Buat
kesekian kalinya sebuah keluhan berat dibebaskan. Siapa sangka empat biji tayar
kereta Puteri Imanina mendarat lagi di kampung keramat itu. Perlahan-lahan
gadis itu menyusur di atas jalan raya memerhati kawasan sekeliling. Kala itu,
anak matanya tertancap ke arah sebuah rumah kampung yang bermaterialkan kayu
dan batu.
Rumah
kampung tradisional yang memiliki reka bentuk yang cantik dan unik itu acapkali
memukau mata sesiapa sahaja yang melalui kawasan itu. Terkesima sejenak Imanina
dibuatnya. Bila diperhatikan dengan lebih jelas terhadap material kayu yang digunakan,
sudah tahu anggaran harga bahan pembinaan untuk rumah tradisional kontemporari
itu.
“Cantik!”
getus gadis itu sendiri.
Biji
mata melirik pula ke arah nombor rumah yang tertera di tepi pagar. Serta-merta
Imanina menekan pedal brek kereta. Fail projek yang menjadi tujuan utama dia
berada di kampung itu pantas disambar.
“Hmmm
so, inilah rumah tuan tanah yang
keras hati sangat tak nak jual tanah dia tu. Abdul Aziz bin Sulaiman…”
Nama
penuh tuan tanah yang tertera di atas geran itu dibaca satu-persatu.
“Kalau
tengok pada nombor kad pengenalan Abdul Aziz ni rasanya dah boleh panggil
datuk. Tapi tak kisahlah siapapun dia asalkan aku cepat-cepat siapkan kerja kat
kampung ni sebelum ada orang kampung yang perasan akan kewujudan aku kat sini.
Terutama sekali kumpulan silat…”
Belum sempat ayat dinoktah, kelihatan
seorang lelaki memberhentikan keretanya betul-betul bersebelahan dengan kereta
gadis itu. Dari dalam kereta, berkerut dahi Imanina menoleh ke arah pemilik
kereta yang sudahpun menurunkan cermin tingkapnya itu.
“Oh, crap!”
Sepantas kilat Imanina menekan pedal
minyak keretanya semula meninggalkan kawasan rumah itu. Jantung yang seperti
ingin gugur tadi kembali tenang. Bagai nak terkeluar biji matanya tadi bila
melihat gerangan lelaki yang memberhentikan kereta di sebelah keretanya tadi.
“Fuh, nasib baik aku pakai cermin mata
hitam! Harap-haraplah lelaki tu tak cam aku. Tak boleh jadi ni! Aku kena lebih
hati-hati.”
Imanina segera memuntahkan isi tote bagnya di atas kerusi di sebelah
pemandu. Pedal minyak dilajukan menuju ke rumah keluarga Sara. Perkara pertama
yang harus dibuatnya dulu adalah check-in
di tempat penginapan. Lagi banyak tempat dia singgah nanti, lagi ramai orang
yang dia jumpa.
“Fokus, Nina!”
***
“Assalamualaikum,
tok wan!”
Adam meluru masuk ke dalam rumah yang
sudahpun terbuka pintunya itu. Kelibat Tok Aziz tidak kelihatan di ruang tamu. Dia
meneruskan misi pencarian tok wannya di kawasan dapur pula. Tatkala terlihat
orang tua itu sedang memberi makan kepada ayam belaan di belakang rumah, lelaki
itu pantas menghela nafas lega. Risau tak semena-mena dibuatnya tadi.
“Kenapa tok wan duduk kat belakang
rumah tapi biarkan pintu depan tu terbuka?” tegur Adam seraya melabuhkan
punggungnya di atas kerusi sambil melihat ayam-ayam di belakang rumah itu
menikmati makanan masing-masing.
“Hai, selama ni bukan ke tok wan buka
pintu depan tu nak bagi angin masuk dalam rumah? Kenapa baru hari ni kamu nak
tegur?” Berkerut kecil dahi yang agak kendur itu memandang ke arah cucunya.
“Bahayalah, tok wan. Biarkan pintu
depan terbuka macam tu tapi tok wan duduk kat belakang rumah. Syira pun tak ada
dalam rumah, kan? Kalau ada pencuri masuk, macam mana?”
“Hisy, mana ada pencuri siang-siang ni
Adam oi!”
