Followers

Wednesday, 19 September 2018

Jangan Bunuh Hatiku ~ 9





“Kamu pernah sakitkan hati sesiapa ke, Akid?”
          Soalan pertama yang terbit dari bibir Tok Aziz setelah cucu-cucunya mengemas Alquran yang telah digunakan untuk mengaji selepas solat Isyak berjemaah tadi. Maknanya orang tua itu sudah sedia maklum akan kejadian tengah malam semalam walaupun belum dengar dari mulut Akid Aryan sendiri.
          “Akid pun tak tahu, tok wan. Pertama kali berlaku perkara macam ni. Itupun nasib baik ada orang menjerit minta tolong. Kalau tidak, Akid dan ibu dah hangus dah dalam rumah tu agaknya.” Rendah nada pemuda itu meluah rasa.
          “Bukan pertama kali tapi kali kedua dah.” Tokok Tok Aziz lagi.
          “Kali kedua?”
          “Jangan ingat tok wan tak tahu apa yang berlaku waktu kamu semua buat persembahan silat kat rumah orang kahwin dulu.”
          Bebola mata Akid serta-merta melirik ke arah Adam. Adam tayang isyarat ‘peace’. Sudah terang lagi bersuluh, segala info yang Tok Aziz tahu adalah dari sepupunya sendiri. Hisy, dia ni! Kuat betul mengadu dengan tok wan.
          “Tapi kita tak ada bukti nak tuduh sesiapa, tok wan. Saksi yang menjerit minta tolong malam tu pun cakap dia hanya nampak samar-samar muka penyangak tu.”
          Keluhan berat dari lelaki yang sudah dimamah usia itu menyapa setiap hawa telinga yang berada di beranda itu.
          “Tok wan bersyukur dan berterima kasih sangat sebab ada jiran yang boleh tolong kamu tengah malam semalam. Bila-bila masa ada rezeki nanti, bawa orang yang tolong kamu tu datang jumpa tok wan. Tok wan nak berterima kasih sangat dengan dia. Kalau tak disebabkan dia, tak tahulah apa yang jadi malam semalam.”
          “Sebenarnya, saksi yang tolong Akid malam semalam adalah orang yang sama menjerit minta tolong kat majlis kahwin Sara hari tu, tok wan.” Celah Adam tak semena-mena.
          Masing-masing kelihatan terkejut. Akid hanya bersahaja. Dia lebih sedia maklum akan perempuan yang telah menolong dia secara tidak sengaja itu.
          “Serius? Patutlah bila kita jumpa perempuan tu pagi tadi, aku rasa macam pernah tengok muka dia sebelum ni.” Sampuk Haziq pula. Naufal juga mengangguk laju tanda menyokong.
          “Haah. Aku cam muka perempuan tu. Perempuan yang sama menjerit minta tolong kat majlis kahwin Sara hari tu. Eh, tapi dia duduk kat rumah Sara ke sekarang ni, Kid?”
          Anak mata Adam dihalakan ke wajah Akid pula.
          “Yalah kut. Aku bukannya kenal dia. Kau janganlah tanya aku.” Balas Akid ada tidak.
          “Habis tu dah rumah Sara dengan rumah kau sebelah menyebelah. Sebab tu aku tanya kau.”
          “Daripada kau tanya aku, baik kau tanya Syira. Aku syak Syira dengan perempuan tu macam dah kenal lama.”
          “Syira tak kenallah perempuan tu! Jangan pandai-pandai nak tanya Syira pula!”
          Belum sempat soalan diaju, kedengaran suara Yasyira dilantun kasar dari arah ruang tamu.
          “Sudah! Jangan bergaduh. Syira, nanti bawa kawan kamu tu jumpa tok wan.” Tok Aziz mencelah.
          “Kawan? Kawan mana, tok wan?”
          “Perempuan yang tolong Abang Akid kamu tulah.”
          “Tok wan! Dia bukan kawan Syiralah. Hisy!” Protes gadis itu manja.
