Langkah
demi langkah dilajukan. Ranting – ranting pokok yang bertaburan di atas tanah
hancur dipijak pemuda yang masih ligat memecutkan langkahnya itu. Seluruh
tenaga dikerah sedaya upaya untuk menyelamatkan diri daripada beberapa orang
lelaki yang tidak kurang lajunya memasang langkah mengejar dia di hadapan.
Semakin lama, langkahnya semakin lemah. Pemuda itu tetap menguatkan kaki.
Berlari dan menepis ranting – ranting pokok yang menyakar lengannya, membuatkan
nafasnya semakin kurang oksigen.
Dia toleh ke belakang sekejap. Lelaki
– lelaki yang bertubuh sasa itu masih tidak putus asa mengejar. Dia semakin
hilang langkah. Dalam hati hanya mampu tawakal dan berdoa agar keselamatan
dirinya dilindungi oleh Allah SWT. Pandangan semakin kelam. Kesuraman suasana
di tengah belantara hutan di waktu malam itu sudahpun mengaburkan biji mata. Akhirnya,
langkah mati.
Kelopak mata tertutup rapat. Dia
tidak tahu apa yang sedang berlaku kepada tubuhnya sekarang. Yang dia rasa,
tubuhnya bagai dihentak – hentak kesakitan. Tulang – temulangnya bagaikan ingin
patah dek terlalu sakit terhempas. Bila kesakitan itu akan tamat, dia sendiri
tidak pasti. Selang beberapa minit kemudian, dia hanya mampu bernafas lega
dalam diam bila tubuhnya sudah terdampar di atas kawasan yang sedikit lapang.
Kepalanya terus dilentokkan menyembah ke tanah. Air mata mengalir perlahan ke
pipi. Perit! Afham tidak sedarkan diri. Pengsan.
“Dah mati agaknya budak tu.”
Kedengaran salah seorang dari lelaki yang mengejar tadi bersuara.
“Mungkin. Gaung tinggi macam ni
mustahil tak mampus lagi dia.” Sahut temannya pula.
“Sudah! Jom! Mampus dah tu. Aku
yakin. Kalau tak mampus pun, mesti dah kena sorok dengan bunian.”
“Hoi, mulut kau tu! Bunian – bunian
jangan cakap kat sinilah. Kau sedar tak kita kat mana sekarang ni?” tempelak salah
seorang dari mereka pula.
“Sudah! Jom balik. Aku dah seram
sejuk pula rasa ni.”
Suasana
hutan yang gelap gelita dan hanya ditemani suara unggas itu dipandang sejenak.
Masing – masing berpandangan sesama sendiri. Tak sampai beberapa saat, langkah laju
dipasang berlari meninggalkan kawasan itu. Harapkan badan macam badak sumbu,
penakut mengalahkan semut.
***
Perlahan
– lahan langkah diatur mendekati sekujur tubuh yang sedang terbaring kaku di
tengah belantara hutan itu. Anak sungai yang sedang mengalir turut memenuhi
deria pendengaran. Tubuh direndahkan untuk melihat dengan lebih jelas wajah
empunya tubuh yang sedang terbaring tanpa sebarang tenaga itu. Timbul perasaan
yang amat sayu dalam hati seorang perempuan itu.
“Encik.” Kening berkerut sedikit.
Tiada balasan. Kaku. Gadis itu
mencuit sedikit lengan pemuda itu.
“Encik.”
Masih tiada tindak balas.
“Dah mati ke lelaki ni?”
Hmm kalau nak buat CPR, macam tak
sesuai dengan keadaan saja. Rasanya kalau tampar dia dalam keadaan darurat ni,
dia tak kisah kut. Tak boleh tampar lembut – lembut ni kalau dah pengsan sampai
begini rupanya. Penampar yang paling sesuai adalah… Panggg!!! Berderau darah,
melekat pemerah pipi berlogo lima jari.
Pemuda itu mula menggerak – gerakkan
kelopak matanya sedikit. Agaknya kepedihan mula menjalar ke seluruh muka.
“Alhamdulillah. Adapun respon. Tak
sangka penampar adalah salah satu cara untuk menyelamatkan orang yang tidak
sedarkan diri.” Gadis itu sengih sendiri.
Namun,
sengihnya serta – merta mati bila kedengaran suara unggas yang semakin kuat
mengetuk halwa telinga. Kawasan sekeliling diamati sejenak. Kelam. Gelap. Air
liur yang tersekat di kerongkong cuba ditelan. Wajah pemuda yang masih tidak
sedarkan diri itu dipandang buat kesekian kalinya. Nafas ditarik sedalamnya.
