“Bodoh
betullah! Perempuan mana yang jerit tiba-tiba tadi?! Kalau tak, mesti Akid dah
mati hangus dalam api. Ada saja benda yang nak merosakkan rancangan aku. Sial
punya perempuan!”
Alif meraup kasar rambutnya ke
belakang. Betul-betul angin satu badan dia rasakan sekarang. Dinding kayu rumah
usang itu ditumbuk kuat. Faiz hanya mampu menikus sebentar bila melihat lelaki
yang sudah naik minyak itu. Silap hari bulan, dia sendiri boleh dijadikan
tempat melepaskan geram.
“Kau kenal ke perempuan yang jerit
tadi tu, Lif?”
“Mestilah aku tak kenal. Bukannya aku
nampak siapa perempuan tu. Tiba-tiba saja ada bunyi perempuan menjerit minta
tolong kat dalam rumah Sara tu. Nak kata Sara yang jerit, bukan. Setahu aku,
Sara dah balik KL dengan suami dia. Habis tu, perempuan mana lagi yang duduk
kat rumah tu, eh?”
“Kau memanglah tak nampak muka
perempuan tu tadi tapi perempuan tu mungkin nampak muka kita. Kalau tak, takkan
dia jerit macam orang gila minta tolong, kan?”
Lelaki itu senyap beberapa saat. Untuk
beberapa ketika muka Faiz dipandang tepat.
“Macam mana ni, Lif? Kalau perempuan
tu report polis, macam mana? Aku tak
nak masuk jail, weh!” Faiz kaget tak
semena-mena.
“Cuba bertenang! Perempuan tu takkan
camlah muka kita tadi. Kan gelap kat situ? Kalau nampak pun, samar-samar aje.
Tak payahlah gabra sangat.”
“Betul juga, kan? Gelap kat situ tadi.
Tapi dia confirm akan report polis. Akid pun akan tahu pasal
ni nanti.”
“Report
polis pun tapi dia bukan ada bukti apa-apa. Cuma boleh report kosong sajalah.”
“Tak kisahlah ada bukti ke tak tapi
aku tetap tak sedap hati ni, Lif. Aku dapat rasakan kita macam akan kena…”
“Diam! Kau jangan sambung ayat kau tu.
Sekarang ni apa yang penting kita kena cari perempuan bodoh mana yang
merosakkan kerja aku tadi. Kalau aku dapat perempuan tu nanti, siaplah aku
kerjakan!”
“Hey, kau nak buat apa pula, Lif?!”
“Hisy, sudahlah! Lebih baik kita balik
rumah dulu. Dah pagi buta ni. Sebelum family
kau bangun tidur dan sedar kau tak ada kat rumah malam ni, baik balik sekarang!”
“Okey. Okey. Jom balik sekarang!”
***
Terpisat-pisat
biji mata Akid Aryan melihat gerangan yang datang bertandang ke rumahnya di
pagi buta itu. Keadaan yang separuh sedar terbangun dari tidur tadi serta-merta
segar-bugar memandang wajah keluarga Sara dan Puteri Imanina yang sudahpun
mengambil tempat di ruang tamu. Diperhati sejenak wajah-wajah tetamu itu satu-persatu.
Pelik yang teramat sangat.
“Ada apa ni Pak Zaka semua datang
bertandang pagi-pagi buta? Ada hal penting ke?” soal Akid seraya melabuhkan
punggung di ruang itu.
“Pak Zaka bagitahu ada orang nak bakar
rumah kita tengah malam tadi, Kid.” Puan Aniza segera mencelah. Nada yang
sangat resah.
Pemuda itu melongo sekejap. Tercengang
tanpa ada kata-kata yang ingin terbit dari bibirnya.
“Betul tu, Akid. Nina yang ternampak
ada dua orang lelaki dah hampir nak bakar rumah kamu tengah malam tadi. Nasib
baiklah Nina ni cepat menjerit minta tolong. Bila kami semua keluar tengok,
penyangak-penyangak tu dah pun ghaib.” Jelas Encik Zakaria dengan lebih
terperinci.
Imanina mengangguk laju mengiakan
kata-kata ayah Sara.
