Followers

Saturday 27 August 2016

Jom temui novel Katakan Tidak Pada Cinta dalam versi cetak!!!


Haiii! Alhamdulillah.. Seperti yg sedia maklum novel Katakan Tidak Pada Cinta sudahpun berada di pasaran. Novel ni telahpun siap dibukukan dan bukannya masih lagi dlm pembikinan shu. Shu dah upload bab2 awal novel ni dlm blog. So, jemputlah baca dari prolog hingga bab 20 yg shu dah publish ye. Manalah tahu berkenan di hati cerita ni. Novel ni boleh didapati di semua kedai buku. MPH ada. Popular ada. Kalau malas keluar rumah, beli online je senang. Macam mana nak beli online? Ha, cer baca kat gambar di atas. Siap diskaun lagi! Kau hade?? hehe

Novel Katakan Tidak Pada Cinta ini merupakan novel ketiga karya Nurrul Shuada dan dipersembahkan untuk semua!

BLURB~

Dendam masa lalu telah menghapuskan perkataan ‘cinta’ dari kamus hidup Inspektor Muhammad Afham Nazhan. Sisa yang tinggal sekarang hanyalah untuk memastikan Roy diberkas dalam tangannya sendiri. Kematian kekasihnya beberapa tahun yang lepas perlu dituntut bela!

Detik tengah malam di dalam sebuah hutan belantara. Detik yang sedang bermula segalanya. Dengan hanya berniat untuk membantu seorang inspektor polis yang tercedera, Cinta Fiska mempertaruhkan keselamatannya demi amalan ‘budi bahasa budaya kita’. Namun, lelaki yang diselamatkannya itu bukanlah jenis yang mengenang budi. Bercakap dengan Afham serupa bercakap dengan hantu. Bahasanya sentiasa keras dan kasar.

“Yang kau tampar pipi aku tanpa kebenaran apasal? Pipi aku ni bayar zakat, kau tahu tak? Suka hati mak bapak kau aje, kan?!” – Muhammad Afham Nazhan

“Bayar zakat pipi ke kepala?” – Cinta Fiska

Masing-masing membawa diri. Afham dengan dendamnya dan Fiska dengan misi pencarian abang kandungnya. Sekali lagi mereka berdua dipertemukan bersama Darish Izuan. Tanpa sengaja, hati Darish terusik. Nama indah Cinta Fiska mula meniti di bibir. Keadaan bertambah rumit bila siang dan malam Fiska pula hanya memikirkan Afham.

“Saya ni dah gila ke? Normal ke setiap detik saya fikirkan tentang awak, Am? Saya dah mula rindukan awak ke? Kalau saya dah tersuka awak, boleh tak awak sukakan saya balik?” – Cinta Fiska

Cinta segi tiga. Darish cintakan Fiska. Fiska pula cintakan Afham. Tetapi, Afham?

Ada banyak sebab mengapa Afham tidak membalas cinta Fiska. Dia perlu mengalah demi kebahagian sepupunya, Darish. Dia buntu dengan kebenaran yang baru saja terbongkar tentang

Roy. Tambah pula dengan konflik lampau keluarga besarnya. Tetapi, mengapa semuanya tidak berjalan seperti yang dirancang? Mengapa hanya mulut katakan tidak, sedangkan hatinya sudah bersumpah ‘tiada Fiska bermakna tiada cinta’?

Pengakhirannya Fiska tiba-tiba bersetuju untuk berkahwin dengan Darish! Adakah ini kejutan yang paling besar buat Afham? Apa sudah jadi? Temui pengakhiran kisah cinta bersegi mereka dalam Katakan Tidak Pada Cinta.

