Followers

Friday 29 July 2016

~ Katakan Tidak Pada Cinta 1 ~

          

 “Umur kamu sekarang berapa, Am?”
          Soalan pelik muncul tatkala dia baru menyuap nasi ke dalam mulut. Rasa macam kejam sangat pula bila seorang ibu saudara tak ingat umur anak saudara kesayangannya. Ah, macamlah kau pun ingat umur Mak Ucu kau ni, Am!
          “Mak Ucu nak tahu umur yang macam mana tu?” soal lelaki itu bersahaja. Mulut ligat mengunyah. Biji mata tekun memandang makanan.
          “Hai, umur pun ada banyak jenis dah ke zaman sekarang ni?”
          “Mestilah, Mak Ucu. Umur pun dah hipster sekarang. Nak tahu umur ikut tahun ke, ikut bulan ke, ikut hari ke, jam ke, minit ke…” Afham sengih. Terus sambung makan bila ibu saudaranya kerling tajam buat anak saudaranya itu.
          “Kamu ni, Am… Ni malas Mak Ucu nak menyembang dengan kamu ni. Orang tanya elok – elok, dia loyar buruk. Cuba serius sikit. Kalau buat kerja bukan main serius lagi. Muka macam nak makan orang.”
          “Ala, dah tugas Am macam tu Mak Ucu. Takkan nak sengih tak tentu pasal. Nanti orang cakap gila pula.”
          “Yalah. Tugas – tugas juga tapi takkanlah bertugas sampai terlupa nak kahwin. Jadi bujang terlajak nanti baru kamu tau.”
          “Oh, sebab tulah yang tanya umur Am ni berapa tadi, ya Mak Ucu! Bagus apa bujang terlajak. Mak Ucu pernah dengar tak orang kata lelaki ni kalau makin tua makin handsome? So, lagi ramailah peminat Am nanti bila dah tua. Buat apa nak kahwin awal – awal, kan?”
          Sekali lagi wanita itu kerling tajam buat pemuda yang baru sahaja meneguk air sirap itu. “Mak Ucu tahu Mak Ucu ni siapa. Mak Ucu ni cuma pengganti arwah umi dan abah kamu. Mak Ucu tak ada hak pun nak campur urusan peribadi kamu tu.”
          Ni dialog drama melayu mana yang dia cedok ni? Sejak bila Mak Ucu pandai main ayat sedih pula ni? “Macam nilah, Mak Ucu. Am sebenarnya tengah tunggu seseorang. Nanti dia dah datang dekat Am, Am kahwin ya?”
          “Kamu dah ada calon ke? Siapa? Siapa?!” Hilang serta – merta nada sedih Mak Ucu.
          “Puteri.”
          “Puteri? Nama dia Puteri ke? Orang mana, Am?”
          “Puteri raja yang akan datang selamatkan Am nanti.”
          Membuntang biji mata Mak Ucu memandang anak saudaranya yang sedang sengih galak itu. “Cukup! Sebelum Mak Ucu naik angin, lebih baik kamu pergi dapur basuh pinggan makan kamu tu. Geram sungguhlah aku dengan budak ni! Dia ingat dia Cinderella ke apa?”
          “Am tak habis cerita lagi tentang angan – angan Am ni, Mak Ucu. Dengarlah dulu. Puteri tu kan rupa dia macam…” belum sempat pemuda itu menghabiskan kata, ketawa serta – merta terburai bila melihat wajah ibu saudaranya yang sudah tayang riak bengang.
          “Kamu cakap nak pergi balai kan tadi? Pergi cepat sebelum Mak Ucu telefon 999 suruh datang ambil kamu kat sini.”
          Terburai tawa pemuda itu serta – merta. “Okey, okey! Am pergi sekarang.”
          “Hati – hati, Am. Jangan buat kerja bahaya sangat.” Sempat Mak Ucu berpesan.
          “Baik, puan!”
***
          “Aku nak jugak! Kedekutlah kau ni. Makan seorang aje.” Bekas yang berisi kerepek kentang dirampas tanpa segan silunya.
          “Ah, dah tinggal sikit baru kau nak minta! Aku dahlah lapar. Dari pagi sampai ke malam ni aku tak makan apa – apa lagi kau tahu?” kerepek kentang dirampas semula.
          “Kedekut gila! Lain kali kalau tak nak kongsi, jangan makan depan orang lain.” Faris tarik muka dengan perangai teman sejawatnya itu, Akmal.
          “Bila masa aku kedekut? Tuan nak?” bekas kerepek kentang tiba – tiba dihalakan ke arah Afham di belakang.
