“Kan
abang dah bagitahu banyak kali luruskan kaki bila tendang dan genggam tangan
kemas-kemas. Kenapa yang lembik sangat ni? Tak makan ke sebelum datang latihan
tadi? Sekarang semua berhenti! Angkat kaki kiri sembilan puluh darjah dan
tahan. Selagi abang tak bagi arahan turun kaki, jangan turun! Tangan ni genggam
macam abang buat. Faham?”
“Faham!”
Hafidh Adam memeriksa pergerakan silat
kanak-kanak lelaki itu sorang demi seorang. Rutin biasa pada setiap malam
Sabtu, dia ditugaskan untuk menjadi guru silat kepada kanak-kanak yang
menyertai persatuan itu. Manakala Akid, Naufal dan Haziq berlatih silat
bersama-sama pesilat yang lain di gelanggang yang bersebelahan.
“Hai, semua! Kak Syira ada bawa bihun
goreng dengan kuih karipap ni. Jom, kita makan sama-sama!”
Entah dari mana kelibat Yasyira muncul
dengan memegang dua biji bekas yang berisi makanan. Kesemua biji mata serta-merta
tertumpu ke arah gadis yang selamat melabuhkan punggung di dalam pondok yang
disediakan untuk para pesilat berehat itu.
“Kau ni, Syira! Kita orang tengah
berlatih silat ni, kau datang jamu makanan kenapa? Nak bagi badan jadi berat nak
bergerak ke apa?” tegur Akid yang sudah terbantut tingkahnya tadi.
“Ala,
Syira datang bawa makanan pun salah ke? Ni namanya rezeki, tau?” Gadis itu
tidak mahu mengalah.
“Biarlah,
Kid. Bagus juga Syira datang bawa makanan tu. Budak-budak ni pun semua dah
lapar aku rasa. Lembik tak ada tenaga aje nak buka langkah. Betul tak, Safwan?”
Celah Adam pula lantas mengajukan soalan kepada salah seorang budak lelaki yang
menjadi muridnya.
“Betul,
Abang Adam!” Sengih meleret mendengar perihal makanan.
Yasyira
juga turut menguntum senyum bila tindakannya dibela lelaki yang dicintai. Mahu
tak mahu, yang lain juga turut berhenti berlatih untuk berehat sebentar bersama
bihun goreng dan kuih karipap.
“Errr
ni Syira dah cedokkan untuk Abang Adam.” Gadis itu menghulur sepiring bihun
goreng kepada Adam.
“Tak
apa. Abang kenyang lagi. Syira makanlah.”
Air
muka Yasyira yang ingin berubah segera dikawal.
“Karipap,
nak?”
“Kalau
abang nak karang, abang ambil sendiri.” Selamba lelaki itu berbahasa.
Yasyira
hanya mengangguk lemah. Tak sedap ke aku masak sampaikan nak jamah sedikitpun
dia tak sudi?
“Thank you, Syira! Tolong cedokkan untuk
abang, ya?”
Tak
semena-mena Naufal mengambil piring yang berisi bihun goreng itu dari tangan
Yasyira. Gadis itu dengan pantas mengambil haknya semula.
“Ni
Syira punyalah. Syira yang nak makan. Abang Naufal ambillah sendiri.” Dengan
penuh perasaan geram, gadis itu menyumbat bihun goreng ke dalam mulutnya.
Kita
buat baik, bukannya nak dibalas dengan baik.
“Biasanya
orang yang kedekut ni tahi hidung masin, tahu tak?!” Sempat Naufal memberontak
sebelum mengambil makanan untuk mengisi perutnya itu.
Yasyira
hanya mencebik. Macamlah tahi hidung dia tu rasa manis!
Haziq
yang turut memerhati gelagat sepupu-sepapatnya itu dari jauh tumpang senyum.
Kala itu juga bebola matanya menangkap ke arah lirikkan pandangan Alif yang
betul-betul tepat ke wajah Akid Aryan. Pemuda yang sedang melayan bicara Safwan
dan rakan-rakannya itu juga tidak menyedari dirinya sedang diperhatikan Alif.
