Followers

Wednesday, 10 August 2016

~Katakan Tidak Pada Cinta 10~


Pintu bilik mesyuarat dikuak sedikit. Penuh hati – hati agar tidak mengeluarkan sebarang bunyi. Gegendang telinga mula menangkap suara Inspektor Haffis yang sedang rancak memberi penerangan kepada anak – anak buahnya. Satu persatu perkataan cuba dihadam sebaiknya. Hati terlalu meronta – ronta untuk turut bersama – sama dalam pasukan itu.
          “Sejak dari kes hari tu orang – orang Roy lebih berhati – hati untuk mengedar di kawasan kampung itu, tuan. Apa yang kami perhatikan, anak – anak muda di kawasan itupun sudah kurang melepak di tempat biasa mereka.” Kedengaran salah seorang anggota menyuarakan laporannya.
          “Hmmm secara logiknya Roy sudah tentu akan arahkan orang – orang dia mengedar di tempat lain. Sebab kawasan lama sudah dihidup polis. Memang dia cari nahaslah kalau pengedar – pengedar dia masih aktif lagi di kawasan yang sama.” Balas Inspektor Haffis tenang.
          “Apa – apapun kami tetap akan ketatkan pengawasan di kawasan kampung itu, tuan. Walaupun kegiatan mereka sudah mulai berkurang tapi kami yakin masih ada saki – baki penagih yang tinggal masih perlukan bekalan dari orang – orang Roy.”
          “Betul tu. Teruskan pengawasan di persekitaran kawasan situ. Apa yang perlu kita fokuskan adalah makmal pemprosesan dadah mereka. Dapat saja peluang untuk serbu, Roy tumpas!”
          “Bila difikirkan balik, waktu orang – orang Roy kepung saya dan Inspektor Afham tempoh hari, sepatutnya makmal mereka berada di sekitar situ sahaja, tuan.” Giliran Faris bersuara.
          Inspektor Haffis menggangguk kecil. Sabar menunggu Faris menyambung kata lagi.
          “Waktu kami bertiga mengajar kereta mereka, memang confirm sangat orang – orang mereka yang lain sudah stand by di kawasan hutan situ, tuan. Jadi, kemungkinan besar makmal pemprosesan dadah tu ada di kawasan situ sahaja.”
          “Masalahnya, kami dah geledah kawasan hutan situ. Tak ada satu petanda pun yang menunjukkan ada bangunan dalam hutan itu. Takkan dia orang buat makmal atas pokok pula, kan?” anggota yang lain pula menyampuk.
          “Sebulan lebih kami tak berganjak dari kawasan kampung tu. Kami dah perhati tindak – tanduk pengedar – pengedar di situ. Saya memang yakin, tuan. Yakin sangat seperti apa yang Inspektor Afham cakapkan. Makmal dadah Roy memang berada di dalam hutan itu.” Faris tetap dengan pendapatnya. Tegas.
          Keluhan berat dibebaskan sejenak. Dalam otak cuba mencerna sesuatu.
          “Beginilah. Kita geledah sekali lagi kawasan hutan itu. Kalau tak jumpa juga, bermakna bukan di situlah makmalnya.” Balas Inspektor Haffis pula.
          “Tapi tuan, kami dah cari setiap inci isi hutan tu. Memang tak jumpa langsung. Yang ada cuma pokok dan anak sungai.”
          “Kali ni kita bawa anjing polis.” Arahan terakhir dari mulut Inspektor Haffis langsung tiada bantahan. Masing – masing akur dan menerima arahan seadanya.
          Tombol pintu yang ditarik dari dalam membuatkan Afham tersentak. Tak tahu nak buat apa bila bebola mata sudahpun selamat bertembung dengan bebola mata Inspektor Haffis. Dia hanya mampu berdehem kecil apabila melihat Haffis mengerut dahi sedikit memandang wajahnya kala itu.
          “Tak sengaja dengar. Ingatkan tak ada orang guna bilik ni tadi.” Tanpa sebarang soalan, Afham segera memberi jawapan.
          Cepat – cepat pemuda yang berpangkat inspektor itu berlalu dari ruang itu sebelum anggota yang lain pula perasan akan kehadirannya di hadapan pintu bilik mesyuarat itu. Haffis hanya menggeleng perlahan dengan sengih sengetnya yang sudah tersemat di bibir. Am… Am…
***
          “Assalamualaikum, puan.” Fiska pamer senyum manis buat majikan barunya itu.
          “Waalaikumussalam. Ya, Ika. Masuk, masuk.” Riak yang agak terperanjat bila biji mata memandang wajah lembut gadis yang sudah melangkah masuk ke dalam ofisnya.
