Followers

Wednesday 19 December 2012

~ Pemegang Watak Cinta 1 ~


Dari jauh lagi sudah kedengaran Tengku Danial Hakimi ketawa besar dalam ofisnya. “ Bagus Black bagus! Aku tahu kau sorang je yang layak buat kerja ni. Kau tak pernah hampakan aku Black. Habuannya, aku akan bayar kau berlipat kali ganda.” Pecah berderai lagi tawa Tengku Danial Hakimi. Lagaknya seperti J.W.W Birch yang baru sahaja berjaya menawan negeri Perak pada zaman penjajahan British dulu.
            Tengku Danial Hakimi menghenyakkan punggungnya di atas kerusi empuk yang telah ditempah khas dari Itali pada bulan lepas. Dia tersengih sinis sendirian sambil matanya memandang ke arah permandangan di luar tingkap ofisnya.
            Tamatlah riwayat kau hari ni Tengku Aakif Nawfal. Kau jangan berangan nak duduk di kerusi CEO MS Land Holdings ni. Hanya aku sahaja yang layak meneraju generasi syarikat ni. Kimi mintak maaf nenda, cucu kesayangan nenda si Aakif tu dah tak ada dalam dunia ni tau. Yang ada cuma cucunda yang nenda benci ni. Baru padan muka nenda ku sayang! Tengku Danial Hakimi menyambung tawanya lagi apabila membayangkan wajah nendanya nanti apabila mendapat berita cucunda kesayangannya telahpun menjadi arwah.
Sementara itu, di dalam rumah argam milik keluarga Allahyarham Tan Sri Tengku Mustapha dan Puan Sri Tengku Sakinah kelihatan seorang perempuan dalam lingkungan 75 tahun sedang mundar – mandir di hadapan ruang tamu rumahnya yang tersergam indah. “ Bonda jangan lah macam ni. Cuba bawak bertenang. Duduk dulu atas kerusi ni. Ni asyik dok mundar – mandir je sakit mata Muaz ni tengok bonda tau.” Tengku Muaz menyelak surat khabar di tangannya sambil melirik ke arah Puan Sri Tengku Sakinah yang sedang kegelisahan.
            “ Kenapa pulak kau nak sakit mata tengok bonda ni Muaz? Mata kau tu bonda tengok dari tadi asyik tengok newspaper je. Sampai anak balik lambat pun tidak dipedulikan. Ni lah ibubapa zaman sekarang ni. Tak sama macam ibubapa zaman dulu yang jaga anak tertib macam menatang minyak yang penuh tau.” Sindir Puan Sri Tengku Sakinah pedas sambil matanya melirik ke arah Puan Nafeesah yang berada bersebelahan suaminya, Tengku Muaz yang masih lagi membelek – belek surat khabar di tangannya.
            “ Bonda jangan lah risau sangat ye. Tahu lah si Aakif tu balik. Lagipun dia dah janji nak temankan bonda shopping hari ni. Mungkin ada hal dekat ofis kot sampai telefon pun tidak dijawabnya.” Balas Puan Nafeesah tenang sambil tersenyum ke arah ibu mertuanya itu.
            Akhirnya Puan Sri Tengku Sakinah menghenyakkan punggungnya di atas sofa sambil melepaskan keluhan yang berat. Matanya masih lagi tidak melepaskan pandangan ke arah pintu besar rumah argamnya itu. Dengan harapan, Tengku Aakif Nawfal muncul di muka pintu itu.
            Tengku Muaz dan Puan Nafeesah hanya menggelengkan kepala melihat telatah bonda mereka yang seperti sedang menunggu arwah ayahanda pulang dari kerja suatu ketika dulu.
            Sepuluh minit kemudian, muncul kelibat Tengku Danial Hakimi di muka pintu sambil menjinjing sebiji kek yang berbalut kemas. Puan Sri Tengku Sakinah terus meluru ke arah cucundanya yang berada di muka pintu itu.
            “ Kimi, mana Aakif? Aakif tak ikut Kimi balik sekali ke?” Puan Sri Tengku Sakinah terus bertanyakan perihal cucunda kesayangannya itu.
Orang tua ni tak habis – habis dengan Aakif. Yang aku ni ada depan mata pun tak pernah nampak. Macam aku ni cucu pungut pulak. Ngomel Kimi dalam hati sambil matanya memandang wajah yang sudah di mamah usia di hadapannya itu. Seketika kemudian, Tengku Danial Hakimi pura – pura senyum. “ Entah la nenda. Aakif call Kimi tadi cakap dia melawat site dekat Penang hari ni. Lagipun Kimi tak masuk ofis hari ni. Outstation dekat Klang tadi. Ni ada buah tangan sikit dari mama. Mama yang buat kek ni tau.” Tengku Danial Hakimi menghulurkan sebuah kotak kecil yang mengandungi sebiji kek itu kepada Puan Nafeesah.
