Followers

Wednesday 24 August 2016

~Katakan Tidak Pada Cinta 17~


“Sedap tak makanan ni semua?”
          Budak lelaki yang sedang menjamah rakus hidangan di hadapan matanya itu hanya mengangguk laju. Enak sangat makanan yang berada di atas meja itu. Macam dalam syurga makanan. Ibu dan ayah dulu pun tak pernah hidang makanan sebanyak ini untuk dia.
          “Semua makanan ni Fakrul punya. Fakrul boleh makan apa saja. Kalau tak cukup, bagitahu dengan uncle. Nanti uncle tambah lagi makanan kegemaran Fakrul semua ni.” Lelaki yang bergelar bapa saudara budak lelaki itu senyum lebar.
          Sekali lagi Fakrul mengangguk laju. “Uncle tak nak makan sekali ke?”
          “Uncle dah kenyang. Seronok tak duduk dengan uncle ni, Fakrul?”
          “Seronok. Dapat makan banyak, makan sedap – sedap macam ni.” riang budak lelaki itu membalas.
          Lelaki itu mengangguk tanda puas hati. “Kalau macam tu, mulai hari ni Fakrul akan duduk dengan uncle tau. Dengar cakap uncle seorang saja, ya?”
          “Eh, tapi sekolah Rul macam mana uncle? Nanti cikgu marah kalau Rul ponteng sekolah lama – lama.”
          “Tak apa. Uncle dah tukarkan sekolah Rul. Rul tak payah lagi pergi sekolah lama. Sekolah lama tak best.”
          Tak best? Mendengarkan perkataan yang baru keluar itu membuatkan air matanya ingin mengalir. Suapan ayam goreng ke dalam mulut segera terhenti. Hilang terus selera budak lelaki itu.
          “Rul tak nak sekolah baru. Rul nak sekolah lama. Rul nak sekolah sama dengan adik.”
          Tak semena – mena budak lelaki itu meronta – ronta meminta untuk pulang ke rumahnya semula. Bercucuran air matanya mengalir ke pipi. Bapa saudaranya itu sudah mengeluh berat.
          “Fakrul makan dulu, ya? Sekejap lagi, uncle datang balik.” Kepala budak lelaki itu digosok lembut.
          “Lepas makan ni, kita balik rumah Rul ya uncle. Kasihan adik tinggal seorang – seorang kat kampung.” Air mata yang mula kering segera diseka dengan tangannya itu.
          Tanpa sebarang jawapan, bapa saudaranya itu berlalu ke arah pemuda yang ditugaskan untuk menjaga Fakrul selama anak saudaranya itu tinggal bersamanya di dalam rumah itu.
          “Tunggu budak ni sampai habis makan. Lepas tu, tunjukkan bilik dia.”
          Pemuda itu hanya mengangguk perlahan tanda akur dengan arahan. Usai Fakrul menjamu selera, penjaganya segera membawa budak lelaki itu menuju ke bilik yang sudah dikhaskan. Fakrul yang dari tadi hanya melilaukan biji mata memandang sekitar ruang banglo mewah itu berasa agak kagum dengan kekayaan yang dimiliki oleh bapa saudaranya itu.
          “Uncle pergi mana, bang?”
          “Tak tahu.” Balas penjaganya pendek.
          “Habis tu, kita nak ke mana ni? Bukan nak balik kampung ke?” soal Fakrul pelik bila melihat penjaganya itu menuju ke kawasan tingkat atas banglo yang mempunyai banyak bilik itu.
          “Ni bilik Fakrul.” Langkah mati di hadapan sebuah pintu bilik.
          Fakrul yang sudah tersentak mula mengundur beberapa langkah ke belakang. Takut – takut dia memandang wajah penjaganya yang sudah memegang erat lengannya.
          “Rul nak balik! Rul tak nak duduk sini!!!” Bantah budak lelaki itu. Tubuhnya dikeraskan tidak mahu melangkah masuk ke dalam bilik yang disediakan untuk dirinya.