~Katakan Tidak Pada Cinta 20~


Cinta Fiska menapak perlahan keluar dari fitting room yang disediakan untuk pelanggan di butik pakaian itu. Kalau aku tahulah props yang dimaksudkan Darish adalah pakaian baru, dah lama aku tak setuju. Beria – ria sangat pula dia. Nama pun nak berlakon. Buat apa nak membazir segala?
          Riak wajah Afham cuba dibaca bila terpaksa memperagakan pakaian yang sudah dipilihnya tadi. Afham geleng kepala tanda tidak berkenan. Gadis itu mengeluh sekejap. Tak ada perasaan ke dia ni? Sikit punya cantik dress aku pilih ni, dia boleh geleng saja? Pakaian kedua pula disarung ke tubuhnya.
          “Macam mana?” sekali lagi Fiska tayang depan Afham.
          Sekali lagi juga Afham geleng. Siap dengan cebik lagi. Sah, lelaki puaka ni memang tak ada perasaan langsung!
          Pakaian ketiga yang dicuba juga turut mendapat kritikan dari juri yang tidak bertauliah itu. Lain kali tolonglah cari orang lain untuk ganti kau, Rish. Sepupu kau ni langsung tak bagi manfaat. Yang dia tahu cuma geleng saja. Bukannya nak bagi sokongan padu kat aku.
          Afham terkesima beberapa saat bila melihat gadis itu yang sedang menayangkan pilihan dress keempat yang berwarna putih berbunga – bunga kecil warna peach itu. Atas bawah dia pandang gadis cantik itu tanpa kedip. Lantas pemuda itu berdehem kecil. Fiska pula masih bersabar menunggu keputusan dari mulut Afham. Kalau dia tak nak juga baju ni, aku give up. Pakai saja baju aku yang ada kat rumah tu.
          “Okey. Saya ambil dress ni.” ujar Afham kepada staf butik itu tiba – tiba.
          Fiska tersentak beberapa saat. Bertambah terperanjat bila Afham menyambung katanya lagi.
          “Semua dress yang dia try tadi, awak bungkuskan sekali ya?”
          “Eh, nak buat apa banyak – banyak? Ambil dress yang ni saja, ya?” Fiska cepat – cepat menyampuk. Dia ingat hari raya ke apa nak beli baju banyak – banyak?
          “Saya ambil semua sekali. Saya yang nak bayar. Dah, kau pergi tukar baju balik. Kita pergi tengok kasut dan shawl pula.”
          Pelayan butik itu hanya akur dan berlalu dari situ. Fiska dah mencebik sebelum menerobos semula ke dalam fitting room. Bila melihat tanda harga yang tertera di semua pakaian yang dicubanya tadi, terasa nak pitam sekejap. Kain apa yang dia orang guna sampai harga baju pun beratus – ratus ni?
          Lain pula halnya di butik yang menjual kasut – kasut perempuan itu. Usai memilih selendang yang sesuai dengan dress yang dipilihnya tadi, kasut pula menjadi sasaran. Baru sahaja gadis itu ingin menuju ke arah sandal perempuan yang biasa dibelinya, Afham segera menghalang langkah Fiska.
          “Kau pergi test kasut tinggi kat sebelah sana tu.” Arah lelaki itu sambil dengan jari telunjuknya diluruskan ke arah kasut – kasut bertumit tinggi yang di susun rapi.
          Terbeliak sekejap biji mata Fiska. Tinggi macam gunung Everest kata kau!
          Teragak – agak Cinta Fiska cuba menapak dengan kasut tinggi yang dipilihnya tadi. Afham yang hanya melihat gelagat gadis itu seperti bayi baru belajar berjalan sudah sengih senget. Fiska… Fiska… Bagai nak gugur jantungnya tiba – tiba bila melihat Fiska yang hampir terpelecok dek kasut lagak modelnya itu.
          Fiska tarik nafas dalam dan menegakkan tubuhnya kembali. “Tak apa. Tak apa. Saya okey.”
          Afham juga sudah menghela nafas lega dalam diam. “Cantik dah kasut ni. Ambil yang ni sajalah.”
          Sementara menunggu staf butik itu mengambil kasut yang hendak dibeli tadi, Afham dan Fiska segera menuju ke kaunter pembayaran.
          “Tak apa ke awak bayar semua ni?”
          Gadis itu bersuara tiba – tiba. Rasa bersalah pun ada bila inspektor polis itu berbaik hati dengannya. Tapi kalau dia tak tolong bayar, mana aku ada duit nak bayar barang – barang mahal macam ni.
          “Tak apa.” Balas Afham pendek.
          Tak apa aje dia jawab? Misteri betul jawapan dia ni. “Awak nak suruh Mak Ucu potong gaji saya lagi ke untuk ganti balik barang – barang ni semua?”
          “Taklah. Aku claim dengan Rish ajelah nanti.”
          Fuh! Fiska hela nafas lega. Sangkanya tadi gaji pertamanya bekerja dengan Mak Ucu akan ditolak lagi. Kalau kena tolak lagi, tak tahulah tinggal berapa sen aje gaji aku nanti. Nasib baik claim dengan Rish. Lagipun, ini semua rancangan Rish juga. Biar dialah yang bertanggungjawab. Gelak jahat dalam hati.
          “Tapi ada satu soalan aku nak tanya kau.” Afham menyambung lagi tiba – tiba.
