Followers

Wednesday 3 August 2016

~Katakan Tidak Pada Cinta 4~


Usai membayar harga makanan yang dipesan tadi, Fiska segera melangkah keluar dari ruang restoran. Bersyukurlah dapat makan mee goreng mamak untuk hari ni. Nak memilih makanan sangat pun, dia sendiri kurang mahir dengan jalan di kawasan bandar itu. Kalau kat kampung, cakap aje nak makan apa. Semua kedai makan dia tahu apa yang istimewanya masakan mereka.
          “Berhenti!!!”
          Langkah mati serta – merta. Lengannya ditarik kasar tiba – tiba. Betapa terperanjatnya dia kala itu bila tubuhnya ditarik ke dalam pangkuan seorang lelaki. Biji mata terbeliak. Perut pula sudah kecut. Terasa sesak nafas bila memandang wajah pemuda yang sedang menggenggam kemas lengannya sekarang.
          Dalam masa beberapa saat sahaja Fiska terduduk di atas jalan. Pemuda itu pula terus pasang langkah mengejar lelaki yang sedang memecut dengan motosikal di hadapan matanya itu. Dia hanya mampu terpinga sendirian. Apa yang dah berlaku?
          “Cik tak apa – apa?”
          Gadis itu segera kalih muka ke arah gerangan yang sedang bertanya. Lidah sudah pasti kelu. Tak tahu dia nak jawab apa walaupun dia tahu keadaannya memang tak ada apa – apapun sekarang.
          “Jom, masuk kereta. Saya hantar cik pergi hospital.” Pelawa Darish dengan senyum. Pintu kereta di sebelah pemandu sudahpun dibukakan untuk Fiska.
          “Eh, tak apalah! Saya okey aje cuma…” biji mata dihalakan pula ke arah bayang pemuda yang masih berlari laju mengejar motosikal itu.
          Alamak, handbag aku!
          Sepantas kilas, Fiska menerobos ruang kereta Darish. “Encik, tolong saya kejar motosikal kat depan sana tu. Cepat!!!”
          Arahan diberi tanpa rasa segan silunya. Ah, apa nak jadi pun jadilah! Kurang ajar punya peragut! Berani kau ragut handbag aku! Darish hanya menurut arahan. Pedal minyak mula ditekan rapat. Baru sahaja kereta mulai bergerak laju, pemuda itu menekan pedal brek tiba – tiba. Kereta berhenti dan Fiska pandang Darish bagai nak telan lelaki itu hidup – hidup. Dia ni dah kenapa? Aku suruh kejar motor tu boleh pula berhenti tepi jalan ni.
          Tak semena – mena seorang lelaki menerobos masuk ke dalam kereta itu pula. Buat kesekian kalinya, Fiska terperanjat. Ni bukan ke lelaki yang kejar peragut tu tadi?
          “Rish, cepat Rish kejar dia! Laju lagi. Cepat! Dia masuk selekoh tu tadi.” Giliran  Afham pula memberi arahan. Sekali lagi Darish mengangguk. Arahan diterima!
***
          “Dah settle dah ke, Am?” Darish dan Fiska segera bingkas dari ruang menunggu bila terlihatkan kelibat sepupunya keluar dari dalam ofis di balai polis itu.
          “Settle dah. Kau dah buat report ke belum? Ada barang yang hilang tak?” biji mata dihalakan ke arah Fiska pula.
          “Dah buat dah. Tak ada barang yang hilang. Alhamdulillah.” Balas gadis itu dengan senyum. Darish juga senyum kecil tanda lega bila semuanya sudah selamat.
          “Baguslah kalau macam tu. Ramai betul anak muda kita yang nak jadi peragut sekarang ni. Baru 17 tahun aku tanya umur budak tu tadi. Mana dia belajar meragut pun entahlah. Sekolah tak pergi lepas tu pergi meragut. Cikgu tak ajar ke apa?” bebelan Afham yang baru saja sampai di telinga Darish itu membuatkan pemuda yang bergelar cikgu itu terbuka pintu hati untuk membidas.
          “Kau tak boleh nak salahkan cikgu seratus peratus. Ibu bapa juga kena mendidik anak – anak. Cikgu ada ramai anak murid kat sekolah tu. Takkan cikgu nak fokus kat seorang anak murid saja. Pendidikan yang utama diberikan adalah dari rumah. Betul tak, cik…” Berjela Darish membela kerjayanya. Biji mata dihalakan ke arah Fiska yang turut mengangguk tanda menyokong kata – kata Darish.