          Penjaga itu tetap memaksa Fakrul masuk ke dalam biliknya. Ditolaknya tubuh budak lelaki itu dengan kasar. Cubaan Fakrul untuk melarikan diri dari situ gagal bila kepalanya seperti dihentak dengan satu objek keras. Pandangan terus kelam dan tubuhnya rebah ke lantai. Perlahan – lahan air mata hangat mengalir lembut.
          “Adik…”
          “Adik!!!”
          Membulat biji mata buat beberapa saat sebaik sahaja tersedar dari lenanya. Adik? Siapa adik? Mimpi yang sama lagi.
***
          “Payah – payah sangat, ikut sajalah cakap mama kamu tu Rish. Lagipun dah memang betul pun tindakan mama dan papa kamu tu suruh kahwin. Mak Ucu pun sokong.” Bersahaja suara wanita itu sambil mengupas kulit buah epal.
          “Mak Ucu ni… cakap memanglah senang. Tapi yang nak kahwin tu Rish. Mak Ucu nak ganti tempat Rish? Mesti Mak Ucu tak mahu, kan?” sebiji epal dicapai tanpa segan silunya. Menggigit rakus.
          “Habis tu, yang kamu beria – ria sangat tak nak kahwin dengan pilihan mama dan papa tu kamu dah ada calon sendiri ke? Perempuan mana yang sanggup nak tolong kamu?”
          “Tak adapun. Tu yang Rish tengah kusut ni. Rish pun tak tahulah macam mana boleh confident sangat cakap nak bawa perempuan jumpa mama. Mak Ucu tolonglah Rish ni.”
          “Mak Ucu nak tolong macam mana? Anak – anak perempuan kawan Mak Ucu semua dah kahwin dah pun. Macam mana nak tolong menyamar jadi kekasih kamu pula?”
          “Hmmm apa kata Mak Ucu minta tolong kat Ika? Mak Ucu cakaplah dengan dia kat tadika nanti.”
          Sebenarnya, memang idea nilah pun yang aku nak suruh Mak Ucu buat dari tadi tapi nak tunggu Mak Ucu offer diri punyalah lambat.
          Mak Ucu diam sekejap. Tepat biji mata pandang ke wajah anak saudaranya itu. “Kamu cakaplah dengan dia sendiri. Kenapa Mak Ucu pula yang kena jadi orang tengah?”
          “Sebab Mak Ucu kan majikan dia. Mesti dia tak sampai hati nak tolak permintaan Mak Ucu tu.” Darish tarik sengih. Kunun bernas sangatlah idea dia tu.
          “Pandailah kamu nak gunakan Mak Ucu, kan? Kamu yang nak minta tolong dia, kamu cakap sendiri dengan dia. Lagipun, Mak Ucu ni professional. Tak campur urusan peribadi dengan kerja, faham?”
          “Ala, Rish seganlah Mak Ucu…”
          “Nak segan apanya? Kata kawan. Dengan kawan sendiri pun nak segan ke?”
          “Memanglah kawan tapi bukannya kawan lama sangat pun. Hmmm tak apalah. Rish tanya dia sendiri ajelah. Minta tolong orang pun, tak ada siapa yang sudi nak tolong Rish ni.” sengaja nada dibiarkan bunyi merajuk.
          Baru beberapa saat Mak Ucu sengih, kedengaran tombol pintu rumahnya dipulas dari luar. Terpacul wajah Fiska yang hanya pamer senyum tawar buat Mak Ucu dan Darish sebelum berlalu menuju ke biliknya. Jangan kata nak bagi salam, sebarang suara pun tidak keluar dari bibir Cinta Fiska yang hanya melajukan langkahnya saat itu. Darish Izuan sudah berpandangan sesama ibu saudaranya tanda tidak mengerti dengan air muka kelat gadis itu.
***
          “Cikgu, Harraz yayak! Eeiiii bucuk!” kuat suara dari salah seorang budak perempuan di dalam kelas dia mengajar itu.
          Cepat – cepat Fiska mendapatkan anak muridnya yang bernama Alif itu. Air muka budak lelaki itu sudah kelihatan hendak menangis. Tambah pula bila diejek teman – temannya yang tidak mahu mendekati dia kala itu. Dia hanya membatu di tempat duduknya sahaja.