“Tok wan ingat pencuri tu kira sangat
ke malam ke siang? Tadi waktu balik kerja lalu depan rumah tok wan ni, Adam ada
nampak satu kereta ni berhenti depan rumah tok wan. Dia tengok lama rumah tok
wan tadi. Entah-entah ada niat yang tak baik. Tu yang Adam terus singgah rumah
cari tok wan ni.”
Tingkah Tok Aziz yang masih memberi
makan ayam-ayamnya itu mati sekejap.
“Dia tengok saja? Tak keluar dari
kereta?” soal orang tua itu pula. Tumpang pelik.
“Haah. Adam berhenti tepi kereta dia
dan turunkan cermin. Lepas dia tengok Adam, dia terus jalan. Pelik.” Sambung
pemuda itu lagi.
“Agaknya dia nak cari rumah orang
kut?”
“Cari rumah orang apanya, tok wan.
Tapi kan tok wan, Adam macam pernah tengoklah muka orang tu sebelum ni. Rasa
macam pernah jumpa tapi kat mana, ya?” Biji mata dilempar semula ke arah ayam-ayam
yang sedang menjamu selera itu. Cuba mengingati sesuatu.
“Lelaki ke perempuan orang tu?” Soalan
diaju lagi.
“Perempuan tapi dia pakai cermin mata
hitam. Itu yang Adam tak berapa perasan sangat muka dia.”
“Hmmm dia nak cari rumah oranglah tu.
Sudahlah tu, Adam. Jangan difikirkan sangat. Ni dah solat Asar ke belum?”
“Errr belum, tok wan.”
“Pergi ambil wudhuk, solat dulu kat
sini. Lepas tu, baru balik rumah kamu.”
“Baik, bos!”
***
“Eh,
kau cakap budak kau yang nak datang hantar ikan pekasam ni kat rumah aku?” Sara
menghulurkan wang secukupnya kepada Akid.
“Aku on the way nak balik rumah tadi, aku terus singgahlah rumah kau ni.
Lagipun, rumah kita kan berjiran aje. Tak payah nak susahkan staf aku tu.”
Pemuda itu membalas ramah seraya bersalaman dengan suami Sara, Hakimi.
“Alahai, untunglah staf-staf kau dapat
bos baik macam ni!”
Akid hanya pasang sengih sejenak.
“Eh, jemputlah makan pisang goreng
ni!” Pelawa Hakimi lembut.
“Errr tak apalah, Kimi. Aku pun dah
nak balik dah ni…”
“Kalau ya pun dah nak balik rumah,
takkanlah tak sudi jamah pisang goreng tu. Sedap tau! Mak aku yang buat tu.”
“Yalah. Sebabkan aku tahu mak kau
masak sedap, aku jamahlah sikit.” Seketul pisang goreng segera dicapai.
“Sayang, pergi ambilkan cawan nak
tuangkan air untuk Akid ni.”
Sara akur dengan arahan suaminya.
“Tunggu sekejap, ya?”
“Eh, kau orang ni tak payahlah susah-susah.
Aku nak balik dah ni.”
“Ala, tunggulah sekejap! Bukannya kau
selalu bertandang ke rumah aku ni pun.”
“Assalamualaikum! Sara! Oh, Sara! Aku dah
sampai ni.”
Langkah Sara untuk ke dapur serta-merta
mati. Dari segi alunan suara, memang dia kenal sangat dengan suara yang baru
sahaja selesai memberi salam di muka pintu rumahnya itu. Semua mata yang berada
di ruang itu turut menghala tepat ke arah gerangan yang datang bertandang
secara tiba-tiba itu.
Berkerut seribu dahi Sara melihat perempuan
yang sedang tercegat persis patung cendana memandang ke arah mereka.
Tercengang. Sepantas kilat Sara menghampiri Puteri Imanina yang masih dengan
selambanya itu.
“Nina! Apa benda yang kau pakai ni?!
Kau datang dari mana ni, Nina?” Lengan gadis itu dicubit kecil.
Terkejut besar Sara dibuatnya bila
melihat teman baiknya itu lengkap berkaca mata hitam, bertopi dan bertopeng
mulut tercegat di muka pintu itu. Akid dan Hakimi masih lagi melongo ke arah
perempuan-perempuan yang sedang separa berbisik itu.
“Aku datang dari KLlah. Takkan dari oversea pulak.” Imanina cebik bibir.
“Aku tahulah dari KL. Yang kau pakai mask hospital ni dah kenapa? Nak kata
jerebu pun bukan. Siap bertopi segala. Dah buang tabiat?”