          “Panggil Ika aje.” Tutur Fiska dengan senyum. Apa yang menarik dengan gadis ini adalah senyumannya. Murah dengan senyum. Manis. Tambah pula wajah yang lembut dan cantik. Cukup sempurna di mata sesiapa sahaja yang memandang.
          “Oh, Ika! Cantik nama awak, Ika.” Darish balas senyum. Fiska pula makin melebar senyum. Tersipu malu.
          “Cinta Fiska?” Afham bersuara tak semena – mena.
          Darish segera kalih pandang ke wajah sepupunya. Fiska apa lagi. Berubah air muka serta – merta bila memandang wajah pemuda yang bernama Afham itu. Buat beberapa minit dia pandang wajah inspektor polis itu. Baru dia teringat akan lelaki itu yang bersama – sama dengan dia di dalam hutan tempoh hari. Patutlah dia tahu nama penuh aku. Cis!
          “Hati – hati lain kali. Orang nak bawa beg tangan, kau pun nak bawa beg tangan juga. Lepas tu, jalan pula lenggang kangkung kat tepi jalan. Memang bersinarlah biji mata peragut bila tengok jenis – jenis perempuan berperangai macam ni. Punca utama kes ragut ni makin menjadi – jadi dalam negara kita adalah dari kecuaian diri sendiri.” tempelak Afham tak pasal – pasal.
Fiska yang mendengar sudah berasap telinga. Sudahlah lengannya sakit sebab terjatuh di bahu jalan tadi, ada pulak yang ingin menyakitkan hati waktu itu. Mamat ni memang tak puas hati dengan aku sejak lahir lagi ke macam mana?
“Amboi, mulut tu sedapnya bercakap! Bila masa saya jalan lenggang kangkung pula, hah?! Peragut tu yang tak berhati perut. Pergilah rompak bank ke kedai emas ke. Ini tidak! Beg tangan cap ayam itu jugalah dia nak ragut pun. Dalam beg duit pun ada berapa kupang saja tu.”
          Pitching suara mencerlang naik. Afham hanya tarik sengih sinis. “Bahaya tu tak mengira siapa walaupun handbag kau tu cap ayam dan berapa kupang pun yang ada dalam beg duit kau tu. Kau sendiri yang kena beringat supaya jangan cuai lain kali.”
          Fiska mencebik. Peragut punya pasal, aku pula yang kena ceramah. “Baiklah, tuan polis. Saya akan berhati – hati lain kali.”
Lagi bertekak, lagi berjela syarahan pak cik polis ni karang.
          “Bagus! Sudah. Pergi balik rumah kau sekarang!”
          “Nak baliklah ni. Terima kasih sekali lagi, ya encik.” Sempat Fiska menguntum senyum manis buat Darish Izuan yang masih lagi tidak mengalihkan pandangan dari wajah lembut gadis itu. Nada suara automatik direndahkan.
“Sama – sama, cik.” Cantik. Indah sungguh ciptaan Allah yang seorang ini.
***
          “Tak banyak orang ambil barang ke hari ni?” tegur seorang lelaki yang baru saja memasuki premis itu. Serbuk yang berwarna putih seperti rupa tepung di dalam bekas disentuh lembut.
          “Hari ni kurang sikit, bos. Tapi untuk pengedar tetap macam biasa. Jangan risau, bos.”
          “Kenapa kurang? Takkan aku baru tak datang beberapa hari dah kurang?” lelaki itu menyoal lagi. Air muka tampak kurang senang dengan jawapan yang baru diberikan oleh anak buahnya itu.
          “Bukan macam tu, bos. Sekarang ni kena hati – hati sikit. Bahaya. Banyak mata – mata yang intip kita sekarang. Nasiblah baru – baru ni polis tak dapat jejak lagi. Itupun dah hampir – hampir. Kalau tidak bungkus kita, bos.”
          “Tak apalah. Tak lama lagi redalah polis – polis bodoh tu semua. Apa – apapun hati – hati. Aku tak nak sikitpun polis dapat hidu kawasan kita.”
          “Baik, bos. Pasal tu, bos jangan risau. Ditanggung beres!”
          “Bagus!” Roy menepuk perlahan bahu anak buahnya itu. Langkah diatur lagi memerhati pemprosesan dadah bersiaran langsung di dalam premisnya itu.
