Followers

Monday, 4 April 2016

Katakan Tidak Pada Cinta ~ PROLOG



Langkah demi langkah dilajukan. Ranting – ranting pokok yang bertaburan di atas tanah hancur dipijak pemuda yang masih ligat memecutkan langkahnya itu. Seluruh tenaga dikerah sedaya upaya untuk menyelamatkan diri daripada beberapa orang lelaki yang tidak kurang lajunya memasang langkah mengejar dia di hadapan. Semakin lama, langkahnya semakin lemah. Pemuda itu tetap menguatkan kaki. Berlari dan menepis ranting – ranting pokok yang menyakar lengannya, membuatkan nafasnya semakin kurang oksigen.
            Dia toleh ke belakang sekejap. Lelaki – lelaki yang bertubuh sasa itu masih tidak putus asa mengejar. Dia semakin hilang langkah. Dalam hati hanya mampu tawakal dan berdoa agar keselamatan dirinya dilindungi oleh Allah SWT. Pandangan semakin kelam. Kesuraman suasana di tengah belantara hutan di waktu malam itu sudahpun mengaburkan biji mata. Akhirnya, langkah mati.
            Kelopak mata tertutup rapat. Dia tidak tahu apa yang sedang berlaku kepada tubuhnya sekarang. Yang dia rasa, tubuhnya bagai dihentak – hentak kesakitan. Tulang – temulangnya bagaikan ingin patah dek terlalu sakit terhempas. Bila kesakitan itu akan tamat, dia sendiri tidak pasti. Selang beberapa minit kemudian, dia hanya mampu bernafas lega dalam diam bila tubuhnya sudah terdampar di atas kawasan yang sedikit lapang. Kepalanya terus dilentokkan menyembah ke tanah. Air mata mengalir perlahan ke pipi. Perit! Afham tidak sedarkan diri. Pengsan.
            “Dah mati agaknya budak tu.” Kedengaran salah seorang dari lelaki yang mengejar tadi bersuara.
            “Mungkin. Gaung tinggi macam ni mustahil tak mampus lagi dia.” Sahut temannya pula.
            “Sudah! Jom! Mampus dah tu. Aku yakin. Kalau tak mampus pun, mesti dah kena sorok dengan bunian.”
            “Hoi, mulut kau tu! Bunian – bunian jangan cakap kat sinilah. Kau sedar tak kita kat mana sekarang ni?” tempelak salah seorang dari mereka pula.
            “Sudah! Jom balik. Aku dah seram sejuk pula rasa ni.”
Suasana hutan yang gelap gelita dan hanya ditemani suara unggas itu dipandang sejenak. Masing – masing berpandangan sesama sendiri. Tak sampai beberapa saat, langkah laju dipasang berlari meninggalkan kawasan itu. Harapkan badan macam badak sumbu, penakut mengalahkan semut.
***
Perlahan – lahan langkah diatur mendekati sekujur tubuh yang sedang terbaring kaku di tengah belantara hutan itu. Anak sungai yang sedang mengalir turut memenuhi deria pendengaran. Tubuh direndahkan untuk melihat dengan lebih jelas wajah empunya tubuh yang sedang terbaring tanpa sebarang tenaga itu. Timbul perasaan yang amat sayu dalam hati seorang perempuan itu.
            “Encik.” Kening berkerut sedikit.
            Tiada balasan. Kaku. Gadis itu mencuit sedikit lengan pemuda itu.
            “Encik.”
            Masih tiada tindak balas.
            “Dah mati ke lelaki ni?”
            Hmm kalau nak buat CPR, macam tak sesuai dengan keadaan saja. Rasanya kalau tampar dia dalam keadaan darurat ni, dia tak kisah kut. Tak boleh tampar lembut – lembut ni kalau dah pengsan sampai begini rupanya. Penampar yang paling sesuai adalah… Panggg!!! Berderau darah, melekat pemerah pipi berlogo lima jari.
            Pemuda itu mula menggerak – gerakkan kelopak matanya sedikit. Agaknya kepedihan mula menjalar ke seluruh muka.
            “Alhamdulillah. Adapun respon. Tak sangka penampar adalah salah satu cara untuk menyelamatkan orang yang tidak sedarkan diri.” Gadis itu sengih sendiri.
Namun, sengihnya serta – merta mati bila kedengaran suara unggas yang semakin kuat mengetuk halwa telinga. Kawasan sekeliling diamati sejenak. Kelam. Gelap. Air liur yang tersekat di kerongkong cuba ditelan. Wajah pemuda yang masih tidak sedarkan diri itu dipandang buat kesekian kalinya. Nafas ditarik sedalamnya.
