Followers

Wednesday 10 August 2016

~Katakan Tidak Pada Cinta 9~



Pintu bilik wad pesakit yang dikuak kasar membuatkan Fiska sedikit terkejut. Bebola mata menangkap wajah temannya yang muncul secara tiba – tiba di ruang itu. Baru sahaja Fiska cuba mengukir senyum, Najwa terus meluru masuk tanpa segan – silunya. Tubuh gadis itu dipeluk rapat kerana terlalu menggunung rasa bersalah di dalam benaknya kala itu.
          “Aduh, sakit Wa! Sakit.” Fiska merengek kecil bila Najwa tersentuh bahagian abdomennya yang baru selesai dibedah pagi tadi.
          “Ika, aku betul – betul minta maaf dekat kau. Waktu kau sakit malam semalam, aku tak dapat nak tolong hantar kau ke hospital. Kalau aku tahu perkara ni nak jadi, aku tak balik kampung, Ika.”
          Penuh kesal wajah Najwa memohon maaf kepada temannya itu. Fiska hanya menghadiahkan sebuah senyuman sebelum bibirnya bergerak untuk membalas kata.
          “Tak apalah, Wa. Mak kau pun sakit, kan? Lebih baik kau balik tengok mak kau. Aku kat sini okey aje. Kau janganlah risau sangat, ya?”
          “Syukurlah kau tak apa – apa, Ika. Tapi betul ke kau appendic? Macam mana boleh appendic tiba – tiba pula, Ika?”
          “Betullah. Marilah tengok kesan jahit kat perut aku ni, Wa.” Pelawa Fiska dengan sengih. Baju pesakit sudah diselak sedikit untuk ditayangkan kepada temannya itu.
          “Hisy! Tak naklah aku tengok. Ngeri.”
          Fiska hambur tawa kecil beberapa saat. Geli hati melihat wajah temannya yang cuba menjauhkan diri dari dia. “Ala, bukan operation besar pun. Penakutlah kau ni. Tengoklah sikit. Sikit aje.”
          “Kau jangan main – main, Ika. Aku report kat doktor karang cakap kau nak buka balutan.”
          Tawa yang masih berbaki disambung. Seronok pula dia mengusik temannya itu. Padahal pada malam dia sakit tempoh hari bukan main lagi dia berpesan dekat polis bermulut hantu tu suruh bagitahu doktor jangan bedah perutnya. Alih – alih kena bedah jugak. Nampak sangat dia tak pesan kat doktor. Cis!
          “Okey! Okey! Eh, kejap lagi sebelum kau balik kau tolong aku satu benda, boleh?”
          “Tolong apa?” Najwa kerut dahi sedikit.
          “Tolong daftarkan nama aku kat kaunter pendaftaran. Doktor ada ingatkan aku tadi, kalau aku tak daftar lagi dia suruh siapa – siapa waris yang datang melawat aku tolong daftarkan. Lagipun aku cuma ada kau aje sekarang ni, kan?” Fiska tayang muka comel. Konon menagih simpati.
          “Tapi, Ika. Hmmm aku rasa nama kau dah didaftarkanlah.”
          “Dah daftar? Kenapa kau cakap macam tu pula? Bila masa aku daftar? Dari malam semalam aku terbaring kat sini aje.” Air muka berubah seratus peratus. Pelik bin ajaib ni.
          “Kalau kau belum daftar, macam mana jururawat kat kaunter pendaftaran tu tahu nombor wad kau? Waktu aku datang tadi, aku tanya jururawat kat kaunter pendaftaran tulah. Kalau tak, aku tak sampai lagi kat dalam wad yang kau duduk ni. Besar kut hospital ni aku nak mencari.” Jelas Najwa panjang lebar.
          Fiska mengangguk perlahan tanda memahami. “Habis tu, siapa yang daftar untuk aku?”
          “Mana aku tahu. Malam semalam kau datang hospital dengan siapa?”
          “Aku datang seorang aje. Teksi yang hantar aku. Lepas keluar dari teksi tu, aku ingat aku cuba berjalan menuju ke pintu masuk hospital. Lepas tu, dah sakit sangat aku terduduk kat kaki lima.” Fiska cuba mencerna sedalam mungkin.
          “Bila dengar kisah kau malam tu macam ni, aku betul – betul kasihan, Ika. Sorry sangat – sangat aku tak dapat nak tolong kau.”
          “Hisy, kau ni! Tak payahlah minta maaf. Tu bukan masalahnya sekarang.”
          “Tapi aku tetap rasa bersalah dengan kau, Ika.”
          “Hah, aku dah tahu siapa yang daftarkan nama aku!” lain pula yang dibalas gadis itu.
          “Siapa, Ika? Siapa?” berminat pula Najwa ingin mengambil tahu.
          Fiska diam. Soalan dibiarkan tidak berjawab. Senyum senget sedikit. “Adalah orangnya.”
***
          “Masuk kali ni sahaja dah tiga kali kes penculikan kanak – kanak berlaku di sekitar Perak. Cuma bezanya kali ni kita jumpa mayat mangsa yang sempurna tubuh badan. Sebelum ni, memang jelas kes penculikan berlaku di mana mangsa dirogol, dibunuh dan diambil organnya.”
