Dari
jauh lagi sudah kedengaran suara merdu beberapa orang pemuda yang sedang
mengalunkan ayat Al-Quran di ruang beranda teratak Tok Aziz. Usai menunaikan
solat Isyak berjemaah memang sudah menjadi rutin empat orang pemuda yang
berdarah sepupu itu untuk mengaji Al-Quran dengan bergurukan Tok Aziz.
“Hai, dah lupa ke iqlab kena dengung
bacaannya, Haziq?”
Seperti biasa Tok Aziz terlalu sukar
untuk lalai. Walaupun umurnya sudah mencecah 70-an, namun dia lebih teliti dari
cucu-cucunya sendiri. Dengan hanya mendengar tanpa melihat setiap surah yang
dibaca pun dia sudah tahu di mana yang silap bacaannya. Cukup tinggi ilmu agama
orang tua itu. Sehinggakan semua penduduk kampung melahirkan rasa hormat yang
tinggi kepada Tok Aziz.
Dulang yang berisi lima biji cawan air
kopi o’ panas diletakkan di sebelah Tok Aziz. Yasyira menghulurkan air yang
dibancuhnya tadi kepada abang-abang sepupunya itu lalu kaki disimpuh
bersebelahan dengan Tok Aziz. Sejak dari kecil lagi gadis itu tinggal bersama
datuknya setelah kematian ibu bapanya dalam nahas jalan raya. Sepupu-sepupu
lelakinya itu juga sudah dianggap seperti adik beradik yang paling rapat dalam
hidupnya. Merekalah yang menjadi teman sepermainan sejak kecil dan juga tempat
untuk gadis itu berlindung.
“Errr betul ke yang Syira dengar pasal
Abang Alif tu, Abang Akid?” Yasyira membuka kata sebaik sahaja pemuda-pemuda
itu selesai mengemas naskhah Al-Quran yang telah digunakan tadi.
Tok Aziz sudah mengalih pandang.
Dihalakan tepat ke wajah cucu perempuannya itu. “Kenapa dengan Alif?”
“Syira dengar orang kampung cakap…”
Kata-kata segera mati apabila sikunya
ditolak Haziq. Pemuda itu memberi isyarat mata agar Yasyira tidak menyambung
ayat yang seterusnya. Gadis yang sudah mengerutkan dahinya itu hanya mampu
akur. Tertelan kata-kata.
“Tak ada apalah, tok wan. Biasalah
gosip-gosip liar orang kampung tu suka sangat bercerita.” Sampuk Akid serta-merta.
Adam segera mengerling sepupunya di
sebelah itu. “Kau yakin ke benda ni cuma gosip, Kid? Benda ni bukan main-main
tau. Aku sendiri dengar apa yang Alif bisik kat aku malam tu.”
Lelaki itu separa berbisik ke telinga
Akid Aryan. Dia juga tidak mahu perkara ini sampai ke pengetahuan Tok Aziz tapi
pada masa yang sama dia tidak mahu Akid ambil remeh tentang perkara ini.
“Kalau betul apa yang kau cakap, kita
buat laporan polis.” Balas Akid perlahan dan tenang.
“Errr tapi aku tak ada bukti nak tuduh.”
“Kan? Kita tak ada bukti apa-apapun.
Sebab tu lebih baik kita tak panjangkan hal ni, Adam.”
“Bukan aku nak panjangkan tapi aku nak
kau percaya. Jangan ambil ringan hal ni, Kid. Bahaya. Aku pun susah nak percaya
tapi apa yang Alif buat tu, entahlah. Aku pun tak tahu nak cakap macam mana.”
“Hoi, apa bisik-bisik ni? Mengumpat,
eh?”
Belum sempat Akid membalas kata,
Naufal segera mencelah bila melihat kedua-dua pemuda itu seperti membincangkan
sesuatu yang serius. Akid pantas berdehem kecil apabila semua biji mata di
ruang itu sudah tertumpu ke arah dia dan Adam.
“Taklah. Nak mengumpat siapa pula
malam-malam ni? Hmmm Syira jadi tak nak kerja kat kilang abang tu? Abang dah
suruh staf abang kemas bilik ofis untuk Syira duduk nanti.” Tukar topik. Pandangan
dialih pula ke arah adik sepupunya itu.
