Followers

Tuesday, 18 September 2018

Jangan Bunuh Hatiku ~ 2



Sebiji mug kosong dihempas kasar di atas meja pantri sebaik saja Munirah menghabiskan ayatnya sebentar tadi. Tingkah Nadya hendak membancuh air Nescafe panas kala itu terbantut serta-merta.
          “Betul ke apa yang kau cakap ni, Mun?”
Bulat biji mata Nadya memandang wajah teman sejawatnya itu. Rasa marah bukan kepalang lagi apabila mendengar kenyataan yang baru saja mengetuk gegendang telinganya itu.
Munirah mengangguk laju. Yakin.
“Betul, Nad. Dah kecoh satu ofis semalam yang bos bagi projek baru kat Nina sebab Nina yang minta sendiri nak handle. Sebenarnya Nina tak nak handle pun projek tu tapi disebabkan bos cakap nak bagi kau handle, cepat-cepat perempuan tu pujuk bos supaya bagi projek tu kat dia. Kalau kau tak percaya, kau tanya Syima. Syima mesti tahu pasal ni. Dia kan p.a. bos.”
“Aku percaya. Kalau aku tanya Si Syima tu pun bukannya dia nak bagitahu. Confirm dia akan back up perempuan tu macam selalu. Tapi Nina tu memang tak guna, kan? Dia ingat dia dah bagus sangat ke sampai semua benda dia nak rampas dari aku?!” Ton suara Nadya mendadak tak semena-mena.
“Memang aku bagus pun. Banyak sangat benda yang aku bagus dari kau, Nadya. Kenapa? Tak puas hati?”
Suara Imanina yang tiba-tiba muncul dari muka pintu pantri segera menyentakkan suasana yang kian membahang di dalam ruang bilik itu. Nadya serta-merta tikam tepat bebola mata musuh tradisinya itu. Tak kurang juga dengan Imanina yang tidak mahu mengaku kalah.
“Kau jangan nak perasan sangat, boleh tak? Apa benda yang kau bagus sangat tu dari aku? Kalau setakat kau rasa kau lawyer kat sini dan kau bagus, kau silap. Gaji aku lagi tinggi dari kau tahu tak?”
Imanina tarik sengih sinis. “Ya, aku tahu gaji kau tinggi lagi tapi perangai aku bagus lagi dari kau rasanya. Sekurang-kurangnya aku buat kerja bersungguh-sungguh untuk dapat gaji yang setimpal dengan usaha aku. Bukan macam kau. Mengulat sana-sini then cukup bulan pergi cucuk duit kat ATM.”
“Hey, Nina! Kau jangan nak fitnah aku yang bukan-bukan, ya?! Bila masa aku mengulat, hah?”
“Fitnah? Semua orang tahulah perangai kau tu. Cuma bos saja yang tak tahu lagi. Kalau kau rasa kau nak bungkus cepat dari company ni, kau buatlah perangai kau tu selalu, ya? Aku cuma bagi nasihat saja.”
Turun naik nafas Nadya menahan geram melihat Imanina yang sedang tenang membancuh kopi panas itu. Ingin saja dia menyimbah wajah perempuan itu dengan air kopi yang sedang dibancuh.
“Dan lagi satu untuk pengetahuan kau bukan aku yang minta projek tu kat bos. Bos sendiri yang suruh aku handle. Aku pun pelik. Kenapa bos tak suruh kau, eh? Bos tahu ke kerja kau tak bagus? Ataupun bos tahu yang semua kerja-kerja kau Si Mun ni yang buat?”
          Tawa segera dibuat-buat seraya berlalu dari ruang pantri itu. Puas hati dapat mengenakan manusia yang suka sangat mengumpat dirinya di belakang itu. Walhal, dia sendiri pun tak ada hati nak handle projek baru yang bakal menyusahkan hidupnya itu. Semalaman dia kurang tidur akibat tidak putus berfikir pasal projek baru itu. Patut ke dia berpura-pura terima cinta bos perasan handsome tu supaya dia tak didera macam ni? Tak. Tak. Tak. Jangan jadi gila, Nina!
