Followers

Tuesday, 18 September 2018

Jangan Bunuh Hatiku ~ 1



“Hai, belum masa makan tengahari lagi takkan dah cedok nasi kut?” Tegur Puan Aniza bila melihat anak lelakinya yang sudah pun menghenyak punggung di kerusi meja makan.
          Bau ikan pekasam goreng yang menusuk ke dalam hidung, siapa sahaja yang boleh tahan? Akid meleret sengih panjang memandang wajah ibunya itu.
“Inilah namanya kuasa ikan pekasam goreng ni, ibu. Orang yang kenyang pun boleh jadi lapar.”
          “Tengoklah ikan pekasam buatan mana pula.” Sambut Puan Aniza pula seraya meletakkan piring yang berisi tiga ekor ikan pekasam goreng itu di atas meja.
          “Ikan pekasam made in Kampung Gajah Putihlah, ibu. Paling sedap, paling segar, paling rangup! Krup krap!” Siap dengan mimik muka Akid melahap nasi putih dengan ikan pekasam goreng itu. Masuk bakul, angkat sendiri.
          Puan Aniza hanya mampu menggeleng perlahan melihat gelagat anak terunanya yang seorang itu. “Memanglah paling sedap tapi tokeh ikan pekasam ni dah lupa pergi kerja ke hari ni? Jangan selalu ponteng. Nanti pekerja-pekerja kamu tu curi tulang pula.”
          “Ibu janganlah risau sangat. Pekerja-pekerja Kid tu orang kampung kita juga. Dia orang jujur dan amanah. Ibu janganlah fikir yang bukan-bukan. Dia orang yang support Kid selama ni sampaikan produk ikan pekasam kita tu terkenal kat negeri Perak ni. Tak lama lagi Kid dah mula nak edar ke seluruh negeri bila modal dah cukup nanti.” Hurai Akid panjang lebar mencipta angan-angan.
          “Hmmm yalah. Itu ibu tahu. Ibu cuma nasihat saja. Hati orang ni lain-lain warna. Kita yang kena sentiasa berhati-hati. Tak boleh terlalu senang bila hidup senang. Takut ada yang kurang senang.”
          Pantas pemuda itu tergelak kecil sebaik sahaja Puan Aniza menghabiskan ayat. “Ayat ibu tu boleh buat pantunlah, bu. Sedap bunyinya.”
          “Cuba-cuba menanam pisang, moga-moga tumbuh mangga, cuba-cuba menanam sayang, moga-moga tumbuh cinta…”
           “Ha, tu tukang pantun kamu yang tegar dah sampai!” Puan Aniza segera menguntum senyum ke arah gadis yang muncul secara tiba-tiba di muka pintu dapur rumahnya itu.
          Akid mencebik dua saat sebelum menyuap semula makanan ke dalam mulutnya. Kenal sangat dah dia dengan gerangan yang datang berpantun di dapur rumahnya hari-hari itu.
          “Assalamualaikum, Mak cik Ani dan Abang Akid. Sya ada bawa kuih seri muka ni. Mak buat lebih tadi. Nanti Abang Akid makan, ya?” Tanpa dipelawa Tasya melangkah masuk seraya melabuhkan punggung menghadap Akid yang sedang menjamu selera.
          Pemuda itu segera menghabiskan makanan di dalam pinggannya lalu menuju ke sinki untuk membasuh tangan. “Aku tak makan benda manislah.”
          “Kid! Hisy, budak ni! Tak baik layan tetamu macam tulah.”
          Tasya yang sedang menarik muka segera tayang sengih bila Puan Aniza membela dirinya. Nampak sangat Mak cik Ani dah setuju sangat nak jadikan dia menantu. Aku yakin! Tak sia-sia aku rajin bertandang ke rumah dia ni.
          “Ala, jamahlah sikit kuih ni, Abang Akid. Abang Akid kan baru lepas makan nasi, elok sangatlah jamah pencuci mulut ni sikit.”
