Followers

Thursday 25 July 2013

~ Saya Kenal Sayang Saya! 15 ~


Hujung jemari kasar Fakhri mengetuk – ngetuk kecil stereng kereta. Jam di tangan kiri dikerling buat kesekian kalinya. Haih. Keluhan kecil kedengaran buat seketika. Biji matanya juga sudah penat memandang ke arah pintu rumah milik keluarganya itu. Damia tak juga muncul – muncul. Memang semua perempuan dalam dunia ni kena sumpahan bersiap lambat macam ni ke? Takkan sampai nak kena berjemput baru nak siap cepat kot.
            Namun belum sempat Fakhri menguak pintu kereta untuk ‘membentang karpet merah’ buat isterinya itu, daun pintu rumah dikuak terlebih dahulu. Fakhri kembali dengan posisinya yang sedang menunggu seseorang dalam kereta tadi. Dari arah cermin pandang belakang, dia melihat Damia menyalami tangan Puan Maria seraya mencium kedua belah pipi mamanya itu. Hai... mesra pulak! Sejak bila?
            “ Jalan elok – elok ya? Dah sampai sana jangan lupa call mama tau.” sempat Puan Maria berpesan sebelum Damia menghenyakkan punggungnya di dalam kereta.
            “ Baik, ma.” Damia senyum manis sambil melambaikan tangannya ke arah Puan Maria.
            “ Gerak dulu, ma!” laung Fakhri dari dalam kereta sambil membunyikan hon sekali. Puan Maria hanya menganggukkan kepala sambil tersenyum tanda merestui perjalanan anak dan menantunya itu.
            Tak sampai beberapa minit, Suzuki Swift putih milik Fakhri Wafiy sudahpun meluncur laju meninggalkan perkarangan rumah dan terus menelusur jalan raya menuju ke lebuhraya Pantai Timur Malaysia. Suasana di dalam ruang kereta itu hanya kedengaran bunyi lagu yang berkumandang perlahan dari corong radio. Fakhri masih menumpukan perhatian dalam pemanduan. Manakala Damia membuang pandangnya ke luar tingkap kereta.
            Perasaan malas dan beratnya kaki gadis itu untuk melangkah hanya Allah SWT yang tahu selepas mendapat panggilan dari Puan Rozita semalam bahawa keluarga besarnya sudah menetapkan perjumpaan keluarga itu akan diadakan hari ni. Bukannya dia tak masak dengan perangai ibu – ibu saudaranya itu. Sengaja mempercepatkan perjumpaan keluarga besar mereka bila dapat tahu Damia sudahpun bernikah. Dulu, gadis itulah yang sering dikatakan jodohnya lambat sebab siapalah yang nakkan perempuan yang tak berapa perempuan ni kan? Sekarang baru diorang tahu langit tu biru ke hijau.
            Walaupun dia sendiri tidak pernah sekecil kuman pun boleh terdetik dalam hati lelaki yang bernama Fakhri Wafiy itu menjadi suaminya, setidak – tidaknya dia amat bersyukur kepada Allah kerana mengurniakan seorang lelaki untuk melengkapi kekosongan hidupnya yang sekian lama tidak pernah diisi oleh mana – mana lelaki. Dia mengerti Fakhri bukan cinta tapi lelaki itulah yang mengajarnya perasaan seperti orang bercinta. Eh?
            Cinta? Ada apa dengan cinta? Macam tajuk lagu saja tapi itulah hakikatnya. Nurul Damia tidak pernah sekalipun merasai perasaan orang yang bercinta. Bukannya dia tak pernah menaruh perasaan pada lelaki selama ni. Bahkan waktu zaman sekolah dulu setiap tingkatan ada saja lelaki yang diminatinya. Dari tingkatan satu sampailah tingkatan lima. Tapi sekadar minat ajelah. Nak kata dia nak first move dulu, sorrylah. Timba masih perlu mencari perigi ya? Jangan lupa tu wahai kaum Adam seluruh dunia!