“Encik teman sayalah malam ni, ya? Jangan mati dulu tau. Esok kita cari jalan pulang sama – sama.” Ngomel gadis itu sambil cuba berkomunikasi dengan pemuda yang masih membatukan diri itu.
Tubuh segera dipeluk rapat bila angin malam mula terasa ingin mencucuk hingga ke tulang sumsum. Nasib baik tubuhnya tersarung dengan sweater. Itupun macam tak berapa nak membantu untuk menghangatkan badan. Nak buat unggun api, nak kena cari kayu api pula. Nak cari kayu api, nak kena merayau dalam hutan pula. Sudahnya, dia memilih untuk duduk diam – diam menghadap lelaki asing yang masih tidak sedarkan diri itu.
            Beberapa jam berlalu dengan suasana yang sangat menakutkan bagi seorang gadis di dalam hutan seorang diri. Siapa sahaja yang mampu melelapkan mata dalam keadaan yang tak ubah seperti menunggu ajal datang memanggil. Tanpa sedar, air mata mengalir perlahan membasahi pipi. Semakin lama, semakin deras melimpah keluar dari kolam mata. Dia hanya mampu berteleku di situ. Suara tangis dibebaskan tanpa segan – silunya. Bukan ada siapapun yang dengar. Dalam hati hanya mampu berdoa supaya masih dipanjangkan lagi umurnya.
***
Matahari pagi mula menebarkan cahayanya ke serata alam. Kelopak mata sekali lagi berkedip – kedip. Walaupun masih belum celik tubir mata itu, namun udara segar yang julung kali dirasakannya itu sangat menyamankan si penghidu. Penglihatan yang kabur menjadi jelas sedikit demi sedikit. Kala itu betapa terperanjatnya dia bila melihat hanya rimba khatulistiwa membumbungkan tempat tidurnya semalam. Pantas tubuh ditegakkan.
“Aduh, sakitnya belakangnya aku! Hmm ni mesti sebab jatuh dari gaung semalam. Allah… Sakit sungguh!” perlahan – lahan pemuda itu membetulkan kedudukannya. Nafas cuba ditarik sedalam mungkin.
“Tak guna! Aku sepatutnya dah hampir – hampir semalam… Aduh!” Rambut yang berjuntai di dahi cuba diraup ke belakang. Tingkahnya mati. Tangan menyentuh pipi kanannya.
“Kenapa pedih?” ditekan sedikit.
“Bengkak?”
“Encik dah bangun?” suara seorang gadis mematikan tingkahnya sekali lagi. Segera ditoleh mencari pelik suara lembut berkenaan.
Pemuda itu terkesima beberapa saat. Lama dia pandang gadis yang berseluar jeans dan blouse corak bunga yang dilindungi dengan sweater di hadapan matanya itu atas bawah.
“Cantiknya. Anak siapa ni?” tanpa sedar bibirnya mengomel perlahan.
“Semalam saya nampak encik jatuh dari atas bukit sana. Encik okey ke?” gadis itu senyum manis. Paling manis. Siapa yang melihat pasti meleleh air liur. Begitulah yang terjadi kepada pemuda itu sekarang.
“Awak ni siapa?” Afham masih dalam bunga – bunga perasaannya.
“Encik tak ingat saya ke?” gadis itu masih tidak letih senyum buat si lelaki.
“Ingat awak? Yang mana, ya? Kita kawan ke?” Afham apa lagi? Dah lupa diri yang dia sedang berada di tengah hutan sekarang.
“Saya yang tolong encik malam semalam. Kalau tak, encik tak sedarkan diri langsung.”
“Tolong saya?”
“Yalah. Saya tolong tampar pipi encik kuat – kuat semalam. Lepas tu, encik pun sedar dari pengsan.” Bersungguh – sunguh gadis itu memberi jawapan lagi.

Afham serta – merta membulatkan biji mata. Patutlah pipi aku pedih. “Kau tampar muka aku, perempuan?!”

Bersambung~~
Dari hati ke hati: Hmmm jangan cakap sawang la, log in je blog ni tadi siap jumpa cicak mengkarung bagai. Ni sebab NS masuk gua konon bertapa nak siapkan cite baru. And here is the new story. Harap awak2 semua terhibur dan support cerita yg biasa2 level Nurrul Shuada ni. hoho so happy reading gaisss!

5 comments:

sepatah komen anda ibarat setitik peluh petani..eh?