          “Aku bukannya tipu yang aku tak suka makan benda manis. Lain kali kau bawalah kuih karipap ke ayam masak merah ke nasi beriani ke. Kuih-kuih macam ni aku tak layan. Kalau tak percaya, kau tanya mak aku tu ha.” Tukas Akid sebelum bingkas dari ruang itu.
          “Betul ke, mak cik? Memang Abang Akid tak suka ke makan benda manis?” Polos Tasya menyoal Puan Aniza pula.
          “Betul. Lain kali Sya tak payahlah datang bawa apa-apa dah ya? Buat susah-susah saja.”
          “Mana ada susah, mak cik. Apa salahnya kita saling berkongsi rezeki, kan?”
          “Memanglah tak salah tapi mak cik tahu kamu tu datang nak berkongsi sebab Si Akid tu aje. Mak cik ni bukannya tak suka tapi mak cik tak mahulah mak kamu tu cakap yang bukan-bukan nanti. Habis semua makanan yang dia masak kamu bawa ke mari.” Sambung Puan Aniza lagi. Lembut nada wanita yang sudah dimamah usia itu.
          “Ala, mak cik janganlah fikir macam tu. Mak Sya tu takkanlah nak marah pula. Bukannya orang lain pun. Bakal besan dia juga. Tak gitu?”
          Puan Aniza yang agak tersentak segera tertelan kata-kata. Anak dara zaman sekarang ni memang berani betul! Jujur meluahkan hasrat hati tanpa sebarang lapik. Jauh beza dengan zaman dia dulu-dulu. Tapi tak apalah. Bukannya salah pun kalau perigi mencari timba.
***
Jari-jemari yang sedang lincah menaip sesuatu di papan kekunci komputer ribanya itu segera mati. Biji mata segera dihalakan ke arah setiausaha CEO Syarikat Bina Harta Sdn. Bhd. yang sudah terpacak di hadapan mejanya itu.
          “Ada apa?” Ringkas Imanina menyoal.
          “Bos panggil Cik Nina masuk bilik dia sekarang.” Balas Syima lembut.
          “Awak tolong cakap dekat bos kesayangan awak tu yang saya ni tengah banyak kerja sekarang. Saya tak ada masa nak teman dia pergi lunch. Kalau saya banyak curi tulang, nanti company dia juga yang bankrap. Ada faham?”
Imanina membulatkan sedikit biji mata ke arah setiausaha bosnya itu. Serabut betul isi kepalanya bila memikirkan perihal bos yang tak faham bahasa melayu itu. Dah orang tak suka tu, pergilah cari perempuan lain. Banyak lagi kan perempuan dalam dunia ni?!
          “Tapi, cik… Bos bukan nak ajak Cik Nina pergi lunch. Dia ada projek baru nak suruh Cik Nina handle.”
          Air muka Imanina serta-merta berubah cuaca. “Projek baru? Hmmm malaslah saya nak percaya dengan bos awak tu. Ada saja benda dia nak kenakan saya nanti. Saya dah boleh baca dah fikiran lelaki perasan handsome macam tu.”
          Syima sudah tergelak kecil bila mendengar ayat yang baru keluar dari bibir peguam di syarikat tempat dia mencari rezeki itu. “Cik Nina ni tak baik tau cakap bos macam tu.”
          “Ala, dah memang bos kita tu perasan handsome. Pagi-pagi lagi dia jalan masuk ofis dah macam lagak hero-hero drama kat televisyen tu. Menyampah betul saya tengok dia. Rasa nak letak kulit pisang atas lantai dengan harapan dia jatuh tergolek waktu berlagak handsome sangat tu!”
          Lantas kedua-dua wanita di dalam ruang itu menghambur tawa besar. Bukan selalu dapat mengata bos macam ni. Masa-masa terluang sebegini haruslah diisi dengan aktiviti ‘berfaedah’. Tak gitu?