          “Puan, saya sebenarnya nak minta maaf sebab ada hal kecemasan tempoh hari. Saya tak sempat nak bagitahu puan dulu.” Fiska membuka bicara setelah melabuhkan punggung di hadapan Mak Ucu.
          “Tak apa, Ika. Mak Ucu tahu dah Ika masuk hospital hari tu, kan?”
          Air muka gadis itu berubah serta – merta. Belum sempat dia jelaskan apa – apa lagi, majikannya itu sudah tahu? Ajaib.
          “Puan tahu dari mana?”
          “Kawan Ikalah yang bagitahu.”
          “Kawan?”
          Makin bertambah pelik. Rasanya dia belum bagitahu Najwa lagi yang dia dah dapat kerja di pra sekolah itu. Macam mana Najwa boleh tolong bagitahu kat Puan Faridah Hanum ni pula?
          “Yalah, kawan. Am yang bagitahu Mak Ucu.” Wanita itu masih kekal dengan mesranya.
          Am? Afham? Polis bermulut hantu tu?! Tenang, Ika. Tenang.
          “Betul tu, puan. Am tu memang kawan baik saya sangat tu. Oh, dia yang bagitahu puan ya?”
          “Haah. Katanya Ika kena appendic. Kena bedah. Mak Ucu ingat Ika tak terima kerja kat sini.” Sambung Mak Ucu lagi.
          “Eh, mana boleh tak terima puan! Saya memang nak sangat kerja kat sini cuma malam tu tiba – tiba kena serang appendic. Kena tahan kat hospital. Sebab tu saya tak dapat nak datang kerja esoknya.” Jelas Fiska buat kesekian kalinya.
          “Tak apa. Alhamdulillah segalanya dah selamat, kan? Ika boleh mula kerja dah ke hari ni? Kalau Ika nak rehat kat rumah dulu pun tak apa.”
          “Dah seminggu dah. Okey dah, puan. Saya boleh mula kerja hari ni. Puan jangan risau, ya?” Fiska tarik sengih.
          “Kalau macam tu, baguslah. Ika tak payahlah panggil puan, ya? Panggil Mak Ucu aje. Ika kan kawan Am. Kawan – kawan Am pun semua Mak Ucu anggap macam anak saudara sendiri juga.”
          Air muka yang ingin berubah segera dikawal rapi. Senyum mula melebar panjang. Manis. Memang berbeza betul perangai ibu saudara dengan anak saudara. Mungkin Darish yang mewarisi sikap Mak Ucu. Polis bermulut hantu tu pula mesti sejak lahir lagi dah memang suka sembur – sembur orang.
          “Baiklah, Mak Ucu. Ika masuk mengajar kelas dululah kalau macam tu, ya?”
***
          “Bos, rasanya dah lama jugak tak nampak inspektor tu intip kita, kan?”
          “Inspektor mana?” Roy masih ralit menyentuh skrin telefon bimbitnya.
          “Inspektor Afhamlah. Inspektor polis yang beria – ria nak cari bos sampai dapat tu.”
          Tingkah lelaki itu mati sekejap. Biji mata tepat ke wajah orang kanannya kala itu. “Dia takut mati kut. Orang bawah dia kan dah terkorban hari tu. Serik gamaknya nak intip kita lagi.”
          “Tapi Inspektor Afham tu bukan jenis orang yang cepat give up, bos. Dia sanggup menyamar jadi pengemis berminggu – minggu kat kampung tu dulu semata – mata nak jejak pengedar kita. Kantoi pun sebab ada kes kecurian kat kedai runcit hujung kampung tu bila dia bawa keluar pistol.” Orang kanannya itu masih menyambung lagi.
          “Itu sebelum orang bawah dia mati. Kalau dia buat lagi, dia pula yang mati. Macamlah kau tak tahu aku ni pantang dengan orang yang suka sangat jaga tepi kain orang lain ni.” Roy membalas selamba. Sedikitpun tidak terkesan dalam hati.
          “Kalau Inspektor Afham tu diam sekalipun, kita tetap kena hati – hati, bos. Pihak polis takkan diam.”
          “Aku tahulah pasal tu. Dan aku yakin sangat, inspektor bodoh tupun takkan diam lama. Dia akan cari aku juga satu hari nanti.” Roy meleret sengih. Yakin amat.
          “Tapi ada satu benda yang saya musykil dari dulu lagi. Kenapa inspektor tu berdendam sangat dengan bos? Boleh nampak riak muka dia bengang sangat bila tengok muka bos.”
          Sengih dileretkan lagi sebelum menjawab soalan cepumas dari orang kanannya itu. “Aku nak tanya kau satu benda. Ada ke polis yang suka aku? Ada ke polis yang senyum bila pandang muka aku?”
          “Tak ada, bos.” Orang kanannya garu sedikit kepala yang tidak gatal.
