Followers

Thursday 9 August 2018

Jangan Bunuh Hatiku ~ PROLOG



Empat biji tayar kereta yang sedari tadi berputar akhirnya mematikan pergerakannya di tepi sebuah bendang yang kian menghijau. Nafas lega dihela rapi sebaik sahaja perjalanan yang agak jauh tadi tiba ke penamatnya. Imanina meliarkan biji matanya buat beberapa minit di kawasan kampung itu. Kelihatan ramai juga tetamu yang ingin bertandang ke tempat yang sama dengannya barangkali.
Sudah namanya kenduri kahwin, kan? Pastilah ramai yang diundang tanpa putus. Tambah pula makanan yang dijamu adalah percuma. Siap dapat cenderahati lagi sebelum pulang dari kenduri. Tapi, tapi, tapi… Bukanlah jenis Imanina yang gemar menghadirkan diri di tempat sebegini. Bikin bising dan serabut sahaja kepala otaknya dengan orang ramai dan bunyi lagu-lagu pengantin yang didendangkan sepanjang majlis. Lantas sebuah keluhan paling berat dibebaskan serta-merta.
          “Cool, Nina! Cool! Kau kena ingat yang Sara tu dah banyak kali tolong kau waktu di universiti dulu. Kalau tak kerana dia, confirm kau takkan dapat grad! Kalau tak sebab dia juga, kau takkan dapat jadi lawyer macam sekarang. Lawyer kut! Peguam Puteri Imanina binti Iskandar Syah. Bukan semua orang mampu nak jadi peguam melainkan orang yang bijak pandai macam aku ni, kan?”
          Langkah disusun dengan lagak wanita korporat yang sedang menapak masuk ke dalam syarikat gah di mata dunia. Walhal, terpaksa menghadiri majlis perkahwinan sahabat baiknya di sebuah perkampungan yang terletak di negeri Perak Darul Ridzuan itu.
          “Tak apalah, Nina. Bukannya selalu pun nak makan nasi kenduri macam ni. Lepas makan, kau dah boleh blah dari sini. Tak lama pun. Asalkan dapat bagi hadiah dan tunjuk muka dekat Sara pun dah cukup. Tak kuasa aku nak berlama-lamaan di tempat asing lagi menyemakkan kepala ini. Kampung-kampung tak ada air-cond macam ni memang not my style betullah! Yang Si Sara ni pun satu, kenapalah tak buat majlis kahwin dia kat hotel?!”
          Gadis itu sempat menghadiahkan senyuman plastiknya kepada beberapa orang tetamu yang berselisih jalan dengannya. Barangkali sudah mahu pulang dari rumah kenduri. Dalam hati masih lagi tidak putus membebel sendiri. Jangankan kata nak dapat berkat semoga jodohnya juga dipercepatkan, nak dapat pahala bertandang ke walimatul urus sahabat sendiri pun jauh sekali.
          Deringan telefon bimbit Imanina yang berkumandang secara tiba-tiba itu serta-merta membantutkan langkah gadis itu untuk menuju ke arah pengantin perempuan yang mungkin sedang diandam di dalam bilik pengantin. Kening berkerut kecil tatkala melihat nama pemanggil yang sedang tertera di skrin telefon bimbit. Hairan!
          “Ya, Sara! Aku baru aje sampai kat rumah kau ni. Hajatnya nak jumpa kau teruslah dulu ni. Kau ada kat dalam rumah ke?” Tanpa sebarang mukadimah, Imanina segera menyoal temannya itu.
          “Alhamdulillah. Kau dah sampai ya, Nina? Bagus! Kau sampai tepat pada masanya, Nina!” Agak ceria suara Sara kedengaran dari corong suara telefon bimbit itu. Misteri pun ada juga.
          “Haah. Aku dah sampai dah ni. Yang kau telefon aku ni kenapa? Tak sabar sangat ke nak jumpa aku ni?” Imanina sengih kecil sebelum menyambung semula langkahnya untuk memasuki ruang rumah pengantin itu.
