“Biarlah
apa yang nak jadi pun. Kalau hari ni aku tak berjaya juga pujuk orang tua
sombong tu, aku give up. Malam ni
juga aku balik KL. Serius. Tak tipu.”
Keluhan berat dibebaskan beberapa saat
kala Imanina mula memandu keretanya keluar dari perkarangan rumah Sara. Seperti
biasa, rutin harian dia sepanjang berada di kampung itu haruslah menuju ke
rumah Tok Aziz dengan harapan hati orang tua itu menjadi lembut bak sutera.
“Pelik sungguh aku dengan perangai
orang kampung ni. Ada tanah tapi tak nak bangunkan. Tanam pokok pisanglah,
pokok durianlah, manggis, langsat bagai bukannya dapat banyak untung pun pokok-pokok
tu semua. Kan lebih baik jual tanah tu pada orang yang lebih memerlukan.
Sementara ada orang nak beli ni, sombong. Tak nak jual. Bila orang dah tak layan
nanti, barulah terhegeh-hegeh nak jual tanah pusaka tu.”
Bibir tidak henti berbicara seorang
diri. Tiada tempat untuk dia meluahkan pendapatnya yang dirasakan sangat bernas
itu. Berseorangan dalam kereta pun jadilah.
“Tapi kalau aku give up, mesti aku jadi bahan kutuk dek Si Nadya tu nanti. Ah,
lantaklah! Sejak bila pula aku kisahkan pasal mulut perempuan tu?”
Tanpa
diduga, pedal brek kereta ditekan keras sebaik sahaja merasakan tayar keretanya
menjadi berat untuk berputar. Kepala yang tidak gatal digaru dua saat. Ekor
mata melihat ke arah cermin sisi dan cermin pandang belakang untuk memastikan tiada
kereta di belakangnya. Lantas Imanina menapak keluar untuk memeriksa tayar
keretanya yang menjadi penghalang untuk dia tiba di destinasi pada waktu yang
sepatutnya.
“Kenapalah
setiap kali aku lalu jalan ni akan ditimpa malang? Aduh! Hari tu minyak kereta
habis. Hari ni pula tayar kereta pancit. Esok terus accident sajalah senang. Baru kau puas hati kan, kereta? Aku jaga
kau bagai menatang minyak yang penuh tapi ini yang kau balas dekat tuan kau,
kan? Tak kenang budi betul! Besar pula tu paku yang melekat kat tayar ni. Kenapa
tak lekat kat empat-empat biji tayar kereta aku ni terus?!”
Imanina
sudah terduduk di tepi jalan sambil memandang sayu tayar keretanya yang semakin
mengempis. Nak menangis pun tak ada air mata yang ingin keluar saat itu. Inilah
pentingnya ilmu menukar tayar kereta perlu dipraktikkan pada setiap wanita. Nak
menyesal sekarang pun dah tak ada gunanya.
Buk!!!
Cecair
likat perlahan-lahan menuruni dahi. Perit sungguh kesakitan yang dirasakan
kepala gadis itu sekarang. Penglihatan mata sudah berbalam-balam saat dia cuba
menyentuh belakang kepalanya yang terasa basah dek cecair merah pekat. Kelopak
mata sedikit demi sedikit tertutup rapat. Selang beberapa saat, tubuh kecil
Imanina rebah di tepi jalan tanpa sedarkan diri.
“Tolong…”
Satu
perkataan yang terlalu lemah keluar dari bibir Puteri Imanina. Betapa dia
mengharapkan ada hamba Allah yang dapat membantunya dalam keadaan yang
berlumuran darah itu. Badannya kaku membisu terbaring tanpa ada daya lagi untuk
sekelumit pun dia bergerak.
***
Memikirkan
semula kayu yang dipegangnya tadi tepat mengena ke kepala perempuan itu
membuatkan Alif yakin saksi kepada agenda jahatnya selama ini akan mati serta-merta.
Paling kurang pun gadis itu akan koma. Cukup kuat dia menghayun kayu menghala
ke kepala Imanina. Kejam sekali tanpa ada sekelumitpun rasa belas.
Nafas lega dihela bebas.
“Itulah lain kali jangan masuk campur
urusan orang lain. Kan dah jadi mangsa. Patutlah aku macam pernah dengar suara
yang sama menjerit minta tolong. Rupanya perempuan yang sama.”
Lelaki itu menyinis sendiri.
“Kasihan kat kau, perempuan. Jadi
tetamu kat kampung aku tapi tak pasal-pasal terus jadi mangsa keadaan. Itu
pengajaran bagi orang yang baik hati. Sudahlah waktu aku nak tikam Akid kat
majlis Sara dulu, kau buat kacau. Kali ni pun kau juga yang jadi punca
rancangan aku gagal. So, sesungguhnya
apa yang aku boleh cakap sekarang adalah nasib kau memang tak baik.”
Dengan senang hati Alif meledak tawa. Faiz
yang muncul tiba-tiba di kedai runcit milik temannya itu sudah tayang riak
pelik.
