Followers

Wednesday 19 September 2018

Jangan Bunuh Hatiku ~ 10



“Biarlah apa yang nak jadi pun. Kalau hari ni aku tak berjaya juga pujuk orang tua sombong tu, aku give up. Malam ni juga aku balik KL. Serius. Tak tipu.”
          Keluhan berat dibebaskan beberapa saat kala Imanina mula memandu keretanya keluar dari perkarangan rumah Sara. Seperti biasa, rutin harian dia sepanjang berada di kampung itu haruslah menuju ke rumah Tok Aziz dengan harapan hati orang tua itu menjadi lembut bak sutera.
          “Pelik sungguh aku dengan perangai orang kampung ni. Ada tanah tapi tak nak bangunkan. Tanam pokok pisanglah, pokok durianlah, manggis, langsat bagai bukannya dapat banyak untung pun pokok-pokok tu semua. Kan lebih baik jual tanah tu pada orang yang lebih memerlukan. Sementara ada orang nak beli ni, sombong. Tak nak jual. Bila orang dah tak layan nanti, barulah terhegeh-hegeh nak jual tanah pusaka tu.”
          Bibir tidak henti berbicara seorang diri. Tiada tempat untuk dia meluahkan pendapatnya yang dirasakan sangat bernas itu. Berseorangan dalam kereta pun jadilah.
          “Tapi kalau aku give up, mesti aku jadi bahan kutuk dek Si Nadya tu nanti. Ah, lantaklah! Sejak bila pula aku kisahkan pasal mulut perempuan tu?”
Tanpa diduga, pedal brek kereta ditekan keras sebaik sahaja merasakan tayar keretanya menjadi berat untuk berputar. Kepala yang tidak gatal digaru dua saat. Ekor mata melihat ke arah cermin sisi dan cermin pandang belakang untuk memastikan tiada kereta di belakangnya. Lantas Imanina menapak keluar untuk memeriksa tayar keretanya yang menjadi penghalang untuk dia tiba di destinasi pada waktu yang sepatutnya.
“Kenapalah setiap kali aku lalu jalan ni akan ditimpa malang? Aduh! Hari tu minyak kereta habis. Hari ni pula tayar kereta pancit. Esok terus accident sajalah senang. Baru kau puas hati kan, kereta? Aku jaga kau bagai menatang minyak yang penuh tapi ini yang kau balas dekat tuan kau, kan? Tak kenang budi betul! Besar pula tu paku yang melekat kat tayar ni. Kenapa tak lekat kat empat-empat biji tayar kereta aku ni terus?!”
Imanina sudah terduduk di tepi jalan sambil memandang sayu tayar keretanya yang semakin mengempis. Nak menangis pun tak ada air mata yang ingin keluar saat itu. Inilah pentingnya ilmu menukar tayar kereta perlu dipraktikkan pada setiap wanita. Nak menyesal sekarang pun dah tak ada gunanya.
Buk!!!
Cecair likat perlahan-lahan menuruni dahi. Perit sungguh kesakitan yang dirasakan kepala gadis itu sekarang. Penglihatan mata sudah berbalam-balam saat dia cuba menyentuh belakang kepalanya yang terasa basah dek cecair merah pekat. Kelopak mata sedikit demi sedikit tertutup rapat. Selang beberapa saat, tubuh kecil Imanina rebah di tepi jalan tanpa sedarkan diri.
“Tolong…”
Satu perkataan yang terlalu lemah keluar dari bibir Puteri Imanina. Betapa dia mengharapkan ada hamba Allah yang dapat membantunya dalam keadaan yang berlumuran darah itu. Badannya kaku membisu terbaring tanpa ada daya lagi untuk sekelumit pun dia bergerak.
***
Memikirkan semula kayu yang dipegangnya tadi tepat mengena ke kepala perempuan itu membuatkan Alif yakin saksi kepada agenda jahatnya selama ini akan mati serta-merta. Paling kurang pun gadis itu akan koma. Cukup kuat dia menghayun kayu menghala ke kepala Imanina. Kejam sekali tanpa ada sekelumitpun rasa belas.
          Nafas lega dihela bebas.
          “Itulah lain kali jangan masuk campur urusan orang lain. Kan dah jadi mangsa. Patutlah aku macam pernah dengar suara yang sama menjerit minta tolong. Rupanya perempuan yang sama.”
          Lelaki itu menyinis sendiri.
          “Kasihan kat kau, perempuan. Jadi tetamu kat kampung aku tapi tak pasal-pasal terus jadi mangsa keadaan. Itu pengajaran bagi orang yang baik hati. Sudahlah waktu aku nak tikam Akid kat majlis Sara dulu, kau buat kacau. Kali ni pun kau juga yang jadi punca rancangan aku gagal. So, sesungguhnya apa yang aku boleh cakap sekarang adalah nasib kau memang tak baik.”
