Followers

Wednesday, 19 September 2018

Jangan Bunuh Hatiku ~ 8



Pintu kereta yang baru sahaja dibuka segera ditutup kembali. Anak mata sudah melirik ke arah Akid Aryan yang baru saja memarkir motorsikalnya di hadapan rumah. Sepantas kilat, Puteri Imanina melihat wajahnya di cermin kereta lalu membetulkan rambut didahinya yang sedikit senget. Kaki menapak laju menuju ke halaman rumah jiran atau dalam erti kata lain, halaman rumah Akid Aryan.
          “Awak dah buat report dah ke pasal kes malam semalam tu?” soal Imanina tanpa sebarang mukadimah.
          “Waalaikumussalam.”
          Lain yang ditanya, lain yang dijawab. Gadis itu tayang muka kelat dua saat.
          “Assalamualaikum…”
          “Dah buat dah tadi. Tunggu tindakan selanjutnya sajalah.” Bicara Akid bersahaja.
          “Polis cakap apa dengan awak?”
          “Tak cakap apapun. Lepas saya buat laporan, baliklah. Kenapa?”
          “Hmmm tak ada apapun. Saya cuma rasa curious.”
          Akid perhati sejenak wajah lembut gadis yang masih tercegat di hadapan matanya itu.
          “Awak memang tak cam ke muka siapa yang awak nampak malam semalam tu? Rambut dia panjang ke pendek?”
          “Pen… Mestilah pendek! Rambut panjang tu hantu. You still don’t believe me, right?
          “Tak adalah. Saya cuma nakkan kepastian.”
          “Saya pernah suruh awak hati-hati dulu, kan? Awak jangan rasa kata-kata saya ni cuma gurauan. Saya cakap berdasarkan apa yang saya nampak. Dan awak, tolong belajar terima pendapat orang lain sama.” Sedikit sombong nada itu. Tangan memeluk ke tubuh dengan penuh gaya.
          Akid hanya membalas dengan senyum senget. Entah kenapa hatinya rasa terhibur dengan bicara gadis itu.
          “Abang Akid!!! Apa dah jadi malam semalam?!”
          Terkocoh-kocoh Yasyira mendapatkan abang sepupunya setelah melompat keluar dari perut kereta. Adam, Haziq dan Naufal juga segera membuntuti adik sepupu mereka itu menghampiri Akid yang sudah tercengang sendiri. Imanina pula hanya termangu di situ memerhatikan keempat-empat manusia yang muncul secara tiba-tiba.
          “Wah, cepat betul berita tersebar kan? Aku baru niat nak buka cerita kat rumah tok wan malam ni. Tak sangka kau orang semua dah tahu dulu.” Akid tayang sengih.
          “Itu bukan masalahnya sekarang, Kid. Terperanjat besar kita orang semua bila dapat tahu ada orang nak bakar rumah kau semalam. Gila betul!” celah Adam pula.
          “Aku sendiri pun tak habis terperanjat lagi dari semalam. Alhamdulillah nasib baik tak jadi apa-apa.”
          “Mak ngah macam mana? Dia okey?” Giliran Yasyira menyoal kembali.
          “Mak ngah okey. Dia ada kat dalam rumah tu. Hmmm tok wan dah tahu ke pasal ni?”
          “Kenapa? Kau nak sorok benda ni dari tok wan pula?” Sampuk Haziq tak semena-mena.
          “Bukan macam tulah maksud aku…”
          “Habis tu apa maksud kau? Tapi macam mana kau tahu ada orang nak bakar rumah kau malam semalam, eh?” Naufal pula bersuara.
          “Pak Zaka dengan keluarga dia datang rumah aku pagi-pagi buta nak bagitahu pasal ni.”
          “So, kau dah buat police report?
          “Dah. Akid dah buat police report pagi tadi.”
          Soalan yang berpusu-pusu keluar dari mulut sepupu-sepapat itu segera berhenti apabila Imanina mencelah tanpa segan-silunya. Kesemua biji mata tertumpu ke arah gadis itu sekarang. Dengan melebarkan senyuman yang manis, Imanina mengibaskan sedikit rambut panjangnya ke belakang.
          “Hai, semua! Sayalah saksi utama kes rumah Akid Aryan yang hampir dibakar malam semalam.”
Tanpa dipinta, Imanina memperkenalkan diri. Masing-masing senyap. Melongo melihat gadis asing yang sedari tadi hanya menjadi pemerhati bebas di situ.
“Imanina?!” Membulat biji mata Yasyira melihat wajah perempuan yang tercegat di hadapannya itu.
Imanina kerut dahi dua saat. Diamati seketika wajah gerangan yang tahu akan namanya itu. Macam pernah aku tengok muka perempuan ni.
“Yasyira?”
Oh my Allah!
***
“Syira kenal ke dengan perempuan tadi tu?” tanya Akid tiba-tiba sebelum Yasyira menapak ke tempat duduknya.
          “Imanina tu? Entah. Syira tak kenal siapa dia.” Jawapan diberi acuh tak acuh. Punggung dihenyakkan di atas kerusi.
          “Tak kenal tapi tahu pula nama dia?”