“Hisy, tak baik cakap aku macam tu
tau! Semua ni aku pakai untuk keselamatan. Aku kena hati-hati kat kampung kau ni.
Aku tak nak orang kampung ni cam muka aku nanti.”
“Mengarut betullah kau ni, Nina! Kau
ingat orang kampung aku ni tak ada kerja lain ke nak buat semata-mata nak tilik
muka kau tu? Sudah! Sudah! Buka semua benda alah yang kau pakai ni. Rimas aku tengok.”
“Yalah. Aku nak bukalah ni. Dalam
rumah kau, barulah selamat. Tak ada orang luar yang kenal aku…”
Tingkah mati tanpa diduga.
“Sara, aku balik dulu…”
Terbeliak biji mata Imanina memandang
wajah Akid yang juga sudah kematian kata itu. Masing-masing berpandangan sejenak
tanpa sebarang bicara. Sara dan Hakimi turut sama mendiamkan diri cuba mengerti
insiden senyap yang tiba-tiba berlaku di rumah mereka itu.
Kenapalah perkara ni mesti terjadi kat
aku? Betapa aku bersusah-payah menyorok muka dari orang kampung, alih-alih boleh
terjumpa ketua kumpulan silat ni depan mata?! Mohon terjun laut, Nina!
Kali kedua Akid Aryan memandang gadis
itu atas bawah. Mustahil dia lupa akan insiden tempoh hari yang membuatkan
semua orang fikir dia hampir dibunuh. Tapi kenapa perempuan ni muncul lagi di depan
matanya sekarang?
***
“Nah,
nasi goreng untuk kau! Lauk lain semua dah habis. Kenapa kau tak turun makan
tadi?”
Sara melabuhkan punggung berhadapan
dengan temannya di ruang makan rumahnya itu. Usai mengaminkan doa makan,
Imanina menjamah makanan yang disediakan khas buatnya itu dengan lahap. Memang
lapar benar! Rasa nak pecah perut asyik berbunyi saja sejak petang tadi.
“Lepas mandi tadi, aku kemas barang-barang
aku sekejap kat dalam bilik. Bila aku nak turun makan, tengok kau orang semua
dah kenyang. Nasi goreng pun nasi gorenglah. Janji rock!” Penuh mulut gadis itu bercakap sambil mengunyah makanan.
“Nasib baiklah aku ni rajin nak
masakkan kau nasi goreng ni. Hmmm sebenarnya kerja apa yang kau kena buat kat
kampung aku ni, Nina? Hairan pula aku bila difikirkan balik. Company kau ada buat projek apa-apa ke
kat kampung ni?” Sara memulakan bicara.
“Sebenarnya, ni bukan kerja aku. Tapi
bos aku tu yang nak kenakan aku. Dia dah tahu aku reject nak handle projek
ni awal-awal, terus dia bagi arahan suruh aku juga yang handle.” Suapan nasi goreng masih diteruskan.
“Eh, bukan dia sukakan kau ke? Kenapa
pula dia nak kenakan kau?”
“Sebab dia sukakan akulah tu yang jadi
macam ni. Dia nak balas dendam kat aku sebab aku tak nak terima cinta dia. Ada ke patut? Tak waras punya lelaki!”
Air muka Sara yang sedari tadi serius
lantas tergelak kecil. “Ala, kau terima ajelah cinta bos kau tu! Lepas kahwin,
tak payah susah-susah nak kerja. Duduk rumah goyang kaki dapat suami kaya.
Untung kau, Nina!”
“Eh, kau ni nak menambahkan bara lagi
ke apa dalam hati aku ni?!”
“Okey! Okey! Aku gurau aje, okey? So, projek apa yang kau kena handle? Wait, apa ni lawyer kena handle projek?! Macam dah lari skop aje
apa yang bos kau arahkan ni.”
“Dia kan bos? Who cares dia nak bagi arahan apapun untuk staf dia! Lagipun, aku
bukan kena handle construction projek
tu. Aku cuma kena deal dengan client. Kena pujuk owner tanah tu untuk setuju jual tanah dia. Memang tugas aku pun
selama ni.”
“Hmmm kau tahu ajelah perangai orang
kampung ni, jangan haraplah dia orang nak jual tanah pusaka dia orang tu. Mati
hidup balik pun takkan mungkin! Tak ada tanah lain ke yang bos kau nak buat
projek? Kenapa mesti tanah kat kampung aku ni juga?”
“Aku pun berharap bos aku tu propose nak beli tanah kat tempat lain.
