Followers

Thursday, 4 August 2016

~Katakan Tidak Pada Cinta 5~


“Tuan, saya merayu sangat dekat tuan. Saya hanya sesuai dalam unit narkotik saja, tuan. Tuan tak boleh buat saya macam ni. Tuan tak boleh tukarkan saya ke unit lain, tuan.” Sekali lagi Inspektor Afham cuba merayu. Hampir sejam juga dia berada di dalam ofis orang atasannya itu.
          “Dengar sini, Afham. Kita ni sebagai pasukan polis kena berhadapan dengan semua jenis jenayah. Awak tak boleh cakap yang awak hanya sesuai dalam unit narkotik. Salah kenyataan awak tu, faham tak?”
          “Tapi tuan, tuan tengoklah apa usaha saya selama ni untuk menjejaki kawasan tu. Takkan tuan sanggup bagi kes ni orang lain handle sedangkan saya dan pasukan saya yang kumpulkan maklumat selama ni.”
          “Sama saja, Afham. Inspektor Haffis yang handle pun kita boleh tumpaskan markas dadah tu secepat mungkin guna maklumat yang sedia ada. Yang penting target kita tu tercapai. Tak kisahlah siapapun yang handle.”
          “Kenapa, tuan? Teruk sangat ke prestasi kerja saya selama ni?” nada rendah tak semena – mena.
          “No. You are the best inspector among the inspectors, Inspektor Muhammad Afham Nazhan.”
          Mendengarkan masih tiada alasan yang kukuh diberikan dari pihak atasannya membuatkan dia terasa putus asa. Sebuah keluhan berat dibebaskan sejenak. Hampa. Teramat hampa.
          “Tak apalah, tuan. Walau apapun saya tetap menunggu berita gembira dari tuan. Saya harap tuan dapat tukarkan saya semula ke unit asal saya. Saya berharap sangat, tuan.” Afham menyambung lagi. Kali ini, nada lebih mendatar.
          Tangan ditabikkan sedikit ke kepala. Lantas pemuda itu menapak keluar dari ofis pihak atasannya. Memang dia tiada hati langsung untuk bekerja pada hari itu. Nak ambil cuti pun dia sendiri tidak tahu hendak ke mana melainkan ke rumah Mak Ucu. Lagipun dia bukannya jenis penjawat awam yang suka curi tulang dan mengambil cuti selalu. Cuti yang diperuntukkan untuk dirinya sendiri pun banyak lagi yang masih tidak digunakan.
          “Tuan!”
          Panggilan dari anak buahnya mematikan lamunan. Kepala segera ditoleh mencari pemilik suara.
          “Kenapa?”
          “Ada kes penculikan kanak – kanak baru dilaporkan, tuan.”
          Hmmm kes culik? Bermakna inilah kes pertama aku bila ditukarkan ke unit ni?
          “Dah 24 jam ke hilang?” soal Afham walaupun dia masih tiada rasa apa – apa minat untuk mengetahui kes itu dengan lebih lanjut.
          “Dah 48 jam dah pun. Ibu bapa mangsa baru buat laporan tadi beritahu yang anak perempuan dia orang yang berumur 6 tahun masih tidak pulang ke rumah selepas waktu tadika. Ayah budak ni pun dah pergi tanya cikgu semua tapi tak ada siapa yang nampak budak perempuan tu dalam tempoh dua hari ni.”
          “Lepas tu?” Afham tekun mendengar.
          “Jangan – jangan ada kaitan dengan kes penjualan organ kanak – kanak tu? Culik budak – budak lepas tu ambil organ mereka untuk dijual.” Sampuk salah seorang anggota yang muncul entah dari mana. Nampak sangat sedang mencuri dengar perbualan orang lain.
          “Kes jual organ kanak – kanak? Binatang ke apa penculik tu?!” Afham naik pitching suara tak semena – mena. Angin betul satu badan dia mendengar berita sezalim itu.
          “Tu bukan binatang, tuan. Tu syaitan.” Sambung anak buahnya pula. Tukang hasut.
          “Panggil semua masuk bilik mesyuarat. Bagitahu detail kes ni dekat saya dari A sampai Z.” arahan diberi keras. Selang beberapa saat, Afham beredar ke ofisnya. Masing – masing menurut arahan seperti biasa.
          “Baik, tuan!”