Puan Sri Tengku Sakinah kembali duduk di atas sofa dengan wajah yang hampa. Hatinya tidak henti – henti mendoakan keselamatan cucu kesayangannya itu. Tengku Danial Hakimi pula mengambil tempat bersebelahan bapa saudaranya, Tengku Muaz.
“ Ada berita hangat ke hari ni paksu?” Tengku Danial Hakimi sengaja berbasa – basi sambil tangannya mencapai segelas jus oren di atas meja.
“ Ala biasa lah tak habis – habis dengan kes bunuh. Hari ni kes pembunuhan sepupu sendiri. Teruk sungguh manusia sekarang. Macam tak ada orang lain nak dibunuhnya.” Balas Tengku Muaz selamba sambil menayangkan tajuk utama muka depan Harian Metro kepada Tengku Danial Hakimi.
Tersedak – sedak Tengku Danial Hakimi dibuatnya apabila membaca muka depan utama surat khabar itu. Serta – merta dia meletakkan gelas yang berisi air itu di atas meja sambil mengelap bibirnya. “ Nenda, Kimi balik dulu lah ye. Dah lewat dah ni.” Tengku Danial Hakimi bingkas menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan nendanya.
“ Amboi, baru duduk je dah nak balik dah? Kimi, sesekali tu datang lah tidur sini. Bawak lah mama kamu tu sekali.” Tegur Puan Sri Tengku Sakinah sambil tangannya bersalaman dengan cucundanya itu.
Ala kalau aku duduk dalam rumah ni lama – lama pun, orang tua ni mana pernah nak hargai aku. Apa – apa hal pun nama Aakif jugak yang diserunya. Bebel Tengku Danial Hakimi dalam hati sambil berpura – pura senyum. “ InsyaAllah, nenda. Paksu, Kimi balik dulu ye. Kirim salam kat Maksu tau.” sempat Tengku Danial Hakimi bersalaman dengan bapa saudaranya sebelum melangkah keluar.
Puan Nafeesah berjalan menuju ke ruang tamu sambil menatang dulang yang berisi piring yang diletakkan kek yang diberi Tengku Danial Hakimi tadi. “ Eh, Kimi dah balik ke? Tak sempat nak jamah kek yang dia bawa tadi.” Puan Nafeesah memandang kelibat Tengku Danial Hakimi yang hilang di muka pintu sambil meletakkan dulang di atas meja kopi. Tengku Muaz hanya menjongketkan bahu memandang isterinya.
***
Sudah hampir sejam Wafa Amani menahan telinga mendengar leteran dari ibu saudaranya itu. Sepupunya merangkap anak dara kepada ibu saudaranya yang berusia 25 tahun, Najwa hanya tersengih memandang Wafa yang sedang dimarahi. Seronok lah tu tengok aku kena bebel. Dah macam watak Cinderella pulak aku ni. Haish kalau tak balik kampung, dikatakan lupa daratan lah, kacang lupakan kulit lah. Tapi bila balik kampung, macam ni lah jadinya. Agaknya tak penat ke mulut orang tua ni pot pet pot pet je dari tadi. Ngomel Wafa dalam hati kecilnya, bibirnya pula dicebikkan sambil tangannya ligat memotong sayur.
“ Tu lah kau Wafa, bila aku cakap sikit je kau mencebik. Umur kau tu dah tua bangka pun perangai macam budak tadika lagi. Semua yang pinang kau, semua kau tolak. Kau ingat muka kau tu lawa sangat macam Kareena Kapoor. Dulu waktu zaman aku muda – muda dulu, umur 18 dah beranak – pinak tau. Kau ni umur dah 27 habuk pun tak ada.” Bebel Puan Naimah dengan pedasnya.
Eleh, siapa cakap aku nak jadi Kareena Kapoor? Cukup lah orang ramai cakap muka aku ni comel iras – iras Heliza Helmi gitu. Hahaha. Tapi kira ok lah muka aku ni lagi lawa dari si Najwa gedik tu. Lepas tu bajet nak jadi Najwa Latiff. Piirrahh!!
“ Ala maklong, tu zaman dulu. Kalau ada jodoh tak kan ke mana punya lah maklong.” Balas Wafa Amani selamba. Biji matanya masih lagi memandang sayur yang sedang dipotong.
“ Bila aku cakap pandai kau menjawab ye. Aku tak peduli. Kalau sampai hujung bulan ni kau tak dapat cari calon suami kau, aku akan kahwinkan kau dengan anak ketua kampung si Khairul tu, paham?” Bengis wajah Puan Naimah memandang raut wajah anak saudaranya itu. Najwa pula sedang tersengih mengejek ke arah kakak sepupunya itu.
Terbeliak biji mata Wafa Amani apabila mendengar berita buruk yang baru berdesing di gegendang telinganya itu. Biar betul maklong ni. Dia ingat aku ni apa senang – senang nak kahwinkan aku dengan si Khairul bajet handsome tu. Dah la kaki rempit. Tak habis – habis menonggek dengan motor RXZ dia tu. Huish tak boleh dibayangkan kalau aku betul – betul jadi bini Khairul. Dah lah anak bapak. Not my taste ok.
