Followers

Monday 8 August 2016

~Katakan Tidak Pada Cinta 7~


Skrin telefon bimbit dari tadi tidak putus asa dicalit. Seperti tercari – cari sesuatu tetapi dia sendiri tidak tahu apa yang dicarinya. Nak call ke tak nak? Pukul 10 pagi ni rasanya dia tak busy kot. Tapi kalau dia tengah kerja macam mana? Ala, takkanlah tak keluar minum pagi macam aku ni. Kau lain, Darish! Kau cikgu. Dah tentulah waktu rehat budak – budak, kau pun rehat. Cis! Call ajelah. Mana tahu kalau rezeki aku, dia angkat.
          Baru sahaja skrin dial tertera, muncul nama mamanya sedang galak memanggil. Lambat – lambat panggilan dijawab.
          “Assalamualaikum.”
          “Helo, Rish. Mama ni.”
          “Tahu. Kalau ya pun jawablah salam dulu, ma.” Mendatar nada pemuda itu.
          “Mama tak ada masa sangat ni. Mama bukan nak call lama.”
          “Ada apa mama call?” Darish terus ke pangkal cerita.
          “Rish kat mana tu, sayang?” lain yang ditanya, lain pula yang dijawab.
          “Kat sekolahlah. Kat mana lagi?”
          “Hmm okey. Mama nak ingatkan hi – tea dengan keluarga Tan Sri Zainuddin petang ni jangan lupa pula tau, Rish.”
          “Eh, nasib baik mama ingatkan! Rish pun nak bagitahu mama yang Rish tak dapat pergi hi – tea tu. Rish ada hal petang ni, ma. Sorry.
          “Sorry?!” naik mendadak paras nada Puan Hanim. Darish menjauhkan sedikit corong telefonnya dari telinga. Peh, boleh terbakar tahi telinga aku kalau hari – hari macam ni!
          “Hal apa, Rish?! Mama tak peduli. Rish kena datang juga hi – tea tu. Mama tak kira.” Puan Hanim tekan lagi nadanya. Keras.
          “Petang ni ada raptai sukan sekolahlah, ma. Rish handle acara olahraga semua. Mana boleh skip. Tolonglah faham.”
          “Mama dah lama betul bersabar dengan perangai kamu ni, Rish. Tak habis – habis dengan sekolah. Sekolah penting ke keluarga yang penting? Papa kamu tu dah bising sebab anak dia langsung tak reti nak tolong dia kat ofis. Sibuk sangat dengan nak kerja cikgu tu. Bukannya boleh jadi kaya pun.” Puan Hanim menyambung lagi. Rasa amarah dalam hati mula membuak – buak bila mengenangkan peel anak terunanya yang seorang itu.
          “Kalau kaya pun, bukannya boleh bawa mati.” Selamba Darish balas.
          “Menjawablah. Menjawab! Dah lupa agaknya kamu tengah bercakap dengan siapa ni, Rish?”
          “Rish tak pernah lupa pun, ma. Rish tak pernah lupa keluarga Rish. Tapi Rish betul – betul minta maaf. Rish memang tak dapat datang. Kalau setakat hi – tea tu, nanti Rish minum teh tarik kat mamak aje dengan Am. Lagi sedap.”
          “Jangan sebut nama budak tu depan mama. Mama tak nak dengar.”
          “Kenapa, ma? Apa yang Am buat sampai mama dengan papa benci dia? Rish tak faham betul dengan perangai sombong mama dengan papa ni.”
          “Rish, dengar sini. Kalau Rish tak nak pergi hi – tea ni tak apa. Tapi jangan biadap dengan mama. Dari dulu lagi mama tak suka Rish rapat dengan budak tu, tapi Rish degil. Rish jangan ingat bila Rish dah besar, Rish boleh buat apa sahaja.” Sekali lagi Puan Hanim tempelak anak lelakinya itu.
          “Rish dah bagitahu kan tadi, Rish tak pernah lupa keluarga Rish. Am tu tergolong dalam keluarga Rish juga. Rish harap mama tak lupa semua tu.”
          “Rish!!!”
          “Tak apalah, ma. Waktu rehat pun dah habis ni. Rish ada kelas sekejap lagi. Kirim salam papa, ya? Assalamualaikum.”
          Tanpa mendengar sebarang balasan, talian telefon segera dimatikan. Tak semena – mena Darish Izuan sengih seorang diri. Baki milo suam di dalam cawan segera diteguk. Confirm mama tengah mengamuk sekarang ni.
***
          “Assalamualaikum, Puan Faridah Hanum. Saya Cinta Fiska yang call tadi tanya pasal kerja kosong cikgu tadika tu.” Fiska senyum manis memperkenalkan diri.
          “Oh, ya! Sila duduk, Cik Cinta Fiska.” Balas Mak Ucu ramah.
          Fiska mengangguk lantas melabuhkan punggung di atas kerusi yang kosong tidak bertuan itu. Bebola mata mengerling sedikit ke sebelah. Afham masih membatu di kerusinya tidak bergerak. Rasanya gaya pakcik polis ni dah macam nak bangun dari situ tadi. Sekejap! Macam mana boleh terjumpa polis bermulut hantu ni kat sini?!