“Eh, kau ni kenapa, Lif? Dah gila
gelak seorang-seorang?” Sebungkus keropok dicapai lalu dibuka rakus untuk
mencari isinya.
“Aku bukan gila tapi puas hati.” Ujar
lelaki itu dengan tawa yang masih berbaki.
“Puas hati? Sebab?”
“Sebab saksi pada malam yang kita nak
bakar rumah Akid hari tu dah mati.”
“Mati?! Serius?” Faiz teruja tak
semena-mena.
“Seriuslah. Kalau tak, buat apa aku
puas hati. So, kau tak payah risau dah
sekarang ni.”
“Sampai mati, Lif? Kau bunuh dia ke?”
Faiz resah pula. Perasaan berbolak-balik. Gembira, dalam masa yang sama takut.
“Haah. Aku pukul kepala perempuan tu
sampai dia tersadai tepi jalan. Mungkin sekarang dia sedang dibedah siasat kat
hospital. Ala, kalau tak mati pun mesti koma. Kau tak payahlah risau sangat.”
Tanpa sebarang rasa bersalah lelaki itu menghambur kata.
“Fuh! Kau memang kejam, Lif! Pertama
kali aku jumpa manusia sekejam ni.”
Alif meleret sengih. “Kejam demi
kebahagian sendiri.”
***
Tit…
tit… tit…
Sekujur
tubuh kecil gadis itu masih terbaring lemah di atas katil putih. Kepalanya
dibalut rapi. Wayar yang berselirat di kiri dan kanan katil cukup membuatkan
pelawat bimbang dan resah melihatkan keadaan Puteri Imanina yang tidak sedarkan
diri itu. Usai pembedahan dijalankan sebentar tadi, gadis itu ditempatkan di
dalam bilik ICU. Benar tebakan Alif, Imanina koma.
“Nina
kat mana sekarang, Akid?”
Soalan
pertama yang terbit dari bibir Puan Salmah sebaik sahaja tiba di hospital.
Terkocoh-kocoh wanita itu mendapatkan pemuda-pemuda yang telah membawa Imanina
ke wad kecemasan tadi.
“Dia
ada dalam bilik ICU sekarang, mak cik. Tapi doktor tak bagi sesiapapun masuk
melawat lagi.”
Tenang
Akid memberi kata. Sepupu-sepupunya yang lain hanya mengangguk kecil. Wujud
riak kegusaran di setiap wajah yang menjadi penyelamat gadis asing itu kala
mereka bereempat ingin menuju ke rumah Tok Aziz pagi tadi.
“Habis
tu, doktor ada bagitahu tak macam mana keadaan Nina sekarang?”
“Alhamdulillah.
Pembedahan dah berjaya cuma Iman masih tak sedarkan diri lagi. Kepala dia kena
hentakan kuat dengan objek keras kata doktor.”
Puan
Salmah terus terduduk. Beristighfar panjang dia sejenak.
“Ya
Allah Ya Tuhanku! Macam mana sampai boleh jadi macam ni? Siapa yang tergamak
pukul Nina?”
“Entahlah,
mak cik. Waktu kami lalu kat jalan sunyi tu, nampak kawan Sara tu dah terbaring
kat tepi jalan dengan kepala yang berlinang darah. Lepas tu, cepat-cepat kami
bawa dia ke hospital tempat kerja saya ni.” Celah Adam yang merupakan pegawai
farmasi di hospital besar itu.
“Dia
kena rompak ke?” Encik Zakaria pula menyoal.
“Rasanya
tak. Sebab waktu saya check kereta
dia tadi, tak ada barang berharga pun yang hilang. Handphone, handbag dia semua ada dalam kereta cuma pintu kereta dia
tak berkunci. Tayar depan kereta dia pula pancit.” Naufal memberi jawapan
dengan terperinci.
“Habis
tu, kenapa Nina boleh kena pukul pula? Atas niat apa penyangak tak guna tu
pukul dia?” Puan Salmah naik suara tak semena-mena. Tak puas hati.
“Sabar,
Mah. Sabar. Mestilah budak-budak ni pun tak tahu. Macam nilah. Apa yang penting
sekarang, kita pastikan Nina selamat dulu. Pasal penyangak tu kita serah pada
pihak polis. Ni awak dah bagitahu Sara ke belum pasal Nina?”
“Dah
bagitahu dah tadi. Sara dalam perjalanan ke sini. Mama dan papa Nina pun
katanya dalam perjalanan juga. Kasihan kat mereka, bang. Tiba-tiba dapat tahu
anak perempuan mereka dimasukkkan ke hospital.”
“Ini
semua dugaan Allah SWT, Mah. Kita bawa bertenang dan doa yang baik-baik saja.”
Encik Zakaria cuba memujuk.