“ Wafa bantah habis – habisan cadangan maklong tu. Suami Wafa, biar Wafa yang cari sendiri, paham?” Wafa Amani mula meninggikan suaranya. Dia terus meletakkan pisau di atas meja lalu meninggalkan ruang dapur yang mulai tegang itu.
“ Wafa!!! Kalau sampai hujung bulan ni kau tak dapat calon, aku tetap terima pinangan si Khairul tu kau dengar tak?” Puan Naimah separuh menjerit ke arah anak saudaranya itu. Berang hatinya bukan kepalang lagi. Wafa ni tak habis – habis buat darah aku naik. Tunggu lah kau nanti aku kerjakan.
Beberapa minit kemudian, kedengaran deruman enjin kereta meninggalkan perkarangan rumah Puan Fatimah. Wafa terus meluncur laju dengan hati yang begitu sebal. Sejak kecil dia tidak suka dengan keluarga ibu saudaranya itu. Puan Naimah sering mengarahkan Wafa dan adik lelakinya, Waiz Aiman melakukan macam – macam kerja dirumah. Kalau tidak disebabkan ibubapa mereka yang telah meninggal dunia, pasti Wafa dan Waiz bahagia di samping keluarga tercinta.
Walaubagaimanapun, Wafa tetap terima qada’ dan qadar yang telah Allah SWT tentukan buat dirinya. Dia tetap menghargai secebis kasih sayang yang diberikan oleh keluarga Mak Long kepada dia dan adiknya itu. Walaupun dia tahu hakikatnya, maklong sanggup menjaga kebajikan dirinya dan Waiz hanya kerana harta yang ditinggalkan oleh arwah ibubapa mereka.
Tamat sahaja pengajiannya di Universiti Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim, Wafa mula mengajar di sebuah sekolah menengah di sebuah pekan di Perak iaitu Parit Buntar. Dia kemudiannya terus menetap di sebuah rumah teres setingkat yang disewa bersama adiknya yang baru berumur 22 tahun itu. Waiz pula masih lagi sedang belajar di Universiti Malaya dalam bidang perubatan.
Wafa terus menekan laju pedal minyak keretanya meninggalkan kampung halaman keluarganya di daerah Gerik menuju ke Parit Buntar. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 3 jam itu membuatkan Wafa terasa begitu lama memandu ditambah pula hatinya  begitu geram dengan tindakan ibu saudaranya yang dirasakan sudah melampau itu. Ah, apa nak jadi pun jadi lah. Jangan ingat aku ni budak – budak lagi nak paksa – paksa pulak. maklong ni tak habis – habis nak cari gaduh dengan aku. Yang anak dara dia tu tak nak pulak dikahwinkan dengan si Khairul tonggek tu. Umur pun dah 25 dah. Sesuai sangat la si Tonggek dengan si Gedik tu.
Wafa tidak putus – putus membebel seorang diri di dalam keretanya. Perempuan lah katakan ditambah pula dengan Wafa yang memang terkenal dengan sikap degilnya sejak dari kecil lagi. Dia hanya akan menuruti apa yang dirasakan baik buat diri dan adiknya sahaja.
Sampai di satu selekoh yang agak sunyi, Wafa tidak semena – mena telah terlanggar satu objek yang agak keras di tepi jalan. Sepantas kilat Wafa menekan brek kecemasan kereta Myvinya. Ya Allah, apa yang dah berlaku ni? Aku langgar apa pulak ni? Ni lah balasannya lawan cakap orang tua tadi. Haish. Sempat lagi Wafa mengeluh dalam keretanya.
Cepat – cepat Wafa membuka pintu keretanya lalu keluar untuk melihat apa yang berlaku di hadapan keretanya. Suasana yang sunyi di waktu senja itu membuatkan dia sedikit cuak namun tetap diberanikan dirinya. Perlahan – lahan dia menjengukkan kepalanya di hadapan kereta.
Seakan hendak tersembul biji mata Wafa apabila mendapati objek yang dilanggarnya itu sekujur tubuh seorang lelaki muda. Hah!! Ya Allah, aku dah langgar orang! Ibu! Tolong Wafa bu! Wafa dah jadi pembunuh. Wafa Amani seakan – akan mahu pengsan tika itu. Seolah – olah semuanya hanya mimpi.

5 comments:

  1. all the best penulis! :)
    -melaka bandaraya bersejarah-

    ReplyDelete
  2. waa . ada macam cinta korea rooftop prince la .... all the best penulis :)

    ReplyDelete
  3. macam cerita save your last dance for me pun ada..sama jugak kesnya..hilang ingatan..

    ReplyDelete
  4. tak boleh kongsi ke?? malaslah baca tak dah line dan mood

    ReplyDelete

sepatah komen anda ibarat setitik peluh petani..eh?