          Masing-masing hanya tayang sengih melihat gelagat adik sepupu mereka itu.
***
“Baru balik latihan silat ke, Wan?” Tegur Imanina dengan biji matanya yang masih menghala ke arah novel bahasa inggeris di tapak tangan.
          “Taklah. Wan dari rumah kawan ni. Ada study group tadi. Malam ni tak ada latihan silat.” Safwan membalas ramah seraya mengunci tayar basikalnya di dalam garaj rumah.
          Pandangan bertukar alih ke arah budak lelaki itu. Oh, patutlah dia tak pakai baju silat malam ni!
          “Kak Nina tak sejuk ke malam-malam macam ni duduk kat beranda? Tak banyak nyamuk ke?” soal budak lelaki itu pula dengan mimik hairan.
          “Tak. Kak Nina nak ambil angin malam sekejap kat luar ni. Nanti Kak Nina masuklah dalam.”
          “Okey. Kalau macam tu, Wan masuk dululah.”
          Gadis itu hanya mengangguk kecil lalu menghalakan semula biji matanya ke helaian kertas yang dibacanya tadi. Selang beberapa minit, kedengaran suara seorang perempuan muda dari arah rumah jiran sebelah. Tanpa membuang masa, Imanina memasang telinga dan mata cuba mengintai gerangan yang datang bertandang ke rumah jiran sebelah pada waktu malam begitu.
          “Sya balik dululah ya, mak cik. Jaga diri baik-baik tau. Nanti Abang Akid balik, cakap Sya kirim salam, ya?” Dengan penuh sopan, Tasya menyalami tangan Puan Aniza.
          “Yalah. Kamu pun hati-hati balik rumah tu. Dah nak lewat malam dah ni. Kirim salam kat mak Sya, ya?”
          “Baik, mak cik. Kuih pulut panggang yang Sya bagi tadi tu, mak cik jangan lupa suruh Abang Akid makan tau. Kena makan malam ni juga. Kalau simpan esok, tak sedap dah nanti.”
          “Ya, nanti mak cik suruh Akid makan. Janganlah risau. Sudah, pergi balik rumah cepat. Nanti dah lewat malam, bahaya.”
          “Ala, kalau dah lewat malam pun Abang Akid balik rumah karang dia boleh temankan Sya balik. Apa kata Sya tunggu Abang Akid balik dari rumah Tok Aziz dulu? Ha, kenapalah Sya tak fikir idea ni tadi kan?” gadis itu meleret sengih lebar.
          “Isy, budak ni! Baik kamu balik rumah sekarang. Tak elok anak dara keluar rumah malam-malam macam ni. Nanti mak kamu marah mak cik dan Akid pula. Sudah, pergi balik cepat!”
          Suara Puan Aniza yang sedikit tinggi segera mematikan sengihan Tasya. Gadis itu tayang cebik sebelum bersalam semula dengan wanita itu.
          “Yalah. Sya balik rumah sekarang.”
          Dalam tidak sedar, Imanina sudah mengekek tawa sendiri. Geli hati pula rasa bila perempuan yang tidak dikenalinya itu dihalau balik dengan ibu Akid Aryan. Tapi tak adalah seteruk dia yang kena halau balik dari Tok Aziz siang tadi. Haih.
          “Abang Akid? Perempuan tu pun adik sepupu Akid Aryan juga ke? Pagi tadi Si Yasyira tu pun panggil abang juga. Seingat aku, Sara bagitahu yang lelaki tu cuma ada seorang sepupu perempuan saja. Kalau Yasyira tu adik sepupu Akid, yang perempuan tadi tu siapa pula?”
          “Nina buat apa kat luar tu malam-malam?”
          Laungan Puan Aniza dari rumahnya serta-merta membunuh lamunan Imanina. Sepantas kilat, gadis itu menghadiahkan sebuah senyuman untuk ibu Akid.
          “Nina sapu sampah kat luar ni tadi, mak cik.”