“Jadi. Tapi Syira masuk kerja hari
Isnin minggu depan, tau? Esok Syira nak pergi ofis lama. Nak buat clearance dulu.” Balas gadis itu lembut.
Selembut wajahnya yang cantik.
“Oh, boleh! Cuma abang nak ingatkan awal-awallah
kat Syira. Kilang abang tu taklah secantik ofis Syira kat KL. Walaupun bilik
yang abang bagi kat Syira tu tak selesa macam ofis lama Syira, tapi ada air-cond. Syira jangan risau, eh?”
Tak semena-mena gadis itu meledak tawa
sendiri. “Ala, Abang Akid ni! Takut sangat. Macamlah Syira ni lahir-lahir aje
dah duduk kat bandar. Syira bangga tau jadi orang kampung. Kalau tak, buat apa
Syira berhenti kerja kat KL semata-mata nak kerja dengan abang kat kampung ni?”
Kelibat Adam yang sedang meneguk air kopi itu dikerling sekejap.
“Abang tahu kau berhenti kerja sebab
lain, Syira.” Akid tarik sengih jahat tiba – tiba. Misteri.
Yasyira yang sudah tersentak segera
jegilkan biji matanya kepada Akid. Sempat pula dia nak menyakat aku kat sini.
Sekali lagi anak mata gadis itu melirik ke arah Adam yang masih berada di dalam
dunianya sendiri. Hmmm Abang Adam memang tak pernah terdetik ke untuk mempunyai
rasa yang sama macam aku?
“Tok wan, Syira lupa nak bagitahu. Siang
tadi orang syarikat tu telefon rumah kita lagi.”
Tingkah orang tua yang sedang menggulung
rokok daunnya itu serta-merta mati. Haziq yang juga sedang mengurut kaki tok
wannya itu, berhenti sejenak.
“Kamu tak marah dia ke macam yang tok
wan suruh tu?”
“Syira dah marah dah tadi. Tapi kali
ni bukan orang yang samalah, tok wan.”
“Bukan orang yang sama?”
“Haah. Kali ni perempuan pula yang
telefon.” Sambung Yasyira lagi.
“Hmmm lelaki ke perempuan ke semuanya
dari tempat yang sama, kan? Tak faham bahasa melayu agaknya mereka ini.” Rungut
Tok Aziz seraya menyambung semula tingkahnya menggulung rokok daun tadi.
“Orang dari syarikat mana, Syira? Dia
orang nak apa?” celah Naufal pula.
Empat orang cucu lelaki Tok Aziz itu
masih tekun memasang telinga. Perasaan ingin tahu mula menyimbah ke sanubari.
“Macam ni cerita dia, Abang Naufal.
Sebenarnya, ada orang nak beli…”
Sekali lagi ayat gadis itu mati bila
disiku Tok Aziz pula. Yasyira terperanjat kecil. Dengan kadar segera dia mengalih
pandang ke arah tok wannya. Dah kenapa semua orang nak menyiku aku malam ni?
“Tak ada apa. Biasalah gosip-gosip liar
orang syarikat mana entah.” Orang tua itu memulangkan paku buah keras.
Serentak cucu-cucunya menghambur tawa
besar. Sesekali terkena dengan Tok Aziz memang mencuit hati masing-masing.
Kendatipun orang tua itu terkenal dengan sikapnya yang tegas dan garang, namun
masih pandai berjenaka dan bergurau-senda.
***
“Sara,
kau memang kena tolong aku juga sekarang ni. Aku dah tak ada sesiapa lagi yang
aku boleh minta tolong selain kau.” Suara Imanina kedengaran resah di hujung
talian.
“Tengah-tengah malam kau call aku ni, nak minta tolong apa? Emergency sangat ke, Nina?”
Sara
menggosok lembut kelopak matanya. Bunyi deringan telefon bimbitnya di tengah
malam itu betul-betul menganggu lenanya yang sedang dibuai mimpi. Namun, kawan
punya pasal dia gigih juga menjawab panggilan.
Tengah
malam? Imanina kerling sejenak jam di dinding bilik tidurnya yang sudah
berginjak ke angka 1 pagi itu. Lantas gadis itu menepuk dahi sendiri. Aku ni
dah gila ke call isteri orang pagi-pagi
buta ni? Haih!
