Followers

Thursday 4 August 2016

~Katakan Tidak Pada Cinta 6~



Tombol pintu dipulas seraya kaki mula menapak masuk ke dalam rumah. Rasa mengantuk yang teramat sangat dia rasakan sekarang. Bila pulang ke rumah pasti mengantuk. Kalau kat balai, tak adalah mengantuk sampai ke tahap begini. Sepantas kilat, tubuh sasanya direbahkan atas sofa. Nikmatnya kala itu hanya Allah yang tahu.
          “Lambat balik hari ni?” tegur satu suara yang masih tekun menyiapkan kerjanya.
          Dengan kelopak mata yang dipejam rapat, Afham sengih kecil. “Soalan kau tu macam soalan dari seorang isteri.”
          Lantas pemuda yang sibuk menanda buku sekolah anak muridnya itu tergelak kecil. “Aku rasa macam banyak kali pula dengar perkataan isteri hari ni.” Ingatan segera melayang kepada insiden bersama gadis yang bernama Cinta Fiska di kedai buku petang tadi.
          “Oh, ya ke?! Maksudnya dah sampai seru kau kena kahwinlah tu, Rish.” Afham menyambung lagi dengan sengih.
          “Aku aje? Kau tak payah?”
          “Aku ni tak apa. Kau tu ada mak bapak. Mama dan papa kau mesti nak tengok kau naik pelamin cepat.”
          “Am! Kau tahu kan aku tak suka kau cakap macam tu? Tolonglah. Aku dah janji depan Mak Ucu, aku akan kahwin bila kau dah kahwin.”
          Afham diam. Terkunci bibir sekaligus kelopak matanya dicelikkan.
          “Mak Ucu dah warning kita berdua. Dia nak tengok kita bawa menantu kat dia secepat mungkin.” Kata disambung lagi.
          “Nanti dah siap semak buku anak murid kau ni, kemas balik ya? Dah macam kelas darjah 4 Mawar aku tengok ruang tamu ni sekarang.” Tukar topik tak semena – mena. Bahu Darish ditepuk lembut sebelum bingkas dari ruang itu.
          Kelas darjah 4 Mawar? Cis, perli aku!
          “Aku serius, Am! Aku takkan kahwin selagi kau tak kahwin. Better kau cari jodoh secepat mungkin kalau kau nak tengok sepupu kau ni hidup bahagia.” Laung Darish dengan penuh semangat. Yakin sungguh dia yang Afham dapat menelan kata – katanya tadi.
          Tiada balasan. Pintu bilik ditutup rapat. Sebuah keluhan yang amat berat dibebaskan buat seketika. Banyak benda yang lebih penting untuk aku fikirkan dari fikir soal jodoh ni, Rish. Kehidupan aku dengan kau tak sama. Jangan buat janji yang akan merugikan diri sendiri.
***
          “Macam mana interview tadi? Okey?” soal Najwa tatkala melihat Fiska menyambar sebiji tat keju blueberrynya dari dalam peti sejuk.
          “Haruslah tak okey.” Sehelai not lima ringgit dihulur kepada Najwa.
          “Mengadanya nak bayar – bayar pula. Tak payah.” Wang dikembalikan kepada tuannya semula.
          “Halal ni?”
          “Halal. Kenapa tak okey pula? Dia tanya apa dekat kau waktu interview tadi?”
          “Dia tanya detail macam biasa ajelah. Nama, umur, belajar sampai mana…”
          “Habis tu, kau tak layak ke dia cakap?”
          “Layak cuma aku yang bagitahu dia aku tak layak.” Selamba nada Fiska.
          “Pulak dah. Kenapa kau cakap macam tu, Ika?”
          “Sebab dia nak hantar aku kat kedai dia cawangan Johor. Tak faham aku apa relevannya dia buka kerja kosong kat sini lepas tu nak hantar pekerja tu kerja jauh. Merepek!”
          Tak semena – mena Najwa hambur tawa. “Tulah kau, aku suruh kau minta aje cikgu tadika tu, jual mahal. Tak kena dengan citarasalah, nak kerja dalam bidang bisneslah. Kalau nak berbisnes sangat, kena berkorbanlah cik kak oi.”
          “Tujuan utama aku datang sini bukannya nak cari kerja. Tak perlulah semangat sampai nak ke Johor sana tu. Banyak lagi kedai kat sini nak pakai pekerja part time, kan?” Fiska cebik. Baki kuih tatnya tadi terus disumbatkan ke dalam mulut.
          “Haah, memanglah. Tapi bukan bakeri akulah. Aku dah ada staf. Tak ada duit nak gajikan ramai pekerja ni.” Najwa tarik sengih.
          “Aku tahulah. Jangan risau. Ramai lagi nak gajikan aku ni kecuali kau aje yang tolak tuah, Wa.” Sekali lagi Fiska mencebik.
          “Eleh, kau ingat senang ke nak cari kerja zaman sekarang ni? Kebanyakan majikan memilih tau.”
          Fiska diam tiba – tiba. Pandangan dilemparkan ke luar pintu kaca bakeri milik teman baiknya itu. Baru nak cari kerja, dah rasa susah. Macam mana nak cari abang? Orang – orang yang lalu depan kedai ni pun belum tentu aku dapat cam yang mana satu abang. Macam mana nak cari abang dalam berjuta orang yang langsung tak dikenali?
