fahim makan kat restoran aje malam ni. Mama tak payah masak beria – ria sangat.” Sempat Fahim berpesan.
            “ Yelah. Assalamualaikum.” Puan Maria segera mematikan talian telefon.
            “ Waalaikumussalam.”
***
Suasana yang hanya kedengaran sayup – sayup lagu dari corong radio di dalam kereta teksi itu membuatkan masing – masing terasa begitu mengantuk. Fakhri sudahpun memejamkan kelopak matanya manakala Damia tanpa sedar sudah meletakkan kepala di bahu suaminya. Perjalanan untuk pulang ke resort terasa begitu lama sekali sehinggakan Damia terlena di bahu Fakhri.
            Tiba – tiba Damia mencelikkan kelopak matanya. Kelam – kabut dia menegakkan kepala semula. Diintai juga wajah Fakhri yang masih bersahaja sambil memejamkan matanya itu. Hmm Fakhri tak perasan kot aku tertidur kat bahu dia. Nasib baik...
            Tak sampai beberapa minit, Damia terlelap lagi. Terlentok – lentok kepalanya ke kiri dan kanan disebabkan terlalu mengantuk itu. Ini semua gara – gara tidak tidur semalaman. Parah juga rasa mengantuk macam ni rupanya. Ni kalau dapat katil dengan bantal peluk ni alangkah nikmatnya!
Tak semena – mena, tangan Fakhri meletakkan semula kepala Damia di bahunya. Damia terkejut dua minit. Serta – merta biji matanya membulat pandang tepat ke wajah suaminya. Fakhri masih seperti tadi. Memejamkan mata tanpa sebarang bicara. Budak ni tak tidur rupanya. Desis hati kecil gadis itu. Beberapa saat kemudian, bibirnya mengukir senyum kecil. Perlahan – lahan kepalanya diletakkan semula ke bahu Fakhri dan akhirnya dia lena di sisi pemuda itu. Fakhri yang masih memejamkan matanya lagi juga tersenyum kecil dengan gelagat isterinya. Perasaan bahagia mula mengetuk pintu hati.
Teksi yang dinaiki Damia dan Fakhri berhenti betul – betul di dalam perkarangan tempat penginapan mereka. Damia kelam – kabut melangkah keluar dari perut teksi bila terlihat Balqis menarik bagasi kecilnya menuju ke kawasan tempat letak kereta. Terkocoh – kocoh dia mendapatkan gadis itu. Fakhri pula hanya melangkah tenang membontoti isterinya dari belakang.
“ Qis nak pergi mana ni?” soalan pertama terpacul dari mulut Damia buat Balqis.
Balqis tidak segera membalas. Dia hanya memandang lama wajah Fakhri Wafiy sebelum bibirnya bergerak untuk menjawab soalan Damia tadi. “ Hmm Qis nak balik KL, kak.”
“ Kenapa tiba – tiba aje ni? Baru semalam Qis sampai sini, Takkan hari ni nak balik dah?” Damia pelik. Terasa suasana kala itu menjadi suram antara mereka.
“ Tak apalah, kak. Qis datang sini pun singgah sekejap saja. Ada hal kat KL kena settlekan.” Balqis cuba ukir senyum. Dia bohong lagi.
Damia mengangguk kecil tanda memahami. “ Okeylah kalau macam tu. Mak akak dah tahu dah Qis nak balik ni?”
Balqis menggeleng perlahan. “ Tak tahu. Qis tak nak kacau diorang pagi – pagi ni.”
“ Hisy mana boleh macam tu! Qis tunggu kejap akak pergi panggil diorang ya?” belum sempat Balqis menahan, Damia sudah meluru ke kawasan bilik.
Suasana kembali sunyi bila hanya ada Balqis dan Fakhri di kawasan tempat parkir itu. Balqis meletakkan bagasi kecilnya ke dalam bonet kereta. Dalam kepalanya ligat memikirkan ayat apa yang hendak diajukan pada pemuda itu.
“ Bawa kereta elok – elok.” Fakhri bersuara tiba – tiba.
Balqis yang sedikit tersentak terus angkat muka pandang wajah pemuda itu. “ Semuanya salah Qis.”
“ Sudahlah tu. Bukan salah kau pun. Salah aku tak bagitahu aku ada alahan.”
Air muka Balqis serta – merta pelik. “ Abang tahu pasal semalam?”