Pemuda-pemuda
yang turut berada di ruang menunggu itu hanya mengunci mulut membiarkan Encik
Zakaria menenangkan isterinya. Masing-masing memasang doa agar gadis yang
ditimpa musibah itu cepat sedar dari koma. Akid Aryan menghalakan anak mata ke
cermin kecil di dada pintu. Entah mengapa benak kecil lelaki itu bertubi-tubi
ditembak rasa belas melihat Imanina yang kelihatan sugul dalam lenanya.
“Kid,
jum ikut kita orang pergi kafeteria sekejap.”
Adam,
Haziq dan Naufal sudah pun bingkas dari tempat duduk. Tanpa sebarang kata,
angguk tidak, geleng pun tidak, Akid membuntuti sepupu-sepupunya menuju ke
tempat makan yang disediakan untuk pelawat di hospital itu. Encik Zakaria dan
isterinya dibiarkan menemani Puteri Imanina dari luar bilik ICU.
“Kau
tak rasa pelik ke Kid benda macam ni boleh berlaku?”
Usai
punggung masing-masing dilabuhkan atas kerusi, Adam memuntahkan isi yang sejak
tadi bermain di fikirannya.
“Apa
benda yang pelik?” Biji mata Akid tepat ke wajah Adam.
“Peliklah
sebab kenapa perempuan yang jadi saksi rumah kau hampir dibakar hari tu kena
pukul sekarang.” Haziq menyampuk.
Semua
mata tertumpu ke arah Haziq serta-merta.
“Kau
pun fikir benda yang sama dengan aku ke, Ziq?” soal Adam pula.
Akid
dan Naufal hanya memasang telinga.
“Kau
dalam bahaya sekarang ni, Kid. Kasihan dekat perempuan yang tolong kau tu jadi
mangsa keadaan. Aku yakin semua yang berlaku ni angkara orang yang sama. Kalau
tak, takkanlah tak ada angin tak ada ribut perempuan tu boleh kena pukul.
Sudahlah dia tu orang luar. Keadaan dah semakin tenat dah ni.” Tokok Haziq
panjang lebar.
“Aku
tahu. Aku seribu kali rasa kasihan kat Iman tu. Dia langsung tak bersalah dan
tak ada kaitan langsung dengan aku. Kalau dia tak dapat sedarkan diri, seumur
hidup aku akan rasa bersalah dengan dia.” Nada Akid gundah. Air muka juga kelihatan
serabut sejak dari pembedahan gadis itu dijalankan tadi lagi.
“Nama
perempuan tu Iman ke, Kid?” tanya Adam tiba-tiba. Betul-betul menyimpang dari
topik.
“Nama
dia Imanina. Tapi aku yang panggil dia Iman. Kenapa?”
“Oh,
patutlah aku dengar Pak Zaka dengan Mak Mah panggil perempuan tu Nina! Tapi kau
pula panggil Iman. Nama penuh dia apa?”
“Puteri
Imanina rasanya. Kenapa?”
“Oh,
cantiknya nama dia! Kalau macam tu, aku nak panggil dia Puterilah.” Naufal
mencelah tak semena-mena. Sengih ditarik lebar.
“Eh,
kau orang ni dah kenapa? Beria-ria ajak aku duduk kat kafeteria, alih – alih
sibukkan nama penuh Si Iman tu saja.”
“Ala,
yang kau pula nak marah kenapa?” Usik Naufal lagi.
Adam
dan Haziq hanya senyum kecil.
“Aku
tak marah cuma entahlah. Apa aku nak buat kalau Iman tak bangun macam biasa?
Aku rasa bersalah sangat pada dia. Siapalah yang zalim sangat sanggup pukul
perempuan sampai macam tu? Nak bunuh aku, cari aku sajalah. Syaitan betullah
penyangak tu! Kalau aku dapat tahu angkara siapa semua ni, memang mati dia aku
kerjakan!”
Dada
meja ditumbuk kuat. Beberapa pasang mata yang mencuri pandang ke arah mereka
hanya diendahkan. Akid berang.
“Formula
paling senang, Kid. Orang yang zalim tu adalah orang yang sama nak bunuh kau.
Dan cuma seorang manusia aje dalam dunia ni yang aku syak.” Adam tilik tepat
anak mata Akid.
“Alif!”
Belum
sempat Adam menyambung kata, Haziq terlebih dahulu mencelah. Masing-masing
tersentak hebat. Tepat mengalihkan anak mata ke wajah Haziq.
“Sejak
bila kepala otak kau sama dengan aku ni, Ziq?”
Rengusan
kasar dari Akid menjamah halwa telinga sepupu-sepupunya. Pemuda itu hanya mengunci
bibir. Wajah Adam, Haziq dan Naufal dipandang silih berganti. Memang nama
Aliflah yang menjadi suspek utama dalam kes cubaan membunuh Akid Aryan.
Malangnya, mereka tidak memiliki sebarang bukti untuk membawa Alif ke muka
pengadilan. Hanya seorang saksi saja yang perlu diselamatkan agar Akid juga
selamat.
Puteri
Imanina.
**Bersambung ke versi novel**