Followers

Saturday, 30 July 2016

~Katakan Tidak Pada Cinta 2~


“Apa nama kau?” soalan diaju dengan wajah yang betul – betul tidak puas hati. Gadis yang masih menghadiahkan senyum itu dipandang atas bawah.
          “Ika.”
          Ika? Lelaki yang agak tersentak itu segera mengawal air muka. Diam buat beberapa saat.
          “Ika aje? Nama penuh? Ic mana ic?” Afham masih tepat memandang wajah gadis manis itu. Pelik benar dibuatnya bila melihat seorang gadis berada di dalam hutan seorang diri.
          “Nak buat apa dengan ic saya, encik?”
          “Nak tengoklah. Dari mana kau datang? Rakyat Malaysia ke pendatang haram?”
          “Mestilah rakyat Malaysia. Ada ke patut cakap orang pendatang haram?” rungut gadis itu dengan mencebik.
          “Zaman sekarang ni semua orang tak boleh dipercayai. Termasuklah kau sekali, faham?”
          “Kalau saya ni tak boleh dipercayai, dah lama saya tinggalkan encik seorang diri dalam hutan malam semalam tau.” Gadis itu juga tidak mahu mengalah.
          “Eleh, ada aku suruh kau teman aku kat sini malam semalam? Yang kau tampar pipi aku tanpa kebenaran apasal? Pipi aku ni bayar zakat, kau tahu tak? Suka hati mak bapak kau aje kan!” tempelak Afham tak semena – mena.
          “Bayar zakat pipi ke kepala?”
          Afham pandang kesal wajah di hadapan matanya itu. Banyak menjawab rupanya budak perempuan ni. “Pipi duduknya di kepala. Itupun aku nak kena ajar ke?”
          Sekali lagi gadis itu tayang cebik.
          “Sudah! Sudah! Sekarang bagitahu aku macam mana kau boleh ada kat tengah hutan ni? Perempuan pula tu duduk kat tengah hutan macam ni. Kau dari mana dan nak ke mana sebenarnya?”
          Afham mula melangkah mencari arah sungai berdekatan. Dia sendiri tidak pasti di mana dia berada sekarang. Salah satu cara yang mudah cari sungai yang berdekatan. Talian telefon sudah tentu tak dapat digunakan kat dalam hutan belantara macam ni. Tak faham aku macam mana perempuan ni boleh ada kat sini? Entah – entah bukan manusia? Kalau bukan manusia, memang masak kau, Am!
          “Saya sesat cari kayu api.”
          Langkah mati. Afham pandang sejenak wajah lembut di sisinya itu. “Aku tanya elok – elok, kau jawablah elok – elok. Kau ingat aku percaya sangatlah kau sesat dalam hutan nak cari kayu api?”
          “Betullah. Tak nak percaya, sudah!”
          “Okey, cuba kau berterus – terang dengan aku. Ada lagi ke zaman sekarang orang pakai kayu api untuk masak?”
          “Ada. Rumah saya pakai kayu api.”
          “Cepat tunjuk ic kau aku nak tengok kau duduk mana!” sekali lagi Afham memberi arahan. Keras. Lagi banyak dia bertanya, lagi mengarut jawapan yang perempuan itu berikan.
          Kelam – kabut gadis itu menyelongkar beg duitnya untuk mencari kad pengenalan diri. Dengan segera kad berwarna biru dihulurkan kepada pemuda itu. Afham terus menyambut lalu membelek kad pengenalan gadis yang agak misteri baginya itu. Ada kad pengenalan, bermakna dia bersama dengan seorang manusia. Alhamdulillah!
          “Cinta Fiska.” mendatar nada lelaki itu menyebut nama penuh gadis di hadapan matanya itu.
          “Ya, saya.”
          “Jom, aku hantar kau balik! Kau tinggal kat alamat ni, kan?” kad pengenalan ditayang depan mata pemiliknya.
          “Saya tak nak balik.”
