Followers

Wednesday 2 January 2013

~ Pemegang Watak Cinta 18 ~


Hari yang ditunggu – tunggu telahpun tiba. Pagi itu, Wafa setia menunggu Mardiana yang sedang menyolek mukanya. Masuk kali ni sudah kali keempat dia terpaksa ke bilik air untuk membasuh wajahnya yang comot diconteng Mardiana itu.
            “ Mar, aku suruh kau mekap sikit – sikit je. Yang kau buat muka aku ni jadi badut kenapa?” bebel Wafa sambil membelek – belek wajahnya di hadapan cermin. Tidak puas betul hatinya apabila melihat pemerah pipi dan pembayang mata yang begitu terang disolek oleh Mardiana.
            “ Kau cakap nak suruh aku mekap jadi lawak kan? Tak cukup lawak lagi ke aku boleh tambah.” Mardiana ketawa  kecil.
            “ Ah, sudah – sudah. Macam ni pun boleh lah. Ni pun aku dah tak sanggup nak tengok muka aku dekat cermin.” Wafa ketawa besar.
            Seketika kemudian kedengaran bunyi telefon bimbit Mardiana berdering. Mardiana segera keluar dari bilik itu untuk menjawab panggilan telefon. Wafa pula tidak habis – habis membelek wajahnya di cermin. Seketika kemudian, matanya mengerling jam di dinding. Alamak, dah lambat dah ni! Sepantas kilat, Wafa mencapai pakaian yang sudah tersedia lalu disarungkan ke tubuhnya.
             Sepuluh minit kemudian, usai bersiap Wafa memulas pintu tombol biliknya lantas melangkah keluar menuju ke arah ruang tamu. Waiz dan Mardiana yang sedang menonton televisyen serta – merta beralih ke arah Wafa. Kedua – duanya ternganga dengan kelopak mata yang tidak berkedip. Nyata terkejut benar dibuatnya.
            “ Kak...” Waiz tidak mampu menyambung ayatnya. Mardiana pula sudah tidak dapat menahan ketawa melihat penampilan teman baiknya itu.
            “ Jangan komen apa – apa ok? Well, wish me luck dear.” Dengan penuh gaya menggoda Wafa membalas. Waiz tercengang. Mardiana pula sudah meledakkan tawanya.
            Good luck to you, darling!” Sempat lagi Mardiana membalas apabila melihat kelibat Wafa sudah memasuki perut kereta. Waiz pula semakin pelik dengan gelagat dua orang perempuan di hadapannya itu.
***
Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 3 jam itu akhirnya hampir sampai ke destinasi yang dituju. Wafa mengerling jam di dash board keretanya yang sedang menunjukkan pukul 3 petang. Maklong cakap diorang nak datang dalam area waktu macam ni lah. Agaknya rombongan Si Tonggek tu dah sampai ke belum eh? Wafa mengomel sendiri. Matanya masih memandang hadapan jalan.
            Sepuluh minit kemudian, Wafa mula memasuki kawasan kampungnya yang terletak lebih kurang 1 kilometer dari Pekan Gerik. Dia segera memandu keretanya hingga sampai di perkarangan rumah Puan Naimah. Dia menjengukkan sedikit kepalanya untuk melihat laman rumah itu. Kelihatan dua buah kereta diparkir elok di kawasan rumah maklong. Sah diorang dah sampai!
            Perlahan – lahan Wafa memberhentikan enjin keretanya di hadapan rumah itu. Dia segera memerhatikan wajahnya tika itu melalui cermin pandang belakang. Ok, mekap dah cun! Betulkan tudung sikit macam ni. Oh, jangan lupa cermin mata ajaib aku ni! Wafa segera mengambil kacamata hitam yang berbentuk hati yang telah disangkut di blousenya lalu dipakaikan ke mata. Sekali lagi dia melihat wajahnya di cermin pandang belakang. Kau memang cun melecun Wafa! Tak ada siapa boleh lawan kecantikan kau. Hahaha. Wafa ketawa besar.
            Lantas Wafa segera membuka pintu keretanya lalu melangkah keluar. Dengan mengenakan kasut tinggi berwarna biru muda, seluar jeans ketat kembang di bawah berwarna hijau terang, blouse berbunga besar berwarna kuning dan tudung merah menyala diikat riben ditengkuk, Wafa dengan megah dan bangganya ala – ala agogo 70 an dulu berjalan menuju ke arah pintu masuk rumah itu. Nasib baik aku pakai tudung, kalau tak pasti rambut afro sudah melekat di kepala sekarang. Hahaha.
            “ Assalamualaikum.” Wafa memberi salam ke arah tetamu – tetamu yang berada di ruang tamu rumah itu.
