Followers

Monday 8 August 2016

~Katakan Tidak Pada Cinta 8~


Punggung dilabuhkan di sisi Darish Izuan. Peluh yang mencurah – curah membasahi muka segera diseka. Penat gila. Kalau tak turun dua kilo berat badan aku malam ni, memang sadislah. Siang tadi dahlah makan banyak. Mentang – mentang Mak Ucu yang belanja, paw selagi mampu. Bertuah punya anak saudara.
          “Asyik main futsal aje. Apa kata kita tukar game pula sekali – sekala, Rish? Tenis ke golf ke? Tapi, tak boleh. Golf tu permainan golongan orang lemah fikiran aje. G.O.L.F.” Afham hambur tawa. Keseorangan melayan lawaknya yang kurang cerdik itu.
          Darish masih diam. Tidak berkutik sedikitpun. Bebola mata masih tak lekang dari skrin telefon bimbitnya sejak dari awal tadi.
          “Hoi, tadi beria – ria ajak aku main futsal malam ni! Alih – alih kau duduk bertenggek aje kat kerusi apahal?” botol air mineral dicapai. Sadis bila kata – katanya tadi seperti bercakap dengan angin sahaja.
          “Aku nak mainlah ni, Am. Tapi kau mainlah dulu. Sekejap lagi aku masuk.” Balas Darish ada tidak. Skrin telefon bimbit masih lagi ditatap tanpa rasa bosan.
          “Kau ni kenapa, Rish? Whatsapp dengan siapa sampai tak fokus apa yang aku cakap dekat kau ni?” leher dipanjangkan untuk meninjau skrin yang sedang tertera di hadapan mata sepupunya itu.
          “Mana ada whatsapp siapa – siapa. Aku cuma tak tahu nak buat apa aje. Buntu.”
          Afham kerut dahi beberapa saat. “Apa yang kau maksudkan dengan tak tahu nak buat apa tu, Rish?”
          Keluhan kecil dibebaskan seketika. “Kau rasa aku patut call ke tak payah call?”
          “Call? Call siapa?”
          “Jawab ajelah. Call ke tak payah?” wajah Darish penuh dengan harapan sabar menunggu balasan dari sepupunya itu.
          “Handphone kau pakai bil, kan?”
          Darish angguk lambat – lambat. Lain yang ditanya, lain pula yang dijawab.
          “Call ajelah kalau macam tu. Dah tentu ada duit nak call.”
          Senyuman segera melebar hampir ke telinga. Jawapan yang diterima kala itu, betul – betul menggembirakan sang hati. Muncul satu kekuatan dalam diri tak semena – mena.
          “Betul tu, Am! Aku memang patut call, kan? Buang masa betul. Sepatutnya aku call dari tadi lagi.”
          Sekali lagi Afham kerut dahi pandang wajah sepupunya yang seorang itu. “Kau okey ke ni, Rish?”
          “Okeylah. Kenapa?”
          “Kalau okey, bagitahu aku siapa yang kau takut sangat nak call tu?”
          “Aku bukan takut. Aku segan.” Darish sengih kecil. Sungguh dia memang segan. Tapi waktu minta nombor telefon tempoh hari, tak segan pula. Haih.
          “Ni mesti perempuan, kan?” teka Afham yang juga sedang tunjuk sengihnya menampakkan sebaris gigi yang tersusun rapi.
          Darish hanya senyum tidak membalas. Call ajelah. Manusia juga. Perempuan lagi tu. Bukannya hantu. Bunyi deringan telefon bimbit Afham tiba – tiba sekali lagi membantutkan niat Darish untuk menekan butang dail. Saspen aje. Aku dahlah berdebar nak call ni.
          “Sorry, Rish. Aku jawab call sekejap.” Afham segera menjawab panggilan yang diterima. Dia mencari tempat yang agak sunyi sedikit untuk bercakap.
          Darish kembali memandang skrin telefon. Ah, call ajelah! Butang dail disentuh. Menunggu dengan penuh harapan panggilan dijawab.
***
          “Wa, kau kat mana sekarang?”
          Resah suara dilontar. Kalau diikutkan, nak bercakap pun terasa perit sangat. Kenapalah dengan perut aku ni tiba – tiba? Sakit gila. Bahagian abdomen yang dicucuk – cucuk kesakitan tak mampu lagi ditahan. Ya Allah, aku merayu janganlah Kau ambil nyawaku sekarang! Aku belum jumpa dengan abang kandungku lagi.