          “Apa dia? Tanyalah.”
          “Kau dah fikir masak – masak ke nak jumpa parents Rish tu?”
          Fiska terdiam sekejap. Selang beberapa saat, gadis itu mengangguk laju. Ala, aku cuma nak tolong Rish saja. Apa salahnya, kan? Lelaki itu pandang lama wajah gadis yang masih senyum manis itu. Jangan rasa semua orang tu baik, Cinta Fiska. Kata – kata yang hanya terluah dalam hati.
***
Langkah dimatikan tak semena – mena bila melihat dari kacamata hitamnya seorang pemuda yang sedang berjalan bersama seorang gadis itu. Wajah Inspektor Afham diperhati lama dari jauh. Serta – merta senyuman melebar yang membawa beribu jenis maksud. Patutlah orang selalu cakap, cepat sungguh masa berlalu.
          “Dah lama kita tak jumpa kan, Inspektor Afham?”
          Pandangan beralih pula ke arah gadis yang sedang rancak dengan keletahnya berjalan di sisi Afham. Cantik.
          “Pandai kau cari pengganti, Am. Harap – harap bukan polis jugalah macam kekasih kau yang dulu tu. Kalau boleh, aku tak naklah pisang berbuah dua kali.”
          Sengih makin meleret. Langkah disambung semula menapak di ruang kompleks beli – belah itu. Tatkala langkahnya betul – betul berjarak beberapa inci sahaja dengan inspektor polis itu, bebola mata dikerlingkan sedikit ke arah pemuda dan gadis yang langsung tidak menyedari kehadirannya di situ.
          “Bila tiba masanya kita akan bersua sekali lagi suatu hari nanti, Am.”
          Kaki terus menapak laju meninggalkan kawasan tempat beli – belah itu. Buat beberapa ketika, Afham menoleh ke belakang. Seperti terpanggil untuk dia melihat sesuatu yang dia terlepas pandang. Namun, kosong. Tiada siapapun. Pelik. Kenapa rasa seperti kurang senang?
***
          “Pukul berapa kau jumpa parents Rish tu esok?” Afham memecah sunyi walaupun biji mata masih fokus ke hadapan jalan.
          “Petang esoklah kut. Rish kata waktu dinner. Nanti dia datang ambil saya kat rumah.”
          Belum sempat Afham membalas, telefon bimbitnya sudah menjerit minta dijawab. Sekali lagi nama Darish tertera. Meeting ke tidak sebenarnya dia ni? Asyik telefon aku aje kerja dia dari tadi. Aku report kat guru besar dia nanti baru tahu.
          “Helo.”
          “Helo. Aku dah habis meeting ni, Am. Kau orang kat mana? Aku datang sekarang, ya?”
          Afham kerling sekejap Fiska yang hanya membuang pandang ke tingkap keretanya itu. “Hmmm entahlah. Aku pun tak tahu kat mana ni.”
          Biji mata menghala pula ke arah papan tanda jalan yang tertera ditulis dengan perkataan Greentown. Sejak bila kau pandai menipu ni, Am?
          “Eh, kau orang shopping kat mana tadi? Jauh sangat ke sampai tak tahu nama tempat tu?”
          Darish masih dengan soalannya. Hairan pula dirasakan. Kelam – kabut dia keluar dari bilik mesyuarat tika selesainya mesyuarat tanpa diundang hari itu. Dengan harapan sempatlah dia menuju kepada Afham dan Fiska. Dialah orang pertama yang menghilangkan diri sebaik sahaja sesi mesyuarat tamat.
          “Tak adalah jauh mana. Tapi biasalah, aku bukannya tahu sangat nama – nama tempat kat sini.” Afham balas selamba.
          “Tulah kau. Duduk Ipoh dah berapa tahun dah tapi nama tempat pun tak tahu.”
          Afham hanya ketawa kecil. Buat – buat ketawa yang pastinya.
          “Tak apalah. Aku tunggu kau dengan Ika kat rumah Mak Ucu, ya? Cepat sikit balik tu. Semua barang yang perlu, kau dah beli dah?”
          Darish sambung dengan menyoal lagi. Ingatkan nak matikan panggilan dah Si Rish ni.
          “Dah. Kau jangan risau. Nanti kau tengok sesuai ke tidak.”
          “Okey. Lagipun, aku percaya taste kau. Kau orang dah makan ke?”
          Dia tanya lagi!
          “Aku tengah drive ni. Dah sampai rumah nanti aku cerita dekat kau yang aku ni dah makan ke belum, ya?”
          Perli Afham serta – merta. Tahu sangat dah dia yang tujuan Darish tu sebenarnya nak bercakap dengan Fiska. Banyak pula soalan yang diajukan. Macam tak boleh tunggu dia dan Fiska balik ke rumah nanti.
          “Okey. Okey. Cepat sikit balik!” Sempat lagi Darish mengingatkan.
          “Yalah.” Talian dimatikan dengan kadar segera. Bahaya! Sebelum Darish buka soalan ‘ambil berat’ dia lagi tu, lebih baik putuskan panggilan secepat mungkin.
          “Siapa call awak? Rish ke? Dia dah habis meeting ke?” tanya Fiska tak semena – mena.
          “Tak adalah. Kawan aku. Kau tak kenal.” Pembohongan masih diteruskan lagi.
          Tapi kenapa kau harus berbohong, Muhammad Afham Nazhan?