“Sorry, Sara. Aku ganggu kau ke malam-malam
ni?”
“Haah.
Memang kau ganggu aku sekarang ni. Apa kata esok pagi baru call aku balik? Aku nak sambung tidurlah, Nina. Okey, bye.”
“Saraaa!
Tunggu! Jangan off lagi!” Sepantas
kilat Imanina menghalang teman baiknya itu dari memutuskan panggilan.
“Ya
Allah, kau ni dah kenapa?! Cair tahi telinga aku dengar kau menjerit. Ha, ada
apa? Cakap cepat. Aku mengantuk ni. Aku bukan burung hantu macam kau.” Sempat
Sara menghadiahkan sebuah bebelan dalam keadaan separuh sedar itu. Tapak tangan
ditekupkan ke mulut untuk menguap.
“Esok
pagi kau bagitahu mak kau yang aku nak tumpang tinggal kat rumah kau selama sebulan
tau. Maybe petang esok aku sampai
kampung kau tu. Nanti aku bayarlah sewa tumpang duduk kat rumah kau. Okey, kau
boleh pergi sambung tidur!” Tanpa membuang masa Imanina melontarkan hajat hatinya.
Biji
mata Sara yang sedari tadi kuyu serta-merta celik dan jelas. Rasa tidak percaya
dengan apa yang baru sahaja dia dengar tadi.
“Aku
ada salah dengar ke apa ni, Nina?”
“Betullah.
Kan hari tu aku suruh kau bayar budi aku sebab tolong jadi pengapit terjun kau
tu? So, kira kau dah tolong aku
baliklah sebab bagi aku tumpang tinggal sebulan kat rumah kau tu.” Sambung
gadis itu lagi. Selamba.
“Wait! Tak ada angin tak ada ribut kau
nak duduk kat rumah aku ni dah kenapa? Sebulan pula tu. Aku dengan suami aku
dah nak balik KLlah lusa ni. Cuma ada mak, ayah dan adik aku aje kat rumah ni
nanti.”
“Aku
tahu. Tapi aku terpaksa, Sara. Aku ada kerja nak settlekan kat kampung kau tu. Dalam masa sebulan saja bos aku bagi
masa. Kalau tak, aku bungkus. Sebab tu aku nak tumpang tinggal kat rumah kau
dalam masa sebulan ni.”
“Macam
urgent aje bunyinya tu. Aku dan family aku tu tak ada hal pun kalau kau
nak tumpang duduk kat sini tapi kau tu okey ke? Boleh ke tahan hidup di kampung
ni? Sebulan tu bukan masa yang pendek, Puteri Imanina.”
Sara
ketawa kecil. Sengaja ingin menakutkan temannya yang sedia maklum tidak sesuai
akan persekitaran di kawasan yang digelar kampung itu.
Sebuah
keluhan dibebaskan segera. “Okey ke tak okey, aku kena okey, Sara. Aku kena
anggap sebulan tu macam sehari. Sehari tu macam seminit. Seminit tu macam
sesaat. Sesaat tu macam… Argh! Hakikatnya, sebulan tu macam sepuluh tahun,
Sara! Tolonglah aku. Aku stres ni.”
Makin
ligat Sara ketawa dibuatnya. “Itulah kau hari tu bukan main lagi, kononnya kali
terakhir pijak kampung aku ni. Tup tup kena duduk sebulan terus kat sini.
Dahsyat tu, Nina!”
“Kau
janganlah tambah stres aku ni lagi, Sara. Cuba cerita benda yang positif pasal
kampung kau tu. Sejuk sikit hati aku ni mendengarnya.”
“Ala,
tak payah nak positif sangat! Esok kau datanglah sini bawa pakaian kau. Pagi
esok aku bagitahu kat mak aku pasal kau. Kita orang bentang karpet merah untuk
Tuan Puteri Imanina binti Iskandar Syah yang nak datang nanti.” Tukas Sara lagi
dengan tawa yang masih berbaki.
Imanina
hanya mampu merengus kasar sekali lagi bila diperli teman baiknya itu. Seperti
biasa, apa yang dia nak semestinya dia takkan dapat. Buat kesekian kalinya, dia
perlu redha dan pasrah.