          Tangan disilang memeluk tubuh mendengar penerangan dari orang atasan merangkap ketua pasukan mereka.
          “Maksud tuan kali ni bukan kes penculikan yang sama dengan kes – kes penculikan kanak – kanak sebelum ni?” salah seorang anggota dari pasukan khas itu mengajukan soalan.
          “Tak juga. Ada sebarang kemungkinan kes Nurul Atikah ni melibatkan penculik yang sama. Okey, cuba lihat persamaan antara kes culik pertama dan kedua adalah mangsa masing – masing diculik selepas waktu pra – sekolah. Begitu juga dengan kes Nurul Atikah ni. Jadi, kalau betul penculik bagi ketiga – tiga kes ini adalah orang yang sama, bermakna suspek hanya fokus pada budak – budak pra – sekolah.” Giliran Afham menyambung setelah lama mengunci mulut dari tadi.
          “Betul tu. Suspek hanya tumpu pada budak – budak tadika. Dan masa penculikan adalah selepas waktu persekolahan. Ini bermakna, suspek akan memerhati dari jarak jauh kawasan pra – sekolah tersebut. Sekiranya ada penjaga yang alpa, masa itulah suspek akan mengumpan mangsa.” Tambah ketua mereka lagi.
          “Kalau guna taktik umpan dengan gula – gula dan ais krim memang kanak – kanak akan ikut, tuan.”
          “Tapi saya tak rasa penculik ni umpan kanak – kanak dengan makanan, tuan. Budak – budak sekarang dah diajar jangan mendekati orang yang tidak dikenali. Gula – gula, ais krim, duit semua tu setahu saya memang budak – budak tu dah diajar jangan terima pemberian dari orang yang tak dikenali.” Afham mencelah pula.
          “Kanak – kanak ni kita susah nak jangka semua tu, Inspektor Afham. Memang dah diajar tapi apa yang dilarang, itu jugalah yang dibuat. Cara terbaik untuk menarik perhatian kanak – kanak adalah dengan memberi barang – barang yang mereka suka.”
          Afham terus diam. Tidak lagi menjawab walaupun jauh di sudut hatinya dia yakin yang penculik tidak mengumpan mangsa sebegitu.
          “Saya rasa kita patut ketatkan lagi kawalan di semua pra – sekolah di sekitar Perak ni, tuan. Tak mustahil ada kanak – kanak yang akan diculik lagi selepas ini.”
          “Ya. Maklumkan kepada semua cawangan ibu pejabat polis tentang perkara ni. Operasi bermula pada hari ni juga.”
          “Baik, tuan.” Masing – masing menerima arahan.
          “Nanti saya akan ke pra – sekolah Nurul Atikah tu semula, tuan.” Ujar Afham pula setelah menerima arahan dari ketuanya itu.
          “Pemilik pra – sekolah tu ibu saudara awak, ya?”
          “Ya, tuan. Kenapa?”
          “Tak ada apa. Lagi senang awak nak berurusan. Semoga maklumat yang diperoleh dapat membantu misi kita kali ni.”
          Afham hanya senyum kecil tanda mengiyakan kata – kata ketuanya itu sebelum berlalu meninggalkan bilik mesyuarat.
***
Perlahan – lahan langkah diatur sambil tangannya memegang bahagian abdomen yang sudah berbalut rapi. Kalau aku kat kampung lagi sekarang lepas tu kena appendic macam ni, agak – agaknya siapalah yang nak tolong? Hospital pun jauh. Ada hikmahnya kenapa aku tergerak hati nak datang sini untuk cari abang. Walaupun masih tak jumpa lagi idea macam mana nak cari abang tapi adik yakin, abang takkan lupakan adik, kan? Adik pasti akan jumpa abang juga satu hari nanti.
          Hmmm kenapa orang tak suka duduk kat hospital, ya? Kalau tengok drama kat tv tu, asal bapak masuk hospital sakit jantung aje, mesti minta nak balik rumah cepat. Seronok apa duduk hospital? Makanan terjaga. Boleh tengok ramai orang. Kalau malas nak jalan, pinjam wheelchair sekejap. Tapi boleh pinjam ke kalau kaki tak sakit?
          Langkah terus menapak di sekitar kawasan hospital sambil memerhati berbagai – bagai jenis ragam manusia yang ada di situ. Sempat juga gadis itu menghadiahkan senyuman buat sesiapa yang terpandang ke arahnya. Jelas menampakkan sepasang lesung pipit yang tersemat indah diwajah mulus itu.
          “Aduh!”