            Eleh, kau sendiri yang setuju kahwin dengan budak Fakhri tu lepas tu nasihat perigi jangan cari timba pula! Cakap tak serupa bikin. Pirahhh Damia!
            “ Mak dah sampai Janda Baik ke?” menyedari isterinya yang masih membisu, Fakhri bertindak mengeluarkan suara terlebih dahulu.
            “ Hah! Emm katanya tadi dah dekat dengan resort.” Damia sedaya – upaya menyembunyikan air mukanya yang sedikit tersentak.
            “ Berangan eh?” Fakhri menduga dengan sengih.
            “ Eh, mana ada! Pandai – pandai aje dia ni.” ngomel Damia dengan bibirnya yang dimuncungkan sedikit. Konon comel!
            “ Lagi mahu tipu...” omelan dibalas omelan.
Suasana di ruang itu kembali sunyi seperti tadi sehinggalah Fakhri mematikan enjin keretanya di stesen minyak. Sebelum pintu kereta dikuak, sempat Fakhri menoleh kepala ke arah isterinya yang masih membisu seribu bahasa.
            “ Nak pesan apa – apa tak?”
            “ Tak nak.” Laju Damia menggeleng dan Fakhri terus berlalu keluar dari perut kereta.
            Dari dalam kereta, Damia hanya memerhati kelibat suaminya yang sedang berjalan menuju ke kaunter bayaran. Kenapa kau terlalu baik dengan aku, Fakhri? Sedangkan aku tak pernah layan kau sebaik tu. Kau suka aku ke? Soalan yang baru terbit dalam benak hati itu hanya terluah sendiri dan Damia segera mengalihkan pandangan ke tempat lain pabila biji matanya bertembung dengan bebola mata Fakhri yang sedang terlihat ke arahnya sambil berjalan menuju ke kereta.
***
Perjalanan yang berjarak 45 kilometer dan hanya mengambil masa selama lebih kurang sejam itu akhirnya sampai ke destinasi. Fakhri segera memarkir keretanya di kawasan parkir Suria Hill Country Resort, Janda Baik. Kelihatan Puan Rozita tersenyum riang menyambut ketibaan anak dan menantunya di situ. Damia memeluk erat tubuh ibunya. Macam dah lama tak bersua muka. Fakhri pula hanya bersalaman dengan ibu mertuanya lalu mengambil beg – beg pakaian di dalam bonet kereta.
            Fakhri membebaskan keluhan kecil sambil membontoti isteri dan ibu mertuanya dari belakang menuju ke bilik mereka. Nasib baiklah mak ada sekali, kalau tak jangan harap aku nak angkut beg – beg kau ni Damia! Berat mengalahkan batu. Boleh timbul otot – otot bicep aku kalau hari – hari macam ni! Haish.
            “ Ni bilik kamu berdua. Mak dah book awal – awal dah.” Puan Rozita maintain senyum penuh makna sambil menghulurkan kunci bilik kepada Fakhri. Damia mula pelik dengan air muka ibunya yang sedang sengih semacam tu. Macam ada apa – apa yang tak kena aje.
            “ Bilik mak kat mana?” soal Damia tiba – tiba.
            “ Kat hujung sana.”
            “ Amboi, jauhnya!” Damia bulatkan biji mata sedikit.
            “ Habis tu kenapa? Kamu dah ada suami, takkan nak berkepit dengan mak lagi.” Sempat Puan Rozita membebel.
            “ Memanglah tapi...”
            “ Mak, kami masuk bilik dulu ya?” belum sempat Damia menghabiskan ayat, Fakhri segera memotong.
            “ Ya, silakan...” Puan Rozita sekali lagi senyum manis buat menantunya.
            “ Jom, sayang!” Bahu Damia serta – merta dipeluk erat lantas langkah kakinya menapak masuk ke dalam ruang kamar. Damia yang sudah tercengang hanya mampu menurutkan langkah.
