Followers

Saturday 27 August 2016

~Katakan Tidak Pada Cinta 19~



Kedua – dua belah kaki digoyangkan sambil ralit menggigit buah epal. Hmmm tenang betul dunia bila duduk kat rumah ni. Kalau tak disebabkan tuan rumah ni yang berkira sangat, aku pun tak inginlah nak tinggal kat rumah saudara – mara kau tu. Fiska cebik sendiri bila mengimbau kembali adegan dia dimarahi Afham tempoh hari. Mana mungkin untuk dia lupakan saat dia dihina sampai begitu sekali. Perkataan ‘hina’ tu nampak macam kejam sangat aje.
          “Amboi, senang hati nampak!” Najwa melabuhkan punggung di atas sofa. Lega bila melihat temannya itu masih berkeadaan baik.
          “Tak adalah senang hati manapun. Biasa aje.” Balas Fiska ada tidak. Najwa dah mencebik.
          “Macam mana dengan bilik sewa baru kau? Okey ke?”
          “Okey sangat. Cuma adalah sikit – sikit yang tak okey tu.” ‘Sikit – sikit yang tak okey tu’ sudah tentulah merujuk kepada lelaki yang bernama Afham.
          “Tak apalah. Aku pun dah lega bila dapat tahu kau dah ada tempat tinggal. Tapi bos tadika tempat kau kerja tu kira baik sungguhlah, kan? Siap tolong sewakan bilik kat rumah dia lagi untuk kau.”
          “Haah, dia memang baik pun. Lagipun, dalam rumah dia tak ada sesiapapun. So, dia offer aku menyewa kat rumah dia bila aku tanya dia ada tahu tak mana – mana owner rumah yang nak sewakan bilik.”
          Tak sangka pula malam yang aku tipu aku duduk kat rumah bos aku tu betul – betul jadi kenyataan, Wa. Kata – kata yang hanya disimpan dalam hati. Dalam diam dia sememangnya sudah menitip berjuta syukur kepada Allah SWT kerana telah menyenangkan dia tika dia dalam kesusahan.
          “Eh, dia tak ada ahli keluarga lain ke yang tinggal dengan dia?”
          Fiska geleng. “Tak ada. Cuma kadang – kadang tu adalah anak saudara dia dua orang ni datang bertandang ke rumah dia.”
          “Oh, laki ke perempuan anak saudara dia tu?” perasaan teruja tiba – tiba ingin tahu.
          “Entahlah. Laki kut. Aku pun tak ambil tahu sangat pasal anak – anak saudara dia tu. Aku buat hal aku ajelah.”
          Cis, penipu! Iya sangatlah tu tak ambil tahu pasal anak – anak saudara Mak Ucu. Aku kenal dia orang dulu sebelum kenal Mak Ucu.
          “Handsome tak, Ika?” riak Najwa benar – benar sudah bersinar mengharapkan kekacakan lelaki – lelaki yang dimaksudkan.
          “Handsome apanya? Muka anak saudara bos aku tu sikit aje lagi nak sama dengan penyangak, tahu? Itupun kau belum tengok perangai dia yang macam hantu tu lagi.”
          Fiska ketawa besar seorang diri. Puas sungguh hatinya dapat mengumpat Afham di belakang. Tak dapat balas cara kasar, aku balas cara halus.
          “Dua – dua anak saudara bos kau tu muka macam penyangak?”
          Tawa mati. Gadis itu berdehem sedikit. “Seorang aje yang muka macam tu. Seorang lagi muka macam bunga. Manis sepanjang masa. Rasa macam boleh kena kencing manis pula aku bila bercakap dengan dia.”
          “Tak apalah kalau macam tu. Asalkan kau dah ada tempat tinggal yang selamat, aku dah bersyukur dah. Hmmm pasal abang kau pula macam mana?”
          Soalan yang baru sahaja diajukan temannya itu membuatkan Fiska mengeluh berat serta – merta. “Macam tu sajalah. Aku pun tak tahu nak mula dari mana nak cari abang aku tu.”
          “Hari tu kau kata ada orang dalam boleh minta tolong. Mana orang dalamnya tu?”
          Serta – merta wajah Inspektor Afham muncul di ruang minda. Memang dia pernah berniat nak minta tolong anggota polis itu dulu. Tapi bila mengenangkan insiden malam keramat untuk ke kedai runcit membeli sabun basuh kain itu, lebih baik lupakan sajalah niat dia untuk meminta tolong. Buat kena halau terus dari rumah Mak Ucu aje karang.
***
          “Am malaslah, Mak Ucu.”
          “Kamu ni, hari cuti orang minta tolong pun malas?” Mak Ucu dah naik suara bila melihat anak saudaranya yang masih berbaring di atas sofa sambil menonton televisyen dengan penuh perasaan senang hatinya itu.