++bersambung++

~Katakan Tidak Pada Cinta 19~



Kedua – dua belah kaki digoyangkan sambil ralit menggigit buah epal. Hmmm tenang betul dunia bila duduk kat rumah ni. Kalau tak disebabkan tuan rumah ni yang berkira sangat, aku pun tak inginlah nak tinggal kat rumah saudara – mara kau tu. Fiska cebik sendiri bila mengimbau kembali adegan dia dimarahi Afham tempoh hari. Mana mungkin untuk dia lupakan saat dia dihina sampai begitu sekali. Perkataan ‘hina’ tu nampak macam kejam sangat aje.
          “Amboi, senang hati nampak!” Najwa melabuhkan punggung di atas sofa. Lega bila melihat temannya itu masih berkeadaan baik.
          “Tak adalah senang hati manapun. Biasa aje.” Balas Fiska ada tidak. Najwa dah mencebik.
          “Macam mana dengan bilik sewa baru kau? Okey ke?”
          “Okey sangat. Cuma adalah sikit – sikit yang tak okey tu.” ‘Sikit – sikit yang tak okey tu’ sudah tentulah merujuk kepada lelaki yang bernama Afham.
          “Tak apalah. Aku pun dah lega bila dapat tahu kau dah ada tempat tinggal. Tapi bos tadika tempat kau kerja tu kira baik sungguhlah, kan? Siap tolong sewakan bilik kat rumah dia lagi untuk kau.”
          “Haah, dia memang baik pun. Lagipun, dalam rumah dia tak ada sesiapapun. So, dia offer aku menyewa kat rumah dia bila aku tanya dia ada tahu tak mana – mana owner rumah yang nak sewakan bilik.”
          Tak sangka pula malam yang aku tipu aku duduk kat rumah bos aku tu betul – betul jadi kenyataan, Wa. Kata – kata yang hanya disimpan dalam hati. Dalam diam dia sememangnya sudah menitip berjuta syukur kepada Allah SWT kerana telah menyenangkan dia tika dia dalam kesusahan.
          “Eh, dia tak ada ahli keluarga lain ke yang tinggal dengan dia?”
          Fiska geleng. “Tak ada. Cuma kadang – kadang tu adalah anak saudara dia dua orang ni datang bertandang ke rumah dia.”
          “Oh, laki ke perempuan anak saudara dia tu?” perasaan teruja tiba – tiba ingin tahu.
          “Entahlah. Laki kut. Aku pun tak ambil tahu sangat pasal anak – anak saudara dia tu. Aku buat hal aku ajelah.”
          Cis, penipu! Iya sangatlah tu tak ambil tahu pasal anak – anak saudara Mak Ucu. Aku kenal dia orang dulu sebelum kenal Mak Ucu.
          “Handsome tak, Ika?” riak Najwa benar – benar sudah bersinar mengharapkan kekacakan lelaki – lelaki yang dimaksudkan.
          “Handsome apanya? Muka anak saudara bos aku tu sikit aje lagi nak sama dengan penyangak, tahu? Itupun kau belum tengok perangai dia yang macam hantu tu lagi.”
          Fiska ketawa besar seorang diri. Puas sungguh hatinya dapat mengumpat Afham di belakang. Tak dapat balas cara kasar, aku balas cara halus.
          “Dua – dua anak saudara bos kau tu muka macam penyangak?”
          Tawa mati. Gadis itu berdehem sedikit. “Seorang aje yang muka macam tu. Seorang lagi muka macam bunga. Manis sepanjang masa. Rasa macam boleh kena kencing manis pula aku bila bercakap dengan dia.”
          “Tak apalah kalau macam tu. Asalkan kau dah ada tempat tinggal yang selamat, aku dah bersyukur dah. Hmmm pasal abang kau pula macam mana?”
          Soalan yang baru sahaja diajukan temannya itu membuatkan Fiska mengeluh berat serta – merta. “Macam tu sajalah. Aku pun tak tahu nak mula dari mana nak cari abang aku tu.”
          “Hari tu kau kata ada orang dalam boleh minta tolong. Mana orang dalamnya tu?”
          Serta – merta wajah Inspektor Afham muncul di ruang minda. Memang dia pernah berniat nak minta tolong anggota polis itu dulu. Tapi bila mengenangkan insiden malam keramat untuk ke kedai runcit membeli sabun basuh kain itu, lebih baik lupakan sajalah niat dia untuk meminta tolong. Buat kena halau terus dari rumah Mak Ucu aje karang.
***
          “Am malaslah, Mak Ucu.”
          “Kamu ni, hari cuti orang minta tolong pun malas?” Mak Ucu dah naik suara bila melihat anak saudaranya yang masih berbaring di atas sofa sambil menonton televisyen dengan penuh perasaan senang hatinya itu.
          “Sebabkan hari cutilah Am malas. Am nak rehat. Tak nak keluar mana – mana pun.” Balas pemuda itu lagi.
          “Kalau tak sebab ada mesyuarat PIBG sekolah tu, Rish tak minta tolong kamu pun. Tolonglah dia. Rish dan pesan kat Mak Ucu pagi tadi. Janganlah degil sangat. Lagipun, inilah masanya untuk kamu minta maaf dekat Ika, kan?”
          Minta maaf? Afham dah kerling wajah ibu saudaranya itu. “Masalahnya kenapa Am pula yang kena pergi teman Cinta Fiska tu shopping? Nanti mesyuarat habis, suruhlah Rish pergi teman perempuan tu. Ni lagi satu, sejak bila pula dia orang berdua rapat sangat sampai nak shopping sekali?”
          “Rish minta tolong Ika. Sebab tu Rish kena teman Ika pergi shopping pakaian yang sesuai. Tapi disebabkan dia ada hal tiba – tiba hari ni, dia suruhlah Mak Ucu bagitahu kamu tolong temankan Ika pergi beli pakaian untuk dia.” Jelas wanita itu satu persatu.
          Afham kerut dahi beberapa saat. “Pakaian? Rish minta tolong apa?”
          “Rish tak ada cerita apa – apa ke kat kamu? Pelik.” Giliran Mak Ucu pula hairan.
          Afham hanya menggelengkan kepala laju. Belum sempat dia membalas kata, kedengaran nada dering telefon bimbit sedang memanggil. Tertera nama sepupunya di hadapan skrin telefon. Panjang umur sungguh.
          “Am, kau tolong teman Ika ya? Aku dah janji dengan dia hari ni tapi aku tak rasa meeting aku ni habis awal. Kasihan dia tunggu aku lama pula nanti.” Darish terus bersuara tanpa sebarang salam diberi.
          “Event apa yang kau dengan perempuan tu nak pergi sampai beria – ria sangat nak kena shopping dulu ni?”
          Afham sudah mengeluh kecil. Tak pasal – pasal dia yang menjadi mangsa kena teman Cinta Fiska hari ni. Bukannya dia tak suka nak teman gadis itu, tapi disebabkan dia dah tersilap besar marah orang tak tentu pasal malam itu. Sejuta kali dia rasa bersalah. Aduhai!