          “Tahu pun. So, kau tak payahlah tanya aku soalan bodoh macam tu lagi. Lagipun hal aku dengan inspektor bodoh tu, hanya aku dengan dia aje yang tahu. Kau tak payah sibuk sangat. Jaga kawasan kita baik – baik sudah.”
          “Baik, bos!”
***
Secawan susu panas diletakkan di atas meja. Afham mengerling sedikit air yang dijamu untuk dirinya itu. Lantas bebola mata tepat ke wajah gadis yang dengan senang hatinya melabuhkan punggung di kerusi berhadapan dengannya kala itu. Fiska senyum manis buat inspektor polis yang bertandang tanpa diundang di situ. Nak undang pun buat apa? Tadika mak saudara dia juga. Suka hati dialah bila nak datang pun.
          “Susu kau bagi aku? Kopi ke nescafe ke tak ada?” tanya Afham. Keras.
          “Sini tadika, tuan. Itupun saya ambil susu yang budak – budak tu minum. Bukan kedai mamak nak ada minuman yang tak sihat macam tu.” Balas Fiska selamba. Mengada – ngada pulak mamat seorang ni. Aku hidang susu nipun kira bagus sangatlah. Kalau aku bagi air kosong aje nanti baru kau tahu.
          “Teruskan panggil aku tuan macam tu.” Afham bagi arahan karut tak semena – mena.
          Fiska dah tayang muka meluat. Membulat biji mata mendengar arahan merepek dari lelaki itu. “Eh, tak naklah! Saya perli awak aje tadi. Awak bukan bos saya pun. Buat apa nak saya panggil tuan pula?”
          Afham hanya mencebik sedikit sebelum menghirup perlahan susu panas yang dihidang untuknya tadi. “Dah lama ke Mak Ucu keluar? Dia ada bagitahu tak dia pergi mana?”
          “Lama juga. Setengah jam sebelum budak – budak ni rehat Mak Ucu keluar tadi. Tapi tak ada pula dia bagitahu saya yang dia nak pergi mana – mana.”
          Mak Ucu? Mendengarkan perkataan Mak Ucu keluar dari mulut Fiska, Afham pandang sekejap wajah gadis di hadapan matanya itu. Mak Ucu betul – betul anggap budak perempuan ni anak saudara dia juga ke?
          “Oh, tak apalah kalau macam tu! Hmmm seronok ke kerja kat sini?”
          Fiska yang agak tersentak dengan soalan yang diberikan itu segera mengangguk laju. “Seronok. Dikelilingi dengan kanak – kanak ni kadang – kadang boleh terhibur juga.”
          “Kau memang datang sini sebab nak cari kerja ke, Cinta Fiska?”
          Sekali lagi soalan yang diberi menyentakkan gadis itu. Fiska diam buat beberapa saat. “Penting ke saya jawab soalan tu?”
          “Tak penting pun. Cuma aku pelik sejak dari pertama kali aku kenal kau lagi.”
          Afham meneliti setiap inci wajah gadis cantik di hadapan matanya itu. Kalau diikutkan umur gadis itu memang sesuai menjadi seorang adik jika dibandingkan dengan umurnya yang berbeza enam tahun itu.
          “Kalau macam tu, awak anggap sajalah tujuan saya datang sini memang nak cari kerja.”
          “Tak apalah. Mungkin kau ada sebab kau sendiri. Aku tak paksa pun suruh bagitahu.” Ujar Afham perlahan bila menyedari air muka gadis itu mulai keruh.
          “Ada benda yang lebih penting sepatutnya saya bagitahu awak, encik polis.” Sambung Fiska lagi.
          “Benda apa?”
          “Terima kasih sebab tolong saya pada malam yang saya sakit tu. Terima kasih tolong jadi penjaga saya untuk daftar kat hospital dan saya yakin awak juga yang bayar kos hospital saya tempoh hari. Terima kasih banyak – banyak.”
          Beberapa baris ayat yang diungkap Fiska membuatkan pemuda itu terkunci bibir beberapa saat. Air muka yang cuba berubah cuaca segera dikawal rapi.
          “Aku tolong sebab aku ni memang baik hati. Kalau dengan orang lain pun, aku akan buat benda yang sama jugak.”
          “Tapi saya tetap nak cakap terima kasih. Saya terhutang budi dengan awak.” Fiska hadiah senyum paling manis. Ikhlas.
          Buat seketika pemuda itu terkesima dengan anugerah istimewa milik gadis itu. Senyuman indah yang dilengkapi dengan sepasang lesung pipit itu cukup untuk menggetarkan jiwa yang melihat anugerah Allah itu. Sungguh cantik!
          “Sama – sama.”

++bersambung++

No comments:

Post a Comment

sepatah komen anda ibarat setitik peluh petani..eh?