          “Sebabkan hari cutilah Am malas. Am nak rehat. Tak nak keluar mana – mana pun.” Balas pemuda itu lagi.
          “Kalau tak sebab ada mesyuarat PIBG sekolah tu, Rish tak minta tolong kamu pun. Tolonglah dia. Rish dan pesan kat Mak Ucu pagi tadi. Janganlah degil sangat. Lagipun, inilah masanya untuk kamu minta maaf dekat Ika, kan?”
          Minta maaf? Afham dah kerling wajah ibu saudaranya itu. “Masalahnya kenapa Am pula yang kena pergi teman Cinta Fiska tu shopping? Nanti mesyuarat habis, suruhlah Rish pergi teman perempuan tu. Ni lagi satu, sejak bila pula dia orang berdua rapat sangat sampai nak shopping sekali?”
          “Rish minta tolong Ika. Sebab tu Rish kena teman Ika pergi shopping pakaian yang sesuai. Tapi disebabkan dia ada hal tiba – tiba hari ni, dia suruhlah Mak Ucu bagitahu kamu tolong temankan Ika pergi beli pakaian untuk dia.” Jelas wanita itu satu persatu.
          Afham kerut dahi beberapa saat. “Pakaian? Rish minta tolong apa?”
          “Rish tak ada cerita apa – apa ke kat kamu? Pelik.” Giliran Mak Ucu pula hairan.
          Afham hanya menggelengkan kepala laju. Belum sempat dia membalas kata, kedengaran nada dering telefon bimbit sedang memanggil. Tertera nama sepupunya di hadapan skrin telefon. Panjang umur sungguh.
          “Am, kau tolong teman Ika ya? Aku dah janji dengan dia hari ni tapi aku tak rasa meeting aku ni habis awal. Kasihan dia tunggu aku lama pula nanti.” Darish terus bersuara tanpa sebarang salam diberi.
          “Event apa yang kau dengan perempuan tu nak pergi sampai beria – ria sangat nak kena shopping dulu ni?”
          Afham sudah mengeluh kecil. Tak pasal – pasal dia yang menjadi mangsa kena teman Cinta Fiska hari ni. Bukannya dia tak suka nak teman gadis itu, tapi disebabkan dia dah tersilap besar marah orang tak tentu pasal malam itu. Sejuta kali dia rasa bersalah. Aduhai!
          “Tak ada event apa sangat pun. Cuma aku minta tolong Ika menyamar jadi kekasih aku depan mama dan papa. So, dia orang nak jumpa Ikalah Ahad ni.” ujar Darish selamba.
          Afham tersentak hebat. “Menyamar jadi kekasih kau?!”
          “Haah, kalau tak mama aku nak masuk meminang anak kawan dia untuk aku. Gilalah!”
          “Hmmm rumit kes kau ni, Rish. Habis tu, Cinta Fiska setuju ke nak tolong?”
          “Setujulah. Kalau tidak, takkan aku dengan dia boleh berjanji nak pergi shopping hari ni. Kau tolong aku, ya? Sekejap lagi aku call Ika bagitahu kau teman dia.”
          “Tak payah call dia. Dia balik rumah nanti, aku temanlah dia.” Balas Afham lemah. Serba – salah betul dirinya dirasakan sekarang. Tolong salah, tak tolong lagilah salah.
          “Okey. Thanks, Am. Jasamu dikenang.” Talian segera dimatikan.
          Keluhan berat dibebaskan buat seketika. Dikenanglah sangat! Apa aku nak cakap dengan perempuan itu nanti pun entahlah.
***
Tapak kaki betul – betul mati di hadapan kereta inspektor polis itu. Fiska pandang kiri sekejap. Kemudian, dia pandang kanan pula. Bila terlihatkan wajah Afham yang sudah merenung dia dari dalam kereta membuatkan gadis itu menukar langkah. Takkan tak habis – habis lagi nak cari gaduh dengan aku. Gadis itu segera mempercepatkan langkah berjalan menuju ke rumah Mak Ucu.
          “Hoi, Fiska! Tunggu.” Afham cepat – cepat melompat keluar dari dalam kereta.
          Fiska diamkan kakinya sekejap. Dia panggil aku ke? Kena lari lebih laju ni nampaknya. Belum sempat gadis itu memasang langkah seribu, lengannya direntap pemuda itu. Mati kau, Ika! Memang mati aku kena tadah telinga sekali lagi dengan lelaki puaka ni.
          “Kau nak ke mana? Tak dengar ke aku panggil kau tadi?”
          “Awak nak apa lagi? Saya tak ada urusan dengan awak pun. Tolonglah jangan kacau saya lagi.” Fiska memberanikan diri untuk menjawab.
          “Memanglah kau tak ada urusan dengan aku tapi aku ni ada urusan dengan kau. Jom, ikut aku!” Langkah Afham terhenti bila Fiska menarik lengannya semula.
          “Awak nak marah saya apa pula kali ni? Nak maki saya kat mana pula?” Fiska tikam tepat biji mata pemuda itu.