          “Kamu baliklah balai dulu, Am. Nanti bila ada apa – apa perkembangan pasal Atikah tu, bagitahu Mak Ucu ya?”
          “Err hmmm Mak Ucu interviewlah dulu. Am nak duduk kat sini sekejap.” Spontan ayat yang tidak dijangka keluar dari bibir pemuda itu.
          Mak Ucu dah pandang pelik. Dikerling pula wajah gadis di hadapannya yang masih pamer senyum itu. Pura – pura tidak memasang telinga.
          “Tadi bukan kamu cakap nak balik balai dah ke? Kenapa tiba – tiba nak duduk kat sini pula? Pergilah buat kerja kamu tu, Am.”
          Air muka yang sedang berubah segera dikawal rapi. “Errr Am sebenarnya tak habis lagi nak soal Mak Ucu tadi. Baru teringat.” Sengih ditarik. Apa yang kau sedang buat ni, Muhammad Afham Nazhan?
          “Apa lagi kamu nak tanya Mak Ucu? Tanyalah. Maaf ya, cik. Anak saudara saya ni tengah buat soal siasat tadi. Tunggu sekejap, ya?” Ujar Mak Ucu kepada gadis yang masih menjadi penonton di situ.
          “Tak apalah. Biar Am tunggu kat sini dulu. Mak Ucu interviewlah. Am janji tak kacau.” Belum sempat Fiska membalas, Afham segera memotong tanpa sebarang signal. Lantas gadis itu hanya diam tidak bersuara.
          “Pulak? Pelik – peliklah kamu ni, Am. Kalau interview ni lama, buang masa aje kamu nak tunggu kat sini. Tanya ajelah Mak Ucu soalan kamu tu sekarang.”
          “Ala, tak apa Mak Ucu! Am boleh tunggu. Lagipun dah nak sampai waktu lunch ni. Sekejap lagi, kita lunch sama – sama terus okey?” tidak putus asa pemuda itu menjawab.
          Lunch sekali? Mak Ucu diam sekejap. Sekali lagi biji mata dilirik ke wajah gadis yang masih membisu di situ. “Semakin pelik Mak Ucu tengok kamu ni, Am. Kalau macam tu, ikut suka kamulah. Boleh kita mulakan sekarang, Cik Cinta Fiska?”
          Pandangan beralih arah. Wajah Fiska menjadi tumpuan. Gadis itu masih dengan senyumnya mengangguk. “Boleh, puan.”
          “Pertama sekali saya nak puji nama awak cantik, Cik Cinta Fiska.”
          Mak Ucu pamer senyum. Fiska sudah tersipu. Dia memang sudah sedia maklum setiap orang yang baru mengenali dirinya pasti akan memuji akan namanya itu kecuali polis bermulut hantu ni saja.
          “Terima kasih. Puan panggil saya Ika pun dah cukup. Senang sikit.” Tutur gadis itu lembut.
          “Oh, okey! So, Ika boleh bagitahu detail Ika dekat saya. Perkenalkan diri Ika.”
          “Baik, puan. Nama saya Cinta Fiska binti Syukri. Saya asal Perak. Berumur 24 tahun…”
          “So, kau datang dari kampung memang nak cari kerjalah?” soalan yang tidak diundang dari mulut Afham menyentakkan suasana tak semena – mena.
          “Kenapa dengan kamu ni, Am? Terkejut Mak Uculah.” Wajah pemuda itu dipandang geram. Menyampuk tak bertempat pula.
          “Ika kenal ke dengan anak saudara saya ni?”
          Soalan diaju kepada gadis itu pula. Afham dan Fiska sama – sama tersentak. Saling berpandangan dan Afham sedaya upaya memberi isyarat mata agar gadis itu menidakkan jawapan yang hendak diberi kepada Mak Ucunya. Fiska kekal senyum manis.
          “Kenal.”
          “Tak kenal.”
          Serentak jawapan diberi. Mak Ucu pandang tepat kedua – dua wajah di hadapannya itu. Cuba membaca riak muka mereka berdua yang kelihatan sungguh yakin dengan jawapan yang diberikan.
          “Yang mana satu ni? Kenal ke tak?”
          “Tak. Am tak kenal pun.” Pantas Afham balas.
          “Ika kenal dengan Am ni?” soalan beralih arah lagi.
          Fiska pandang muka Afham buat kesekian kalinya. “Kenal, puan!”
          Yakin 200% dengan jawapan itu. Keluhan kecil kedengaran dari si jejaka. Mak Ucu dah sengih meleret melihat wajah kelat anak saudaranya itu. Itulah gatal sangat menyampuk orang interview tadi. Kan dah kantoi!
          “Kalau macam tu, Ika boleh mula kerja esok. Saya akan bagitahu apa yang perlu Ika mengajar budak – budak tu nanti.”
          Fiska tercengang sejenak. Afham apatah lagi. Bertambah pahit air muka dia jadinya. “Macam tu aje Mak Ucu interview orang dah boleh dapat kerja?”