“Encik
teman sayalah malam ni, ya? Jangan mati dulu tau. Esok kita cari jalan pulang
sama – sama.” Ngomel gadis itu sambil cuba berkomunikasi dengan pemuda yang
masih membatukan diri itu.
Tubuh
segera dipeluk rapat bila angin malam mula terasa ingin mencucuk hingga ke
tulang sumsum. Nasib baik tubuhnya tersarung dengan sweater. Itupun macam tak berapa nak membantu untuk menghangatkan
badan. Nak buat unggun api, nak kena cari kayu api pula. Nak cari kayu api, nak
kena merayau dalam hutan pula. Sudahnya, dia memilih untuk duduk diam – diam
menghadap lelaki asing yang masih tidak sedarkan diri itu.
Beberapa jam berlalu dengan suasana yang
sangat menakutkan bagi seorang gadis di dalam hutan seorang diri. Siapa sahaja
yang mampu melelapkan mata dalam keadaan yang tak ubah seperti menunggu ajal
datang memanggil. Tanpa sedar, air mata mengalir perlahan membasahi pipi.
Semakin lama, semakin deras melimpah keluar dari kolam mata. Dia hanya mampu
berteleku di situ. Suara tangis dibebaskan tanpa segan – silunya. Bukan ada
siapapun yang dengar. Dalam hati hanya mampu berdoa supaya masih dipanjangkan
lagi umurnya.
***
Matahari
pagi mula menebarkan cahayanya ke serata alam. Kelopak mata sekali lagi
berkedip – kedip. Walaupun masih belum celik tubir mata itu, namun udara segar
yang julung kali dirasakannya itu sangat menyamankan si penghidu. Penglihatan
yang kabur menjadi jelas sedikit demi sedikit. Kala itu betapa terperanjatnya
dia bila melihat hanya rimba khatulistiwa membumbungkan tempat tidurnya
semalam. Pantas tubuh ditegakkan.
“Aduh,
sakitnya belakangnya aku! Hmm ni mesti sebab jatuh dari gaung semalam. Allah…
Sakit sungguh!” perlahan – lahan pemuda itu membetulkan kedudukannya. Nafas
cuba ditarik sedalam mungkin.
“Tak
guna! Aku sepatutnya dah hampir – hampir semalam… Aduh!” Rambut yang berjuntai
di dahi cuba diraup ke belakang. Tingkahnya mati. Tangan menyentuh pipi
kanannya.
“Kenapa
pedih?” ditekan sedikit.
“Bengkak?”
“Encik
dah bangun?” suara seorang gadis mematikan tingkahnya sekali lagi. Segera
ditoleh mencari pelik suara lembut berkenaan.
Pemuda
itu terkesima beberapa saat. Lama dia pandang gadis yang berseluar jeans dan blouse corak bunga yang dilindungi
dengan sweater di hadapan matanya itu
atas bawah.
“Cantiknya.
Anak siapa ni?” tanpa sedar bibirnya mengomel perlahan.
“Semalam
saya nampak encik jatuh dari atas bukit sana. Encik okey ke?” gadis itu senyum
manis. Paling manis. Siapa yang melihat pasti meleleh air liur. Begitulah yang
terjadi kepada pemuda itu sekarang.
“Awak
ni siapa?” Afham masih dalam bunga – bunga perasaannya.
“Encik
tak ingat saya ke?” gadis itu masih tidak letih senyum buat si lelaki.
“Ingat
awak? Yang mana, ya? Kita kawan ke?” Afham apa lagi? Dah lupa diri yang dia
sedang berada di tengah hutan sekarang.
“Saya
yang tolong encik malam semalam. Kalau tak, encik tak sedarkan diri langsung.”
“Tolong
saya?”
“Yalah.
Saya tolong tampar pipi encik kuat – kuat semalam. Lepas tu, encik pun sedar
dari pengsan.” Bersungguh – sunguh gadis itu memberi jawapan lagi.
Afham
serta – merta membulatkan biji mata. Patutlah pipi aku pedih. “Kau tampar muka aku,
perempuan?!”
Bersambung~~
Dari hati ke hati: Hmmm jangan cakap sawang la, log in je blog ni tadi siap jumpa cicak mengkarung bagai. Ni sebab NS masuk gua konon bertapa nak siapkan cite baru. And here is the new story. Harap awak2 semua terhibur dan support cerita yg biasa2 level Nurrul Shuada ni. hoho so happy reading gaisss!