          “Aku kat kampung ni, Ika. Aku baru nak call bagitahu kau. Eloklah kau dah call aku ni.”
          “Kampung? Kenapa kau balik kampung?” nada berbunyi hampa.
          “Mak aku demam panas. Petang tadi aku terus balik kelam – kabut. Tu yang sampai tak sempat nak bagitahu kau.” Ujar Najwa lagi.
          “Oh, tak apalah kalau macam tu!” balas Fiska lemah. Tak larat lagi untuk dia bertanya lebih.
          “Kenapa dengan suara kau ni, Ika? Macam orang sakit aje.”
          “Ha’ah. Aku tak tahulah kenapa dengan perut aku ni. Sakit sangat, Wa! Nak bernafas pun rasa sakit ni.” Aduh! Fiska mengeluh kesakitan yang teramat sangat. Tak pernah lagi dia diserang sakit sebegini sepanjang hidupnya.
          “Sakit perut? Perut masuk angin kot. Kau dah buang air besar belum hari ni?”
          “Aku tahulah sakit perut nak membuang tu macam mana. Ni lain. Sakit belah kanan kat bawah. Aku baru sentuh sikit, dah sakit ni.”
          “Hisy, macam bahaya aje bunyi! Housemate aku yang lain mana? Kau minta tolong dia orang hantar kau kat hospital. Aku nak tolong pun dah jauh ni.” Najwa pula turut sama resah. Risau benaknya akan keadaan temannya itu. Hari ni memang hari sakit sedunia ke apa?
          “Tak apalah. Aku tak nak menyusahkan dia orang lagi. Kau ada nombor teksi kat kawasan sini tak? Aku call teksi ajelah pergi hospital.”
          “Ada. Tapi kau larat ke nak keluar rumah naik teksi tu? Aku risaulah. Kau makan apa hari ni sampai sakit macam ni, Ika?” bentak Najwa tak semena – mena. Tak tenteram betul hatinya memikirkan keadaan gadis itu.
          “Kau janganlah membebel kat aku, Wa. Aku tengah sakit ni. Kau sms nombor telefon teksi kat aku sekarang. Aku boleh pergi sendiri. Jangan risau.”
          Talian terus dimatikan tanpa menunggu sebarang balasan dari temannya itu. Nombor telefon yang dipinta tadi ditunggu dengan penuh kesabaran. Sabar sikit ya, perut. Kasihan kat tuan kau ni. Apa dosa tuan kau kepada kau perut sampai kau dera dia macam ni? Sakit sangat tau menahan sakit. Cubaan menarik nafas dalam semakin menyenakkan bahagian abdomennya itu. Kau memang tak dengar cakap ya, perut. Siaplah kau bila aku dah sihat nanti!
          Bunyi pesanan ringkas yang diterima sepantas kilat dibuka. Nombor telefon yang tertera segera didail. Nak tunggu telefon dijawab pun dah tak mampu. Mana pakcik – pakcik teksi ni? Tidur ke?
          “Helo, ni tempat teksi ke?”
          Mendengarkan jawapan ya diberi, Fiska bersyukur tidak terhingga. Terima kasih, Allah. Ada juga jalan yang Kau tunjukkan pada hambaMu yang sedang sakit ini. Rasa macam nak pengsan aje. Tahan Ika, tahan! Sabar sampai hospital lepas tu nak pengsan lama mana pun pengsanlah. Sekurang – kurangnya bila nampak muka doktor tu tenanglah sikit jiwa dan raga ni. Tambah pula bila muka doktor tu handsome. Sempat lagi berangan dalam sakit – sakit ni.
***
Usai kereta selamat diparkir, Afham segera melompat keluar. Panggilan yang baru sahaja diterima tadi membuatkan dia terpaksa meninggalkan gelanggang futsal secara tiba – tiba. Darish juga tak sempat berkata apa – apa bila melihat sepupunya bergegas pergi dari kawasan gelanggang.
          Langkah diatur laju mencari hala ke pintu masuk. Biji mata juga dililaukan memerhati kawasan sekeliling. Tak semena – mena langkahnya mati. Melihatkan sekujur tubuh yang sedang terduduk di atas kaki lima itu membuatkan dia pelik. Diamati wajah yang sedang resah menahan kesakitan sambil memeluk erat di bahagian abdomen.
          “Cinta Fiska?”