“Yalah.
Jangan lupa sediakan makanan sedap-sedap sekali kat rumah kau tu. Aku nak bilik
yang ada air-cond tau. Kalau boleh,
bilik tu ada tv dan astro sekali.” Sempat gadis itu berseloroh.
“Amboi,
banyak cantik muka kau!”
***
“Tak
tidur lagi ke, Kid? Dah lewat malam dah ni. Sudah-sudahlah tu buat kerjanya.”
Muncul
kelibat Puan Aniza di muka pintu bilik tidur pemuda itu dengan tiba-tiba. Akid
mengurut lembut dadanya sejenak. Terperanjat dibuatnya dengan kehadiran ibunya
ditengah malam itu.
“Ibu
ni! Lain kali bagilah salam dulu. Terkejut Akid. Tengah-tengah malam buta
datang tegur Akid. Lemah semangat, tau?”
“Orang
yang bergiat dalam seni silat ni mana boleh lemah semangat, Kid.”
Sempat
wanita itu berpesan sebelum bingkas ke dapur. Hajatnya tadi untuk menghilangkan
dahaga disebabkan tersedar dari tidur di tengah malam itu.
Pemuda
itu hanya membalas dengan sengih kecil. Jam yang melekap di dinding dikerling
sejenak. Memang dah lewat sungguh pun! Lantas Akid menutup buku akaun keluar
masuk produknya lalu disusun kemas di atas meja.
“Bila
Syira dah ambil alih kerja akauntan kat kilang tu, mudah-mudahan ringanlah
sedikit kerja aku ni. Kalau tak, setiap malam kena jadi burung hantu untuk
semak akaun keluar masuk produk.”
Tubuh
dibaringkan dengan selesa di atas katil. Mata masih belum kenal erti mengantuk.
Dikalih pula tubuhnya mengiring ke kanan. Juga tidak mahu lena. Ke kiri pula
dia mencuba nasib. Tetap sama. Akhirnya, sekali lagi Akid menghadap syiling
bilik tidurnya itu.
“Dah betul-betul nak jadi burung hantu
ke apa aku ni?”
Dalam pada dia cuba mendapatkan mud tidurnya
itu, tak semena-mena halwa telinga menangkap bunyi seperti ranting kayu yang
dipijak dari arah luar tingkap. Biji mata terus tercelik luas. Hati mula rasa
kurang sedap. Pukul 2 pagi dengar orang terpijak ranting kayu di luar rumah?!
Sepantas kilat, Akid menerjah tingkap
bilik tidurnya itu. Diperhati sekeliling rumah yang berwarna hitam kelam. Angin
sejuk malam sudahpun menusuk ke dalam tulang hitam. Sunyi. Sebarang kelibat pun
dia tidak nampak di dalam keadaan gelap itu. Pelik!
Kalau makhluk halus, tak apa. Dia boleh
berbicara. Sebelum dia aktif dalam seni silat dulu pun, dia sudah dibekalkan
dengan ilmu menghalau makhluk halus. Begitu juga dengan pesilat-pesilat yang
lain. Tapi kalau manusia, sangat bahaya. Mungkin ada penjahat yang ingin memecah
masuk rumah untuk mencuri. Lagipun, sejak kebelakangan ni sudah tiga buah rumah
telah dipecah masuk di kampung itu.
“Siapa kat luar tu?!”
Garang pemuda itu bersuara ingin
menakutkan makhluk yang berada di situ. Namun, tiada balasan. Masih sunyi
seperti tadi.
“Aku dengar bunyi tapak kaki kau tadi.
Tak payah menyorok!”
Keadaan masih sama. Diam. Jantung mula
berdetak laju.
“Kalau kau bukan manusia, kau pergi
dari sini! Jangan kacau rumah aku. Tapi kalau manusia, siaplah kau bila aku dapat
kau nanti!”
Lantas daun tingkap ditutup semula.
Dikunci rapat. Tubuh dihempas semula ke dada katil. Baru sekarang biji mata terasa
ingin layu.
“Hmmm mungkin aku yang salah dengar
kut.”
Bersambung ~
No comments:
Post a Comment
sepatah komen anda ibarat setitik peluh petani..eh?