            Usai pintu bilik ditutup rapat, Damia segera menjegilkan biji matanya ke arah Fakhri. Fakhri masih selamba dengan muka yang tidak bersalah dia terus berlalu menuju ke balkoni bilik. Angin petang yang bertiup sepoi – sepoi bahasa itu menyimbah rasa ketenangan buat penghidunya. Fakhri mendepakan tangannya sejenak. Nyamannya alam flora ciptaan Allah ini.
            Tiba – tiba perasaan nyaman itu ghaib serta – merta dengan kehadiran gadis yang bernama Nurul Damia di ruang balkoni itu. Aduh, makcik ni memang dengki ke apa tengok aku bahagia menikmati keindahan alam sekejap?!
            “ Kau ni suka – suka aje tunjuk mesra depan mak tadi kan?” Damia pasang peluru untuk menembak suaminya bertubi – tubi.
            “ Berdosa ke kita tunjuk mesra?” duga Fakhri tiba – tiba.
            Damia terus terbungkam kata. Air muka yang sedang berubah segera dikawal.
            “ Memanglah tak berdosa tapi kalau mak fikir yang bukan – bukan macam mana?” Damia masih tak mahu mengalah.
            “ Memang mak dah fikir bukan – bukan pun.” Fakhri sengih nakal.
            Damia kerut dahi. Pelik. “ Maksud kau?”
            “ Tengok tu.” Fakhri menuding jari ke arah katil.
Bebola mata Damia serta – merta terbeliak memandang dada katil yang sudah terhias dengan kelopak – kelopak bunga mawar merah lengkap disusun berbentuk hati lagi. Lidah terus kelu tak mampu nak berkata apa – apa lagi. Biar betul mak aku ni?! Mana dia belajar hias katil macam ni? Fakhri hanya tersengih memandang air muka isterinya. Memang mak betul – betul serius nak dapat cucu nampaknya.
***
Ketukan bertalu – talu di luar pintu bilik membuatkan kelopak mata Fakhri yang berat sedaya – upaya dicelik. Jam di skrin telefon bimbit diamati sejenak. Aduh, baru pukul 5 setengah pagi! Azan Subuh pun belum bunyi lagi. Makhluk mana yang bijak sangat ganggu orang nak tidur ni hah?! Dengan penuh perasaan tak ikhlas, Fakhri melangkah lemah menuju ke arah pintu. Hendak buat – buat tak dengar, risau roboh pulak pintu bilik resort tu kang.
            “ Abang!!!”
            Jerkahan dari gerangan si pengetuk pintu serta – merta mengejutkan Fakhri dari mamai. Fuh, semangat... Dan buat beberapa minit biji matanya terbeliak melihat wajah seorang gadis di hadapan pintu biliknya sekarang. Patutlah macam kenal suara tu. Balqis?!
            Balqis pandang atas bawah Fakhri yang hanya berseluar pendek paras lutut tanpa kedip. Inikah yang dinamakan rezeki pagi – pagi buta? Atau seksinya...
            “ Fakhri?!”
            Tak semena – mena kedengaran suara dari seorang gadis lain pula. Fakhri dan Balqis segera menoleh ke arah pemilik suara berkenaan. Dan ternyata kedua – duanya terlopong melihat Damia yang hanya membaluti tubuhnya dengan sehelai tuala. Buat seketika ketiga – tiga manusia di ruang itu tercengang memandang satu sama lain.
            “ Damia...” Fakhri hanya mampu bersuara perlahan melihat isterinya atas bawah. Air liur yang tersekat dikerongkong ditelan kelat.
            Balqis pula sudah merengus geram menyaksikan keadaan suami isteri itu. Turun naik nafasnya menahan marah. Tak guna!
            “ Korang berdua memang melampau!” Balqis segera berlalu dari ruang itu dengan tapak kakinya yang dihentakkan ke lantai macam tak cukup tanah nak pijak. Geram punya pasal. Sampai hati Fakhri buat aku macam ni.