          “Okeylah. Bos kata kalau Cik Nina tak nak masuk bilik dia sekarang juga, dia akan serahkan projek baru tu untuk Cik Nadya handle. Nanti Cik Nina jangan nak menangis air mata darah pula, ya?”
          Tawa yang masih berbaki tadi serta-merta mati. Bebola mata terus tepat ke wajah Syima.
          “Nak bagi Nadya handle?!”
          “Yup!
          “No way! Eh, bos tu nak bankrap betul-betul ke apa?! Nadya nak handle projek baru tu? Perempuan tu hingusan lagilah. Dia cuma tahu handle muka dia saja. Awak pun tahu kan berapa inci mekap kat muka dia tu?” Protes Imanina tidak puas hati.
          “Saya tahu tapi itu bukan masalahnya sekarang, Cik Nina. Kalau Cik Nina tak jumpa dengan bos sekarang, anggap sajalah projek tu bukan rezeki Cik Nina.” Sambung Syima lagi.
Pap! Tak semena-mena Imanina menampar kecil mejanya. Terperanjat setiausaha syarikat itu dibuatnya.
“Okey, bagitahu bos saya masuk bilik dia sekarang juga!”
          Cis, dia main kotor! Sengajalah tu nak panaskan hati aku dengan nama Nadya.
***
“Hmmm saya ingatkan projek kat area sini. Tak apalah, bos bagilah kat Nadya suruh handle projek ni. Saya tarik diri.”
          Dengan begitu selamba Imanina meletakkan fail projek baru yang dikatakan Syima tadi di atas meja bosnya itu. Megat Qariz masih tidak jemu memandang setiap inci wajah cantik gadis di hadapan biji matanya itu.
          “Kenapa awak tak suka saya?”
          Soalan yang jauh menyimpang dari topik asal tak semena-mena terbit. Imanina pandang sejenak wajah Megat Qariz kala itu. Dah kenapa lelaki ni mengajukan soalan sedemikian kat aku? Aku kena jawab jujur ke tak, eh?
          “Hisy! Mana ada saya tak suka bos. Bos kan bos saya. Saya mana boleh tak suka bos.”
Jawapan penyelamat diri diberi.
          “Kenapa awak tak cintakan saya sebagaimana saya cintakan awak, Puteri Imanina?”
          Sekali lagi soalan yang diaju membuatkan Imanina pura-pura meleret sengih. “Hal hati dan perasaan ni tak boleh dipaksa, bos. Dah hati saya kata tak ada perasaan cinta kat bos, nak buat macam mana? Bos faham, kan?”
          Betul-betul berterus-terang. Tak ada tipu-tipu punya. Lagipun, sudah beratus kali dia tidak menunjukkan sebarang minat terhadap majikannya itu. Tak faham bahasa betullah lelaki seorang ini!
          “Okey, fine! Awak cakap awak tak ada hati dan perasaan kat saya, kan? So, saya nak awak yang handle projek ni.” Riak Megat Qariz serta-merta bertukar serius. Ton suara pun sudah berganda dua paras.
Wait! Kalau ya pun nak marah saya, janganlah siksa saya macam ni, bos. Banyak lagi projek kat sini yang saya kena deal. Bos bagilah Nadya handle projek baru ni. Dia bukannya banyak kerja sangat pun.”
Gadis itu cuba merayu. Kurang asam betullah Si Megat ni! Boleh pula dia campur aduk hal peribadi dan hal kerja. Nasib baiklah kau tu bos. Kalau tidak, aku gusti dah kau sekarang ni.
No! Saya bagi masa kat awak sebulan saja. Pujuk owner tanah ni untuk jual semua tanah dia pada kita. Kita akan proceed dengan plan bangunan dan permission dari pihak berkuasa tempatan sebulan lepas tu. Faham?”
“Se… sebulan, bos?!”
Yup, sebulan saja! By hook or by crook, awak kena dapatkan persetujuan untuk jual beli tanah dengan landlord tu.”
“Kalau landlord tu tak nak jual juga, bos?”