          “Tak ada event apa sangat pun. Cuma aku minta tolong Ika menyamar jadi kekasih aku depan mama dan papa. So, dia orang nak jumpa Ikalah Ahad ni.” ujar Darish selamba.
          Afham tersentak hebat. “Menyamar jadi kekasih kau?!”
          “Haah, kalau tak mama aku nak masuk meminang anak kawan dia untuk aku. Gilalah!”
          “Hmmm rumit kes kau ni, Rish. Habis tu, Cinta Fiska setuju ke nak tolong?”
          “Setujulah. Kalau tidak, takkan aku dengan dia boleh berjanji nak pergi shopping hari ni. Kau tolong aku, ya? Sekejap lagi aku call Ika bagitahu kau teman dia.”
          “Tak payah call dia. Dia balik rumah nanti, aku temanlah dia.” Balas Afham lemah. Serba – salah betul dirinya dirasakan sekarang. Tolong salah, tak tolong lagilah salah.
          “Okey. Thanks, Am. Jasamu dikenang.” Talian segera dimatikan.
          Keluhan berat dibebaskan buat seketika. Dikenanglah sangat! Apa aku nak cakap dengan perempuan itu nanti pun entahlah.
***
Tapak kaki betul – betul mati di hadapan kereta inspektor polis itu. Fiska pandang kiri sekejap. Kemudian, dia pandang kanan pula. Bila terlihatkan wajah Afham yang sudah merenung dia dari dalam kereta membuatkan gadis itu menukar langkah. Takkan tak habis – habis lagi nak cari gaduh dengan aku. Gadis itu segera mempercepatkan langkah berjalan menuju ke rumah Mak Ucu.
          “Hoi, Fiska! Tunggu.” Afham cepat – cepat melompat keluar dari dalam kereta.
          Fiska diamkan kakinya sekejap. Dia panggil aku ke? Kena lari lebih laju ni nampaknya. Belum sempat gadis itu memasang langkah seribu, lengannya direntap pemuda itu. Mati kau, Ika! Memang mati aku kena tadah telinga sekali lagi dengan lelaki puaka ni.
          “Kau nak ke mana? Tak dengar ke aku panggil kau tadi?”
          “Awak nak apa lagi? Saya tak ada urusan dengan awak pun. Tolonglah jangan kacau saya lagi.” Fiska memberanikan diri untuk menjawab.
          “Memanglah kau tak ada urusan dengan aku tapi aku ni ada urusan dengan kau. Jom, ikut aku!” Langkah Afham terhenti bila Fiska menarik lengannya semula.
          “Awak nak marah saya apa pula kali ni? Nak maki saya kat mana pula?” Fiska tikam tepat biji mata pemuda itu.
          Afham diam sekejap. Buat beberapa minit dia pandang wajah lembut gadis yang bertudung litup itu. “Aku ganti Rish teman kau beli pakaian untuk jumpa parents dia esok.”
          Mendatar nada Afham membalas. Fiska terus berubah air muka. Apa benda yang Si Darish buat ni? Apasal tak bagitahu aku dulu kalau ya pun tak jadi nak teman? Aduh!
          “Kenapa awak pula yang kena teman saya? Rish pergi mana?”
          “Dia ada meeting kat sekolah. Dia lupa nak bagitahu hari tu. So, dia minta aku tolong teman kau.”
          “Kalau macam tu, saya tunggu dia habis meeting sajalah. Awak tak payahlah susah – susah…”
          Belum sempat Fiska menghabiskan kata, Afham sekali lagi menarik lengan gadis itu menuju ke keretanya semula.
          “Apa awak buat ni?! Ingat lengan saya ni apa? Main sentuh – sentuh perempuan pula. Haram, tahu tak?” bulat biji gadis itu pandang wajah Afham.
          “Tahu. Dulu yang kau pernah tampar pipi aku dalam hutan, sepatutnya kau pun tahu tu haram.”
          Gadis itu diam sekejap. Terimbau semula ketika kali pertama dia melihat pemuda di hadapan matanya itu. “Tu sebab darurat.”
          “Rish meeting sampai malam karang. Lebih baik kau masuk dalam kereta cepat.”
          Topik ditukar. Fiska dah tercengang. Sampai malam dia meeting? Meeting jenis apa tu?
          “Nak masuk ke tidak ni?” pintu kereta di sebelah penumpang sudah dibuka.
          Fiska pandang sepi ruang kosong di tempat duduk penumpang itu. Nak paksa – paksa aku pula? Ingat aku nak masuk dalam kereta dia sangat ke? Jangan haraplah!
          “1…”
          Gadis itu sudah tersentak.
          “2…”
          Eleh, kiralah sampai sejuta pun! Aku takkan masuk.
          “Tak nak masuk sudah!”
          Belumpun sempat kiraan sampai nombor tiga, pintu kereta ditutup semula. Afham terus melangkah menuju ke tempat duduk pemandu semula. Fiska dah kerut dahi melihat tingkah pemuda itu. Cis! Kira tak sampai nombor tiga, dah give up! Tak semena – mena gadis itu menerobos ke dalam perut kereta dengan sendirinya. Afham hanya menahan sengih dalam diam.
          “Aku minta maaf pasal malam tu.”
          Teragak – agak Afham memecah sunyi setelah hampir setengah perjalanan. Fiska yang dari tadi menyepi pandang ke luar tingkap terus mengerling ke wajah pemuda itu.
          “Aku minta maaf sebab bersangka buruk dengan kau. Aku pun tak ada alasan apapun nak bagi kat kau. Tapi mungkin sebab kerja aku yang sering berkait dengan penjahat sebab tu aku lebih hati – hati.” Afham menyambung kata lagi.
          “Tak apalah. Saya faham.”
          Fiska hanya membalas pendek walaupun jauh disudut hatinya dia sudah tidak mengambil hati sangat dengan insiden malam itu. Yalah, semuanya berlaku secara kebetulan sangat. Siapa ajepun yang boleh percaya, kan? Cuma yang salahnya bahasa yang Afham guna untuk memarahi dia malam itu. Tak boleh nak guna bahasa elok – elok sikit ke?
          “Lagi satu, aku minta maaf sebab guna bahasa kasar dengan kau malam tu. Apapun alasan kau datang sini, aku yakin kau ada sebab sendiri.” Sekali lagi kata maaf dipinta lelaki itu.
          Fiska pandang tepat wajah Afham tak semena – mena. Lain macam saja bunyinya ni. “Awak dah tahu sebab saya datang ke sini ke?”
          Lambat – lambat pemuda itu mengangguk. Fiska hanya mampu menghela nafas panjang. Aku dah agak dah. Patutlah dia beria – ria nak minta maaf.
          “Kau tak payahlah bagitahu Mak Ucu yang kau dah tahu aku tahu sebab kau datang ke sini.”
          “Ha, elok sangatlah tu! Mak Ucu mesti cakap kat awak jangan bagitahu saya yang dia bagitahu awak. Lepas tu, awak pula cakap kat saya jangan bagitahu Mak Ucu yang saya dah tahu awak pun dah tahu pasal ni.”