          Fiska angkat kepala sedikit. Cuba melihat gerangan suara yang memanggil nama penuhnya itu. Nak hadiahkan satu senyuman buat inspektor polis itupun dah tak mampu rasanya. Walaupun dia agak terperanjat bagaimana pemuda itu boleh ada di kawasan hospital pada waktu tengah malam begini. Adakah dia pun sakit seperti aku? Tapi kenapa dia boleh jalan elok saja?
          “Kenapa dengan kau ni? Duduk kat sini seorang – seorang dah buang tabiat ke apa?” tanya Afham pelik.
          Dia cakap aku buang tabiat? Argh! Aku rasa nak mengamuk sekarang jugak! Tapi apakan daya.
          “Encik polis nak masuk dalam hospital tu ke?” lemah Fiska bersuara.
          “Haah. Ada hal sikit. Kenapa?”
          “Baguslah kalau macam tu. Boleh tak encik polis tolong pimpin saya masuk ke dalam hospital tu? Dari tadi saya tunggu orang lalu kat sini nak minta tolong tapi tak ada siapa pun yang lalu kecuali encik polis aje. Saya tak larat sangat nak jalan ni.” rayu gadis itu lemah. Air mata sudahpun mengalir keluar akibat terlalu menahan sakit yang tidak tertanggung oleh tubuhnya itu.
          Afham menghampiri gadis itu tiba – tiba. Dahi Fiska disentuh lembut. Panasnya! Tangannya cuba menyentuh bahagian abdomen gadis itu pula namun segera ditepis Fiska. Muka macam nak telan pemuda itu hidup – hidup.
          “Awak jangan nak ambil kesempatan…”
          Belum sempat Fiska menghabiskan ayat, Afham terus menekan bahagian bawah abdomen di sebelah kanan gadis itu. Bergema jeritan Fiska untuk beberapa saat. Sakitnya, Ya Allah! Macam nak pecah perut aku kena tekan.
          “Aku rasa kau appendic ni.”
          Mencerlang biji mata Fiska serta – merta. “Appendic?!
          “Dah! Jom, aku tolong kau.”
          Afham membantu gadis itu untuk bangun. Lantas dipapahnya tubuh kecil itu untuk menuju ke pintu masuk hospital. Lambat – lambat langkah dipaksa untuk berjalan. Kenapalah teksi tadi tu berhentikan aku jauh dari pintu masuk? Memang dugaan betullah malam ni!
          “Nanti awak pesan dekat doktor suruh dia bagi ubat appendic sudahlah. Tak nak operation, ya?”
          Afham kerling tajam gadis yang sedang dipapahnya itu. “Kau nak sihat ke sakit?”
          “Sihatlah.”
          “Kalau macam tu, diam. Jangan nak buat pesanan mengarut.”
          Fiska hanya mampu mencebik dengan arahan yang diberikan. Orang baru nak ramah mesra, disuruhnya diam.
          “Dah sampai. Nurse!” laung Afham memanggil jururawat berhampiran setelah membantu Fiska duduk di atas kerusi buat sementara.
          “Saya jumpa perempuan ni tepi jalan tadi. Dia sakit…”
          “Encik sila daftar untuk pesakit dulu, ya?”
          Belum sempat Afham menyambung ayat, katanya terus dipotong. Rasa menyirap pun ada. Bila terpandangkan keadaan Fiska yang sudah tenat, serta – merta Afham mengeluh berat.
          “Daftar ni bila – bila pun boleh. Tak nampak ke perempuan tu tengah tahan sakit?! Emergency! Bukannya sakit demam biasa!” melangit suara Afham di ruang itu tak semena – mena.
          Suasana menjadi senyap tiba – tiba. Salah seorang jururawat di situ segera mendapatkan Fiska yang sudah hampir pitam dibuatnya. Deritanya sakit ini sekiranya ia benar – benar adalah appendic.
          “Nak daftar kat mana?” tanya Afham tiba – tiba. Lega sedikit bila melihat gadis itu sudah dibawa ke bilik rawatan.
          “Kat sini, encik. Encik ni penjaga pesakit ke?”
          Afham tersentak dua tiga saat. Takkan aku nak daftar sebagai penjaga perempuan tu pulak? Habis aku nak daftar sebagai apa sekarang ni? Kawan?
          “Tuan!”
          Lamunan mati. Kepala segera ditoleh mencari pemilik suara yang memanggil.
          “Wad mangsa kat tingkat dua, tuan.”
          Tujuan utama dia berada di hospital pada waktu tengah malam itu hampir dilupakan. Borang yang masih kosong belum diisi dibiarkan begitu sahaja. Afham segera mendapatkan anak buahnya itu.