          “Memang aku tak sabar nak jumpa kau pun sekarang ni, Nina. Aku nak minta tolong kau satu benda.”
          “Tolong? Tolong apa?”
          “Tolong jadi pengapit aku, Nina!”
          “Pengapit?!”
          Tapak kaki Imanina betul-betul mati di muka pintu bilik pengantin. Serentak bebola mata gadis itu bertembung dengan biji mata temannya. Sara segera menguntum senyum lebar bila melihat kelibat Imanina yang sudahpun berada di hadapan matanya itu. Imanina masih terpaku di situ. Tercengang beberapa minit.
          Perlu ke aku balik KL sekarang ni juga?
***
“Hisy! Kau ni biar betul, Sara? Kenapa aku pula yang kena jadi pengapit kau? Pengapit asal kau pergi mana?”  Tanpa segan silu Imanina segera menghempaskan punggungnya di bahu katil pengantin menghadap pengantin perempuan yang sudah sedia diandam dari tadi. Selamba dia merasmikan katil mempelai yang sudah cantik dihias itu.
          “Sepatutnya sepupu aku yang jadi pengapit aku hari ni, Nina. Tapi dia ada hal yang tak dapat dielakkan. Aku pun dah buntu nak minta tolong siapa lagi untuk jadi pengapit terjun aku. Dalam kepala aku cuma terfikir nama kau, Nina. Tolong aku, eh?” Riak Sara betul – betul ingin meraih simpati agar majlis persandingannya sekejap lagi dapat berjalan dengan lancar.
          Imanina membebaskan keluhan kecil seketika.
“Aku bukannya tak boleh tolong kau, Sara. Tapi kau sendiri pun tahu kan yang aku ni bukannya suka sangat hadir majlis orang kahwin. Inipun sebab kau yang kahwin tau. Kalau bukan sebab kau, aku tak datang. Dan sekarang kau suruh aku pula jadi pengapit kau? Bagi orang lain perkara ni mungkin kecil. Tapi bagi aku perkara ni besar. Tersangat besar untuk aku, Sara.”
          Berjela Imanina membalas kata temannya itu. Seboleh-bolehnya dia ingin melarikan diri dari tugas yang tidak diundang itu. Tak ada orang lain lagi ke yang boleh jadi penyelamat Sara selain aku? Mesti ada punya. Aku yakin!
          “Nina… Kau tahu kan yang kau tersenarai dalam orang-orang yang aku paling sayang dalam hidup aku? Kau sampai hati ke nak tengok aku tercongok seorang diri tanpa ada peneman kat atas pelamin? Kau sanggup ke tengok aku berjalan tanpa ada pengapit payungkan aku?” Sara tidak putus asa memujuk.
          Kali ni Imanina sudah membuang pandang ke arah luar tingkap bilik. Kala itu juga kelihatan sekumpulan anak muda kampung yang berpakaian serba hitam melintasi anak matanya. Kumpulan silat kampung yang bakal membuat persembahan untuk pengantin barangkali. Tak semena – mena dia juga terjebak dalam kebuntuan teman baiknya itu. Ni yang aku lemah ni! Kenapalah benda yang aku tak suka mesti benda tu juga yang aku kena buat? Haih!
          “Okey! Aku tolong kau. Tapi kali ni saja. Inipun aku kira hutang budi tau. Nanti bila-bila aku nak kau bayar, kau kena bayar okey?”
          Sara akhirnya menguntum senyum lebar seraya memeluk erat tubuh temannya itu. Tak terkata betapa gembiranya dia saat itu bila Imanina bersetuju untuk menjadi pengapitnya. Dia kenal sangat dengan sahabat baiknya itu walaupun gadis itu berhati kering namun masih ada marshmallow yang lembut dalam hati itu.
          “Okey, aku bayar. Aku janji. Terima kasih, Nina! Thank you so much.
          “You are welcome, my dear! Sudahlah tu. Jum get ready cepat! Rombongan suami kau dah nak sampai dah tu.”