          Fiska membulatkan biji matanya memandang pemuda itu. Mak Ucu pun sama tak boleh pegang rahsia. Haih. Afham hanya sengih kecil melihat riak gadis itu. Comel.

++bersambung++

Wednesday 24 August 2016

~Katakan Tidak Pada Cinta 18~


Tubuh disandar lemah di atas sofa. Kelopak mata terasa berat ya amat untuk dicelik. Mahu sahaja dia memejamkan mata yang sudah keletihan dek terlalu fokus terhadap kes penculikan kanak – kanak itu. Mangsa yang keempat juga merupakan budak pra sekolah setelah dibuat pengecaman identiti. Tapi yang peliknya kenapa tidak ada sesiapapun ahli keluarga mangsa yang membuat laporan kehilangan?  
          Masuk kali ni, keempat – empat kes penculikan dan pembunuhan yang sama berlaku. Aku yakin sangat ni semua kerja penjenayah yang sama. Tapi sampai sekarang pun masih belum ada tanda – tanda suspek menunggu kanak – kanak di kawasan pra sekolah pada waktu tamat persekolahan. Cuma dalam kes Nurul Atikah ada peniaga menjual ais krim tapi bila ditanya kepada tadika mangsa yang lain, tak adapun peniaga ais krim berada di kawasan pra sekolah pada hari kejadian.
          “Mana sabun basuh kain, Mak Ucu? Hari tu beria – ria sangat offer diri nak pergi beli. Mana? Mak Ucu nak basuh kain ni tak ada sabun.”
          Suara wanita yang wujud di ruang tamu itu tiba – tiba serta – merta mematikan lamunan Inspektor Muhammad Afham Nazhan dengan kejamnya. Lupa sekejap hal kerja.
          “Ala, Am lupalah nak beli hari tu. Sorry Mak Ucu, sorry.
          “Lupa? Habis tu, Mak Ucu nak basuh kain macam mana ni? Dah dua hari tak basuh kain. Yang kamu keluar ke kedai malam tu, pergi mana?”
          Serta – merta insiden malam di mana dia memarahi Cinta Fiska itu menerpa ke minda. Terasa bersalah pun ada bila terlalu berkasar dengan seorang perempuan tapi yang perempuan tu berat mulut sangat nak bagitahu sebab dia ke sini apahal? Entah – entah dia memang sudah berniat jahat sejak dari awal lagi. Nak intip aku mungkin?
          “Mak Ucu tengah bercakap dengan kamu ni, Am.”
          Sekali lagi lamunan lelaki itu mati.
          “Ya, Am dengar. Am on call tiba – tiba malam tu. Sebab tu Am terlupa nak ke kedai.” Bohong walaupun dia sudah dapat lihat riak Mak Ucu yang sudah mula ingin menyinga itu.
          “Kamu jangan nak tipu Mak Uculah, Am. Sebab tak dapat nak basuh kain, biar Mak Ucu yang basuh kamu pula. Kamu cakap apa dekat Ika malam tu, hah?” wanita itu pandang tepat wajah anak saudaranya tanpa kedip.
          “Cakap apa pula? Tak ada apapun. Lepas Am dapat call, Am terus pergi balai. Cinta Fiska balik rumahlah kut rasanya, kan?”
          “Haah, memanglah balik rumah tapi balik dengan muka sedih. Macam orang yang baru lepas menangis.”
          “Menangis?” berubah sedikit air muka Afham tiba – tiba.
          “Yalah. Apa yang kamu cakap dekat dia malam tu? Cuba bagitahu Mak Ucu elok – elok sebelum Mak Ucu tanya Ika sendiri nanti.” Mak Ucu masih lagi tak putus asa.
          “Am cuma tanya apa niat dia nak rapat dengan keluarga kita. Tu saja.”
          Keluhan kecil dibebaskan sejenak. Memandangkan wajah anak saudaranya yang masih selamba itu membuatkan kepala menggeleng perlahan.
          “Soalan kamu tu membuatkan orang yang disoal tu boleh salah faham tahu tak?”
          “Masalahnya Mak Ucu, dia tu orang luar. Entah dari mana – mana dia datang lepas tu nak duduk kat sini sekali. Padahal dia dah tinggal dengan kawan dia kat rumah sewa. Bahaya, Mak Ucu. Kita tak tahu apa niat dia. Kalau dia tu penjenayah, macam mana?” pemuda itu meluah dengan rasa tidak puas hati.
          “Kalau dia bukan penjenayah, kamu dah berdosa besar tahu tuduh dia macam tu.”
          Afham diam sekejap. Tidak membalas.
          “Sudahlah, Am. Lebih baik kamu minta maaf dengan Ika balik. Jangan ingat apa yang kamu fikir tu semuanya betul.”
          “Minta maaf? Mak Ucu, tolonglah jangan percaya orang sembarangan. Zaman sekarang ni baik lelaki mahupun perempuan semua sama saja jahatnya. Jangan jadi baik sangat tolong orang tak bertempat, Mak Ucu.” Afham menyambung lagi.
          “Salah ke Mak Ucu tolong seorang gadis yang dihalau dari rumah sewanya, yang langsung tak ada tempat tinggal untuk meneruskan hidup dia di sini?”
          Sekali lagi air muka pemuda itu berubah cuaca. Tak mampu dikawal lagi. “Dia kena halau dari rumah sewa dia ke? Kenapa, Mak Ucu?”
          “Sebab dia tumpang rumah kawan dia tu tanpa pengetahuan tuan rumah. Tuan rumah tu tak bagi dia kongsi bayar sewa dengan kawan dia tu.”
          “Habis tu, kenapa dia tak balik tempat asal dia saja? Buat apa tinggal kat sini lagi kalau dah tak ada tempat tinggal?”