Munirah hanya mampu menelan liur yang tersekat dikerongkongnya bila melihat air muka Nadya yang sudah disimbah warna merah padam itu. Kalau dituang air sejuk ke wajah gadis itupun rasanya boleh hangus disebabkan terlalu menahan marah.
          Memang kurang ajar betul kau, Puteri Imanina! Mulut longkang!
***
“Amboi, Sara! Mentang-mentang baru balik honeymoon kat Maldives, jalan pun tak pandang kiri kanan dah.”
          Suara garau Akid yang tiba-tiba muncul bersama motorsikalnya itu membuatkan Sara memalingkan muka. Tapak kaki yang sedang menapak segera mati. Pantas sebuah senyuman manis terukir di wajah perempuan itu.
          “Kau ni agak-agaklah pun aku nak honeymoon kat Maldives. Langkawi ajelah. Aku dah kaya nanti baru aku pergi Maldives tu.” Masing-masing ketawa kecil berseloroh.
          “Inshaa Allah. Aku doakan kau akan kaya satu hari nanti. Aminnn.”
          “Aminnn. Mudah-mudahan masinlah mulut kau tu.”
          “Eh, kau nak ke mana petang-petang ni, Sara? Laki kau mana?” soal Akid tiba-tiba.
          “Laki aku ada kat rumah tolong ayah aku sembelih ayam kampung. Ni aku nak ke rumah mak long aku tu nak ambil daun pandan sikit. Family aku request nak makan nasi tomato pula malam ni.”
          “Oh, gitu! Untunglah ada family ramai macam kau ni, kan?”
          “Eleh, macamlah family kau tu tak ramai! Keluarga Tok Aziz tu paling popular kut dalam kampung ni sebab mempunyai cucu-cucu lelaki yang kacak idaman gadis kampung gitu.” Sekali lagi mereka terburai tawa.
          “Terima kasihlah banyak-banyak cakap aku handsome. Kau puji lebih-lebih karang, kembang pula aku.” Tokok Akid pula dengan tawanya yang masih berbaki.
          “Bukan aku cakap kau handsomelah, Kid.”
          Tawa mati serta-merta.
          “Errr tak apalah. Aku gerak dululah. Aku nak ke kedai ni sebenarnya.”
Cover malu.
          “Kawan aku yang cakap kau handsome. Ingat tak? And you, handsome man! Watch out!” Sara tarik sengih sekaligus mengulang semula ayat yang pernah berdendang di halwa telinga pemuda itu.
          Tingkah lelaki itu mati sejenak. Dia toleh semula mukanya ke arah Sara.
          “Perempuan pelik tu memang kawan kau ke, Sara?” soal Akid tiba-tiba.
          “Haah. Kawan baik aku tu. Kenapa?”
          “Oh, kawan baik! Tak ada apapun cuma bila kau sebut pasal dia, aku jadi teringat pulak. Kelmarin pun Adam ada cakap pasal kawan baik kau tu.”
          “Cakap pasal kawan aku tu? Adam cakap pasal apa, Kid?” Perasaan ingin tahu datang menerpa serta-merta.
          “Entahlah. Mungkin dia teringat insiden kat majlis kahwin kau hari tu kut.”
          “Oh, sorrylah pasal hari tu eh, Kid! Mesti first time kan jadi macam tu sepanjang kau orang buat persembahan selama ni? Kawan aku tu mungkin terkejut kut. Maklumlah orang bandar tak pernah datang kenduri kampung macam ni.”
          “Aku okey ajelah, Sara. Sepatutnya, aku yang minta maaf pasal kita orang tak dapat nak perform dengan sempurna kat majlis kahwin kau hari tu.”