Pandangan
itu bukanlah pandangan biasa. Seperti ada maksud dan cerita yang bakal
disampaikan Alif. Benak Haziq juga mula tidak enak. Saat biji matanya
bertembung dengan anak mata lelaki yang digelar Alif, hatinya dipagut risau
tanpa diduga. Kenapa dia harus rasa begitu apabila melihat Alif menyinis
memandang ke arahnya?
***
“Nak?”
Imanina
menghulur sebungkus keropok Twisties kepada Safwan. Biji mata masih melekap di
kaca televisyen. Drama melayu menjadi pengubat stress menyiapkan proposal projek baru syarikat malam tadi. Bila
difikirkan semula pasal isi projek itu, lagi bertambah sakit kepala yang
dialami. Dia bukanlah penonton tegar drama melayu namun bila sudah beristirahat
bersama ibu Sara sekali, takkan dia nak hentam tukar siaran filem inggeris
pula.
“Tak nak. Wan dah makan dah tadi kat
gelanggang.” Pelawaan ditolak lembut oleh adik lelaki Sara itu.
Gadis itu kerut dahi dua saat.
“Gelanggang? Gelanggang apa, Wan?”
“Gelanggang silat. Wan ada latihan
silat tadi lepas tu terus makan kat sanalah.”
“Silat?”
Serta-merta
insiden gadis itu menjerit meminta tolong di majlis perkahwinan Sara tempoh
hari berlegar dalam kotak fikiran. Cukup! Jangan ingat lagi benda tu, Nina!
“Kalau
Kak Nina tanya sikit, Wan tak kisah kan?”
“Tanyalah.”
Polos budak lelaki itu membalas.
“Siapa
guru silat Wan tu?”
“Abang
Adam. Kenapa Kak Nina tanya?”
Oh,
Adam! Ingatkan lelaki yang bernama Akid tu lagi. Hmmm takkanlah asyik-asyik
nama dia saja nak muncul, kan? Macamlah dia tu bagus sangat.
“Tak
ada apa. Saja Kak Nina nak tahu.” Imanina sengih seraya melemparkan semula
pandangannya ke kaca televisyen.
“Tapi
kadang-kadang Abang Akid pun ada ajar kita orang silat.” Tokok Safwan tiba-tiba.
Imanina
yang agak tersentak terus senyap tidak berkutik di situ. Menyesal pula aku
tanya budak ni tadi.
“Pak
cik tak balik dari surau lagi ke, mak cik?” Tukar topik.
Puan
Salmah yang baru sahaja melabuhkan punggung di ruang tamu rumahnya itu segera
menguntum senyum kecil. Pinggan yang berisi kuih seri muka diletakkan di atas
meja kopi.
“Belum,
Nina. Kata pak cik tadi ada tahlil dan kenduri arwah malam ni. Itu yang lambat
balik rumah kut.”
Gadis
itu mengangguk kecil. “Oh, tahlil dan kenduri arwah memang orang buat waktu malam
ke, mak cik?”
“Tak
semestinya. Nak buat waktu siang pun boleh. Cuma yang mak cik tak pernah dengar
lagi orang buat waktu subuh.” Seloroh ibu Sara.
Imanina
dan Safwan sudah meledak tawa.
“Kalau
buat waktu subuh lima orang pun belum tentu datang, mak.” Celah Safwan pula.
“Biasalah
tu, Wan. Hmmm Nina macam mana duduk kat kampung ni? Okey?”
Imanina
menengadah bila namanya disebut. “Okey aje, mak cik. Kenapa mak cik tanya?”
“Sajalah
mak cik nak tahu. Mak cik minta maaflah kalau Nina kurang selesa dengan rumah
mak cik ke apa ke. Biasalah rumah kampung, kan?”
“Mak
cik janganlah risau. Nina yang patut risau takut menyusahkan pak cik dan mak
cik pula bila Nina tumpang duduk sini.” Gadis itu balas dengan senyum.
“Tak
menyusahkan langsung pun, Nina. Mak cik ni lagi suka tetamu datang bertandang
kat rumah ni. Tetamu tu kan bawa rezeki.”