Kenapa mesti tanah di kampung kau juga?”
Keluhan kecil dibebaskan seketika.
Soalan berbalas soalan.
“Tak apalah. Siapa client kau tu? Aku kenal ke?”
“Abdul Aziz bin Sulaiman. Rasanya owner rumah kampung yang cantik kat
simpang jalan sana tu. Kau kenal?”
Tersentak besar Sara dua saat. Bulat
biji mata memandang tepat wajah temannya itu.
“Abdul Aziz bin Sulaiman? Kau nak
pujuk Tok Aziz tu jual tanah pusaka dia, Nina?!”
“Oh, orang kampung panggil dia Tok
Aziz ke? Haah. Kau kenal eh dengan Tok Aziz tu? Senanglah kerja aku kalau macam
ni.” Gadis itu meleret sengih. Sinar harapan untuk berjaya kian terpancar.
“Aku nasihatkan lebih baik kau lupakan
saja hasrat kau tu, Nina. Kau belum kenal Tok Aziz tu siapa. Silap hari bulan
kau boleh kena halau dari kampung ni nanti.” Serius nada itu.
“Kenapa, Sara? Tok Aziz tu ada kuasa
besar ke kat kampung ni?”
“Bukan setakat kuasa tapi pengaruh Tok
Aziz tu sangat besar dalam kampung ni. Keluarga Tok Aziz tu boleh dikatakan
keluarga yang berada di sini. Semua orang kampung hormat tinggi kat orang tua
tu.”
Dengan penuh perasaan Sara bercerita. Sengaja
ingin menambah suasana takut ke dalam benak temannya itu. Imanina terdiam untuk
beberapa saat.
“Tapi kalau aku tak cuba pujuk dia,
mana nak tahu keputusannya lagi. Tiba-tiba terbuka hati dia untuk jual tanah tu
nanti, siapa tahu kan?”
“Kau jangan beranganlah hati orang tu
nak terbuka walaupun sebesar kuman, Nina. Lagipun, macam mana kau nak bersemuka
dengan Tok Aziz tu sendiri sedangkan dengan pewaris dia pun kau menyorok
sakan?”
“Pewaris?” Gadis itu berkerut sedikit.
“Haah. Tok Aziz tu ada lima orang
cucu. Empat lelaki dan seorang perempuan.”
“So?”
“For
your information, empat orang cucu lelaki Tok Aziz tu adalah ahli kumpulan
silat yang menjadi penyebab kau bertopeng datang rumah aku petang tadi.”
Sebuah kejutan besar yang tidak dapat
dipercayai dengan lima pancaindera. Puteri Imanina hanya mampu terpempan di
situ.
“Maksud kau lelaki yang ada kat rumah
kau waktu aku datang tadi tu…”
“Yup!
Akid Aryan nama dia. Salah seorang cucu lelaki kepada Tok Aziz. Dan kau akan
jumpa lagi tiga orang sepupu dia. Semuanya handsome
dan tampan. Selamat menjamu mata sementara kau masih duduk kat kampung aku ni.”
Sara ketawa nakal tak semena – mena.
Imanina masih membatu di situ.
Sedikitpun tidak terkesan dengan bicara temannya sebentar tadi. Apa yang pasti,
dia ingin menyumpah di dalam hati. Kenapalah dunia ni kecil sangat? Dah tak ada
orang lain ke nak jadi cucu orang tua tu? Kenapa mesti ahli kumpulan silat yang
aku buat kacau hari tu? Kenapa?! Tolonglah sesiapa jawab soalan aku ni!
Hmmm tapi lelaki yang hampir kena
bunuh hari tu, hidup lagilah! Ingatkan dah mati. Sudah tentu lawan dia hari tu
dah rancang nak bunuh lelaki tu dengan cara lain sebab rancangan dia hari tu
gagal sebab aku menjerit. Bahaya betul! Lelaki tu sepatutnya berhati – hati
dengan orang sekeliling dia. Amaran aku hari tu, seharusnya dia ambil endah.
Jangan ambil ringan.
Sekejap! Apa benda yang kau melalut
ni, Nina?! Lelaki tu nak kena bunuh ke tidak ke bukan masalahnya sekarang. Masalah
yang sebenarnya mampu ke aku nak pujuk datuk lelaki itu nanti? Kan bagus kalau
dia orang bukan satu keluarga. Haih.
Bersambung ~
No comments:
Post a Comment
sepatah komen anda ibarat setitik peluh petani..eh?