          “Tak nak balik?! Aku dah agak dah. Cari kayu api kunun. Kau lari dari rumah sebenarnya, kan?” semakin aneh Afham dibuatnya dengan tingkah gadis yang baru ditemuinya itu.
          “Bukan.” Pendek Fiska membalas.
          “Habis tu?”
          “Saya memang tak nak balik rumah!” bentak gadis itu tak semena – mena membuatkan Afham sedikit terkejut. Terdiam beberapa saat.
          “Shhh!” Kali ni Fiska pula terdiam. Melihatkan riak wajah Afham seperti cuba menangkap sesuatu bunyi di kawasan itu.
          “Kenapa, encik?” sedaya – upaya suara diperlahankan.
          Biji mata masih dililaukan mencari sesuatu di celah – celah pokok yang merimbun di kawasan itu. Halwa telinga tidak kurang juga berusaha cuba untuk menangkap bunyi seperti sesuatu benda yang sedang menuju ke arah mereka.
          “Ke sini, cepat!” Afham pantas menarik lengan gadis itu mendekati dirinya. Sebatang pokok yang agak besar dijadikan tempat perlindungan buat sementara.
          Kelihatan tiga orang lelaki berjaket hitam berlegar – legar di kawasan itu. Afham cepat – cepat menekup mulut Fiska supaya gadis itu tidak dapat keluarkan sebarang bunyi. Dalam hati hanya mampu berdoa agar mereka berdua selamat dari sebarang bahaya. Walaupun dia mampu berlawan dengan ketiga – tiga penjahat itu namun bila difikirkan gadis yang secara tidak sengaja bersama dengannya sekarang, adalah lebih baik dia menyembunyikan diri buat sementara waktu.
          Ya Allah, macam manalah keadaan Faris dan Akmal? Seingat dia, sebelum dia melarikan diri di dalam hutan mereka bertiga berpisah dan mengambil arah laluan masing – masing untuk menyelamatkan diri. Faris sempat menghubungi ofis tetapi setelah menyelamatkan diri, dia sendiri tidak pasti apa yang berlaku seterusnya. Semoga kau orang pun dapat selamatkan diri. Memang tak guna betul kau, Roy! Kau akan diberkas dengan tangan aku sendiri. Aku bersumpah, Roy!
***
Enjin kereta dimatikan betul – betul berada di kawasan semalam. Faris yakin amat di sinilah dia berhentikan kereta semalam ketika dikejar lelaki – lelaki yang berjaket hitam. Kesemua yang berada di dalam kereta segera melompat keluar. Masing – masing memegang sepucuk pistol dihalakan ke arah sekeliling.
          “Awak yakin sini tempatnya, Faris?” Inspektor Haffis bersuara. Bebola mata melilau memerhati kawasan sekeliling. Hanya ada pokok – pokok sahaja. Kalau ada kawasan perkampungan pun mungkin jauh dari sini.
          “Yakin, tuan! Kami berpisah di sini semalam. Tetapi yang selamat mencari jalan pulang cuma saya, tuan. Inspektor Afham dan Koperal Akmal rasanya masih ada di dalam hutan ni.” balas Faris tegas.
          Risau sungguh dibuatnya bila rakan seperjuangannya itu masih lagi belum memunculkan diri. Nasib dia agak baik malam semalam bila dapat melarikan diri dan ada kereta yang kebetulan melalui kawasan itu. Cepat – cepat dia meminta pertolongan. Harap – harap Inspektor Afham dan Akmal selamat walau di manapun mereka berada sekarang.
          “Kalau macam tu, semua berpecah ikut haluan masing – masing. Gerak sekarang!” Arahan akur. Sepantas kilat tanpa sebarang bantahan kesemua anggota polis membolos isi hutan yang agak tebal itu.