***
Biji mata dihalakan tepat ke hadapan jalan. Konon fokus dalam pemanduan. Sesekali kelibat Afham di sebelah dikerling. Pemuda itu masih tenang bermain dengan telefon bimbitnya. Macam tidak ada apa – apa yang perlu dijelaskan kala itu.
          “Kau tak pernah bagitahu aku pun kau ada kawan perempuan, Am?” Darish bersuara memecah sunyi.
          “Bila masa pula aku ada kawan perempuan?” Afham soal balik. Pelik.
          “Ika tu?”
          “Tu bukan kawan aku.”
          “Habis tu, kau tahu nama penuh dia tu?”
          “Sebab aku pernah tengok ic dia.”
          Sepatah ditanya, sepatah dijawab.
          “Ala, memang kerja kau pun selalu tengok ic orang. Tapi kalau dah sampai kau ingat nama penuh dia tu, mesti kau kenal dia.”
          “Nama penuh Ika tu apa?” tanya Afham tak semena – mena.
          Darish diam dua saat. “Cinta Fiska.”
          “Tengok. Kau pun ingat nama penuh dia, kan? Walhal kau tak kenal dia. Nampak tak apa masalahnya di sini?” Afham tarik sengih.
          “Kau kenakan aku masalahnya di sini.” Darish senyum senget.
          “Ala, aku rasa kalau sesiapapun yang tahu nama penuh dia mesti akan ingat juga. Nama dia kan unik. Jarang sangat ada perempuan yang bernama Cinta ni.” Afham menyambung lagi.
          “Ada relevannya di situ. Nama dia unik dan cantik. Secantik orangnya.” Darish senyum lagi. Kali ni, lebih misteri senyumnya.
          “Rupa paras tu tak penting, Rish. Yang penting tu, hati.”
          “Kalau yang penting tu hati, kenapa kau tak pernah buka hati kau?”
          “Kau pernah buka ke hati kau yang kau tanya pasal hati aku ni?”
          Giliran Afham menjerat. Masing – masing sengih.
          “Aku tunggu perempuan yang mampu buka hati aku ni.” jawapan selamat.
          “Sama dengan jawapan kau.” Afham sengih lagi.
          “Cis!”
***
Skrin telefon bimbit di tangan dari tadi menjadi tatapan. Sesekali kawasan sekeliling tempat perhentian bas itu diperhati. Bunyi kenderaan yang dari tadi tidak putus – putus itu betul – betul membingitkan halwa telinga. Dalam kepala sibuk berbicara sendiri yang dia sendiri tidak pasti ke mana arah tujuannya sekarang.
          “Ibu, tengok ni bu! Gambar girlfriend abang.” Berlari – lari budak perempuan itu menayangkan sekeping gambar di tangan kecilnya.
          “Adik! Bagilah balik. Pandai – pandai aje ambil barang orang.” Si abang merungut. Tercungap – cungap dibuatnya penat mengejar.
          “Ibu, cepat bu tengok ni! Abang pergi sekolah bukan nak belajar, dia bercinta bu. Cepat, bu. Tengok ni!” lidah dijelir.
          “Kalau abang dapat tangkap adik, memang teruklah kena geletek sampai pengsan. Abang tak lepas dah!” amaran keras. Geram sungguh dia dengan perangai adik manjanya itu.
          “Ni apa yang berlari – lari dalam rumah ni? Runtuh rumah ni nanti macam mana?” bebel si ibu pula.
          “Adik ni, ibu. Ambil barang orang suka hati. Bukan nak minta izin dulu.”
          “Barang mana? Mari sini ibu tengok.” Gambar di tangan terus diambil. Si adik dan abang terus diam. Ibu tarik sengih tak semena – mena.
          “Comel. Anak siapa ni, abang?”
          “Comel? Ibu tak marah ke abang ada girlfriend?” protes si adik. Tak puas hati bila misi untuk mengenakan abangnya tidak berjaya.
          “Mari sini, dik. Abang nak pulas telinga kamu kuat - kuat.”
          “Okey, okey. Sakit abang! Sakit!!!”

          Abang… abang kat mana sekarang? Bunyi hon bas yang berhenti di hadapan tempat perhentian bas itu membunuh lamunan dengan kejamnya. Kolam mata yang mula bergenang segera diseka.

++bersambung++

No comments:

Post a Comment

sepatah komen anda ibarat setitik peluh petani..eh?