          Afham diam sekejap. Buat beberapa minit dia pandang wajah lembut gadis yang bertudung litup itu. “Aku ganti Rish teman kau beli pakaian untuk jumpa parents dia esok.”
          Mendatar nada Afham membalas. Fiska terus berubah air muka. Apa benda yang Si Darish buat ni? Apasal tak bagitahu aku dulu kalau ya pun tak jadi nak teman? Aduh!
          “Kenapa awak pula yang kena teman saya? Rish pergi mana?”
          “Dia ada meeting kat sekolah. Dia lupa nak bagitahu hari tu. So, dia minta aku tolong teman kau.”
          “Kalau macam tu, saya tunggu dia habis meeting sajalah. Awak tak payahlah susah – susah…”
          Belum sempat Fiska menghabiskan kata, Afham sekali lagi menarik lengan gadis itu menuju ke keretanya semula.
          “Apa awak buat ni?! Ingat lengan saya ni apa? Main sentuh – sentuh perempuan pula. Haram, tahu tak?” bulat biji gadis itu pandang wajah Afham.
          “Tahu. Dulu yang kau pernah tampar pipi aku dalam hutan, sepatutnya kau pun tahu tu haram.”
          Gadis itu diam sekejap. Terimbau semula ketika kali pertama dia melihat pemuda di hadapan matanya itu. “Tu sebab darurat.”
          “Rish meeting sampai malam karang. Lebih baik kau masuk dalam kereta cepat.”
          Topik ditukar. Fiska dah tercengang. Sampai malam dia meeting? Meeting jenis apa tu?
          “Nak masuk ke tidak ni?” pintu kereta di sebelah penumpang sudah dibuka.
          Fiska pandang sepi ruang kosong di tempat duduk penumpang itu. Nak paksa – paksa aku pula? Ingat aku nak masuk dalam kereta dia sangat ke? Jangan haraplah!
          “1…”
          Gadis itu sudah tersentak.
          “2…”
          Eleh, kiralah sampai sejuta pun! Aku takkan masuk.
          “Tak nak masuk sudah!”
          Belumpun sempat kiraan sampai nombor tiga, pintu kereta ditutup semula. Afham terus melangkah menuju ke tempat duduk pemandu semula. Fiska dah kerut dahi melihat tingkah pemuda itu. Cis! Kira tak sampai nombor tiga, dah give up! Tak semena – mena gadis itu menerobos ke dalam perut kereta dengan sendirinya. Afham hanya menahan sengih dalam diam.
          “Aku minta maaf pasal malam tu.”
          Teragak – agak Afham memecah sunyi setelah hampir setengah perjalanan. Fiska yang dari tadi menyepi pandang ke luar tingkap terus mengerling ke wajah pemuda itu.
          “Aku minta maaf sebab bersangka buruk dengan kau. Aku pun tak ada alasan apapun nak bagi kat kau. Tapi mungkin sebab kerja aku yang sering berkait dengan penjahat sebab tu aku lebih hati – hati.” Afham menyambung kata lagi.
          “Tak apalah. Saya faham.”
          Fiska hanya membalas pendek walaupun jauh disudut hatinya dia sudah tidak mengambil hati sangat dengan insiden malam itu. Yalah, semuanya berlaku secara kebetulan sangat. Siapa ajepun yang boleh percaya, kan? Cuma yang salahnya bahasa yang Afham guna untuk memarahi dia malam itu. Tak boleh nak guna bahasa elok – elok sikit ke?
          “Lagi satu, aku minta maaf sebab guna bahasa kasar dengan kau malam tu. Apapun alasan kau datang sini, aku yakin kau ada sebab sendiri.” Sekali lagi kata maaf dipinta lelaki itu.
          Fiska pandang tepat wajah Afham tak semena – mena. Lain macam saja bunyinya ni. “Awak dah tahu sebab saya datang ke sini ke?”
          Lambat – lambat pemuda itu mengangguk. Fiska hanya mampu menghela nafas panjang. Aku dah agak dah. Patutlah dia beria – ria nak minta maaf.
          “Kau tak payahlah bagitahu Mak Ucu yang kau dah tahu aku tahu sebab kau datang ke sini.”
          “Ha, elok sangatlah tu! Mak Ucu mesti cakap kat awak jangan bagitahu saya yang dia bagitahu awak. Lepas tu, awak pula cakap kat saya jangan bagitahu Mak Ucu yang saya dah tahu awak pun dah tahu pasal ni.”

          Fiska membulatkan biji matanya memandang pemuda itu. Mak Ucu pun sama tak boleh pegang rahsia. Haih. Afham hanya sengih kecil melihat riak gadis itu. Comel.

++bersambung++

No comments:

Post a Comment

sepatah komen anda ibarat setitik peluh petani..eh?