            Pasangan suami isteri itu langsung tidak mengendahkan Balqis yang sudahpun ghaib tadi. Masing – masing berkira – kira dalam kepala hendak bertegur apa dalam keadaan yang agak panas di dalam bilik itu.
“ Baru habis mandi ke?” Huish, soalan apa kau tanya ni Fakhri? Dah tentulah dia baru lepas mandi dah berkemban macam tu. Tenang Fakhri tenang! Dia nak goda kau aje tu...
“ Err ha’ah. Nak ambil pakaian kejap.” Damia segera mencapai beg pakaiannya di dalam almari lalu berlari masuk ke dalam bilik air semula.
Usai pintu bilik air ditutup rapat, kedengaran nafas lega dilepas bebas – sebebasnya. Fuhhh! Tapi... Damia menghentuk – hentuk kepalanya di dinding bilik air. Sakit! Tapi baru padan muka dia. Perasaannya waktu itu hanya satu sahaja. M.A.L.U. Aduh, aku ingatkan Fakhri tidur lagi! Tak sangka pula dia dah bangun. Yang aku pun satu hal, macam mana boleh terlupa nak bawa pakaian tadi. Suka betul bikin malu sekampung. Hmm sorry Fakhri, aku bukan nak goda kau tau...
***
Dari jauh lagi kedengaran gelak tawa Balqis sedang berbual mesra dengan ibu – ibu saudara Damia. Baru sekarang Fakhri pelik bagaimana perempuan yang bernama Balqis itu boleh ada bersama – sama pada hari family gathering isterinya. Takkan mama yang suruh Balqis ikut kitorang sampai sini? Mustahil.
            Langkah kaki diatur menghampiri ruang makan yang menghimpunkan sanak – saudara Nurul Damia. Meriah. Macam pesta pun ada. Damia segera menyalami tangan – tangan wanita yang berada di ruang itu. Fakhri pula hanya menghadiahkan sebuah senyuman manis memandangkan tiada kaum lelaki di ruang itu untuk bersalaman.
            “ Pandai kamu pilih suami ya Damia. Handsome. Muda dari kamu ke?” kedengaran suara dari salah seorang ibu saudara Damia bertanya. Mulalah tu tak puas hati.
            Damia masih berlagak tenang. “ Ya, makngah. Muda dua tahun dari Damia.”
            “ Oh, macam mana boleh nikah tiba – tiba? Tak berjemput pulak tu.” sambung ibu saudaranya lagi. Macam soalan dalam Melodi pulak. Panas!
            Ok, kali ni Damia tak mampu bersahaja lagi! Damia terus pandang wajah suaminya. Begitu juga dengan Fakhri yang sedikit terkejut dengan soalan yang diajukan. Balqis pula terus mengunci mulut dari celotehnya lantas memandang tepat wajah pasangan suami isteri itu silih berganti.
            “ Saya yang buat keputusan nak nikah cepat, makngah. Lagipun tak elok melambatkan perkara yang baik ni betul tak sayang? Kita tak tahu apa yang jadi akan datang.” belum sempat Damia membalas, Fakhri terlebih dahulu membela kata isterinya. Peluang untuk merangkul bahu Damia sekali lagi tidak dilepaskan. Baru nampak mesra semanis kurma.
            “ Kot ya pun, takkan tak jemput kami semua ni datang majlis nikah tu. Teringin jugak makngah nak tengok.”
            “ Ala tak apalah, bu. Nanti majlis sanding diorang mesti kita dapat kad punya. Kan Mia?” Tak semena – mena kedengaran sebuah suara garau terus menyampuk perbualan tanpa rasa segan silunya. Damia dan Fakhri terus menoleh ke arah pemilik suara berkenaan.
            “ Abang Aiman?!” Damia bersuara tiba – tiba. Fakhri hanya mendiamkan diri walaupun hatinya melonjak – lonjak ingin tahu siapa ‘Abang Aiman’ yang dimaksudkan itu.