          Dengan senang hati Alif meledak tawa. Faiz yang muncul tiba-tiba di kedai runcit milik temannya itu sudah tayang riak pelik.
          “Eh, kau ni kenapa, Lif? Dah gila gelak seorang-seorang?” Sebungkus keropok dicapai lalu dibuka rakus untuk mencari isinya.
          “Aku bukan gila tapi puas hati.” Ujar lelaki itu dengan tawa yang masih berbaki.
          “Puas hati? Sebab?”
          “Sebab saksi pada malam yang kita nak bakar rumah Akid hari tu dah mati.”
          “Mati?! Serius?” Faiz teruja tak semena-mena.
          “Seriuslah. Kalau tak, buat apa aku puas hati. So, kau tak payah risau dah sekarang ni.”
          “Sampai mati, Lif? Kau bunuh dia ke?” Faiz resah pula. Perasaan berbolak-balik. Gembira, dalam masa yang sama takut.
          “Haah. Aku pukul kepala perempuan tu sampai dia tersadai tepi jalan. Mungkin sekarang dia sedang dibedah siasat kat hospital. Ala, kalau tak mati pun mesti koma. Kau tak payahlah risau sangat.” Tanpa sebarang rasa bersalah lelaki itu menghambur kata.
          “Fuh! Kau memang kejam, Lif! Pertama kali aku jumpa manusia sekejam ni.”
          Alif meleret sengih. “Kejam demi kebahagian sendiri.”
***
Tit… tit… tit…
Sekujur tubuh kecil gadis itu masih terbaring lemah di atas katil putih. Kepalanya dibalut rapi. Wayar yang berselirat di kiri dan kanan katil cukup membuatkan pelawat bimbang dan resah melihatkan keadaan Puteri Imanina yang tidak sedarkan diri itu. Usai pembedahan dijalankan sebentar tadi, gadis itu ditempatkan di dalam bilik ICU. Benar tebakan Alif, Imanina koma.
“Nina kat mana sekarang, Akid?”
Soalan pertama yang terbit dari bibir Puan Salmah sebaik sahaja tiba di hospital. Terkocoh-kocoh wanita itu mendapatkan pemuda-pemuda yang telah membawa Imanina ke wad kecemasan tadi.
“Dia ada dalam bilik ICU sekarang, mak cik. Tapi doktor tak bagi sesiapapun masuk melawat lagi.”
Tenang Akid memberi kata. Sepupu-sepupunya yang lain hanya mengangguk kecil. Wujud riak kegusaran di setiap wajah yang menjadi penyelamat gadis asing itu kala mereka bereempat ingin menuju ke rumah Tok Aziz pagi tadi.
“Habis tu, doktor ada bagitahu tak macam mana keadaan Nina sekarang?”
“Alhamdulillah. Pembedahan dah berjaya cuma Iman masih tak sedarkan diri lagi. Kepala dia kena hentakan kuat dengan objek keras kata doktor.”
Puan Salmah terus terduduk. Beristighfar panjang dia sejenak.
“Ya Allah Ya Tuhanku! Macam mana sampai boleh jadi macam ni? Siapa yang tergamak pukul Nina?”
“Entahlah, mak cik. Waktu kami lalu kat jalan sunyi tu, nampak kawan Sara tu dah terbaring kat tepi jalan dengan kepala yang berlinang darah. Lepas tu, cepat-cepat kami bawa dia ke hospital tempat kerja saya ni.” Celah Adam yang merupakan pegawai farmasi di hospital besar itu.
“Dia kena rompak ke?” Encik Zakaria pula menyoal.
“Rasanya tak. Sebab waktu saya check kereta dia tadi, tak ada barang berharga pun yang hilang. Handphone, handbag dia semua ada dalam kereta cuma pintu kereta dia tak berkunci. Tayar depan kereta dia pula pancit.” Naufal memberi jawapan dengan terperinci.
“Habis tu, kenapa Nina boleh kena pukul pula? Atas niat apa penyangak tak guna tu pukul dia?” Puan Salmah naik suara tak semena-mena. Tak puas hati.
“Sabar, Mah. Sabar. Mestilah budak-budak ni pun tak tahu. Macam nilah. Apa yang penting sekarang, kita pastikan Nina selamat dulu. Pasal penyangak tu kita serah pada pihak polis. Ni awak dah bagitahu Sara ke belum pasal Nina?”
“Dah bagitahu dah tadi. Sara dalam perjalanan ke sini. Mama dan papa Nina pun katanya dalam perjalanan juga. Kasihan kat mereka, bang. Tiba-tiba dapat tahu anak perempuan mereka dimasukkkan ke hospital.”
“Ini semua dugaan Allah SWT, Mah. Kita bawa bertenang dan doa yang baik-baik saja.” Encik Zakaria cuba memujuk.