          “Tak apalah. Benda dah lepas tu biar ajelah, Kid. Sebelum aku terlupa ni, aku nak oder sepuluh paket ikan pekasam kau tu, ya? Lusa ni aku nak bawa balik KL.”
          “Okey. Esok aku suruh budak aku hantar ikan pekasam tu kat rumah kau. Aku gerak dululah, ya? Assalamualaikum.”
          “Waalaikumussalam.”
          Belakang pemuda yang sudahpun berlalu pergi dengan motorsikalnya itu dipandang seketika.
“Entah-entah betul apa yang Nina cakap Akid hampir kena bunuh hari tu? Hmmm tapi tak mungkin Alif nak bunuh Si Akid ni pula. Motif apa pula dia nak bunuh kalau ya pun?”
Persoalan yang masih menjadi tanda tanya bagi setiap orang yang menjadi saksi di hari kejadian.
***
Sebuah keluhan berat dibebaskan buat kesekian kalinya. Fail yang berisi maklumat tentang projek baru itu hanya dipandang sepi. Tak ada hati dan perasaan langsung untuk Puteri Imanina menyemak maklumat yang sedia ada di hadapan matanya itu. Kenapalah aku menjadi insan yang sangat tidak bertuah terpilih untuk buat kerja ni?
          Telefon bimbit yang berdering tanpa diundang segera dicapai. Tertera nama panggilan ‘mama’ di skrin sentuh telefon bimbit berjenama Iphone itu.
          “Ya, ma.” Nada sengaja direndahkan.
          “Hai, lemah saja suara tu! Tak suka ke mama call?” soal Puan Nazira dari corong suara telefon bimbitnya anak daranya itu.
          “Sukalah, ma. Mana boleh tak suka mama call. Tapi apa ada mama call Nina tiba-tiba ni?”
          “Hujung minggu ni mama nak ajak Nina balik kampung. Nina ikut, ya?”
          Kampung?! Apa ni? Tak habis-habis dengan perkataan ‘kampung’ yang keluar dari mulut orang sekeliling aku semenjak dua menjak ni?
          “Mama ni macamlah tak tahu yang Nina ni tak suka balik kampung. Mama nak buat apa balik kampung tu? Nak pergi kendurilah tu. Kenduri kahwin siapa pula kali ni, ma?” bertubi-tubi soalan diaju kepada Puan Nazira seperti biasa.
          “Eh, Nina! Kamu ni jangan degil sangat boleh tak? Nanti kamu kahwin tak ada siapa nak datang kenduri kamu, baru padan muka.” Mendadak ton Puan Nazira tambah pitching.
          “Ala, Nina tak kisah pun kalau tak ada orang datang kenduri kahwin Nina nanti! Jimat sikit duit bila jemputan tak ramai. Nanti Nina kahwin, kita buat dinner kat hotel aje, ma. Tak payah buat kenduri macam orang-orang kampung tu, ya? Papa mesti setuju dengan cadangan Nina ni.” Imanina senyum mekar bila membayangkan majlis perkahwinannya yang bakal berlangsung tak tahu bila itu.
          “Jimat apa benda namanya tu kalau dah buat majlis kat hotel? Sudah! Pandai kamu tukar topik ya, Nina. Orang cakap pasal lain. Dia melencong ke lain. Bertuah punya anak.”
          “Ala, mama ni! Orang nak berangan kahwin pun tak boleh.”
          “Boleh tu boleh. Tapi sekarang bukan masanya untuk berangan. Lagipun, kamu tu dah ada calon ke yang beria-ria sangat nak berangan kahwin?”
          “Tak ada.” Balas Imanina pendek.
Ton suara juga sekali lagi direndahkan. Dia sendiri pun kurang pasti mengapa dia masih membujang pada umur 29 tahun itu. Kalau perempuan lain dalam lingkungan umurnya itu, paling kurang pun sudah mempunyai seorang anak. Sedangkan dia masih lagi sibuk dengan kerja-kerjanya di ofis. Tambah pula diberi tugasan baru yang cukup menyiksa jiwa dan raganya itu. Stres!