          “Busuklah!” kedengaran seorang lagi kanak – kanak bersuara. Hidung masing – masing sudah ditekup dengan tangan.
          “Jom, cikgu bawa ke tandas! Kenapa Harraz tak cakap dengan cikgu yang Harraz nak pergi tandas?” tanya Fiska lembut. Cuba memujuk budak lelaki yang sudah mengalirkan air mata itu.
          “Dia takut nak bercakap cikgu. Dia memang selalu yayak dalam kelas pun.” Sampuk temannya lagi.
          Makin laju Harraz menangis. Fiska dah ketawa kecil melihat gelagat anak – anak muridnya itu. “Dah. Jom, kita pergi cuci yayak kat tandas Jangan menangis lagi. Cikgu tak makan orang. Harraz jangan takut dengan cikgu, tau?”
          Fiska memegang lengan Harraz lalu menuju ke tandas yang disediakan untuk budak – budak yang belajar di pra sekolah itu.
          “Harraz basuh yayak dulu, tau? Cikgu telefon papa Harraz suruh hantarkan seluar Harraz, ya?”
          Budak lelaki itu hanya mengangguk laju. Fiska senyum seraya menyeka air mata Harraz yang sudah kering di pipi comel itu.
          “Harraz masuk dalam tandas dulu. Sekejap lagi, cikgu datang balik tau?”
          Fiska segera berlalu mendapatkan telefon bimbitnya yang ditinggalkan di ofis. Beberapa minit panggilan dibuat, kedengaran seorang lelaki yang bersuara melalui corong telefon. Mungkin ini ayah kepada Harraz rasanya.
          “Assalamualaikum, encik.” Fiska memberi salam. Mesra.
          “Waalaikumussalam. Siapa ni?”
          “Saya cikgu tadika Harraz, encik. Harraz terbuang air besar dalam seluar tadi. Boleh tak kalau encik tolong datang hantar seluar bersih ke tadika untuk Harraz tukar?”
          “Anak saya yayak dalam seluar lagi ke?” tanya lelaki itu seperti bersuara cemas.
          Fiska cuba menahan senyum. Nak tergelak pula bila dengar perkataan ‘yayak’ dari mulut orang dewasa. “Ya, encik. Harraz yayak dalam seluar. Encik hantarkan seluar bersih secepat mungkin, ya? Kasihan dekat dia.”
          “Baiklah. Sekejap lagi saya sampai. Suruh Harraz bersabar, ya cikgu?” sempat lagi pesanan dibuat.
          “Okey, encik. Terima kasih.” Talian terus dimatikan.
          “Kenapa, Ika? Apa dah jadi?” soal Mak Ucu tak semena – mena. Nampak sangat sejak dari tadi lagi dia memerhati tingkah gadis itu.
          “Tak ada apapun, Mak Ucu. Cuma Harraz tu terkucil dalam seluar tadi.”
          Air muka Mak Ucu agak terperanjat namun dia sudah biasa dengan piil kanak – kanak di pra sekolahnya itu. Ada yang lagi teruk dari tu pun pernah. Lompat sana, lompat sini lepas tu seluar terkoyak rabak. Seluar dalam pula tak pakai. Jenuh nak mencari seluar ganti untuk budak – budak ni.
          “Habis tu, Harraz kat mana sekarang? Dah cuci ke belum?”
          “Kat dalam toilet. Ika dah suruh dia cuci tadi. Sekejap lagi ayah dia hantar seluar bersih bolehlah tukar.”
          “Kalau macam tu, baguslah.”
          Fiska mengangguk perlahan. “Tak apalah, Mak Ucu. Ika nak pergi tengok Harraz dalam tandas sekejap. Dah siap basuh ke belum budak tu pun entahlah.”
          Gadis itu segera berlalu menuju ke tandas kanak – kanak semula. Mak Ucu juga kembali menyambung kerjanya yang tertangguh tadi.

++bersambung++

No comments:

Post a Comment

sepatah komen anda ibarat setitik peluh petani..eh?