Pemuda-pemuda yang turut berada di ruang menunggu itu hanya mengunci mulut membiarkan Encik Zakaria menenangkan isterinya. Masing-masing memasang doa agar gadis yang ditimpa musibah itu cepat sedar dari koma. Akid Aryan menghalakan anak mata ke cermin kecil di dada pintu. Entah mengapa benak kecil lelaki itu bertubi-tubi ditembak rasa belas melihat Imanina yang kelihatan sugul dalam lenanya.
“Kid, jum ikut kita orang pergi kafeteria sekejap.”
Adam, Haziq dan Naufal sudah pun bingkas dari tempat duduk. Tanpa sebarang kata, angguk tidak, geleng pun tidak, Akid membuntuti sepupu-sepupunya menuju ke tempat makan yang disediakan untuk pelawat di hospital itu. Encik Zakaria dan isterinya dibiarkan menemani Puteri Imanina dari luar bilik ICU.
“Kau tak rasa pelik ke Kid benda macam ni boleh berlaku?”
Usai punggung masing-masing dilabuhkan atas kerusi, Adam memuntahkan isi yang sejak tadi bermain di fikirannya.
“Apa benda yang pelik?” Biji mata Akid tepat ke wajah Adam.
“Peliklah sebab kenapa perempuan yang jadi saksi rumah kau hampir dibakar hari tu kena pukul sekarang.” Haziq menyampuk.
Semua mata tertumpu ke arah Haziq serta-merta.
“Kau pun fikir benda yang sama dengan aku ke, Ziq?” soal Adam pula.
Akid dan Naufal hanya memasang telinga.
“Kau dalam bahaya sekarang ni, Kid. Kasihan dekat perempuan yang tolong kau tu jadi mangsa keadaan. Aku yakin semua yang berlaku ni angkara orang yang sama. Kalau tak, takkanlah tak ada angin tak ada ribut perempuan tu boleh kena pukul. Sudahlah dia tu orang luar. Keadaan dah semakin tenat dah ni.” Tokok Haziq panjang lebar.
“Aku tahu. Aku seribu kali rasa kasihan kat Iman tu. Dia langsung tak bersalah dan tak ada kaitan langsung dengan aku. Kalau dia tak dapat sedarkan diri, seumur hidup aku akan rasa bersalah dengan dia.” Nada Akid gundah. Air muka juga kelihatan serabut sejak dari pembedahan gadis itu dijalankan tadi lagi.
“Nama perempuan tu Iman ke, Kid?” tanya Adam tiba-tiba. Betul-betul menyimpang dari topik.
“Nama dia Imanina. Tapi aku yang panggil dia Iman. Kenapa?”
“Oh, patutlah aku dengar Pak Zaka dengan Mak Mah panggil perempuan tu Nina! Tapi kau pula panggil Iman. Nama penuh dia apa?”
“Puteri Imanina rasanya. Kenapa?”
“Oh, cantiknya nama dia! Kalau macam tu, aku nak panggil dia Puterilah.” Naufal mencelah tak semena-mena. Sengih ditarik lebar.
“Eh, kau orang ni dah kenapa? Beria-ria ajak aku duduk kat kafeteria, alih – alih sibukkan nama penuh Si Iman tu saja.”
“Ala, yang kau pula nak marah kenapa?” Usik Naufal lagi.
Adam dan Haziq hanya senyum kecil.
“Aku tak marah cuma entahlah. Apa aku nak buat kalau Iman tak bangun macam biasa? Aku rasa bersalah sangat pada dia. Siapalah yang zalim sangat sanggup pukul perempuan sampai macam tu? Nak bunuh aku, cari aku sajalah. Syaitan betullah penyangak tu! Kalau aku dapat tahu angkara siapa semua ni, memang mati dia aku kerjakan!”
Dada meja ditumbuk kuat. Beberapa pasang mata yang mencuri pandang ke arah mereka hanya diendahkan. Akid berang.
“Formula paling senang, Kid. Orang yang zalim tu adalah orang yang sama nak bunuh kau. Dan cuma seorang manusia aje dalam dunia ni yang aku syak.” Adam tilik tepat anak mata Akid.
“Alif!”
Belum sempat Adam menyambung kata, Haziq terlebih dahulu mencelah. Masing-masing tersentak hebat. Tepat mengalihkan anak mata ke wajah Haziq.
“Sejak bila kepala otak kau sama dengan aku ni, Ziq?”
Rengusan kasar dari Akid menjamah halwa telinga sepupu-sepupunya. Pemuda itu hanya mengunci bibir. Wajah Adam, Haziq dan Naufal dipandang silih berganti. Memang nama Aliflah yang menjadi suspek utama dalam kes cubaan membunuh Akid Aryan. Malangnya, mereka tidak memiliki sebarang bukti untuk membawa Alif ke muka pengadilan. Hanya seorang saksi saja yang perlu diselamatkan agar Akid juga selamat.
Puteri Imanina.

**Bersambung ke versi novel**

1 comment:

  1. Buat sinopsis saja dah cukup,tak perlu sampai jauh bab2 nya.apa perasaan jika baca tidak tahu kesudahan.beli kat kedai???!kalau dah habis??Ramai penulis sekarang kurang ikhlas hanya ringgit semata

    ReplyDelete

sepatah komen anda ibarat setitik peluh petani..eh?