          “Kalau tak ada, jum ikut mama balik kampung hujung minggu ni. Kita pergi ambil berkat kat kenduri anak kawan mama tu.”
          “Hisy, mama ni! Apa kaitan tak ada calon dengan kena ikut mama balik kampung pula? Nina tak naklah. Nina ada banyak kerja nak kena buat lagi ni.”
          “Mama penting ke kerja Nina tu penting lagi?!” Nada semakin meningkat. Geram sungguh dengan fiil anak tunggalnya yang seorang itu.
          “Memanglah mama lagi penting tapi mama macamlah tak kenal Nina ni macam mana. Lagipun, Nina dah fobia pergi kenduri kahwin kat kampung. Hari tu Nina pergi kenduri kawan Nina, ada seorang lelaki ni cakap Nina gila. Walhal, Nina dah selamatkan dia yang hampir kena bunuh waktu tu. Tak kenang budi punya orang!”
          Serta-merta benak gadis itu terasa pedih apabila mengimbau kembali saat dia digelar tidak waras di hadapan khalayak ramai. Aku harap kau masih hiduplah sekarang ni, wahai lelaki yang bakal dibunuh!
          “Betul ke, Nina?! Macam mana lelaki tu boleh nak kena bunuh pula?” Terperanjat wanita itu tak semena-mena. Kes bunuh ni bukan perkara main-main.
“Betul, ma. Buat apa Nina nak tipu pula. Entahlah, Nina rasa mungkin kawan dia tu ada berdendam apa-apa kut dengan lelaki tu. Muka kawan dia waktu tu, memang menakutkan betul. Tapi tak apalah, ma. Tak penting dah pun benda tu untuk kita bincang sekarang. Mama ajak papa balik kampung, ya? Okeylah, ma. Nanti kita sembang lagi. Nina nak sambung buat kerja sikit. Bye, ma.” Talian diputuskan tanpa sempat mendengar balasan dari mamanya.
          Puan Nazira hanya mampu tercengang sendiri. “Memang ‘bertuah’ sungguh dapat anak macam ni! Nina… Nina…
          Imanina meleret sengih sebaik sahaja berjaya meloloskan diri daripada terpaksa menemani mamanya untuk ke majlis kenduri hujung minggu ini. Alhamdulillah, settle satu bab. Hmmm tapi masih ada satu bab lagi yang belum selesai. Bebola mata sudah terlirik semula ke arah fail projek baru yang masih belum disentuh lagi.
Dengan menarik nafas sedalam-dalamnya, gadis itu segera mencapai fail keramat di hadapan matanya lalu menyelak lambat-lambat untuk melihat butir-butir projek. Air muka kala itu benar-benar tidak menunjukkan sebarang perasaan. Sedih tidak, gembira apatah lagi. Tekun Imanina meneliti setiap perkataan yang tercatat.
Namun, biji matanya segera membulat bila tertancap ke arah geran tanah yang sudah difotokopi itu. Terbeliak biji mata gadis itu tanpa diduga bila membaca alamat di mana terletaknya tanah projek yang perlu diurusnya itu nanti.
“Kampung Gajah Putih, Pasir Salak, Perak Darul Ridzuan?! Seriously?! Oh, man! Ni kan kampung Sara yang aku pergi hari tu?”
Imanina melongo beberapa minit. Tanpa kedip dia pandang helaian kertas putih di hadapan matanya itu. Dalam kepala cuba berfikir sesuatu namun hambar. Kosong. Mana mungkin dia boleh berfikir di saat-saat genting begini.
“Waduh! Waduh! Gawat ni! Takkan aku nak jilat balik ludah sendiri?! Haih.”

Bersambung ~

No comments:

Post a Comment

sepatah komen anda ibarat setitik peluh petani..eh?