“Kalau dia tak nak, you are fired!
You are fired! Bergema ayat keramat itu berulang kali di halwa telinga Imanina. Apa saja lagi yang dia mampu katakan buat masa sekarang. Masa depannya sekarang sudah terletak di tangan tuan tanah tersebut. Semoga tuan tanah itu adalah seorang manusia yang berhati lembut dan mudah dipujuk. Jauhilah segala sifat jahat seperti bos aku ni kepada tuan tanah yang bakal dipujuk nanti. Aminnn.
Megat Qariz menguntum senyum lebar memandang belakang Imanina yang sudahpun bingkas dari biliknya itu. Puas hati dia dapat mengenakan perempuan yang degil dan kepala batu itu.
“Padan muka! Dia ingat senang nak pujuk orang tua tu untuk jual tanah pusaka dia? Ini adalah sebagai balasan kepada kau kerana menolak cinta aku dengan kejam, Nina! Tak cukup handsome dan kaya lagi ke aku ni? Apalah yang susah sangat dia nak terima cinta tulus aku ni, ha?
***
Hening malam itu seperti biasa hanya ditemani oleh cahaya dari api pelita yang dipasang di sekeliling gelanggang latihan silat. Akid yang merupakan ketua kepada kumpulan Silat Selendang Merah di kampung itu mula membuka langkah untuk memulakan rutin latihan mereka setiap malam Jumaat dan Ahad. Anak-anak buahnya yang lain hanya menurut setiap langkah yang digerakkan oleh ketua mereka.
          Namun, tanpa diduga pergerakan Akid terhenti bila melihat Adam yang mematikan langkahnya secara tiba-tiba. Maka, yang lainnya juga turut ikut sama mematungkan diri memandang hairan ke arah sepupu mereka. Empat orang dari ahli kumpulan silat itu berkongsi satu darah dari datuk mereka.
Akid Aryan, Hafidh Adam, Muhammad Naufal dan Haziq Firdaus adalah sepupu yang dididik sejak kecil lagi oleh Tok Aziz untuk bergiat aktif dalam seni mempertahankan diri tradisional itu. Bukan mudah untuk mengajar empat orang budak lelaki yang paling nakal dan buas di dalam kampung itu dan akhirnya, Tok Aziz mampu pagut rasa bangga kerana memiliki keempat-empat cucu lelakinya yang sudahpun dianggap pendekar dan wira untuk menyambung legasi silat supaya tidak pupus ditelan dek zaman.
“Kau apasal, Adam? Tiba-tiba saja diam ni.” Haziq mendekati pemuda itu.
Masing-masing sudah bersedia untuk menadah telinga. Begitu juga dengan Akid. Sedikit tersentak dibuatnya bila bebola mata Adam tepat ke wajah Akid. Lantas pemuda itu juga menghampiri sepupunya yang masih tidak berbicara sepatah lagi.
“Kau ada apa-apa masalah ke, Adam? Kalau ada masalah, bagitahulah kita orang. Mungkin ada yang kita orang boleh bantu.”
“Betul. Kau jangan tiba-tiba buat perangai macam ni, Adam. Seram aku!” Naufal tumpang menyampuk.
Tiba-tiba anak mata Adam menghala tepat ke arah Alif yang juga merupakan ahli kumpulan silat itu. Alif mula berubah air muka. Rasa kurang enak hatinya bila direnung sedemikian.
“Lif! Betul ke kau cuba nak bunuh Akid waktu majlis perkahwinan Sara hari tu?”
Soalan yang benar-benar menyentakkan semua ahli yang berada di gelanggang kala itu. Serentak kesemua bebola mata hinggap di wajah Alif. Riak muka yang semakin berubah hebat itu sedaya-upaya dikawal rapi.
“Apa benda kau merepek ni, Adam? Takkanlah Alif nak bunuh aku pula. Kau pun takkanlah tak kenal Alif ni siapa? Jangan cakap kau pun percaya cakap perempuan pelik tu hari tu?” Tukas Akid tak semena-mena.