“ Aku dengar kau cakap dengan Damia waktu keluar dari toilet semalam. Hmm sudahlah tu. Bukan salah kau pun.” Fakhri cuba memujuk walaupun bukan nampak macam gaya memujuk.
“ Abang marah Qis?” duga Balqis sekali lagi.
“ Nak marah pun benda dah lepas, Qis. Biarlah eh?”
“ Lepas ni Qis takkan buat dah ikut suka hati Qis je.” Balqis cuba raih simpati.
“ Hmm baguslah kalau macam tu. Dah pergi balik cepat. Nanti jalan jammed pulak.”
“ Abang tak marah Qis dah kan?” Balqis senyum merengek.
“ Tak. Aku tak marah dah. Pergi balik eh?” sekali lagi Fakhri memaksa gadis itu pulang. Siap tolong buka pintu kereta lagi untuk Balqis.
“ Abang... Kalau abang tak marah dah, apa kata biar Qis tinggal kat sini...”
“ Ni aku nak marah ni!” belum sempat Balqis menyuarakan cadangannya, Fakhri dah naik suara. Kelam – kabut Balqis menerobos perut keretanya waktu itu juga.
“ Okey! Okey! Qis balik sekarang. Bye! Kirim salam kat semua ya?” Tak sampai beberapa minit, kelibat kereta mewah itu lenyap dari pandangan. Fakhri hanya ketawa kecil melihat gelagat gadis itu. Tahu pun kau takut...
            Aku takkan biar korang bersama. Aku akan buat korang berdua saling membenci walau dengan apa pun caranya. Walaupun korang berdua dah kahwin, aku akan pastikan korang berdua takkan suka antara satu sama lain. Balqis menggenggam kuat stereng keretanya dengan bibirnya yang sedang tersenyum sinis. Aku janji, Fakhri! Just wait and see.
            “ Eh, mana Balqis?” soal Damia pelik sambil melilaukan biji matanya di kawasan parkir kenderaan itu.
            “ Dah balik dah.” Balas Fakhri ada tidak. Langkahnya dipasang untuk menuju ke bilik.
            “ Hmm cepatnya Qis balik. Baru ingat nak suruh dia sampaikan pesanan kat Abang Fahim tadi.” Damia mengomel perlahan.
            Walau bagaimanapun, omelan tersebut masih mampu mengetuk gegendang telinga Fakhri. Langkahnya serta – merta mati. Kepalanya ditoleh semula ke arah Damia. “ Penting sangat ke pesanan tu sampai tak boleh nak tunggu balik KL nanti?”
            “ Pentinglah juga. Mana tahu pelanggan ramai sangat ke nanti tak cukup chef pulak.” Balas Damia bersahaja.
            “ Kalau contohnya pelanggan memang betul – betul ramai sangat sekarang, awak nak balik restoran sekarang juga ke?”
            “ Hmm mungkin.” Selamba nada gadis itu dengan muka tak bersalah.
            “ Mungkin?! Habis tu kita datang sini cuma untuk termakan nasi goreng sotong yang awak bagi tu and then tidur kat hospital? Macam tu?” Fakhri mula tak puas hati.
            “ Taklah sampai macam tu...”
            “ Awak ni memang mata duitan eh?” tuduh Fakhri tak semena – mena. Damia pula dah membulat biji mata mendengar tuduhan yang tak berasas itu.
            “ Cakap jangan sebarang cakap, Encik Fakhri!”
            “ Dah tu tak habis – habis dengan restoran aje? Awak ke owner restoran tu? Or awak nak praktis bila dah jadi isteri owner restoran tu nanti?” sindir pemuda itu. Pedas.
            “ Fakhri!!!”
            “ Tak betul ke apa saya cakap?”
            Damia sudah mengetap geram. Turun naik nafasnya menahan marah. “ Okey, fine! Memang saya nak sangat pun jadi isteri owner restoran tu. Kenapa? Ada masalah?” Damia terus berlalu meninggalkan suaminya yang masih terpinga – pinga seorang diri.

            Fahim, Fahim, Fahim! Pergi sini ada Fahim. Sana ada Fahim. Stress! Tak sedar lagi ke? Fahim tu tak cintakan kaulah, Damia!
                                                                                  *****
                                                                           bersambung ~
sorry lambat.. kesibukan beraya gitu.. hihi apa2 pun selamat hari raya aidilfitri buat semua umat Islam. Maaf zahir batin... =)