Followers

Wednesday 19 December 2012

~ Pemegang Watak Cinta 2 ~


Aakif!!! Tercungap – cungap Puan Nafeesah terbangun dari tidurnya tengah malam itu. Dia mengurut perlahan dadanya yang sedang berdegup kencang. Astaghfirullahalazim, apa yang aku mimpi ni? Puan Nafeesah beristighfar berkali – kali untuk menenangkan dirinya.
            Tengku Muaz menggosok – gosok perlahan matanya disebabkan terkejut mendengar jeritan isterinya itu. “ Kenapa dengan awak ni? Mimpi hantu ke?” Tengku Muaz memandang isterinya pelik.
            “ Saya mimpi Aakif dah pergi jauh dari kita bang. Dia dah tak ada dalam dunia ni.” resah nada suara Puan Nafeesah memandang suaminya di sisi.
            “ Astaghfirullahalazim, apa awak mengarut malam – malam buta ni? Kan Kimi cakap Aakif outstation hari ni. Tu lah tidur tak nak basuh kaki. Kan dah mimpi bukan – bukan. Dah lah awak sambung tidur balik. Baca doa sebelum tidur dulu bagi halau semua syaitan – syaitan yang menganggu tu.” Tengku Muaz berbaring semula sambil menarik selimut untuk menyelimuti dirinya.
            Cepat – cepat Puan Nafeesah menarik selimut yang ditarik suaminya itu. “ Apa lagi awak ni?” tanya Tengku Muaz pelik.
            “ Abang, saya betul – betul rasa tak sedap hati ni. Dalam mimpi tu, Aakif mintak maaf sangat – sangat dengan saya. Dia menangis sambil pakai baju melayu berwarna putih sambil salam tangan saya, bang. Saya tak peduli, malam ni jugak saya nak panggil Aakif balik rumah.” Puan Nafeesah terus mencapai telefon bimbitnya di tepi katil lalu mendail nombor telefon Tengku Aakif Nawfal. Tengku Muaz hanya menggelengkan kepalanya melihat gelagat isterinya.
            Berkali – kali Puan Nafeesah cuba menghubungi anak terunanya itu tapi hanya operator rangkaian Maxis yang menjawab. Puan Nafeesah semakin resah dengan kedudukan anaknya yang tak dapat dijejaki. “ Abang, handphone Aakif tak dapat dihubungi la. Tak pernah – pernah Aakif off phone dia walaupun dia gaduh dengan Qistina bang.” Puan Nafeesah menggoyang – goyangkan tubuh suaminya.
            “ Cuba awak bertenang dulu. Mungkin line Maxis problem kot. InsyaAllah Aakif tak ada apa – apa sayang. Kalau esok Aakif tak balik – balik jugak, kita buat report polis ye.” Tengku Muaz menepuk perlahan bahu isterinya cuba untuk menenangkan Puan Nafeesah tika itu.
            Beberapa minit kemudian, Puan Nafeesah terus bangun dari katilnya menuju ke bilik air untuk mengambil wudu’. Seketika kemudian, dia terus menyarungkan telekungnya untuk menunaikan solat sunat hajat. Ya Allah, Engkau pelihara lah keselamatan anakku itu walau dimanapun dia berada. Sesungguhnya kepadaMu sahaja aku memohon dan meminta Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim. Malam itu, menitis air mata seorang ibu yang begitu risaukan keselamatan anaknya.
***
Sebaik sahaja sampai di perkarangan kediaman Wafa terus memarkir keretanya di dalam garaj. Sebelum mematikan enjin kereta, sempat lagi dia mengerling ke arah jam di dalam keretanya yang sedang menunjukkan pukul 12 setengah malam. Perlahan – lahan dia keluar dari keretanya dan terus membuka pintu rumahnya yang telah dikunci.