          Fiska mematikan langkah bila tubuhnya dirempuh seorang lelaki. Tanpa sebarang kata maaf, lelaki itu hanya berlalu meninggalkan gadis yang agak kesakitan memegang perutnya. Tak guna betul! Inilah perangai manusia zaman sekarang, mana pergi budi bahasa entah? Kalau perut aku luka balik, ganti dengan perut kau tu! Sumpah seranah dalam hati mula berjela.
          “Cik okey?”
          Suara dari seorang pemuda yang muncul tiba – tiba di ruang itu memaksa Fiska untuk senyum kembali. Nasib baik masih ada manusia yang berhati perut dalam dunia ni.
          “Saya okey…” kata tidak disambung bila melihat wajah lelaki yang familiar di matanya itu. Terperanjat beberapa saat lagaknya.
          “Eh, Rish! Macam mana awak boleh ada kat sini?”
          “Saya teman sepupu saya. Dia ada hal kat hospital ni. Errr awak sakit?” teragak – agak Darish bertanya bila melihat tubuh gadis itu tersarung dengan pakaian hospital.
          Fiska menggeleng laju dengan bibirnya yang dihiasi dengan senyuman manis itu. “Tak sakit dah. Saya baru lepas operation aje ni.”
          “Operation? Operation apa?” air muka pemuda itu berubah seratus peratus.
          “Appendic. Biasalah orang tak jaga makan macam saya ni memang inilah akibatnya.” Fiska pura – pura ketawa. Konon lawak. Namun, tawanya segera berhenti bila memandang Darish yang hanya membalas senyum. Tak ada perasaan ke mamat ni?
          “Mesti sakit, kan? Bila awak kena appendic ni?”
          “Hmmm sakit gila. Saya ingat waktu tu nyawa saya memang dah ikan sangat dah. Bagai telur di hujung tanduk. Malam kelmarin saya kena.”
          Darish ketawa kecil. Comel sangat perempuan ni.
          “Patutlah saya call awak malam tu, tak dapat. Ingatkan awak bagi nombor telefon salah.”
          “Awak ada call saya ke? Kenapa awak call?” Fiska kerut dahi sedikit menanti balasan dari pemuda itu. Pelik juga dibuatnya.
          Ah, sudah! Aku call dia sebab apa? Nak jawab apa ni, Rish oi?! Nak jawab apa?
          “Errr saya call sebab nak bagitahu nombor telefon saya kat awak tu. Apa – apa hal nanti senang nak contact.” Jawapan selamat.
          “Betul jugak, kan? Tak apalah. Nanti saya save nombor telefon awak tu, ya?” balas gadis itu mesra.
          “Okey, jangan lupa save ya?”
          Fiska sengih kecil. “Tak lupa punya. Eh, mana sepupu awak? Tak nampak pun dari tadi. Dia sakit ke? Atau datang ambil ubat kat sini?”
          “Bukan sebab sakit. Saya nak pergi lunch dengan dia tadi, lepas tu dia nak singgah hospital ni sekejap. Katanya ada kerja sikit. Awak bila boleh keluar hospital?”
          “Oh, macam tu! Doktor kata esok saya boleh keluar dah.”
          “Baguslah kalau macam tu. Lepas ni, jaga makan elok – elok. Kasihan kat perut tu sama. Tak pasal – pasal kena bedah.” Darish senyum tampan.
          “Baik, cikgu!”
          Sengih pemuda itu melebar sehingga bebola matanya menangkap kelibat Muhammad Afham Nazhan yang sedang menghampiri mereka.
          “Ha, itupun sepupu saya. Saya rasa awak pun pernah jumpa dia.” Ujar Darish tiba – tiba.
          Fiska segera memalingkan kepala. Membulat biji mata gadis itu melihat kelibat inspektor polis yang sedang melangkah ke arah mereka berdua. Jadi, mereka berdua ni sepupu? Polis bermulut hantu ni sepupu dengan cikgu bermulut gula ni? Sungguh, dunia ini terlalu kecil! Ingatkan kawan biasa aje. Rupanya ada pertalian darah. Tapi perangai kedua – dua manusia ni macam tak ada pertalian langsung. Hmmm lantaklah! Bukan masalah kau pun, Ika. Sibuk aje hal orang.
          “Jom! Aku dah settle.” Pemuda yang berjaket hitam berjalan dengan gaya kacak itu terus berlalu setelah melontarkan sepotong ayat.
          “Oh, okey! Errr nanti saya call awak, ya Ika?” Darish segera membontoti sepupunya yang sudahpun berlalu meninggalkan mereka.

          Fiska diam. Kata – kata Darish Izuan dibiarkan sepi. Sedikitpun dia tidak berkutik di situ. Dia dah tak kenal aku ke? Aku masih tak boleh nak percaya macam mana dia boleh lalu depan aku tanpa pandang muka aku yang sudah terang – terang ada kat sini. Atau dia memang tak nampak aku kat sini ke? Halimunan ke aku sekarang ni?

++bersambung++

No comments:

Post a Comment

sepatah komen anda ibarat setitik peluh petani..eh?