“Astaghfirullahalazim! Ya Allah,
penyangak mana yang kejam sangat nak bakar rumah kami ni Pak Zaka?!
Allahuakbar!” Akid beristighfar panjang. Rasa tak percaya pun ada.
“Pak Zaka pun terperanjat besar tadi,
Akid. Kamu nampak jelas tak muka dua orang lelaki tadi, Nina?”
“Nina nampak samar-samar aje tadi, pak
cik. Tak jelas sangat sebab dalam gelap.” Laju Imanina melafaz kata.
“Betul ke apa yang awak nampak tadi,
Iman? Entah-entah apa yang awak nampak tadi tu kelibat makhluk halus?” Tebak
Akid tak semena-mena.
Imanina sudah tayang mata ‘spiderman’nya
memandang sejenak muka Akid. Dia tak percayakan aku lagilah tu!
“Saya tahulah nak bezakan hantu dengan
manusia macam mana. Apa yang saya nampak tadi semuanya cukup kaki tangan. Siap
boleh buka botol minyak tanah lagi. Hantu mana yang boleh buat macam tu?”
“Pak Zaka pun rasa apa yang Nina
cakapkan ni betul sebab kami ada bau minyak tanah yang tumpah kat kawasan yang
Nina nampak penyangak tu tadi.”
“Kalau macam tu tak apalah. Esok pagi
Pak Zaka ikut saya pergi buat laporan polis, ya?”
“Yalah. Esok pagi kita pergi balai
polis sama-sama. Kalau tak ada apa-apa lagi, kami semua beransur dululah, ya?
Kamu hati-hati sama, Akid. Nampak gayanya, macam ada orang yang berdendam
dengan kamu.”
Pemuda itu hanya mengangguk lemah
tanda memahami. Benak Puan Aniza usah dikhabarkan lagi betapa risaunya dia
memikirkan keselamatan anak tunggalnya itu. Tak sedap sungguh hatinya sekarang
“Siapalah yang sanggup buat anak ibu
macam ni? Kamu pernah sakitkan hati sesiapa ke selama ni, Kid?”
“Tak tahulah, ibu. Akid pun terkejut
sangat ni. Sejak bila pula ada orang kampung ni yang simpan dendam dengan Akid?
Sampai nak bakar rumah tu dah kira cubaan membunuh dah, kan Iman?”
“Betul!” Kepala diangguk pantas.
“Hmmm sebab tulah Pak Zaka suruh kamu
hati-hati lepas ni. Kita doa keselamatan diri kita dilindungi Allah SWT. Esok
lepas buat report, eloklah kamu
bagitahu kat Tok Aziz. Bolehlah kita bincang pasal nak siasat benda ni.”
“Akid kalau boleh tak naklah susahkan
tok wan tu, Pak Zaka.”
“Kamu tak boleh cakap macam tu, Akid.
Ini soal keselamatan kamu dan ibu kamu. Semua ahli keluarga kamu patut tahu
pasal ni. Bawa berbincang satu keluarga. Inshaa Allah ada jalan penyelesaiannya
nanti.” Tokok Encik Zakaria lagi.
“Hmmm baiklah, Pak Zaka.”
***
“Aku
macam pernah dengar suara perempuan yang menjerit minta tolong tadi. Familiar sangat! Tapi kat mana, eh?”
Terkedip-kedip kelopak mata memandang
kipas syiling yang sedang berputar laju. Walaupun jarum jam sudah berginjak ke
pukul empat pagi, bukan masanya untuk dia tidur lena sekarang. Sekali lagi,
rancangannya musnah sekelip mata!
“Kau memang betul-betul bernasib baik,
kan Akid? Setelah apa yang kau buat selama ni, kau boleh lagi nak hidup tenang
dan aman? Tak semudah itu, Akid Aryan. Aku akan pastikan kau mati juga satu
hari nanti. Itu saja hukuman yang setimpal untuk lelaki durjana macam kau yang
telah…”
Tanpa diduga, air mata Alif mengalir
perlahan membasahi pipi. Mengenang semula arwah adik perempuannya yang
menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan yang tersangat hina. Itulah satu-satunya
darah daging yang dia ada. Itulah juga ahli keluarga yang tinggal sebelum
kematian ibu bapanya suatu ketika dulu.