***
Keluhan berat dibebaskan sejenak. Wajah gadis yang bernama Cinta Fiska itu dipandang tanpa sebarang perasaan. Yang pasti dia terlalu letih. Penat dan lapar. Perut mula berkeroncong meminta diisi. Rasa sakit tulang – temulangnya disebabkan jatuh dari bukit malam semalam pun masih belum hilang. Tetapi gadis misteri itu masih tampak tenang seperti tidak berlaku apa – apa pun. Pelik sungguh.
          “Aku boleh tolong kau sampai sini sahaja. Sekejap lagi kalau ada bas lalu, kita balik rumah masing – masing.” Afham bersuara. Mendatar tetapi memang dia benar – benar maksudkannya.
          “Mana ada bas kat sini.” Balas Fiska ringkas. Biji mata dihalakan ke sekeliling kawasan yang mereka sedang berdiri sekarang.
          Air muka serta – merta berubah kelat. “Tak ada bas?”
          “Haah. Orang – orang kat sini kalau nak keluar ke bandar kena tunggu bas dekat pekan.”
          “Pekan tu kat mana pulak?”
          “Kalau jalan kaki dari sini agak – agak dalam setengah jam sampailah kita kat pekan nanti.” Balas gadis itu lagi dengan senyum.
          Setengah jam? Ya Allah, inipun aku dah rasa nak tercabut segala sendi tulang!
          “Jalan pun jalanlah. Jom, cepat!” tanpa membuang masa, Afham segera menapak perlahan – lahan.
          “Encik okey ke nak jalan ni? Kalau nak saya tolong papah, boleh aje.” Fiska segera menyamakan langkah dengan pemuda itu.
          Langkah mati tak semena – mena. “Sekejap, aku nak nasihatkan kau satu benda ni.”
          “Nasihat apa, encik?”
          “Kau jangan ingat semua lelaki dalam dunia ni baik. Simpan ayat ni dalam kepala kau elok – elok, semua orang tak boleh dipercayai, faham?” Afham pandang tajam wajah lembut di hadapan matanya itu. Sengaja ingin menggerunkan suasana.
          “Habis tu kenapa, encik?” Fiska kerut dahi. Cuba mencerna nasihat percuma yang baru saja mengetuk halwa telinganya.
          “Habis tu, kau jalanlah jauh – jauh sikit. Tak payah nak tolong papah aku. Kalau aku ni orang jahat macam mana? Ambil kesempatan kat kau, nak?” sekali lagi pemuda itu menikam biji mata Fiska.
          “Tak nak.”
          “Ha, tahu pun. Sekarang kau jalan kat depan. Biar aku jalan kat belakang ni.”
          “Tapi saya tahu encik bukan orang jahat. Jom, saya tolong!” Fiska terus merangkul lengan pemuda itu diletakkan di bahunya untuk membantu Afham berjalan.
          Afham yang sudah tersentak hanya mampu membiarkan gadis itu membantu dia berjalan. Sekurang – kurangnya mereka dapat mempercepatkan langkah menuju ke tempat yang ramai orang. Dia yakin konco – konco Roy masih lagi berlegar – legar di kawasan hutan untuk menjejaki dirinya.
          “Ibu ayah kau tak risau ke anak perempuan dia orang tak balik rumah?” Afham memecah sunyi setelah berjeda selama setengah jam perjalanan.
          “Ibu dan ayah saya dah tak ada.”
          “Tak ada? Hmm kau pun tak ada ibu dan ayah juga macam aku rupanya.” Nada merendah tiba – tiba.
          “Tak apalah. Nak buat macam mana Allah lebih sayangkan ibu bapa kita, kan?” Fiska masih dengan senyumnya. Langkah tetap diteruskan disamping membantu pemuda itu untuk menapak.
          “Sebenarnya rumah kau kat kawasan sini kan, Cinta Fiska?” sekali lagi soalan terbit dari bibir pemuda itu.
          “Mana ada!” Gadis itu cepat memintas. Langkah tetap diteruskan.
          “Habis tu, macam mana kau tahu kawasan ni tak ada bas lalu?”
