Followers

Wednesday 24 August 2016

~Katakan Tidak Pada Cinta 18~


Tubuh disandar lemah di atas sofa. Kelopak mata terasa berat ya amat untuk dicelik. Mahu sahaja dia memejamkan mata yang sudah keletihan dek terlalu fokus terhadap kes penculikan kanak – kanak itu. Mangsa yang keempat juga merupakan budak pra sekolah setelah dibuat pengecaman identiti. Tapi yang peliknya kenapa tidak ada sesiapapun ahli keluarga mangsa yang membuat laporan kehilangan?  
          Masuk kali ni, keempat – empat kes penculikan dan pembunuhan yang sama berlaku. Aku yakin sangat ni semua kerja penjenayah yang sama. Tapi sampai sekarang pun masih belum ada tanda – tanda suspek menunggu kanak – kanak di kawasan pra sekolah pada waktu tamat persekolahan. Cuma dalam kes Nurul Atikah ada peniaga menjual ais krim tapi bila ditanya kepada tadika mangsa yang lain, tak adapun peniaga ais krim berada di kawasan pra sekolah pada hari kejadian.
          “Mana sabun basuh kain, Mak Ucu? Hari tu beria – ria sangat offer diri nak pergi beli. Mana? Mak Ucu nak basuh kain ni tak ada sabun.”
          Suara wanita yang wujud di ruang tamu itu tiba – tiba serta – merta mematikan lamunan Inspektor Muhammad Afham Nazhan dengan kejamnya. Lupa sekejap hal kerja.
          “Ala, Am lupalah nak beli hari tu. Sorry Mak Ucu, sorry.
          “Lupa? Habis tu, Mak Ucu nak basuh kain macam mana ni? Dah dua hari tak basuh kain. Yang kamu keluar ke kedai malam tu, pergi mana?”
          Serta – merta insiden malam di mana dia memarahi Cinta Fiska itu menerpa ke minda. Terasa bersalah pun ada bila terlalu berkasar dengan seorang perempuan tapi yang perempuan tu berat mulut sangat nak bagitahu sebab dia ke sini apahal? Entah – entah dia memang sudah berniat jahat sejak dari awal lagi. Nak intip aku mungkin?
          “Mak Ucu tengah bercakap dengan kamu ni, Am.”
          Sekali lagi lamunan lelaki itu mati.
          “Ya, Am dengar. Am on call tiba – tiba malam tu. Sebab tu Am terlupa nak ke kedai.” Bohong walaupun dia sudah dapat lihat riak Mak Ucu yang sudah mula ingin menyinga itu.
          “Kamu jangan nak tipu Mak Uculah, Am. Sebab tak dapat nak basuh kain, biar Mak Ucu yang basuh kamu pula. Kamu cakap apa dekat Ika malam tu, hah?” wanita itu pandang tepat wajah anak saudaranya tanpa kedip.
          “Cakap apa pula? Tak ada apapun. Lepas Am dapat call, Am terus pergi balai. Cinta Fiska balik rumahlah kut rasanya, kan?”
          “Haah, memanglah balik rumah tapi balik dengan muka sedih. Macam orang yang baru lepas menangis.”
          “Menangis?” berubah sedikit air muka Afham tiba – tiba.
          “Yalah. Apa yang kamu cakap dekat dia malam tu? Cuba bagitahu Mak Ucu elok – elok sebelum Mak Ucu tanya Ika sendiri nanti.” Mak Ucu masih lagi tak putus asa.
          “Am cuma tanya apa niat dia nak rapat dengan keluarga kita. Tu saja.”
          Keluhan kecil dibebaskan sejenak. Memandangkan wajah anak saudaranya yang masih selamba itu membuatkan kepala menggeleng perlahan.
          “Soalan kamu tu membuatkan orang yang disoal tu boleh salah faham tahu tak?”
          “Masalahnya Mak Ucu, dia tu orang luar. Entah dari mana – mana dia datang lepas tu nak duduk kat sini sekali. Padahal dia dah tinggal dengan kawan dia kat rumah sewa. Bahaya, Mak Ucu. Kita tak tahu apa niat dia. Kalau dia tu penjenayah, macam mana?” pemuda itu meluah dengan rasa tidak puas hati.
          “Kalau dia bukan penjenayah, kamu dah berdosa besar tahu tuduh dia macam tu.”