            “ Ha itupun Wafa dah...” Puan Naimah tidak dapat menghabiskan kata – katanya apabila melihat penampilan anak saudaranya itu. Dia memandang dari atas hingga bawah ke arah Wafa yang tersengih seperti kerang busuk di muka pintu. Semua mata yang berada di situ jugak terperanjat. Bagai nak terkeluar biji mata mereka.
            Wafa yang menyedari perubahan suasana di ruang tamu itu sudah meledakkan tawa besar dalam hatinya. Padan muka! Dia lantas bersalaman dengan bakal ibu mertuanya dan perempuan – perempuan yang berada di situ. Kemudian, dia mengambil tempat di sebelah Puan Naimah sambil tersengih menayangkan giginya yang putih bersih.
            “ Makcik ke yang akan jadi mak mertua saya?” tanya Wafa kepada ibu Khairul, Puan Salbiah.
            “ Makcik?” Perlahan – lahan Puan Salbiah menganggukkan kepalanya. Dalam fikirannya masih tidak mempercayai perempuan pilihan anak terunanya sebegini rupa. Kau ni waras ke tak Khairul nak suruh mak pinang perempuan macam ni?
            “ Makcik ni macam takut je dengan saya. Jangan lah macam tu makcik. Saya ni nampak je brutal tapi dalam hati saya ada air terjun tau. Hidup kita ni mesti rock betul tak makcik. Hahaha.” Wafa ketawa besar sambil menepuk paha Puan Salbiah dengan selambanya. Puan Salbiah terperanjat.
            “ Wafa, apa yang kau buat ni ha? Kau jangan nak malukan aku. Siap kau nanti aku kerjakan.” Puan Naimah separuh berbisik ke telinga Wafa. Wafa sengaja memekakkan telinganya buat endah tak endah dengan ugutan maklongnya itu.
            “ Err Wafa mengajar mata pelajaran apa dekat sekolah?” Puan Salbiah berpura – pura memaniskan wajahnya.
            “ Ha soalan yang bijak tu makcik. Cuba makcik teka saya ajar subjek apa dekat sekolah?” Wafa tersengih lagi.
            Puan Salbiah sudah menayang wajah pelik. Aku tanya dia, dia tanya aku balik? “ Err makcik tak tahu.”
            “ Mestilah makcik tak tahu. Kalau makcik tahu, buat apa makcik tanya saya betul tak?” Wafa ketawa lagi.
            Puan Salbiah berpura – pura tersengih lalu menganggukkan kepalanya tanda mengiakan kata – kata Wafa. Sah budak ni gila! Jangan harap lah kau nak jadi menantu aku. Bentak Puan Salbiah dalam hati.
            “ Saya sebenarnya mengajar budak – budak menyanyi kat sekolah. Ni saya baru balik dari join pasukan koir sekolah lah ni. Makcik nak dengar tak saya menyanyi?”
            Belum sempat Puan Naimah menghalang, Wafa telah berdiri tegak di hadapan semua tetamu itu. Puan Naimah hanya mampu menundukkan wajahnya tika itu. Malunya bertimpa – timpa. Mukanya juga dirasakan sudah tebal 2 inci. Wafa, kau memang sengaja cari nahas dengan aku kan!
            Wafa sedaya upaya menahan gelak apabila melihat air muka para tetamu yang tercengang melihat dirinya itu. Dia berdehem sedikit konon – kononnya hendak menyampaikan sebuah lagu di hadapan penonton.
            “ Saya mula ya, makcik. Bila...larut malam... carakuca carakuca ca ca ca.. Suasana sepi...carakuca carakuca ca ca ca...” Wafa menyanyi dengan penuh perasaan siap dengan gaya tarian twist ala – ala Saloma lagi. Puan Salbiah and the geng sudah pun ternganga menyaksikan persembahan yang tak diundang itu.
            Puan Naimah segera menarik lengan Wafa masuk ke dalam bilik. Perasaan amarah yang sudah menggunung di dalam hatinya itu sudah tidak dapat dibendung lagi. Wafa hanya menuruti langkah maklongnya dari belakang. Dalam hatinya sudah mengukir senyuman mekar. Kalau mak Khairul tu tetap nak buat aku jadi menantu jugak lepas ni, memang sah dia kena makan ubat. Hahaha.
            Usai bersalaman dengan para tetamu yang hadir, Puan Naimah segera mencari kelibat Wafa. Kelihatan Wafa sedang mengunyah keropok twisties dengan bahagianya di meja makan. Dia segera menggenggam erat lengan Wafa lalu ditariknya lengan kecil itu menuju ke ruang tamu. Wafa terperanjat. Mahu tak mahu dia terpaksa membontoti Puan Naimah.
            “ Apa ni maklong? Sakitlah tangan Wafa.” Wafa cuba melepaskan lengannya yang dicengkam kuat.
            “ Kau fikir tangan kau je yang sakit? Kau tak fikir hati aku yang sakit ni?” Puan Naimah sudah meninggikan suaranya.
            “ Kan Wafa dah bagitau hari tu yang Wafa tak nak kahwin dengan Khairul, kenapa maklong paksa jugak?”