          Air muka Fiska serta – merta berubah cuaca. Namun, segera dikawal rapi. “Kita dah sampai. Jom cepat ke perhentian bas!”
          Tukar topik.
***
          “Tuan!!! Sini, tuan! Dah jumpa.”
          Suara dari salah seorang anggota polis menyentakkan semua yang mendengar. Bergegas mereka menuju ke kawasan yang dipanggil. Melihatkan sekujur tubur yang terbaring kaku dengan lumuran darah di kepala membuatkan Faris terduduk. Wajahnya pucat lesi jika ditoreh pun tidak keluarkan darah. Pakaian yang tersarung di tubuh mayat itu sangat dicamnya. Ya Allah, Akmal…
          “Mal, kenapalah jadi begini akhirnya Mal? Kita tak dapat tangkap Roy lagi, Mal. Kenapa kau pergi dulu? Kita kan dah janji nak tangkap Roy sama – sama dengan Tuan Afham. Mal, kau dengar tak cakap aku ni?!”
          Kepala Akmal yang berlumuran darah itu diusap lembut. Faris tidak mampu lagi menahan air mata yang mengalir keluar. Ya Allah, Engkau tempatkanlah sahabat seperjuanganku ini dalam kalangan orang yang beriman!
          “Sabar, Faris. Awak bawa balik mayat Koperal Akmal dulu untuk dibedah siasat. Biar saya dengan yang lain teruskan pencarian Inspektor Afham.” Inspektor Haffis menepuk perlahan bahu Faris cuba menenangkan anak buahnya itu.
          “Tak apa, tuan. Saya okey. Biar anggota yang lain bawa pulang mayat Koperal Akmal dulu. Saya tetap nak teruskan pencarian Tuan Afham pula.” Bidas Faris serta – merta. Perjuangannya masih belum tamat.

          “Kalau macam tu, yang lain bawa pulang mayat Koperal Akmal dulu. Selebihnya kita teruskan mencari Inspektor Afham pula. Gerak!” Arahan yang diberikan sekali lagi serta – merta akur. Masing – masing meneruskan pencarian di dalam hutan hijau itu.

++bersambung++

Friday, 29 July 2016

~ Katakan Tidak Pada Cinta 1 ~

          

 “Umur kamu sekarang berapa, Am?”
          Soalan pelik muncul tatkala dia baru menyuap nasi ke dalam mulut. Rasa macam kejam sangat pula bila seorang ibu saudara tak ingat umur anak saudara kesayangannya. Ah, macamlah kau pun ingat umur Mak Ucu kau ni, Am!
          “Mak Ucu nak tahu umur yang macam mana tu?” soal lelaki itu bersahaja. Mulut ligat mengunyah. Biji mata tekun memandang makanan.
          “Hai, umur pun ada banyak jenis dah ke zaman sekarang ni?”
          “Mestilah, Mak Ucu. Umur pun dah hipster sekarang. Nak tahu umur ikut tahun ke, ikut bulan ke, ikut hari ke, jam ke, minit ke…” Afham sengih. Terus sambung makan bila ibu saudaranya kerling tajam buat anak saudaranya itu.
          “Kamu ni, Am… Ni malas Mak Ucu nak menyembang dengan kamu ni. Orang tanya elok – elok, dia loyar buruk. Cuba serius sikit. Kalau buat kerja bukan main serius lagi. Muka macam nak makan orang.”
          “Ala, dah tugas Am macam tu Mak Ucu. Takkan nak sengih tak tentu pasal. Nanti orang cakap gila pula.”
          “Yalah. Tugas – tugas juga tapi takkanlah bertugas sampai terlupa nak kahwin. Jadi bujang terlajak nanti baru kamu tau.”
          “Oh, sebab tulah yang tanya umur Am ni berapa tadi, ya Mak Ucu! Bagus apa bujang terlajak. Mak Ucu pernah dengar tak orang kata lelaki ni kalau makin tua makin handsome? So, lagi ramailah peminat Am nanti bila dah tua. Buat apa nak kahwin awal – awal, kan?”