          Afham diam sekejap. Tidak membalas.
          “Sudahlah, Am. Lebih baik kamu minta maaf dengan Ika balik. Jangan ingat apa yang kamu fikir tu semuanya betul.”
          “Minta maaf? Mak Ucu, tolonglah jangan percaya orang sembarangan. Zaman sekarang ni baik lelaki mahupun perempuan semua sama saja jahatnya. Jangan jadi baik sangat tolong orang tak bertempat, Mak Ucu.” Afham menyambung lagi.
          “Salah ke Mak Ucu tolong seorang gadis yang dihalau dari rumah sewanya, yang langsung tak ada tempat tinggal untuk meneruskan hidup dia di sini?”
          Sekali lagi air muka pemuda itu berubah cuaca. Tak mampu dikawal lagi. “Dia kena halau dari rumah sewa dia ke? Kenapa, Mak Ucu?”
          “Sebab dia tumpang rumah kawan dia tu tanpa pengetahuan tuan rumah. Tuan rumah tu tak bagi dia kongsi bayar sewa dengan kawan dia tu.”
          “Habis tu, kenapa dia tak balik tempat asal dia saja? Buat apa tinggal kat sini lagi kalau dah tak ada tempat tinggal?”
          “Sebab tujuan utama dia ke sini belum selesai lagi. Macam mana dia nak balik?”
          “Tujuan apa dia ke sini sebenarnya, Mak Ucu?” terasa perasaan ingin tahu tentang gadis itu mula membuak – buak.
          “Eh, kamu kan kawan dia! Takkan tak tahu pula kenapa dia datang sini.” Mak Ucu sengaja kerut dahi.
          “Kawan apa bendanya? Am dah pernah tanya dia banyak kali dah, Mak Ucu. Tapi satu habuk dia tak pernah cerita pun.”
          “Hmmm dia nak cari abang dia. Abang kandung dia dah lama terpisah selepas ibu bapa dia orang dah meninggal dulu.”
          Afham senyap. Sabar menunggu Mak Ucu menyambung kata lagi. Memang dia sedia maklum Cinta Fiska merupakan anak yatim piatu seperti dirinya.
          “Mak Ucu kasihan dengar luahan dia hari tu. Ika cakap abang dia dipaksa ikut pakcik mereka tinggal bersama. Sejak pada hari ibu bapa mereka dah tak ada, dia dan abang dia pun terus diputuskan talian adik beradik. Menangis – nangis dia bercerita dekat Mak Ucu. Tapi pasal tinggal kat rumah Mak Ucu ni, Mak Ucu sendiri yang offer. Bila tengok dia bawa beg galas besar ke tadika pagi tu, Mak Ucu peliklah. Tak sangka pula malam tu dia tidur kat hotel sebab kena halau dengan tuan rumah.” Terasa bergenang pula kelopak mata bila berjela dia jelaskan perihal gadis yang kurang bernasib baik itu.
          Sebuah keluhan berat dilepaskan buat seketika. Patutlah pagi tu aku nampak dia galas beg besar datang tadika. Cinta Fiska, kenapalah kau tak terangkan dekat aku awal – awal lagi? Tak adalah aku nak berkasar dengan kau malam tu.
          “Apa yang Mak Ucu cerita dengan kamu ni, janganlah sampaikan dekat Ika balik. Mak Ucu dah janji dengan Ika takkan cerita dekat kamu mahupun Rish.”
          “Yalah.”
          Afham hanya membalas lemah. Terasa begitu menggunung perasaan bersalah dalam diri. Tulah, kalau dapat tuduh orang memang tak ingat dunia dah. Sekarang padan muka kena minta maaf balik. Aduh!
***
          “Kau ni siapa sebenarnya, perempuan parasit?”
          Sekali lagi berdesing gegendang telinga Fiska bila mengingatkan ayat keramat yang dihadiahkan buat dia pada malam yang kononnya kena teman pergi beli sabun basuh kain itu. Perempuan parasit dia panggil aku?! Sebiji bantal ditenung tajam. Seperti ingin melepaskan sesuatu dendam yang amat luar biasa. Memang hantu betul polis seorang ni. Dia ingat dia dah bagus sangat ke nak panggil aku macam tu?