Imanina menyambut senyuman temannya dengan manis. Kalau tadi, bukan main kelat air muka gadis itu. Semoga masa berlalu dengan pantas dan aku dapat pulang ke KL secepat mungkin. Tak pasal-pasal kena duduk kat rumah kenduri ni sampai petang. Anggap sajalah hari ni merupakan pengalaman manis dalam hidup kau, Nina. ‘Manis’lah sangat!
***
Pasangan mempelai masih lagi bersanding di atas pelamin. Ini bermakna Imanina juga masih lagi terpaksa berdiri tegak di sisi pengantin perempuan sambil mengipas lembut teman baiknya itu. Sesekali gadis itu membersihkan tapak tangan Sara yang direnjis dengan air mawar oleh sanak-saudara dan para tetamu yang bersalaman dengan pengantin.
          Tak letih ke Si Sara ni dari tadi asyik senyum dan bersalam dengan mak cik-mak cik ni semua? Memang macam ni ke orang kampung kahwin? Aku yang cuma jadi pengapit ni pun dah rasa penat dan bosan berdiri kat sini. Bila aku kahwin satu hari nanti, jangan harap aku nak buat majlis kahwin macam ni! Dah macam pasar malam pula bila tengok banyak khemah yang dia orang guna untuk tempat makan tetamu. Semak betul biji mata. Tak kemas langsung.
          Aturcara majlis diteruskan lagi dengan persembahan silat dari ahli-ahli kumpulan silat yang dibawa khas untuk tontonan pengantin dan para tetamu. Alat-alat muzik tradisional seperti serunai, gegendang dan gong yang biasa digunakan dalam persembahan silat mula didendangkan. Kesemua biji mata yang berada di majlis itu segera dipakukan ke arah pemuda-pemuda yang sudah bersiap-sedia untuk membuka langkah pertama.
          Tidak terkecuali juga dengan Imanina. Bebola matanya tanpa disuruh segera menumpukan perhatian kepada persembahan silat yang sedang ditayangkan. Pertama kali dalam seumur hidupnya dia dapat melihat persembahan silat secara langsung di hadapan matanya. Selalunya tengok di kaca televisyen saja. Walaupun seni silat merupakan seni mempertahankan diri tradisional, namun setiap pergerakan betul-betul memukau dan menarik perhatian para penonton.
          Tambah pula anak-anak muda ini sangat pandai bermain dengan senjata. Keris digunakan sebagai senjata untuk berlawan dengan seteru masing-masing. Sepasang demi sepasang lawan akan mempersembahkan pergerakan mereka. Imanina fokus. Sampaikan Sara tidak dikipasnya kerana terlalu khusyuk melihat persembahan silat yang sedang berlangsung itu. Interesting!
          Dalam leka melihat pergerakan silat dari anak-anak muda kampung itu, tak semena-mena dahi gadis itu berkerut. Benaknya berasa gusar. Ada sesuatu yang kurang senang bakal berlaku kala itu. Beberapa saat sahaja air muka Imanina berubah seratus-peratus bila terpandang ke arah seorang pesilat yang ingin menghunus sebilah keris ke bahagian abdomen lawannya. Gadis itu kaget.
          Tanpa diduga, Imanina menjerit di khalayak ramai di dalam majlis perkahwinan itu. Kesemuanya diam dan senyap. Segala pergerakan mati. Pesilat yang sedang beraksi juga menjadi patung. Dendangan serta-merta alat muzik terhenti. Kini semua biji mata hanya tertumpu pada gadis itu termasuklah pasangan mempelai. Bukan calang-calang punya jerit tapi gadis itu terus meronta bagai kena rasuk untuk meminta pertolongan.
          “Tolong! Tolong!!!”
          Sara yang terperanjat besar segera memalingkan kepalanya ke arah Imanina yang masih berdiri tegak di sebelahnya itu. “Eh, Nina! Kau dah kenapa?! Tiba-tiba menjerit minta tolong ni kenapa?”
          “Lelaki tu nak kena bunuh tadi, Sara! Sesiapa tolong telefon polis cepat!”
Bergetar bibir Imanina. Takut sekiranya benar-benar berlaku pembunuhan di hadapan matanya saat itu.