          Sekali lagi wanita itu kerling tajam buat pemuda yang baru sahaja meneguk air sirap itu. “Mak Ucu tahu Mak Ucu ni siapa. Mak Ucu ni cuma pengganti arwah umi dan abah kamu. Mak Ucu tak ada hak pun nak campur urusan peribadi kamu tu.”
          Ni dialog drama melayu mana yang dia cedok ni? Sejak bila Mak Ucu pandai main ayat sedih pula ni? “Macam nilah, Mak Ucu. Am sebenarnya tengah tunggu seseorang. Nanti dia dah datang dekat Am, Am kahwin ya?”
          “Kamu dah ada calon ke? Siapa? Siapa?!” Hilang serta – merta nada sedih Mak Ucu.
          “Puteri.”
          “Puteri? Nama dia Puteri ke? Orang mana, Am?”
          “Puteri raja yang akan datang selamatkan Am nanti.”
          Membuntang biji mata Mak Ucu memandang anak saudaranya yang sedang sengih galak itu. “Cukup! Sebelum Mak Ucu naik angin, lebih baik kamu pergi dapur basuh pinggan makan kamu tu. Geram sungguhlah aku dengan budak ni! Dia ingat dia Cinderella ke apa?”
          “Am tak habis cerita lagi tentang angan – angan Am ni, Mak Ucu. Dengarlah dulu. Puteri tu kan rupa dia macam…” belum sempat pemuda itu menghabiskan kata, ketawa serta – merta terburai bila melihat wajah ibu saudaranya yang sudah tayang riak bengang.
          “Kamu cakap nak pergi balai kan tadi? Pergi cepat sebelum Mak Ucu telefon 999 suruh datang ambil kamu kat sini.”
          Terburai tawa pemuda itu serta – merta. “Okey, okey! Am pergi sekarang.”
          “Hati – hati, Am. Jangan buat kerja bahaya sangat.” Sempat Mak Ucu berpesan.
          “Baik, puan!”
***
          “Aku nak jugak! Kedekutlah kau ni. Makan seorang aje.” Bekas yang berisi kerepek kentang dirampas tanpa segan silunya.
          “Ah, dah tinggal sikit baru kau nak minta! Aku dahlah lapar. Dari pagi sampai ke malam ni aku tak makan apa – apa lagi kau tahu?” kerepek kentang dirampas semula.
          “Kedekut gila! Lain kali kalau tak nak kongsi, jangan makan depan orang lain.” Faris tarik muka dengan perangai teman sejawatnya itu, Akmal.
          “Bila masa aku kedekut? Tuan nak?” bekas kerepek kentang tiba – tiba dihalakan ke arah Afham di belakang.
          Kedua – dua wajah pemuda yang sedang sengih sumbang ke arahnya dipandang kesal sejenak. “Kau orang ni nak kena hentuk kepala dua – dua ke apa? Siapa suruh makan sambil buat kerja, hah? Tak berdisiplin langsung!”
          “Ala, tuan… Potato chips aje pun. Saya baru ingat nak call delivery pizza tadi.” Akmal mencebik.
          Delivery pizza? Melampau dah anak – anak buah aku ni. Ingat aku tengah buat party happy birthday ke apa sekarang? “Kau rasa berbaloi tak kalau sebab potato chips kau ni, kita gagal misi kali ni? Kau nak tambah hari tidur dalam kereta kat kampung ni lagi ke?”
          “Baik, tuan! Arahan diterima. Saya simpan potato chips sekarang juga.” Baru sahaja Akmal hendak menutup semula bekas kerepek kentangnya itu, tiba – tiba biji mata tertancap ke arah sebuah kereta Proton Saga berwarna hitam mula bergerak meninggalkan kawasan itu.
          “Faris, gerak sekarang! Suspek dah keluar!”