          Aku rasa gelaran hantu tu terlalu baiklah untuk kau, encik polis. Kalau diikutkan level mulut kau tu sesuai digelar puaka dah. Sesedap hati jantung limpa kau aje nak panggil aku parasit! Hoi, parasit tu tumpang orang tak bayarlah! Aku bayar tahu tak?! Mak Ucu potong gaji aku. Kau apa tahu, lelaki puaka? Tak semena – mena bantal tidur yang ditenungnya tadi menjadi mangsa tumbukan bertalu – talu.
          Nah, rasakan kau! Lepas ni aku nak tempah sarung bantal yang boleh cetak gambar lelaki puaka tu. Seronok sikit bila nak wrestling kau. Baru nampak real. Tumbukan diteruskan lagi demi melepaskan rasa geram kepada Muhammad Afham Nazhan. Pandai – pandai panggil aku parasit sangat, kan? Fuh. Rambut hadapannya yang berjuntai ke muka ditiup kasar. Puas hati sungguh bila kapas bantalnya sudah selamat berterbangan di ruang udara. Walaupun bukan tuan punya badan yang kena belasah dengan aku sekarang, aku dah cukup puas hati.
          Hmmm abang… Adik rindukan abang. Abang kat mana sekarang?
          “Ya Allah, abang! Kenapa bersepah kekabu bantal dalam bilik ni?” suara si ibu sudah memenuhi ruang bilik. Bantal yang sedang direbut oleh sepasang adik beradik itu terlepas dari tangan.
          Si abang sudah mengerling adiknya yang hanya membisu di sisi. “Abang tak sengaja, bu. Abang ingat tak ada siapa yang guna bantal tu dah.”
          “Kalau tak ada siapa yang guna pun, yang kamu berebut bantal ni kenapa? Kamu dah besar sepatutnya tunjukkan contoh yang baik dekat adik.” Marah si ibu tepat ke wajah anak sulungnya itu.
          “Abang minta maaf, bu. Abang janji tak berebut lagi.”
          “Ibu nak abang kemas balik bilik ni. Malam ni jangan tidur pakai bantal. Tidur atas katil kosong saja.” Bebel si ibu lagi sebelum meninggalkan ruang bilik anak lelakinya itu.
          Si adik yang hanya mengunci mulut dari tadi terus pandang wajah abangnya. “Adik minta maaf, abang.”
          “Tak apalah, dik. Dah pergi masuk bilik tidur. Dah malam dah ni. Ambil bantal abang ni.”
          Bantal yang dihulurkan tidak disambut. “Kenapa abang tak bagitahu ibu adik yang datang kacau abang? Adik yang buat bantal tu koyak.”
          Suara si comel yang serak seakan ingin menangis itu serta – merta membuatkan abangnya senyum lebar. Kepala adiknya digosok manja. Itulah satu – satunya harta yang dia ada termasuk ibu dan bapanya.
          “Sebab abang sayangkan adik. Abang ada adik seorang saja.”
          Air mata mengalir laju bila suara si abang kembali berada dekat dengan halwa telinganya lagi. Kalau abang sayangkan adik, kenapa tinggalkan adik macam tu saja? Adik pun dah tak ada sesiapa lagi selain abang. Kat mana adik patut cari abang sekarang ni? Jomlah kita balik ke rumah ibu dan ayah semula, abang.
***
Jam ditangan mula dikerling. Bila terlihat kelibat Darish yang baru melangkah masuk ke dalam kawasan kedai makan mamak itu, Fiska terus melambaikan tangannya. Sebuah senyuman manis dihadiahkan buat lelaki yang juga murah dengan senyuman seperti dia juga. Memang jauh beza sungguh dengan perangai si lelaki puaka itu.
          “Lama dah awak sampai?” kerusi terus ditarik seraya melabuhkan punggung berhadapan dengan gadis itu.
          “Tak adalah lama sangat. Tapi sempat jugalah oder teh ais dulu.” Fiska sengih sambil menayangkan segelas teh ais yang sudah dihirup sedikit itu.
          “Mamak! Bagi teh ais sama maggi goreng macam biasa, ya?” laung pemuda itu tak semena – mena.