            Kemudian, dia menuju ke keretanya semula untuk membuka pintu belakang kereta. Sedaya upaya dia cuba membangunkan hamba Allah yang dilanggarnya tadi untuk memapahnya masuk ke dalam rumah. Wafa meletakkan tangan lelaki yang masih tidak sedarkan diri itu dibahunya lalu memapah masuk ke dalam rumahnya. Kemudiannya, Wafa membaringkan lelaki itu di atas sofa di ruang tamu. Cepat – cepat dia mengunci pintu rumahnya dari dalam.
            Wafa menyeka peluh sejuk yang terbit di dahinya. Tangannya terketar – ketar ketakutan bila melihat sekujur tubuh manusia yang tidak sedarkan diri di hadapan matanya kini. Darah yang berlumuran di kepala dan wajah lelaki itu telahpun kering. Dia kaget langsung tidak tahu hendak buat apa. Akhirnya, dia ambil keputusan untuk membawa lelaki itu pulang ke rumahnya terlebih dahulu.
            Beberapa minit kemudian, Wafa terus mengetuk pintu bilik Waiz sekuat hatinya. Tuk! Tuk! Tuk! Haish mana lah budak ni pergi pulak. Tak kan dah tidur dah. Bebel Wafa sendirian sambil tangannya masih rancak mengetuk pintu bilik adiknya itu.
            Tiba – tiba tombol pintu bilik dipulas dari dalam. Tersembullah wajah Waiz di sebalik pintu biliknya itu. “ Hah ada apa kak malam – malam buta ni panggil Waiz?” Waiz bertanya perlahan sambil menggosok – gosok matanya seperti orang yang baru terjaga dari lena.
            Wafa segera menarik tangan Waiz menuju ke ruang tamu. Waiz dengan wajah yang terperanjat dengan tindakan kakaknya itu tetap membontoti Wafa dari belakang tanpa sebarang bantahan.
            Terbeliak biji mata Waiz apabila melihat kelibat manusia yang sedang terbaring di atas sofa rumahnya pada malam – malam buta begini. Cepat – cepat dia menyorok belakang Wafa yang juga berdiri kaku melihat mangsa yang dilanggarnya itu. “ Kak, siapa tu kak? Hantu ke?” terketar – ketar suara Waiz sambil memegang belakang baju Wafa.
            “ Hish kau ni belajar je tinggi – tinggi tapi penakut macam pondan lah. Hantu apanya kau tak nampak ke manusia tu.” Marah Wafa perlahan khuatir didengari oleh jiran – jirannya.
            Waiz menarik nafas lega lalu berdiri semula di sebelah Wafa. “ Fuh, nasib baik. Habis kalau bukan hantu, macam mana orang ni boleh ada dalam rumah kita kak?” Waiz menayang muka pelik kepada kakaknya.
            Wafa mengeluh perlahan sambil merapati tubuh yang sedang terbaring di atas sofa itu. “ Akak yang bawak laki ni balik rumah tadi. Akak dah terlanggar dia Waiz. Akak dah bunuh orang.” Suara Wafa semakin serak seakan hendak menangis namun ditahannya selagi mampu.
            Serta – merta berubah air muka Waiz apabila mendengar bait – bait ayat yang keluar dari mulut Wafa. Terperanjat benar rasanya. “ Akak, sepatutnya kalau akak dah terlanggar dia tadi akak kena bawak dia pergi hospital. Bukannya bawak dia balik rumah dulu.” Waiz terus menghampiri lelaki yang masih tak sedarkan diri itu lalu diambilnya tangan lelaki itu untuk merasa denyutan nadi.
            “ Akak takut dik. Akak panik sangat tadi. Akak tak tahu nak buat apa dah. Akak dah bunuh orang kau tahu tak.” Wafa terus terduduk di atas sofa sambil matanya masih lagi tertancap ke tubuh lelaki yang dilanggarnya  tadi.