            “ Bila kamu sampai, Man? Tak bagitahu ibu pun.”
            Ibu? Maksudnya, ‘Abang Aiman’ ni sepupu Damialah. Hmm who cares! Menyedari kaum keluarga Damia sibuk dengan ketibaan ‘Abang Aiman’ tu, Fakhri segera menarik lengan Balqis menuju ke tempat yang agak jauh dari manusia – manusia lain.
            “ Apa ni abang? Sakitlah.” Bebel Balqis seraya melepaskan genggaman kuat dari tangan Fakhri.
            “ Macam mana kau boleh ada kat sini hah? Siapa suruh kau datang sini? Mama ke?” Bertubi – tubi soalan ditembak Fakhri. Geram benar dia dengan perangai Si Balqis yang hanya tahu buat ikut suka hati dia saja.
            “ Ha’ah aunty. Kenapa?” Balqis angkat muka dengan bangganya membalas.
            “ Tipu. Baik kau cakap betul – betul.” Kali ni Fakhri dah jegil biji mata.
            “ Hmm yelah... Ala takkan abang tak tahu bila Qis tahu abang pergi mana, Qis akan ikut jugak. Abang Fahim yang bagitahu Kak Damia ada family gathering kat sini. So?” Balqis sengih sambil menjongketkan bahunya sedikit.
            “ Habis tu keluarga Damia tak tanya kau siapa?”
            “ Tanya. Qis jawablah Qis ni saudara abang and menetap kat sekitar sini. Saja datang singgah sekejap bila tahu abang dengan Kak Damia ada kat sini.” Balqis tarik sengih lagi.
            “ Ha elok sangatlah tu menipu kan?”
“ Qis nak jumpa abang...”
“ Kau tak bosan – bosan lagi ke nak jumpa aku? Dari kecil sampailah ke besar dok merengek tak tentu hala. Rimaslah.”
“ Tak. Asalkan untuk Abang Fakhri, Qis tak pernah bosan tau.” Balqis tambah rengek lagi.
 Fakhri sudah membebaskan keluhan berat sejenak. Tak tahulah aku nak cakap bahasa apa lagi dengan perempuan ni. Haish. “ Hmm kau kata nak singgah sekejap aje kan? Tunggu apa lagi sekarang? Bolehlah balik rasanya.”
“ Abang, Qis ada satu soalan ni nak tanya ni.” Pantas Balqis tukar topik sebelum dia betul – betul dihalau balik.
“ Aku tak percaya dengan satu soalan kau tu. Mesti ada lagi soalan lain lepas tu.” Sempat lagi Fakhri loyar buruk.
Balqis maintain sengih sebelum mengajukan soalannya. “ Abang sukakan Kak Damia ke?”
Soalan yang baru terbit dari bibir mungil gadis itu betul – betul membuatkan Fakhri tersentak hebat. Lama dia tenung wajah Balqis sebelum memberikan jawapan. Aku suka Damia ke?
“ Kalau aku suka, kenapa?”
Kali ni, Balqis pula tersentak. “ Jadi, abang memang sukalah kena kahwin paksa dengan Kak Damia?”
“ Kau ni banyak beranganlah, Qis. Dah nama pun kahwin paksa. Siapa yang suka. Sudahlah tu. Pergilah balik. Tempat ni bukan untuk kau.” Fakhri menepuk perlahan bahu Balqis sebelum berlalu dari ruang itu.
“ Tapi abang cintakan dia tak?!”
Laungan Balqis secara tiba – tiba itu terus membuatkan tapak kaki Fakhri terpaku ke lantai. Langkahnya mati buat seketika. Soalan cepumas itu dibiarkan berlalu sepi tanpa sebarang jawapan. Dia sendiri tidak tahu apa jawapan yang setimpal untuk soalan yang dirasakan terlalu susah dari soalan exam lawnya.
                                                                      *****
                                                                  bersambung ~

8 comments:

sepatah komen anda ibarat setitik peluh petani..eh?