Makin
lebar senyuman Imanina. “Terima kasih banyak, mak cik.”
Tersentuh
hati kecil gadis itu bila kehadirannya dihargai dan disambut dengan ikhlas. Dan
berbeza sungguh dengan sangkaannya kehidupan kampung yang bosan dan kuno itu.
Jauh di sudut hatinya dia mula mengenal gembira dan bahagia dengan suasana di
situ. Tenang, dingin dan sunyi.
“Sama-sama,
Nina. Makanlah kuih seri muka ni. Asyik makan keropok saja mak cik tengok.”
“Kuih
apa, mak cik?”
Sekali
lagi wanita itu sengih bila melihat air muka Imanina bertukar hairan.
“Kuih
seri muka. Nina tak tahu ke nama kuih ni? Pernah makan?”
“Pernah
rasanya tapi Nina ni cuma tahu makan saja. Nama-nama dia Nina keliru sikit.
Sebab kadang-kadang tu Nina jumpa kuih yang rupa sebiji macam ni tapi warna purple. Warna kuning pun ada. Warna
coklat pun ada. Jadi, Nina buat keputusan yang Nina makan sajalah tanpa perlu
tahu nama dia.” Panjang lebar gadis itu berceloteh.
Puan
Salmah dan anak lelakinya serta-merta hambur tawa besar. Lucu pula mendengar
bicara Puteri Imanina.
***
“Alahai,
perut aku ni tengah malam buta macam nilah pun nak minta makan! Tuan kau ni nak
tidurlah. Esok pagi baru kita makan, ya?”
Dengan kelopak mata yang tertutup
kemas, Imanina mengomel sendiri. Namun, isi perutnya bukanlah jenis yang
memahami bahasa manusia. Makin ligat perut gadis itu berkeroncong tanpa belas
kasihan. Serta-merta Imanina menegakkan tubuhnya.
“Hisy, ni semua agenda nak menggemukkan
akulah ni! Aku nak minum air kosong aje tau. Kalau kau berbunyi lagi perut,
siap kau!”
Langkah diatur menuju ke ruang dapur. Rasa
seram sejuk pula bila berada di dalam rumah kampung yang sunyi sepi di tengah
malam itu. Seperti sedia maklum rumah kampung kebiasaannya rumah pusaka nenek
moyang. Rumah pusaka nenek moyang pula selalu dikaitkan dengan saka dan belaan.
Liur yang tersekat di kerongkong terasa sukar untuk ditelan.
Kalau rumah Sara ni betul-betul ada
belaan macam mana? Selalunya orang-orang kampung suka bela hantu raya. Biji
mata diliarkan sejenak ke ruang rumah yang hanya samar-samar diterangi lampu
minyak tanah dari arah luar.
“Sudah!
Apa benda yang aku mengarut ni? Jangan fikir bukan-bukan, Nina. Cepat-cepat
minum air dan masuk bilik.”
Sepantas
kilat Imanina meneguk air kosong yang dituang ke dalam gelas dengan rakus.
Tidak membuang masa walau sesaat pun. Namun, kala itu juga halwa telinganya
menangkap bunyi beberapa suara aneh dari arah luar rumah. Detak jantung sudah
berlari laju. Jari-jemari mula menggeletar rancak. Pertama kali seumur
hidupnya, dia berasa takut dan gentar sebegitu.
“Ah,
sudah! Hantu raya!!!”
Langkah
yang ingin diseribukan mati tak semena-mena. Dalam kepala ligat berfikir
sesuatu.
“Sekejap!
Hantu raya boleh bercakap ke? Hisy, ni bukan hantu raya namanya! Ni kacang
hantu!”
Dengan
lekas Imanina menghampiri tingkap rumah itu. Dibukanya dengan penuh berhati-hati
agar tidak mengeluarkan sebarang bunyi. Bebola mata dengan kadar segera
dililaukan mencari punca suara yang menarik perhatiannya tadi. Serentak itu
pandangannya tertancap ke arah dua orang lelaki yang kelihatan sedang membuka
penutup botol yang diisi dengan minyak tanah.