          “Sebab tujuan utama dia ke sini belum selesai lagi. Macam mana dia nak balik?”
          “Tujuan apa dia ke sini sebenarnya, Mak Ucu?” terasa perasaan ingin tahu tentang gadis itu mula membuak – buak.
          “Eh, kamu kan kawan dia! Takkan tak tahu pula kenapa dia datang sini.” Mak Ucu sengaja kerut dahi.
          “Kawan apa bendanya? Am dah pernah tanya dia banyak kali dah, Mak Ucu. Tapi satu habuk dia tak pernah cerita pun.”
          “Hmmm dia nak cari abang dia. Abang kandung dia dah lama terpisah selepas ibu bapa dia orang dah meninggal dulu.”
          Afham senyap. Sabar menunggu Mak Ucu menyambung kata lagi. Memang dia sedia maklum Cinta Fiska merupakan anak yatim piatu seperti dirinya.
          “Mak Ucu kasihan dengar luahan dia hari tu. Ika cakap abang dia dipaksa ikut pakcik mereka tinggal bersama. Sejak pada hari ibu bapa mereka dah tak ada, dia dan abang dia pun terus diputuskan talian adik beradik. Menangis – nangis dia bercerita dekat Mak Ucu. Tapi pasal tinggal kat rumah Mak Ucu ni, Mak Ucu sendiri yang offer. Bila tengok dia bawa beg galas besar ke tadika pagi tu, Mak Ucu peliklah. Tak sangka pula malam tu dia tidur kat hotel sebab kena halau dengan tuan rumah.” Terasa bergenang pula kelopak mata bila berjela dia jelaskan perihal gadis yang kurang bernasib baik itu.
          Sebuah keluhan berat dilepaskan buat seketika. Patutlah pagi tu aku nampak dia galas beg besar datang tadika. Cinta Fiska, kenapalah kau tak terangkan dekat aku awal – awal lagi? Tak adalah aku nak berkasar dengan kau malam tu.
          “Apa yang Mak Ucu cerita dengan kamu ni, janganlah sampaikan dekat Ika balik. Mak Ucu dah janji dengan Ika takkan cerita dekat kamu mahupun Rish.”
          “Yalah.”
          Afham hanya membalas lemah. Terasa begitu menggunung perasaan bersalah dalam diri. Tulah, kalau dapat tuduh orang memang tak ingat dunia dah. Sekarang padan muka kena minta maaf balik. Aduh!
***
          “Kau ni siapa sebenarnya, perempuan parasit?”
          Sekali lagi berdesing gegendang telinga Fiska bila mengingatkan ayat keramat yang dihadiahkan buat dia pada malam yang kononnya kena teman pergi beli sabun basuh kain itu. Perempuan parasit dia panggil aku?! Sebiji bantal ditenung tajam. Seperti ingin melepaskan sesuatu dendam yang amat luar biasa. Memang hantu betul polis seorang ni. Dia ingat dia dah bagus sangat ke nak panggil aku macam tu?
          Aku rasa gelaran hantu tu terlalu baiklah untuk kau, encik polis. Kalau diikutkan level mulut kau tu sesuai digelar puaka dah. Sesedap hati jantung limpa kau aje nak panggil aku parasit! Hoi, parasit tu tumpang orang tak bayarlah! Aku bayar tahu tak?! Mak Ucu potong gaji aku. Kau apa tahu, lelaki puaka? Tak semena – mena bantal tidur yang ditenungnya tadi menjadi mangsa tumbukan bertalu – talu.
          Nah, rasakan kau! Lepas ni aku nak tempah sarung bantal yang boleh cetak gambar lelaki puaka tu. Seronok sikit bila nak wrestling kau. Baru nampak real. Tumbukan diteruskan lagi demi melepaskan rasa geram kepada Muhammad Afham Nazhan. Pandai – pandai panggil aku parasit sangat, kan? Fuh. Rambut hadapannya yang berjuntai ke muka ditiup kasar. Puas hati sungguh bila kapas bantalnya sudah selamat berterbangan di ruang udara. Walaupun bukan tuan punya badan yang kena belasah dengan aku sekarang, aku dah cukup puas hati.
          Hmmm abang… Adik rindukan abang. Abang kat mana sekarang?
          “Ya Allah, abang! Kenapa bersepah kekabu bantal dalam bilik ni?” suara si ibu sudah memenuhi ruang bilik. Bantal yang sedang direbut oleh sepasang adik beradik itu terlepas dari tangan.
          Si abang sudah mengerling adiknya yang hanya membisu di sisi. “Abang tak sengaja, bu. Abang ingat tak ada siapa yang guna bantal tu dah.”
          “Kalau tak ada siapa yang guna pun, yang kamu berebut bantal ni kenapa? Kamu dah besar sepatutnya tunjukkan contoh yang baik dekat adik.” Marah si ibu tepat ke wajah anak sulungnya itu.
          “Abang minta maaf, bu. Abang janji tak berebut lagi.”
          “Ibu nak abang kemas balik bilik ni. Malam ni jangan tidur pakai bantal. Tidur atas katil kosong saja.” Bebel si ibu lagi sebelum meninggalkan ruang bilik anak lelakinya itu.
          Si adik yang hanya mengunci mulut dari tadi terus pandang wajah abangnya. “Adik minta maaf, abang.”
          “Tak apalah, dik. Dah pergi masuk bilik tidur. Dah malam dah ni. Ambil bantal abang ni.”
          Bantal yang dihulurkan tidak disambut. “Kenapa abang tak bagitahu ibu adik yang datang kacau abang? Adik yang buat bantal tu koyak.”