          “Kau cakap apa ni, Nina?! Lelaki mana pula yang nak kena bunuh?!”
          “Tu! Yang pesilat tadi tu! Aku nampak dengan biji mata aku ni yang lawan dia nak bunuh dia!” Tukas gadis itu dengan penuh yakin.
          Suasana majlis itu menjadi hingar tak semena-mena. Para tetamu mula berkata sesama sendiri. Pesilat-pesilat tadi sudahpun berdiri tegak memandang ke arah pengantin dan gadis yang tiba-tiba membuat onar di majlis perkahwinan orang itu. Salah seorang dari pesilat itu mendekati pelamin. Air muka pemuda itu tampak tenang. Barangkali dia adalah ketua kepada kumpulan silat itu.
          “Cik… Saya rasa cik dah salah faham ni. Lawan saya tadi bukan nak bunuh saya betul-betul. Kami hanya berlakon untuk mempersembahkan seni silat menggunakan keris saja. Tak ada apa-apapun yang berlaku. Tak perlu telefon polis, ya?” Pemuda itu bersuara lembut seraya mengukir senyum manis buat Imanina yang masih dengan riak terkejutnya itu.
          “Dengar tu, Nina! Hisy, kau ni! Itulah lain kali orang jemput pergi kenduri kahwin, pergi! Sampai dah tak tahu nak bezakan yang mana lakonan dan yang mana betul. Ni mesti first time kau tengok persembahan silat ni, kan?” Sempat pula pengantin membebel di atas pelamin.
          “Tak! Ni bukan lakonan, Sara. Aku yakin lelaki tu hampir kena bunuh tadi. Awak! Saya nampak riak muka lawan awak tu memang betul-betul nak bunuh awak tadi. Bukan lakonan ke apa ke. Sumpah! Percayalah cakap saya ni.” Imanina masih lagi dengan pendiriannya. Tepat bebola mata gadis itu bertembung dengan wajah pemuda itu.
          Pesilat-pesilat yang lain sudah berpandangan sesama sendiri. Serentak mereka juga menghampiri kawasan pelamin yang dijadikan medan perbincangan itu.
          “Tak apalah. Kami semua hargai pandangan cik tentang pergerakan silat kami tadi. Lain orang lain pendapat, kan? Tapi sekarang ni tak ada apa-apapun yang berlaku. So, cik jangan risau sangat, ya?” Salah seorang dari kumpulan silat itu pula menyampuk.
          “Kenapa semua orang tak percaya ni, ha? Aku cakap benda betullah! Ingat aku sengaja nak buat cerita ke?!” Mendadak nada Imanina secara tiba-tiba. Tak puas hati betul dia bila tiada seorang manusia pun yang percayakan kata-katanya kala itu.
          “Masalahnya, awak cakap benda yang tak betul! Tak masuk akal langsung! Kalau awak tak dapat nak terima kenyataan yang tiada unsur bunuh-bunuhan kat sini, saya rasa lebih baik awak balik rumah. Tak kasihan ke kat pengantin bila awak buat onar dalam majlis dia orang?” Giliran pemuda yang dianggap ketua kumpulan silat itu pula meninggikan suara. Nak kata perempuan ni tak siuman tapi tengok muka dan penampilannya nampak siuman.
          “Awak cakap saya buat onar kat sini?! Tak kenang budi punya orang! Saya dah selamatkan awak tadi tau?! Kalau tidak awak dah mati katak tadi. Baru padan muka untuk lelaki yang biadap macam ni!” Turun naik nafas Imanina melepaskan geram.
Berang betul hatinya tika itu. Mustahil dia hendak merosakkan majlis perkahwinan sahabat baiknya sendiri. Jauh panggang dari api! Tak pernah sekecil zarah pun dia hendak berbuat demikian kepada Sara.
          “Eh, perempuan ni muncul dari planet mana ya? Kawan kau ke, Sara? Kalau perempuan ni kawan kau, aku nasihatkan lain kali kau pilihlah kawan yang elok-elok. Cari yang waras sikit, ya?”