“Ya
Allah! Ada orang nak bakar rumah sebelah!!!”
Lampu di luar dan dalam rumah
sekaligus dihidupkan. Keadaan yang menjadi terang-benderang secara tiba-tiba
itu serta-merta membantutkan tingkah penyangak yang ingin menyimbah kawasan rumah
Akid dengan minyak tanah. Masing-masing tercengang sekejap.
“Tolong! Ada orang cuba nak bakar
rumah! Tolong!!!”
Imanina menjerit sekuat hati. Ton
suara mendadak naik sehingga mampu menyedarkan isi rumah yang sedang lena
dibuai mimpi. Puan Salmah serta suaminya segera mendapatkan gadis yang tidak
putus asa meronta meminta pertolongan. Begitu juga dengan Safwan. Tercengang
sejenak melihat insiden yang tidak diundang itu.
“Pak cik! Mak cik! Nina nampak ada
orang nak bakar rumah jiran sebelah tadi. Kita kena telefon polis cepat!”
“Sabar, Nina! Sabar. Biar pak cik
keluar tengok apa yang jadi dulu. Wan, kamu ikut abah!” Encik Zakaria memberi
arahan kepada anak lelakinya yang masih bingung di ruang itu.
“Baik, bah. Kita kena bawa kayu
sekali. Senang nak lawan kalau ada apa-apa yang buruk berlaku.”
“Betul juga. Kamu pergi ambil kayu dan
lampu suluh kat dapur tu. Abah buka pintu rumah ni dulu.”
Safwan dengan pantas menurut perintah.
Imanina masih menggigil didakap Puan Salmah. Bahunya diusap lembut oleh ibu
Sara. Tidak dapat bayangkan apa yang berlaku sekiranya dia tidak diberi
keberanian untuk mengintai ke luar rumah tadi.
“Jum! Nina ikut sekali pergi tengok
kat luar.”
“Eh, boleh ke Nina ikut? Tak payahlah.
Pak cik dengan Wan pun dah cukup dah. Lagipun, dah tentu penyangak tu dah lari
bila dengar Nina menjerit tadi.” Celah Puan Salmah pula.
“Boleh, mak cik. Nina okey saja ni.
Tak takut dah.”
“Kalau macam tu, kita keluar semua
sekali.”
Masing-masing menapak perlahan keluar
meninjau ke kawasan rumah yang sunyi di tengah pagi buta itu. Nasib baiklah
lampu di luar rumah mampu menerangi kawasan kejadian. Sebarang kelibat pun
tidak kelihatan dengan mata kasar. Imanina dengan segera menuju ke tempat yang
dia terlihat dua orang lelaki tadi. Kosong. Tiada sesiapa. Dalam kepala ligat
mengingati semula wajah dua orang lelaki yang dilihatnya samar-samar tadi.
“Muka seorang laki tu aku macam pernah
nampak tapi kat mana, ya?”
Rengusan kasar dibebaskan seketika.
Biji mata masih meliar mencari petanda yang boleh dijadikan bahan bukti.
“Patutnya aku terus call polis tadi. Baru dia orang tak
sempat lari. Tapi masalahnya, dia orang sempatlah nak bakar rumah Si Akid tu
nanti. Haih!”
Dalam tidak putus mengomel sendiri,
gadis itu tertunduk memandang keadaan tanah yang kelihatan lembap di kawasan
yang dipijaknya itu. Tubuhnya direndahkan untuk bertinggung.
“Rasanya malam tadi tak hujan tapi
tanah lembap?”
Jari menyentuh sedikit keadaan tanah
yang kelihatan lembap itu lalu dihidu dengan kadar segera. Terbelalak luas mata
gadis itu bila terjumpa sesuatu perkara yang mengukuhkan dakwaannya sebentar
tadi.
“Bau minyak tanah! Pak cik! Mak cik!
Wan! Mari sini cepat!”
Bersambung ~
No comments:
Post a Comment
sepatah komen anda ibarat setitik peluh petani..eh?