“Kau bertuah sebab kau cucu Tok Aziz.
Cucu kepada keturunan paling kaya dalam kampung ni. Disegani ramai. Semua orang
percayakan kata-kata kau. Orang lain belum kenal kau tu siapa. Tapi aku
merangkap kawan baik kau dari kecil lagi dah kenal hati budi kau, Akid! Kau
akan jatuh satu hari nanti. Lepas tu, kau mati. Aku bersumpah demi adik
perempuan aku, Aliya. Aku takkan pernah lupa apa yang kau pernah buat kat Aliya
dulu!”
Kelopak mata perlahan-lahan dipejam
rapat. Wajah Aliya kembali memenuhi ruang mata seperti yang terjadi setiap
malam dalam lena lelaki itu.
“Liya! Apa dah jadi ni Liya?! Ya
Allah! Adik aku!”
Tubuh
gadis yang terdampar lemah di atas lantai itu segera dibawa ke dalam dakapan. Bercucuran
air mata membasahi pipi bila melihat adik kesayangannya dalam keadaan separuh
bogel dengan kepala yang sedang berlumuran darah. Menggeletar jari-jemari Alif
bila menyentuh wajah Aliya yang tidak bermaya.
“Cakap,
Liya! Siapa yang buat Liya macam ni?! Ya Allah, tolong aku! Selamatkanlah adik
aku, Ya Allah!”
“Liya…
Abang, Liya minta maaf. Liya rasa Liya dah tak lama…”
“Apa
benda yang Liya merepek ni?! Jum, kita pergi hospital!”
Tingkah Alif yang ingin mencempung
tubuh Aliya segera mati bila gadis itu memberatkan tubuhnya.
“Dah terlambat abang. Liya cuma nak
abang tahu yang Liya sayangkan abang.”
“Ya Allah, Liya! Abang pun sayangkan
Liya. Tolonglah jangan jadi apa-apa, dik. Tolonglah!” rintih lelaki itu dengan
air mata yang tidak putus.
Aliya mengukir senyum lemah. Sangat
tawar.
“Lagi satu, Liya sayangkan…”
“Liya! Sudah, jangan mengarut lagi!
Bagitahu abang siapa yang buat Liya macam ni, hah?!”
Alif mula naik berang. Akal fikiran
juga sudah tidak keruan. Manusia yang bertopengkan syaitan itu akan mati dalam
tangannya sendiri!
“Abang Akid…”
Perlahan
gadis itu menyambung kata sebelum kelopak matanya tertutup kemas. Tangan melayu
ke sisi. Nafas berhenti serta-merta. Tubuh yang lemah tadi akhirnya terkulai di
dalam dakapan abangnya.
“Akid?
Akid Aryan?! Akid yang buat semua ni? Liya! Liya! Aliya!!! Bangun Liya! Tolong
jangan macam ni, Liya. Tolong abang, Liya! Jangan tinggalkan abang… Abang
merayu Liya. Tolonglah…”
Tubuh
yang sudah kaku itu digongcang laju. Dengan harapan, Aliya mencelikkan kelopak
matanya semula. Namun, yang kaku tetap kaku. Terbaring di situ tanpa sebarang
pergerakan. Suhu jasad yang sudah ditinggalkan rohnya itu mula beransur sejuk. Pemuda
itu segera memeluk erat tubuh adik perempuannya.
“Liya!!!”
Buat
kesekian kali, Alif dikejutkan dari lenanya. Hembusan nafas berat dibebaskan
sejenak.
“Patutlah
malam tu kau tak datang gelanggang, Kid. Rupanya ada kerja terkutuk yang kau
buat kat belakang aku. Tergamak sungguh kau…”
Kolam
mata yang ingin bergenang ditahan sedaya upaya dari melimpah ke pipi.
“Liya…
Abang rindu Liya. Rindu mak. Rindu abah. Abang rindu sangat…”
Bersambung ~
No comments:
Post a Comment
sepatah komen anda ibarat setitik peluh petani..eh?