***
Keluhan berat dibebaskan sejenak. Suara – suara kecil yang sedang belajar huruf ABC dari kelas – kelas pra sekolah itu jelas kedengaran di halwa telinga. Wajah Mak Ucu dipandang buat seketika. Dalam kepala ligat memikirkan kes pertama yang agak berat sejak dia ditukarkan ke unit ini.
          “Kali terakhir Mak Ucu tengok budak perempuan tu kat mana?” Afham menyoal lagi.
          “Last Mak Ucu tengok budak Atikah tu kat dalam kelas waktu Mak Ucu mengajar. Tapi hari tu kan Mak Ucu balik awal sebab tak berapa sihat. Kebiasaannya Mak Ucu akan tunggu semua budak – budak selamat sampai ke tangan parents dia orang dulu, baru Mak Ucu balik.” Air mata yang sudah bercucuran di pipi segera diseka.
          Afham menghulur tisu buat ibu saudaranya itu. “Cikgu lain tak ada ke, Mak Ucu? Dia orang tak boleh tolong awasi ke budak – budak tu?”
          “Mak Ucu cuma ada seorang cikgu aje sekarang. Kelas budak Atikah tu Mak Ucu yang mengajar sementara nak cari cikgu baru. Kelas yang satu lagi tu memang cikgu lain yang Mak Ucu suruh jaga.”
          “Hmm kebiasaannya memang parents dia yang datang ambil dia balik dari tadika ke ada orang lain yang datang ambil dia, Mak Ucu?” soalan diteruskan lagi.
          “Pengasuh dia yang datang ambil Atikah biasanya. Depan mata Mak Ucu setiap penjaga yang datang ambil akan jumpa dengan Mak Ucu dulu.”
          “Mak Ucu kenal pengasuh budak tu?”
          “Kenallah juga. Perempuan muda. Baik budaknya. Ramah dengan Mak Ucu.”
          “Tak apalah. Nanti Am dapatkan maklumat pengasuh dia dari parents Atikah sendiri. Terima kasihlah Mak Ucu sebab bagi kerjasama. Am sendiri pun terkejut bila dapat tahu budak Atikah tu tadika kat tempat Mak Ucu ni.”
          “Mak Ucu lagilah tak sangka, Am. Bila tengok Atikah dah tak datang tadika dua hari, risau semacam rasa. Kalau Mak Ucu tahu benda ni nak berlaku, Mak Ucu memang takkan balik awal hari tu.” Kelopak mata cuba bergenang semula bila mengenangkan anak didiknya sendiri terlibat dalam kes penculikan.
          “Bawa bersabar, Mak Ucu. Dah tertulis benda yang nak berlaku, kita mana boleh melawan takdir. Berdoa banyak – banyak. Pihak polis akan usaha cari sampai dapat. Mak Ucu jangan risau, ya?” Afham cuba menenangkan keadaan. Dia cukup faham bila berhadapan dengan situasi begini.
          “Tolonglah cari sampai dapat, Am. Mak Ucu tak nak apa – apa jadi dekat Atikah tu. Kasihan budak tu. Dia masih kecil. Tak faham apa – apa lagi.” Air hangat sekali lagi tumpah ke pipi.
          “Am akan cuba sedaya – upaya, Mak Ucu. Jangan risau. Buat masa ni, Mak Ucu kawal kawasan tadika ni seketatnya. Pastikan tiada orang yang tak dikenali boleh keluar dan masuk sesuka hati. Bahaya. Lelaki mahupun perempuan semuanya dah boleh jadi penjenayah sekarang, Mak Ucu.”
          “Baik, Am. Mak Ucu akan pastikan perkara macam ni tidak akan berulang lagi. Selamatkan Atikah, ya Am?”
          “In shaa Allah. Dan lagi satu, Mak Ucu. Mak Ucu tak cari cikgu baru ke untuk kelas yang Mak Ucu mengajar sekarang? Penatlah kalau Mak Ucu nak handle seorang semuanya.”
          “Dah cari dah. Sekejap lagi orang yang nak interview untuk jawatan cikgu tu datang katanya. Lega sikit bila dah cukup staf. Harap – harap menepati semua syaratlah.”
          “Kalau begitu baguslah, Mak Ucu. Kalau tak ada apa – apa lagi, Am minta diri dululah ya? Ingat semua pesanan Am tadi tau. Pesan kat cikgu baru tu pun macam tu juga. Buat masa sekarang, akan ada rondaan kat kawasan ni dari semasa ke semasa.”
          “Ya, Mak Ucu faham. Kamu tu hati – hati bawa kereta. Mak Ucu tak nak dengar lagi kisah kamu dengan Darish kejar peragut macam pelesit bawa kereta tu. Jangan ingat Mak Ucu tak tahu pasal tu.”
          Serta – merta Afham terburai tawa. Mak Ucu ni tahu saja tindak – tanduk aku dan Rish. Pasang spy ke apa? “Jangan risaulah, Mak Ucu. Am tahu jaga diri. Am balik balai dulu, ya?”
          “Assalamualaikum, Puan Faridah Hanum?”
          Baru saja pemuda itu mengangkat punggung dari kerusi, kedengaran satu suara lembut yang agak familiar di halwa telinganya. Kepala segera ditoleh mencari kelibat pemilik suara berkenaan. Tergamam tanpa kedip. Air muka sudahpun berubah cuaca. Masing – masing diam saling berpandangan. Terpempan.

          Cinta Fiska?

++bersambung++

No comments:

Post a Comment

sepatah komen anda ibarat setitik peluh petani..eh?