          “Tahu nama tak semestinya kenal, Abang Akid.”
          “Pandailah kau nak tipu abang, kan Syira?”
          “Mana ada tipu. Yang abang nak tahu Syira kenal ke tidak dengan Imanina tu dah kenapa?” Giliran gadis itu pula menyoal.
          Erk! Air muka berubah cuaca. Betul juga. Kenapa aku beria-ria nak tahu pasal perempuan tu pula?
          “Errr abang cuma pelik saja. Tak ada maksud apa-apapun.”
          “Tak payah pelik sangat, Abang Akid. Syira nasihatkan lebih baik abang jauhkan diri dari perempuan tu. Dia tu hmmm…”
          “Kenapa dengan dia?”
          “Tak ada apa. Syira tak suka dia.”
          “Macam mana boleh tak suka dia walhal tak kenal dia?”
          “Abang Akid! Sejak bila pula kerja wartawan ni? Banyak sangat tanyanya. Syira ada banyak kerja nak buat ni.”
          “Eleh, macamlah abang tak tahu banyak mana sangat kerja kau tu Syira! Sebelum Syira masuk ofis hari tu, abang dah siap edit semua akaun tau? Sekarang ni yang tinggal kat Syira tu cuma akaun keluar masuk barang yang baru saja.”
Pemuda itu sempat meleret sengih sebelum melangkah masuk ke dalam ofisnya. Yasyira hanya mencebik tidak membalas. Fikiran dilayangkan semula kepada insiden dia bertemu secara tidak sengaja dengan Puteri Imanina pagi tadi. Terperanjat bukan kepalang lagi dia tika itu. Hari ni dalam sejarah apabila Imanina berada di hadapan matanya setelah tempoh tiga tahu berlalu.
So, sekarang ni Nina tinggal kat rumah Saralah? Tapi motif apa dia duduk kat kampung aku ni?!”
***
“Saya Puteri Imanina, peguam dari Syarikat Bina Harta Sdn. Bhd. Tujuan saya datang jumpa Tok Aziz ni sebenarnya…”
          “Tak payah nak bagitahu apa tujuan kamu ke sini. Bos kamu tu tak faham bahasa melayu ke? Hantarlah siapapun datang sini, aku takkan jual tanah pusaka tu. Kadang-kadang aku tak faham dengan budak zaman sekarang ni. Tak ada adab langsung. Tak tahu nak hormatkan harta pusaka orang lain.”
          Belum sempat Imanina memberi mukadimah, Tok Aziz terlebih dahulu menghambur kata. Terdiam sekejap gadis itu dibuatnya. Sudahlah sejak dari dalam kereta tadi, macam-macam surah dibacanya dengan harapan dapat melembutkan hati orang tua itu.
          “Okeylah, macam ni. Apa kata Tok Aziz dengar dulu apa yang saya nak bagitahu ni? Lepas tu, apapun keputusan Tok Aziz saya terima dengan hati terbuka.” Imanina masih berbahasa manis. Lengkap dengan senyuman.
          “Hmmm sekurang-kurangnya kamu ni beradaplah juga. Sebelum kamu datang sini, kamu mesti dah kaji siapa aku ni, kan?”
          “Kaji? Maksud Tok Aziz?”
          “Orang yang tak kenal aku, tak panggil aku Tok Aziz macam yang kamu panggil tu.”
          Gadis itu meleret sengih sebentar. Sangkanya apalah tadi. Pandai juga orang tua ini berbicara.
          “Oh, saya ada kawan yang tinggal kat kampung ni! Dia yang bagitahu saya pasal Tok Aziz.”
          “Oh, kawan… Kawan kamu tu tak bagitahu ke Tok Aziz tu macam mana orangnya?”
          “Ada juga dia bagitahu tapi…”
          “Habis tu, kamu tak reti nak balik lagi sekarang ni? Mati hidup balik pun aku takkan jual tanah tu. Kalau ada orang nak beli tanah pusaka datuk kamu, kamu nak jual ke?”
          Giliran Imanina pula yang disoal. Air muka gadis itu semakin kelat.
          “Kalau untuk kepentingan orang ramai, saya rasa tak salah kalau saya jual. Daripada tanah tu terbiar tanpa ada sebarang hasil, lebih baik jual. Dapat juga duit. Lagi satu, dalam kes Tok Aziz ni bos saya dah janji nak bayar tanah tu dua kali ganda dari harga pasaran. Tak ke untung?”
          “Aku kasihan dengan datuk kamu sebab dapat cucu macam ni. Tak apalah. Aku tak nak cakap banyak dah. Kamu baliklah ke tempat asalmu, orang muda. Selama aku hidup, aku tak pernah ubah keputusanku. Kedatangan kamu ke sini hanya sia-sia. Jangan buang wang, masa dan tenaga.”
          Bicara lebar orang tua itu menampar halwa telinga Puteri Imanina dengan jelas dan terang. Bibir gadis itu tak mampu lagi untuk menguntum senyum bila dihalau secara halus oleh Tok Aziz.
          Orang tua yang sombong! Sempat lagi dia perli aku? Aku takkan mengalah untuk dapatkan tanah itu. Macamlah harta dia tu boleh dibawa masuk ke kubur. Just wait and see!

Bersambung ~

No comments:

Post a Comment

sepatah komen anda ibarat setitik peluh petani..eh?