            Waiz hanya mampu menggelengkan kepala melihat gelagat kakaknya. Dia sendiri tidak penah melihat kakaknya terlalu tertekan sampai macam ni. Kebiasaannya, Wafa lah perempuan yang paling cool yang pernah dia jumpa dalam hidupnya. Sehinggakan dia sendiri sangat terharu dengan setiap rintangan dan halangan Wafa sanggup hadapi semata – mata untuk membahagiakan dirinya.
            “ Akak, tolong ambilkan tuala basah dan semangkuk air boleh?” pinta Waiz sambil tangannya membuka kelopak mata lelaki itu yang tertutup rapat. Lagaknya seperti seorang doktor pulak. Tapi memang bakal doktor pun.
            Sebentar kemudian, Wafa datang dengan membawa semangkuk air dan tuala bersih. “ Kau nak buat apa dengan benda ni Waiz?” tanya Wafa pelik sambil menghulurkan barang – barang tersebut kepada adiknya.
            Waiz bangun dari tempatnya tanpa menyambut barang – barang yang Wafa hulur. “ Akak tolong lap darah yang kering di dahi dan rambut orang ni dulu eh? Waiz nak bersiap sekejap. Lepas ni, kita terus ke hospital.”
            Belum sempat Waiz melangkah pergi, Wafa terus memegang lengan Wafi. “ Tak bahaya ke kalau kita pergi hospital Waiz?”
            Waiz tersenyum memandang kakaknya, “ Lagi bahaya kalau biar dia duduk dalam rumah kita tanpa dapat apa – apa rawatan tau. Akak janganlah takut eh. InsyaAllah semuanya akan selamat ye.” Waiz menepuk perlahan bahu kakaknya dengan harapan dapat memberikan sedikit ketenangan kepada Wafa. Wafa hanya mengangguk perlahan tanda bersetuju.
            Perlahan – lahan Wafa menghampiri tubuh lelaki yang langsung tidak dikenalinya itu. Dia mengamati wajah yang comot dengan tompokan darah itu lama. Dia mengambil kain basah lalu mengelap wajah lelaki itu perlahan – lahan. Sedikit demi sedikit dilapnya sehingga menampakkan wajah sebenar lelaki itu. Wafa membelek – belek muka lelaki itu mencari – cari tompokan darah yang masih belum dibersihkan. Saat itu, dia terpandang pada sepasang mata bundar milik lelaki itu. Begitu lengkap disempurnakan dengan sepasang kening lebat yang berbentuk sabit. Pandangannya mula turun ke hidung mancung dan bibir milik lelaki itu. Diamatinya lama raut wajah kaum Adam yang betul – betul berada di hadapan matanya itu. Handsome!
            Waiz yang dari tadi memerhatikan gelagat kakaknya berdehem kecil. Serta – merta Wafa tersentak dari lamunannya. Cepat – cepat dia berpura – pura mengelap lengan lelaki itu pula. “ Sudah lah tu kak. Akak pergi hidupkan enjin kereta dulu. Biar Waiz kendong pakcik ni masuk dalam kereta.”
            Terperanjat kecil wajah Wafa, “ Pakcik kau panggil dia? Macam lah kau tu muda sangat Waiz oi.” Wafa ketawa kecil sambil mengangkat bekas cucian menuju ke dapur.
            “ Hai belum apa – apa lagi dah back – up nampak. Dah jatuh cinta ke kak?” usik Waiz tersengih sambil mengangkat perlahan lengan lelaki itu untuk diletakkan dibahunya. Perlahan – lahan dia mengendong lelaki itu untuk dibawa masuk ke dalam kereta.
            Wafa yang mendengar usikan adiknya dari dapur hanya tersengih kecil. Jatuh cinta? Nonsence!

2 comments:

  1. awak?
    saya peminat awak.
    -melaka bandaraya bersejarah-

    ReplyDelete

sepatah komen anda ibarat setitik peluh petani..eh?