          Nampak sangat selalu melepak kat kedai ni. Tapi memanglah pun. Hari yang aku kena ragut kat depan kedai ni kan dia dengan Am ada.
          “Awak tak nak makan apa – apa ke, Ika? Saya belanja.”
          “Tak apalah. Saya dah makan dah pun sebenarnya tadi. Awak cakap ada benda penting nak minta tolong saya, kan? Apa dia?” gadis itu terus ke agenda utama.
          Mana tidaknya, tiba – tiba dapat call dari pemuda itu cakap nak jumpa dia. Pelik. Kenapa tak jumpa kat rumah Mak Ucu saja? Entah – entah Si Rish ni pun nak sound aku macam sepupu dia buat malam tu. Kalau Rish pun dah cakap macam tu juga kat aku, terpaksa jugalah aku cari bilik sewa lain. Takkan nak bergaduh dengan semua ahli keluarga dia orang ni pula. Banyak lagi benda penting yang patut aku uruskan sebenarnya.
          “Saya ada masalah sikit ni, Ika. Dah tak ada sesiapa dah yang saya mampu nak minta tolong. Hanya awak seorang saja yang boleh.”
          Fuh! Fiska dah hela nafas lega dalam diam. Disebabkan kau bukan berperangai buruk macam sepupu kau yang suka sound – sound aku tak tentu pasal tu, aku akan tolong kau apa sahaja, wahai Darish Izuan!
          “Boleh aje. Awak nak saya tolong apa?”
          Darish serta – merta ukir senyum lebar. Rasa macam tak percaya pun ada. “Betul ni awak boleh tolong saya?”
          “Betullah. In shaa Allah, saya boleh tolong setakat yang saya mampu. Tapi awak nak saya tolong awak buat apa?” lembut gadis itu membalas.
          Lelaki dihadapannya itu sudah berjuta kali cair bila memandang wajah gadis yang acapkali menampakkan lesung pipitnya itu.
          “Awak tolong jadi kekasih saya, ya?”
          Air muka berubah cuaca. Fiska tercengang hebat. Aku ada salah dengar ke apa ni?
          “Jadi kekasih awak?” lambat – lambat gadis itu ulang suara.
          Darish mengangguk laju. Riak wajah gadis itu cuba dibaca sama ada dia setuju ataupun tidak.
          “Saya nak minta tolong awak menyamar sebagai kekasih saya. Mama saya nak kenalkan saya dengan anak perempuan kawan dia tapi saya tak nak. Saya bagi alasan yang saya ni dah ada kekasih. So, sebab tu saya nak minta awak tolong saya menyamar sebagai kekasih saya. Boleh kan?” jelas lelaki itu satu persatu.
          “Oh, menyamar!” Fiska dah ketawa kecil sendiri. Sangkanya tadi betul – betul.
          “Kenapa Ika?”
          “Boleh. Saya memang pandai berlakon. Awak memang tak silap oranglah minta tolong saya ni.” sekali lagi gadis itu ketawa.
          Darish dah senyum meleret bila mendengar jawapan dari gadis itu. Sekurang – kurangnya dia dah lepas dari satu masalah. Harap – harap mama dan papa berhentilah mencari jodoh untuk dia selepas ini.
          “Okey, bagus! Hari Ahad ni saya bawa awak jumpa mama dan papa saya, ya? Esok kita pergi shopping dulu.”
          “Shopping? Shopping untuk apa?” Fiska kerut dahi.
          “Eh, kalau nak berlakon mestilah kena ada propsnya, Cik Cinta Fiska!” Darish masih dengan senyumnya.
          Props? “Oh, okey! Lupa pula nak berlakon.” Fiska sengih. Buat – buat faham sudahlah, Ika oi.
          “Kalau awak tak nak berlakon pun tak apa. Jadi terus kekasih saya yang betul.”
          Fiska yang baru menghirup baki air teh aisnya serta – merta tersedak. Bebola mata terus tepat ke wajah lelaki di hadapan matanya itu. Dahsyat betul pickup line dia ni!

++bersambung++

No comments:

Post a Comment

sepatah komen anda ibarat setitik peluh petani..eh?