          Kedua – dua wajah pemuda yang sedang sengih sumbang ke arahnya dipandang kesal sejenak. “Kau orang ni nak kena hentuk kepala dua – dua ke apa? Siapa suruh makan sambil buat kerja, hah? Tak berdisiplin langsung!”
          “Ala, tuan… Potato chips aje pun. Saya baru ingat nak call delivery pizza tadi.” Akmal mencebik.
          Delivery pizza? Melampau dah anak – anak buah aku ni. Ingat aku tengah buat party happy birthday ke apa sekarang? “Kau rasa berbaloi tak kalau sebab potato chips kau ni, kita gagal misi kali ni? Kau nak tambah hari tidur dalam kereta kat kampung ni lagi ke?”
          “Baik, tuan! Arahan diterima. Saya simpan potato chips sekarang juga.” Baru sahaja Akmal hendak menutup semula bekas kerepek kentangnya itu, tiba – tiba biji mata tertancap ke arah sebuah kereta Proton Saga berwarna hitam mula bergerak meninggalkan kawasan itu.
          “Faris, gerak sekarang! Suspek dah keluar!”
          Sepantas kilat Faris menghidupkan enjin kereta untuk mengekori kereta yang menjadi pemerhatian mereka bertiga dari tadi. Pedal minyak mula ditekan rapat apabila menyedari kereta di hadapan semakin samar dari ruang mata.
          “Cepat, Faris! Cepat!!! Jangan sampai dia hilang lagi!” Afham bagaikan hilang kawalan bila menyedari mereka bakal kehilangan peluang buat kali kedua untuk menjejaki markas pemprosesan dadah yang semakin berleluasa mengedar benda haram itu kepada penagih – penagih.
          “Baik, tuan!” pedal minyak ditekan sekuat hati untuk mencari kelibat Proton Saga berwarna hitam tadi. Malangnya, objek yang diburu hilang tanpa meninggalkan sebarang kesan. Sekelip mata, kelibat mobil itu ghaib dari pandangan.
          Sebuah keluhan dibebaskan berat. Benar – benar berat. Hampa. “Dah seminggu kita kat sini. Sekali lagi hilang.” Nada yang betul – betul kecewa keluar dari mulut Akmal.
Afham masih diam. Memerhati sekeliling kawasan hutan yang jauh dari pelosok penduduk. Sunyi. Pokok – pokok di sekeliling hutan yang dia sendiri tidak pasti spesiesnya itu diperhati satu persatu. Terasa perasaan kurang enak tiba – tiba menyentuh lubuk hati.
“Kau slowkan kereta sikit, Faris.” Pinta Afham tak semena – mena.
Faris hanya mengangguk perlahan menurut arahan.
Belantara hutan yang mula dimamah petang itu diperhati buat kesekian kalinya. Selang beberapa minit, kedengaran deruan sebuah kereta sedang menghampiri. Semakin lama, semakin deras bunyi deruan. Bukan hanya sebuah tapi dua buah kereta!
“Tuan, tengok belakang!” Akmal memberi arahan. Kaget. Afham serta – merta toleh ke belakang.
“Kat depan pun ada, tuan!” Faris pula bersuara. Cemas bila melihat dua buah kereta dari arah hadapan dan belakang sedang menderu laju ke arah kereta mereka.
Shit! Kita terperangkap!” bentak inspektor polis itu tiba – tiba.
***
Juadah lauk di bawah tudung saji itu diintai sedikit. Serta – merta bibir mengukir senyuman lebar bila terpandangkan lauk kegemaran berada di hadapan mata. Ini yang aku setuju sangat dengan peribahasa pucuk dicita, ulam mendatang ni. Selaju cahaya pinggan dicapai untuk dicedok nasi.
          “Mak Ucu, jom makan?” pelawa Darish Izuan dengan mulutnya yang penuh dengan makanan itu.
          “Makanlah. Mak Ucu dah makan sebelum Am datang makan tadi lagi dah.”
          Kunyahan terhenti. “Am ada datang ke tadi, Mak Ucu?”
          “Yalah. Kamu berdua kan memang suka datang makan kat rumah Mak Ucu. Buat – buat tanya pula.” Balas Mak Ucu bersahaja.
          Darish tayang sengih sekejap. “Siapa suruh Mak Ucu masak sedap – sedap? Kita orang datanglah makan walaupun tak berjemput.”
          “Sebab tulah Mak Ucu suruh kamu berdua kahwin. Senang. Tak payah susah – susah nak datang makan kat rumah Mak Ucu. Ada orang jaga makan minum, siapkan pakaian, jaga kamu berdua ni ha.”