          Suara si comel yang serak seakan ingin menangis itu serta – merta membuatkan abangnya senyum lebar. Kepala adiknya digosok manja. Itulah satu – satunya harta yang dia ada termasuk ibu dan bapanya.
          “Sebab abang sayangkan adik. Abang ada adik seorang saja.”
          Air mata mengalir laju bila suara si abang kembali berada dekat dengan halwa telinganya lagi. Kalau abang sayangkan adik, kenapa tinggalkan adik macam tu saja? Adik pun dah tak ada sesiapa lagi selain abang. Kat mana adik patut cari abang sekarang ni? Jomlah kita balik ke rumah ibu dan ayah semula, abang.
***
Jam ditangan mula dikerling. Bila terlihat kelibat Darish yang baru melangkah masuk ke dalam kawasan kedai makan mamak itu, Fiska terus melambaikan tangannya. Sebuah senyuman manis dihadiahkan buat lelaki yang juga murah dengan senyuman seperti dia juga. Memang jauh beza sungguh dengan perangai si lelaki puaka itu.
          “Lama dah awak sampai?” kerusi terus ditarik seraya melabuhkan punggung berhadapan dengan gadis itu.
          “Tak adalah lama sangat. Tapi sempat jugalah oder teh ais dulu.” Fiska sengih sambil menayangkan segelas teh ais yang sudah dihirup sedikit itu.
          “Mamak! Bagi teh ais sama maggi goreng macam biasa, ya?” laung pemuda itu tak semena – mena.
          Nampak sangat selalu melepak kat kedai ni. Tapi memanglah pun. Hari yang aku kena ragut kat depan kedai ni kan dia dengan Am ada.
          “Awak tak nak makan apa – apa ke, Ika? Saya belanja.”
          “Tak apalah. Saya dah makan dah pun sebenarnya tadi. Awak cakap ada benda penting nak minta tolong saya, kan? Apa dia?” gadis itu terus ke agenda utama.
          Mana tidaknya, tiba – tiba dapat call dari pemuda itu cakap nak jumpa dia. Pelik. Kenapa tak jumpa kat rumah Mak Ucu saja? Entah – entah Si Rish ni pun nak sound aku macam sepupu dia buat malam tu. Kalau Rish pun dah cakap macam tu juga kat aku, terpaksa jugalah aku cari bilik sewa lain. Takkan nak bergaduh dengan semua ahli keluarga dia orang ni pula. Banyak lagi benda penting yang patut aku uruskan sebenarnya.
          “Saya ada masalah sikit ni, Ika. Dah tak ada sesiapa dah yang saya mampu nak minta tolong. Hanya awak seorang saja yang boleh.”
          Fuh! Fiska dah hela nafas lega dalam diam. Disebabkan kau bukan berperangai buruk macam sepupu kau yang suka sound – sound aku tak tentu pasal tu, aku akan tolong kau apa sahaja, wahai Darish Izuan!
          “Boleh aje. Awak nak saya tolong apa?”
          Darish serta – merta ukir senyum lebar. Rasa macam tak percaya pun ada. “Betul ni awak boleh tolong saya?”
          “Betullah. In shaa Allah, saya boleh tolong setakat yang saya mampu. Tapi awak nak saya tolong awak buat apa?” lembut gadis itu membalas.
          Lelaki dihadapannya itu sudah berjuta kali cair bila memandang wajah gadis yang acapkali menampakkan lesung pipitnya itu.
          “Awak tolong jadi kekasih saya, ya?”
          Air muka berubah cuaca. Fiska tercengang hebat. Aku ada salah dengar ke apa ni?
          “Jadi kekasih awak?” lambat – lambat gadis itu ulang suara.
          Darish mengangguk laju. Riak wajah gadis itu cuba dibaca sama ada dia setuju ataupun tidak.
          “Saya nak minta tolong awak menyamar sebagai kekasih saya. Mama saya nak kenalkan saya dengan anak perempuan kawan dia tapi saya tak nak. Saya bagi alasan yang saya ni dah ada kekasih. So, sebab tu saya nak minta awak tolong saya menyamar sebagai kekasih saya. Boleh kan?” jelas lelaki itu satu persatu.
          “Oh, menyamar!” Fiska dah ketawa kecil sendiri. Sangkanya tadi betul – betul.
          “Kenapa Ika?”
          “Boleh. Saya memang pandai berlakon. Awak memang tak silap oranglah minta tolong saya ni.” sekali lagi gadis itu ketawa.
          Darish dah senyum meleret bila mendengar jawapan dari gadis itu. Sekurang – kurangnya dia dah lepas dari satu masalah. Harap – harap mama dan papa berhentilah mencari jodoh untuk dia selepas ini.
          “Okey, bagus! Hari Ahad ni saya bawa awak jumpa mama dan papa saya, ya? Esok kita pergi shopping dulu.”
          “Shopping? Shopping untuk apa?” Fiska kerut dahi.
          “Eh, kalau nak berlakon mestilah kena ada propsnya, Cik Cinta Fiska!” Darish masih dengan senyumnya.
          Props? “Oh, okey! Lupa pula nak berlakon.” Fiska sengih. Buat – buat faham sudahlah, Ika oi.
          “Kalau awak tak nak berlakon pun tak apa. Jadi terus kekasih saya yang betul.”
          Fiska yang baru menghirup baki air teh aisnya serta – merta tersedak. Bebola mata terus tepat ke wajah lelaki di hadapan matanya itu. Dahsyat betul pickup line dia ni!

++bersambung++