          Sepantas kilat Faris menghidupkan enjin kereta untuk mengekori kereta yang menjadi pemerhatian mereka bertiga dari tadi. Pedal minyak mula ditekan rapat apabila menyedari kereta di hadapan semakin samar dari ruang mata.
          “Cepat, Faris! Cepat!!! Jangan sampai dia hilang lagi!” Afham bagaikan hilang kawalan bila menyedari mereka bakal kehilangan peluang buat kali kedua untuk menjejaki markas pemprosesan dadah yang semakin berleluasa mengedar benda haram itu kepada penagih – penagih.
          “Baik, tuan!” pedal minyak ditekan sekuat hati untuk mencari kelibat Proton Saga berwarna hitam tadi. Malangnya, objek yang diburu hilang tanpa meninggalkan sebarang kesan. Sekelip mata, kelibat mobil itu ghaib dari pandangan.
          Sebuah keluhan dibebaskan berat. Benar – benar berat. Hampa. “Dah seminggu kita kat sini. Sekali lagi hilang.” Nada yang betul – betul kecewa keluar dari mulut Akmal.
Afham masih diam. Memerhati sekeliling kawasan hutan yang jauh dari pelosok penduduk. Sunyi. Pokok – pokok di sekeliling hutan yang dia sendiri tidak pasti spesiesnya itu diperhati satu persatu. Terasa perasaan kurang enak tiba – tiba menyentuh lubuk hati.
“Kau slowkan kereta sikit, Faris.” Pinta Afham tak semena – mena.
Faris hanya mengangguk perlahan menurut arahan.
Belantara hutan yang mula dimamah petang itu diperhati buat kesekian kalinya. Selang beberapa minit, kedengaran deruan sebuah kereta sedang menghampiri. Semakin lama, semakin deras bunyi deruan. Bukan hanya sebuah tapi dua buah kereta!
“Tuan, tengok belakang!” Akmal memberi arahan. Kaget. Afham serta – merta toleh ke belakang.
“Kat depan pun ada, tuan!” Faris pula bersuara. Cemas bila melihat dua buah kereta dari arah hadapan dan belakang sedang menderu laju ke arah kereta mereka.
Shit! Kita terperangkap!” bentak inspektor polis itu tiba – tiba.
***
Juadah lauk di bawah tudung saji itu diintai sedikit. Serta – merta bibir mengukir senyuman lebar bila terpandangkan lauk kegemaran berada di hadapan mata. Ini yang aku setuju sangat dengan peribahasa pucuk dicita, ulam mendatang ni. Selaju cahaya pinggan dicapai untuk dicedok nasi.
          “Mak Ucu, jom makan?” pelawa Darish Izuan dengan mulutnya yang penuh dengan makanan itu.
          “Makanlah. Mak Ucu dah makan sebelum Am datang makan tadi lagi dah.”
          Kunyahan terhenti. “Am ada datang ke tadi, Mak Ucu?”
          “Yalah. Kamu berdua kan memang suka datang makan kat rumah Mak Ucu. Buat – buat tanya pula.” Balas Mak Ucu bersahaja.
          Darish tayang sengih sekejap. “Siapa suruh Mak Ucu masak sedap – sedap? Kita orang datanglah makan walaupun tak berjemput.”
          “Sebab tulah Mak Ucu suruh kamu berdua kahwin. Senang. Tak payah susah – susah nak datang makan kat rumah Mak Ucu. Ada orang jaga makan minum, siapkan pakaian, jaga kamu berdua ni ha.”
          “Ala, Mak Ucu ni macam tak ikhlas aje nak bagi kita orang makan. Tak baik tau tak ikhlas. Tak dapat pahala.” Darish cebik. Makanan tetap disuapkan ke dalam mulut.
          “Kamu dengan Am ni sama ajelah. Kalau cakap pasal kahwin aje, dua – dua tukar topik. Cuba serius sikit bila dengar Mak Ucu nasihat ni. Sampai bila kamu berdua nak membujang?” keluhan kecil dibebaskan sejenak.