          “Ala, Mak Ucu ni macam tak ikhlas aje nak bagi kita orang makan. Tak baik tau tak ikhlas. Tak dapat pahala.” Darish cebik. Makanan tetap disuapkan ke dalam mulut.
          “Kamu dengan Am ni sama ajelah. Kalau cakap pasal kahwin aje, dua – dua tukar topik. Cuba serius sikit bila dengar Mak Ucu nasihat ni. Sampai bila kamu berdua nak membujang?” keluhan kecil dibebaskan sejenak.
          “Ni mesti Mak Ucu dah tembak Am dengan soalan yang sama tadi. Patutlah Rish ajak dia datang rumah Mak Ucu sekali, dia tak nak.”
          “Dia bukan tak nak tu. Katanya ada kerja. Sekejap aje dia singgah makan rumah Mak Ucu siang tadi. Kamu jangan nak sibukkan hal Am, Rish. Soalan Mak Ucu pun kamu tak jawab lagi.”
          Sekali lagi pemuda itu tarik sengih. “Rish bukan tak nak kahwin, Mak Ucu. Tak ada calonlah. Tak ada orang nak dekat Rish ni.”
          “Hai, punya banyak cikgu perempuan dekat sekolah kamu mengajar tu takkan tak ada satu pun yang berkenan? Cikgu praktikal pun ramai, kan?”
          “Memanglah ada, Mak Ucu. Tapi dia orang dah ada pakwe dah kut. Susah nak cari perempuan yang masih single lagi zaman sekarang ni. Lagipun, malaslah Rish nak fikir semua tu.” Balas lelaki itu ada tidak.
          “Kamu jangan memilih sangat, Rish. Kalau ada yang nak tu, cubalah buka pintu hati. Mak Ucu tak sabar sangat nak tengok kamu dengan Am naik pelamin.”
          “Am jawab apa tadi bila Mak Ucu tanya pasal kahwin dekat dia?” soal Darish tiba – tiba.
          “Am tu biasalah jawapan yang dia bagi. Sentiasa tak logik. Katanya nak kahwin dengan puteri raja yang selamatkan dia. Geram betullah aku dengar!” Mak Ucu dah geleng kepala bila mengenangkan ragam anak saudaranya yang seorang itu. Terburai tawa Darish serta – merta. Am… Am… Perangai tak berubah langsung!
          Muhammad Afham Nazhan, sepupu kepada Darish Izuan yang rapat bagaikan isi dengan kuku, tidak terpisah, saling percaya dan bertolak ansur di antara mereka. Hubungan persis adik dan abang walaupun hanya mempunyai darah sepupu. Nak cari Afham, tanya Darish. Nak cari Darish, tanyalah Afham.
          Bunyi deringan telefon rumah dari arah ruang tamu, mematikan perbualan. Mak Ucu segera meluru mendapatkan gagang telefon yang sedang rancak memanggil untuk dijawab.
          “Assalamualaikum.”
          “Waalaikumussalam. Boleh saya bercakap dengan Puan Faridah Hanum?”
          “Ya, saya bercakap. Siapa ni?”
          “Saya dari IPD Ipoh. Saya nak maklumkan tentang Inspektor Afham.”
          “Am…” Jantung bagai direntap dahsyat bila mendengar perihal anak saudaranya itu.
          “Kenapa, Mak Ucu? Siapa call?”
          Soalan Darish hanya dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa sebarang jawapan. Terasa tiada tenaga lagi untuk menekapkan gagang telefon ke telinga. Benak hati sudahpun disimbah perasaan resah yang teramat sangat. Air mata hangat mula mengalir perlahan membasahi pipi bila mendengar bait – bait ayat yang ditutur si pemanggil.

++bersambung++

Okey, novel dah publish baru la shu sibuk nak hapdet bab satu persatu! Hanya satu alasan, sebab nak hindarkan dr gejala plagiat karya orang lain ni. Isu mcm ni memang sangat serius. Jadi, marilah kita berhati - hati ye. Dah terbit novel, baru shu hapdet bab secepat mungkin k. Kalau kena plagiat sebelum novel terbit tak ke nanges bguling2 aku dibuatnya. So, rasanya selamat kot style hapdet mcm ni. hoho k lah. Asalnya nak bebel pendek, mcm biasa terpanjang la pulak. Stay tuned ye..

No comments:

Post a Comment

sepatah komen anda ibarat setitik peluh petani..eh?