Aku ingatkan dah tamat dah kisah Alif nak bunuh aku yang perempuan pelik tu nak meroyan tiba-tiba hari tu. Rupanya ada pula orang yang nak sambung lagi kisah ni. Tak logik betul! Motif apa Alif nak bunuh aku? Tak ada apa-apa faedah pun yang dia dapat kalau bunuh aku. Bukannya harta aku akan dapat kat dia pun kalau aku mati.
“Aku kenal Alif ni, Kid. Cuma lepas kes kat rumah Sara hari tu aku jadi pelik. Dah dua tiga hari ni aku asyik terfikir benda yang sama aje.” Mendalam nada Adam membalas kata.
Alif masih membisu dari tadi. Dia hanya mampu mendengar bicara dari sepupu – sepapat itu tanpa berkata apa-apa. Tapak kaki sudah terasa sedikit demi sedikit tidak berpijak di atas tanah lagi.
“Apa benda yang peliknya? Aku tak ada rasa apa-apa yang pelik pun.” Balas Akid lagi.
“Sabar dulu, Kid. Cuba kau bagitahu apa yang peliknya? Apa benda yang kau fikir sampai dua tiga hari tu? Kita orang pun nak tahu ni.” Giliran Haziq pula bersuara.
“Kenapa kau tak pertahankan yang bukan niat kau nak bunuh Akid hari tu, Lif? Kenapa kau diam saja bila kena tuduh? Dituduh cubaan membunuh kut. Bukan benda kecil. Itu yang bila difikirkan balik, aku pelik. Macam mana kau boleh senyap aje tak bela diri kau sendiri bila ada orang cakap kau cuba membunuh hari tu?” Bertubi-tubi Adam menembak soalan.
Alif masih kekal tegak di tempatnya dari tadi. Kali ni, air muka sudah beransur pulih. Akid serta yang lain segera menghalakan biji mata ke arah Alif pula. Ya, bila diingatkan semula memang Alif hanya mendiamkan diri pada hari kejadian. Sedikitpun dia tidak kisah untuk memberi sebarang penjelasan tentang langkah silatnya yang telah dituduh seakan ingin membunuh Akid Aryan.
“Aku minta maaflah, Kid. Aku ingatkan bila kau orang berdua dah redakan keadaan perempuan tu, aku tak perlulah nak masuk campur. So, aku diam sajalah. Nak cakap apa lagi, kan? Semua orang tahu bila kita beraksi menggunakan senjata memanglah nampak bahaya. Mungkin perempuan tu yang over reaction.” Alif berlagak tenang. Satu-persatu dia bersuara.
“Hmmm tak apalah. Benda yang lepas tu biarlah lepas. Alhamdulillah, tak ada apa-apapun yang berlaku kat aku, kan? Salah faham aje semua ni.”
“Tapi kenapa aku tak rasa yang semua ni cuma salah faham ya, Lif? Aku rasa macam kau ada sorokkan sesuatu.” Adam tidak putus asa menebak.
Perlahan-lahan Alif menapak mendekati lelaki yang digelar Adam itu. Terasa suasana bertukar panas dan tegang bila anak mata masing-masing saling berlawan pandang. Ahli-ahli kumpulan yang lain pula sudah menelan liur yang tersekat. Semoga tidak ada sebarang perbalahan yang tercetus kala itu.
“Apa yang kau tak puas hati sangat dengan aku ni, Adam? Satu benda aje aku nak pesan. Adalah lebih baik kalau kau jaga tepi kain kau sendiri.”
Suara garau yang separa berbisik itu membuatkan air muka Adam berubah seratus-peratus. Tidak tercapai sungguh dek akalnya. Apa yang dikatakan perempuan pelik itu di majlis kahwin Sara tempoh hari berkemungkinan besar adalah benar!

Bersambung ~

No comments:

Post a Comment

sepatah komen anda ibarat setitik peluh petani..eh?