          “Sapu sampah apa malam-malam ni?”
          “Haah. Banyak sangat sampah tadi. Nina masuk dalam dulu, ya?”
          Belakang gadis yang sudahpun berlalu dari beranda itu diperhati seketika. Pelik.
          “Tak nampak pun dia pegang penyapu tadi.”
***
“Kau tak bagitahu aku pun yang musuh tradisi aku tu duduk kat kampung kau kan, Sara?”
          Tanpa sebarang salam dan mukadimah, Imanina melontar suara sebaik sahaja menerima panggilan telefon dari teman baiknya itu.
          “Musuh kau? Siapa? Nadya ke?”
          “Bukanlah. Yasyira. Musuh aku kat universiti dulu. Takkan kau tak ingat?”
          “La, Syira ke? Eh, aku pernah bagitahu kaulah kat universiti dulu yang Syira tu satu kampung dengan aku. Kau yang tak ingat, nak salahkan aku pula.”
          “Kau pernah bagitahu ke? Kenapa aku tak ingat langsung, eh?” Imanina cuba mengingati semula kisah lama yang sudah kosong dalam kotak fikirannya itu.
          “Ala, kau ni pun. Cerita dah lamalah. Sudah-sudahlah tu. Nak ingat lagi buat apa?”
          “Aku bukannya nak ingat cerita lama tapi macam kebetulan sangatlah Si Yasyira tu sepupu dengan jiran sebelah rumah kau ni.”
          “Biarlah dia sepupu siapapun. Itu hal keluarga dia orang. Ni aku nak tanya kau, betul ke kau nampak rumah Akid hampir kena bakar? Mak aku yang telefon aku petang tadi bagitahu pasal ni.” Sara terus ke agenda utama.
          “Betul, Sara. Sayang betul aku tak dapat tengok jelas muka penyangak-penyangak tu. Kalau tidak, mesti dah lama kena sumbat lokap kacang hantu tu.”
          “Kau kena hati-hati juga, Nina. Penyangak tu masih belum diberkas. Aku takut dia orang nak balas dendam pula.” Nada Sara berubah cuaca tiba-tiba. Resah dan gelisah.
          “Hisy, kau ni janganlah buat aku takut! Lagipun, penyangak tu bukannya kenal aku ni siapa. Dia orang tak nampak aku pun waktu aku jerit malam tu. Aku saja yang nampak dia orang buat kerja jahat tu.”
          “Dia orang memang tak nampak kau tapi dia tahu kat mana kau tinggal sekarang. Hati-hati, Nina. Kalau boleh, aku nasihatkan kau baliklah KL dulu buat sementara waktu ni. Biar sampai polis berkas penyangak-penyangak tu, baru kau datang kampung aku semula.”
          “Ha, eloklah lepas tu aku pun kena pecat terus dengan bos aku, kan?”
          “Kau ni memang degil kan, Nina? Aku dah cakap yang Tok Aziz tu takkan jual tanah pusaka dia. Lebih baik kau balik KL dan bagitahu bos kau suruh cari tanah lain. Banyak lagi potential site kat dalam Malaysia ni, kan? Buat apa menagih tanah pusaka yang owner dia tak nak jual?”
          “Sara… Kalau kau call aku ni semata-mata nak cari gaduh, lebih baik kau pergi tidur. Dah lewat malam dah ni. Aku pun nak tidur dah. Good night. Sweet dream.
          Talian terus diputuskan tanpa mendengar sebarang balasan. Rengusan kasar dibebaskan sejenak. Tubuh juga sudahpun dibaringkan dengan selesa di dada katil. Bebola mata sengaja dilirikkan ke arah fail proposal projek yang diletakkan di atas meja.
          “Perlu ke aku quit semua ni dan balik KL? Bukannya aku kebulur pun kalau kena pecat dengan Megat Qariz tu. Hmmm fikir, Nina. Fikir!”

Bersambung ~



No comments:

Post a Comment

sepatah komen anda ibarat setitik peluh petani..eh?