          “Ni mesti Mak Ucu dah tembak Am dengan soalan yang sama tadi. Patutlah Rish ajak dia datang rumah Mak Ucu sekali, dia tak nak.”
          “Dia bukan tak nak tu. Katanya ada kerja. Sekejap aje dia singgah makan rumah Mak Ucu siang tadi. Kamu jangan nak sibukkan hal Am, Rish. Soalan Mak Ucu pun kamu tak jawab lagi.”
          Sekali lagi pemuda itu tarik sengih. “Rish bukan tak nak kahwin, Mak Ucu. Tak ada calonlah. Tak ada orang nak dekat Rish ni.”
          “Hai, punya banyak cikgu perempuan dekat sekolah kamu mengajar tu takkan tak ada satu pun yang berkenan? Cikgu praktikal pun ramai, kan?”
          “Memanglah ada, Mak Ucu. Tapi dia orang dah ada pakwe dah kut. Susah nak cari perempuan yang masih single lagi zaman sekarang ni. Lagipun, malaslah Rish nak fikir semua tu.” Balas lelaki itu ada tidak.
          “Kamu jangan memilih sangat, Rish. Kalau ada yang nak tu, cubalah buka pintu hati. Mak Ucu tak sabar sangat nak tengok kamu dengan Am naik pelamin.”
          “Am jawab apa tadi bila Mak Ucu tanya pasal kahwin dekat dia?” soal Darish tiba – tiba.
          “Am tu biasalah jawapan yang dia bagi. Sentiasa tak logik. Katanya nak kahwin dengan puteri raja yang selamatkan dia. Geram betullah aku dengar!” Mak Ucu dah geleng kepala bila mengenangkan ragam anak saudaranya yang seorang itu. Terburai tawa Darish serta – merta. Am… Am… Perangai tak berubah langsung!
          Muhammad Afham Nazhan, sepupu kepada Darish Izuan yang rapat bagaikan isi dengan kuku, tidak terpisah, saling percaya dan bertolak ansur di antara mereka. Hubungan persis adik dan abang walaupun hanya mempunyai darah sepupu. Nak cari Afham, tanya Darish. Nak cari Darish, tanyalah Afham.
          Bunyi deringan telefon rumah dari arah ruang tamu, mematikan perbualan. Mak Ucu segera meluru mendapatkan gagang telefon yang sedang rancak memanggil untuk dijawab.
          “Assalamualaikum.”
          “Waalaikumussalam. Boleh saya bercakap dengan Puan Faridah Hanum?”
          “Ya, saya bercakap. Siapa ni?”
          “Saya dari IPD Ipoh. Saya nak maklumkan tentang Inspektor Afham.”
          “Am…” Jantung bagai direntap dahsyat bila mendengar perihal anak saudaranya itu.
          “Kenapa, Mak Ucu? Siapa call?”
          Soalan Darish hanya dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa sebarang jawapan. Terasa tiada tenaga lagi untuk menekapkan gagang telefon ke telinga. Benak hati sudahpun disimbah perasaan resah yang teramat sangat. Air mata hangat mula mengalir perlahan membasahi pipi bila mendengar bait – bait ayat yang ditutur si pemanggil.

++bersambung++

Okey, novel dah publish baru la shu sibuk nak hapdet bab satu persatu! Hanya satu alasan, sebab nak hindarkan dr gejala plagiat karya orang lain ni. Isu mcm ni memang sangat serius. Jadi, marilah kita berhati - hati ye. Dah terbit novel, baru shu hapdet bab secepat mungkin k. Kalau kena plagiat sebelum novel terbit tak ke nanges bguling2 aku dibuatnya. So, rasanya selamat kot style hapdet mcm ni. hoho k lah. Asalnya nak bebel pendek, mcm biasa terpanjang la pulak. Stay tuned ye..