            “ Kau ni memang manusia tak kenang budi, Wafa! Aku dah bela kau dari kecil lagi tapi ni balasannya kau buat dekat aku?”
            “ Budi? Kalau maklong nak cakap pasal budi, Wafa tahu budi maklong tu dah terbalas dah semua. Kalau tak sebab maklong jaga Wafa dan Waiz, keluarga maklong hidup merempat betul tak? Tanah rumah ni tergadai sebab apa? Sebab paklong tu kaki judi. Tapi maklong tak pernah nampak kesalahan ahli keluarga maklong sendiri. Maklong cuma nampak kami dua beradik yang bawak beban dan malang.” Air mata Wafa sudah mencurah – curah jatuh ke pipi. Habis cair pemerah pipi dan pembayang matanya apabila bercampur dengan air mata.
            Kemarahan Puan Naimah sudah capai ke kemuncaknya apabila mendengar luahan dari bibir Wafa. “ Apa kau cakap Wafa? Kau ulang balik!”
            “ Wafa cakap paklong tu kaki judi sampai tanah rumah ni tergadai tapi kenapa Wafa yang kena tanggung semua ni, maklong?” semakin laju air mata Wafa menghambur.
            “ Kau memang biadap Wafa!” Puan Naimah sudah menaikkan tangan kanannya dengan kasar untuk mendarat di pipi lembut gadis itu. Wafa cepat – cepat memejamkan matanya rapat. Dia redha dengan apa yang akan berlaku. Dari kecil lagi badannya sudah lali dengan bekas tapak tangan dan rotan oleh Puan Naimah.
Namun, dengan tiba  - tiba pergerakan tangan perempuan itu terbatas. Puan Naimah tercengang melihat pergelangan tangannya yang sedang digenggam erat oleh seorang lelaki. Wafa juga tersentak. Dia mencelikkan matanya semula lalu menoleh perlahan ke arah lelaki itu.  Lidahnya kelu seketika. Tengku?!!
Tengku Aakif Nawfal merenung tajam wajah perempuan yang lebih kurang sebaya dengan ibunya itu. Lantas dia melepaskan pergelangan tangan itu ke bawah. “ Makcik tak ada hak nak sentuh perempuan ni apatah lagi nak pukul dia, faham?” serius nada suara Aakif.
“ Kau ni siapa? Suka hati aku lah nak pukul dia ke apa ke. Dia anak saudara aku.” Puan Naimah memandang jelik ke arah lelaki asing yang muncul secara tiba – tiba itu.
“ Saya suami Wafa.” Balas Aakif serius. Air muka Puan Naimah serta – merta berubah. Wafa Amani pula memang dah kategori terkejut beruk dah. Bila masa aku jadi bini dia pulak ni?
“ Jadi, makcik tak berhak nak sentuh Wafa sikit pun tanpa kebenaran saya faham? Seluruh tubuh Wafa milik saya!”
Sekali lagi kedua – dua perempuan yang berada di situ terpempan. Wafa yang mendengar seakan – akan mahu pengsan. Dunianya dirasakan tunggang terbalik seketika. Ya Allah, dugaan apa lah yang Kau turunkan pada aku ni!
“ Ok. Apa bukti korang berdua dah kahwin?” Puan Naimah berlagak tenang.
“ Buktinya sila lah datang ke rumah kami dan saya akan tunjukkan sijil nikah. Jom kita balik, sayang.” Tengku Aakif Nawfal segera menarik lengan Wafa menuju ke muka pintu. Wafa yang masih terpinga – pinga hanya mampu menuruti langkah.
Puan Naimah hanya memandang tajam kelibat pasangan itu melangkah keluar. Sebentar kemudian, dia merengus geram. Apa? Dah kahwin? Aku tak percaya langsung diorang ni dah kahwin. Nak menipu aku konon. Ingat aku tak tahu perangai budak – budak sekarang? Berlambak – lambak drama dalam tv tu aku tengok. Tak apa kita tengok siapa yang terkena nanti, Wafa!

9 comments:

  1. Salam, hahh lawaknya si Wafa ni boleh buat konsert depan bakal emak mertua. Akif thanks tolong Wafa akhirnya.

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam..tanks sebab rasa Wafa kelakar =)

    ReplyDelete
  3. Tahniah penulis sebab bjaya buat sy suka dengan Wafa..kelakar habis haha

    ReplyDelete
  4. this chapter superb writer! hahah

    ReplyDelete
  5. tarakucaa caaaa...... hahahaha

    ReplyDelete
  6. haiii sakit perut ketawa sbb wafa ni :)

    ReplyDelete
  7. Ya allah! Ok kalau lepas ni mak saya try nak paksa saya kahwin saya ikut idea Wafa! Ya allah serious kelakar!

    ReplyDelete
  8. lucunya,dapat bayangkan cam mana rupa wafa,tepat masanya aakif muncul.
    bestnya

    ReplyDelete
  9. lucunya,dapat bayangkan cam mana rupa wafa,tepat masanya aakif muncul.
    bestnya

    ReplyDelete

sepatah komen anda ibarat setitik peluh petani..eh?