          “Encik! Encik!” panggilan dari jururawat di kaunter pendaftaran itu langsung tidak dihiraukan.
          “Kat mana mayat mangsa dijumpai, sarjan?”
          Sekelip mata Afham ghaib dari ruang itu bersama beberapa anggota polis yang lain. Jururawat yang memerhati gerak – geri pemuda itu dari tadi hanya mampu menggelengkan kepala perlahan. Dia ingat hospital mak bapak dia ke main tinggal – tinggal pesakit tak berdaftar ni?
***
          “Dah bagitahu waris mangsa?” soal Afham seraya menyelak sedikit selimut yang menutupi wajah mayat seorang kanak – kanak perempuan.
          “Dah, tuan. Sekejap lagi ibu bapa mangsa datang untuk membuat pengecaman.” Balas salah seorang orang bawahannya di situ.
          Afham hanya mengangguk kecil. Diperhati seketika wajah mayat kanak – kanak perempuan yang lebam dan mula membiru itu. Sayu hatinya hanya Allah yang tahu. Betapa syaitannya penjenayah yang sanggup lakukan perkara sebegini ke atas kanak – kanak yang tidak berdosa.
          “Rasanya ini bukan kes menjual organ kanak – kanak, tuan. Sebab menurut doktor tubuh badan mangsa sempurna tiada apa – apa organ yang diambil cuma kemungkinan besar mangsa dirogol dan bunuh.” Orang bawahannya menambah lagi.
          Afham diam. Tidak berkata apa – apa dan masih menunggu orang bawahannya itu menyambung kata. Wajah mangsa ditutup semula dengan selimut putih. Jari – jemarinya menggenggam geram.
          “Tapi doktor belum sahkan apa – apa cuma secara fizikalnya kemungkinan mangsa…”
          “Lepas ibu bapa mangsa membuat pengecaman, teruskan dengan bedah siasat. Dapatkan laporan secepat mungkin.” Belum sempat kata disambung, Afham segera memotong.
          “Baik, tuan!” arahan diterima.
          Keluhan berat dilepas bebas. Selang beberapa minit muncul kelibat sepasang suami isteri yang sedang mencari wad pesakit dengan dibantu oleh jururawat di situ. Afham hanya memerhati ibu bapa yang sudah meraung hebat bila melihat mayat anak kecil mereka di hadapan mata. Sungguh dia terlalu bersimpati ke atas keluarga itu.
          “Tolonglah cari sampai dapat, Am. Mak Ucu tak nak apa – apa jadi dekat Atikah tu. Kasihan budak tu. Dia masih kecil. Tak faham apa – apa lagi.”
          Hampir menitik air mata lelakinya bila pesanan Mak Ucu masih lagi berbunyi di halwa telinga. Mak Ucu, Am dah gagal selamatkan nyawa Atikah. Tapi Am janji Am akan cari syaitan durjana tu sampai ke lubang cacing!
          “Memang jelas mayat itu adalah mayat Nur Atikah, tuan.”
          “Dapatkan pengesahan dan persetujuan dari waris mangsa terlebih dahulu lepas tu proceed dengan bedah siasat.” Mendatar nada yang diutarakan.
          “Baik, tuan.”
          “Kalau boleh doktor siapkan laporan bedah siasat secepat mungkin, ya?” pinta Afham dengan senyum yang paling tawar.
          “In shaa Allah. Saya usahakan secepat mungkin.” Balas doktor ramah seraya memberi isyarat kepada pembantunya untuk membawa mayat mangsa ke bilik bedah siasat.
          “Terima kasih, doktor.”
          “Tuan baliklah dulu. Lagipun sekarang bukan waktu kerja tuan.” Ujar sarjan yang merupakan orang lama berkhidmat di dalam pasukan PDRM itu.
          “Hmmm tak apalah. Kamu semua baliklah ke balai dulu. Saya ada kerja yang belum selesai lagi.”
          “Kalau macam tu, kami pulang dululah.” Tangan disematkan di sisi kepala tanda hormat.

          Afham hanya mengangguk dan membalas tanda hormat kepada anak buahnya itu. Lantas langkah laju menapak ke kaunter pendaftaran di tingkat bawah.

++bersambung++

No comments:

Post a Comment

sepatah komen anda ibarat setitik peluh petani..eh?