          Sara hanya mampu tercengang bila namanya turut dikaitkan dalam perbalahan mulut yang sedang berlangsung itu. Imanina apa lagi? Gegendang telinga sudah berdesing bila dirinya dikatakan tidak waras atau dalam erti kata lain, gila!
          “Awak tak puas hati dengan saya ke? Kalau tak puas hati, cakap! Sesedap rasa saja cakap saya ni gila, ya? I’ll sue you. Just wait and see.” Biji mata menikam tepat wajah pemuda yang masih dengan sengih sinisnya itu.
          “Akid, sudahlah tu. Aku rasa tak ada gunanya kita bertegang urat kat sini. Sara, kita orang minta maaflah buat majlis kau tergendala macam ni. Dan cik, saya berharap sangat cik tak fikir yang bukan-bukan lagi tentang ahli kumpulan kami. Kita kosong-kosong kat sini sajalah, ya? Anggap sajalah semua ni salah faham. Saya minta maaf bagi pihak kumpulan silat kami sekiranya ada salah dan silap sepanjang persembahan dijalankan tadi.”
Pemuda yang bergelar sepupu kepada Akid itu tumpang menyelit lagi. Cuba meredakan keadaan tegang dari menjadi lebih parah.
          Anak mata Imanina masih lagi dihala tepat ke wajah lelaki yang bernama Akid itu. Tidak kurang juga dengan Akid yang sedang memerhati gadis asing itu atas bawah. Hanya pandang pada wajah gadis itu sahaja pun sudah tahu yang Imanina adalah orang luar yang baru pertama kali bertandang ke kampung itu.
          “Sara! Sorry, sebab aku hanya mampu jadi pengapit kau sampai sekarang saja. Aku tak boleh tunggu lama lagi dah kat sini. Hati aku dah panas sangat. Rasanya inilah kali pertama dan terakhir tapak kaki aku jejak kampung ni. Aku balik KL dulu, eh? By the way, congrats on your wedding!” Imanina sempat memeluk lembut bahu temannya itu dengan berbekalkan jutaan rasa kesal menghadirkan diri di situ.
Sara hanya mampu membiarkan Imanina berlalu pergi dari ruang itu tanpa sebarang kata. Terasa sungguh buntu bila mengenangkan insiden yang tidak diundang tadi berlaku dalam majlis perkahwinannya sendiri.
“Nina…”
“And you, handsome man! Watch out! Somebody might kill you soon. Trust me, I’m a lawyer!”
Tapak kaki  dipaku tepat menghadap Akid. Ayat keramat yang baru sahaja terbit dari bibir mungil gadis itu seolah-olah menyimpan seribu satu makna. Air muka Akid yang ingin berubah cuaca segera dikawal apabila anak matanya juga menikam wajah gadis itu.
Lantas Imanina tarik senyum sinis bila biji matanya sengaja dilirikkan ke wajah pesilat yang menjadi seteru Akid dalam persembahan silat tadi. Lelaki itu pula segera melarikan anak matanya ke tempat lain agar dia tidak dipersalahkan lagi dalam hal ini. Dari tadi dia hanya membatu di situ membiarkan Akid dan sepupunya, Adam membela dirinya.
Belakang gadis yang sedang berlalu pergi itu diperhati lama. Bukan sahaja Akid, malah semua ahli kumpulan silat itu tidak berganjak biji mata memandang Imanina yang sedang menuju ke arah keretanya. Adam dan sepupu-sepupunya yang lain lekas mendekati Akid yang masih berdiri tegak di ruang itu.
“Aku rasa macam ada yang tak kena dengan perempuan ni.” Ujar Akid perlahan.
Masing-masing turut mengiakan sendiri. Musykil benar dengan apa yang berlaku secara tiba-tiba hari ni.

bersambung~

p/s: setelah 2 tahun shu jadi chipsmore, macam biasa jenuh tiup habuk kat blog ni sebelum update. tak produktif betul kan? haih. tapi jangan risau. novel baru ni dah siap hantar kat penerbit. jemput baca geng!