          “Yalah. Lagipun kawan kamu, kan? Buat apa Mak Ucu nak tanya lebih – lebih sangat.” Bidas Mak Ucu juga tidak mahu mengalah.
          “Bila masa pula perempuan ni kawan dengan Am?!”
          Nada yang agak tinggi tak semena – mena itu membuatkan Fiska toleh muka ke wajah Afham. Beberapa minit raut wajah lembut yang sedang merenung ke arah pemuda itu berubah cuaca. Bergetar bibir Fiska menahan rasa. Bebola mata sudahpun berkaca memandang sayu wajah pemuda di sebelahnya itu.
          “Saya minta maaf. Saya minta maaf sangat – sangat kat awak. Saya tahu saya tak patut buat macam tu dulu kat awak. Tapi janganlah sampai tak mengaku saya ni kawan awak, Am. Besar sangat ke dosa saya dekat awak sampai awak buang saya macam tu saja dari hidup awak?” suara teresak – esak ditutur.
          Afham serta – merta diam. Tidak terkata apa – apa. Tercengang memandang wajah gadis di sebelahnya itu. Mak Ucu juga diam masih bersabar menonton adegan yang tidak diundang di hadapan matanya itu.
          “Tak apalah. Kalau awak masih tak dapat nak maafkan kesalahan saya yang dulu, sekurang – kurangnya bagilah peluang untuk saya mencari rezeki kat sini. Awak pun tahu saya bukannya dari keluarga yang senang. Awak sendiri pun pernah tengok kehidupan keluarga saya macam mana, kan?” Fiska menyambung lagi tanpa dipinta. Air muka dikeruhkan lagi untuk lebih menghangatkan suasana.
          Kali ni Afham sudahpun ternganga. Tengok kehidupan keluarga dia? Dia cakap dengan aku ke sekarang ni? Ke ada makhluk lain kat sini yang dia sedang bercakap?
          “Am… Mak Ucu tak sangka keras betul hati kamu ni.” Mak Ucu sudah menggeleng perlahan memandang wajah anak saudaranya yang seorang itu.
          “Ni fitnah ni, Mak Ucu! Mak Ucu jangan dengar cakap perempuan ni. Am betul – betul tak kenal dia siapa!” bentak Afham tak puas hati. Sungguh dia tak faham cerita hikayat mana yang sedang disampaikan oleh gadis itu sekarang.
          “Sebenarnya Am selepas apa yang berlaku antara kita hari tu, saya sendiri langsung tak dapat nak maafkan diri saya. Saya buat semua tu sebab terpaksa. Saya dah tak ada pilihan lain. Maafkan saya, Am. Puan, saya redha kalau rezeki saya bukan kat sini. Asalkan Am maafkan saya, saya dah cukup bersyukur. Banyak lagi punca rezeki yang saya boleh cari dalam dunia ni asalkan Am tak rasa benci bila pandang muka saya. Saya tak sanggup puan.”
          Rasa macam nak cekik sampai pengsan perempuan di sebelahnya itu sekarang juga.
          “Sudah. Sudah. Ika jangan risau. Esok Ika dah boleh mula kerja kat sini. Pedulikan Si Am ni. Dia bukannya bos kat sini pun.” Sambung Mak Ucu lagi.
          Fiska senyum manis serta – merta. “Betul ni, puan? Terima kasih, puan. Terima kasih banyak – banyak. Saya minta maaf, Am. Saya akan buat apa saja asalkan awak dah tak benci saya lagi.”
          Senyum dilebarkan lagi memandang wajah kelat inspektor polis itu. Oh, nak bagi aku tak dapat kerja ya? Padan muka kau! Tak pasal – pasal aku tunjuk bakat terpendam lakonan aku. Rasa nak gelak sambil berguling – guling atas lantai tengok wajah lelaki yang sedang menahan geram itu.
          “Biarkanlah dia, Ika. Panggil Mak Ucu aje tau. Tak payah panggil puan dah.” Mak Ucu senyum lagi buat gadis itu.
          “Amboi! Bukan main lagi Mak Ucu ni. Dah anggap anak saudara terus ke?” sindir Afham serta – merta. Dalam hati tidak putus – putus menyumpah perempuan yang telah berjaya mengenakan dirinya itu.
          “Nak jadi anak saudara terus, kamu berdua kena kahwinlah.”
          “Mengarut!”
          Spontan perkataan yang sama terbit dari mulut Afham dan Fiska. Diam sekejap memandang wajah masing – masing. Afham kecilkan biji mata sedikit tunjuk taring. Fiska tayang muka selamba yang sememangnya ingin meminta satu ceramah bebas dari pagi hingga ke malam. Tak apa. Selepas ni aku akan larikan diri kalau bertembung dengan pakcik polis ni lagi. Yang penting, aku dah dapat kerja. Cara macam mana nak ajar budak – budak tu belakang cerita. Ala, budak – budak aje pun! Kecil punya hal.

++bersambung++

No comments:

Post a Comment

sepatah komen anda ibarat setitik peluh petani..eh?