***
Langkah perlahan – perlahan merapati rak – rak buku yang tersusun rapi di dalam kedai buku Popular itu. Biji mata dililaukan mencari rak yang menghidangkan buku – buku kegemarannya iaitu novel cinta. Hampir dua minggu dia berada di rumah temannya dan dia sendiri sedar akan maksud simpulan bahasa mati kutu. Tak tahu apa lagi yang hendak dibuat di bandar itu. Nak cari kerja pun, kerja apa? Tujuan utama nak cari orang. Sudahnya, dia pergi ke kedai buku dan mencari novel – novel terbaru. Betul – betul lari dari tujuan asal.
          “Hmmm novel apa yang best sekarang ni, ya?” sinopsis cerita di belakang kulit buku dibelek – belek.
          “Novel ni.” suara garau yang tiba – tiba muncul di ruang itu membuatkan Fiska tersentak sekejap. Kepala segera ditoleh.
          “Errr Encik…”
          “Darish. Panggil Rish aje.” Pemuda yang menolongnya tempoh hari mengukir sebuah senyuman. Tampan.
          Fiska hanya senyum lalu menganggukkan kepalanya sedikit.
          “Saya ada dekat rak buku – buku sekolah tadi. Lepas tu, ternampak Ika kat sini. Sebab tu saya datang tegur. Takut juga tersalah orang.” Tanpa disoal, pemuda itu memberi penjelasan.
          “Oh, saya pun saja jalan – jalan! Tu yang singgah kedai buku sekejap ni.” balas gadis itu ramah.
          “Kebetulan pula ya Ika pun singgah kedai buku yang sama dengan saya?”
          Sekali lagi Fiska sengih. Kebetulanlah sangat. Hanya hati yang membalas.
          “Err saya sebenarnya tak pernah minta macam ni lagi dekat mana – mana perempuan. Ini kira pertama kalilah.” Darish Izuan menyambung lagi.
          Fiska sudah kerut dahi. “Minta apa?”
          “Boleh tak kalau saya nak minta nombor telefon awak?” merah wajah pemuda menahan malu.
          Buat beberapa saat gadis itu pandang wajah Darish. Bila terpandangkan beberapa buah buku latihan UPSR di tangan pemuda itu membuatkan Fiska membebaskan keluhan kecil sejenak. Apa nak jadilah lelaki sekarang ni agaknya? Takkan semuanya nak jadi buaya? Tak teringin nak jadi manusia ke?
          “Maaflah, Rish. Saya ni tak berminat dengan benda ni semua. Lebih baik awak jaga keluarga awak elok – elok. Kalau isteri awak tahu perangai awak kat luar macam ni, mesti dia sedih. Saya tak nak jadi orang ketiga atau penghancur hubungan keluarga orang lain. Saya faham bagaimana perasaan perempuan yang mana suaminya mata keranjang. Ya Allah, bawa bertaubat ya awak! Saya tahu lelaki boleh kahwin empat tapi awak tak boleh guna alasan tu sewenang – wenangnya. Dengarlah nasihat saya ni, ya? Sebelum terlambat, awak kembalilah ke pangkal jalan. Assalamualaikum.”
          Berjela Fiska berhujah sebelum langkahnya sedia dipasang untuk beredar dari ruang itu. Tak pasal – pasal dia jadi ustazah hari ni. Harap – harap tak membazirlah air liur aku bagi ceramah kat mamat miang ni. Harap muka aje handsome. Inilah yang orang kata don’t judge the book by its cover.
          “Waalaikumussalam. Eh, sekejap!” lengan gadis itu direntap lembut.
          Fiska yang sudah tersentak terus matikan langkah. “Apa pegang – pegang ni?!” nada yang cuba naik direndahkan semula. Khuatir juga jika pelanggan lain melihat ke arah mereka.
          “Tenang, cik. Tenang. Saya rasa awak ni dah salah faham kat saya. Keluarga apa? Isteri?”
          “Tu buku latihan kat tangan awak tu. Dah lupa isteri suruh pergi kedai beli buku sekolah anak ke?” Fiska perli sambil mulutnya dijuihkan ke arah tangan pemuda itu.
          Darish diam beberapa saat. Tak semena – mena pemuda itu meledak tawa pula.
          “Oh, sebab buku nilah ya? Ni buku untuk mengajar anak murid sayalah. Saya tak kahwin lagi.” Sengih dalam paksa. Sampai hati. Tua sangat ke muka aku sampai dipersoalkan sedemikian?
          Anak murid?! Padan muka diri kau sendiri, Ika! Padan muka.
          “Alamak, sorry, sorry, sorry! Saya ingatkan awak beli buku anak sebab nampak awak pegang buku UPSR tu. Anak murid rupanya. Maafkan saya, cikgu.” Fiska meluku kepalanya beberapa kali. Tulah, mulut main bedal aje bila bercakap.
          “Tak boleh jadi ni. Nak kena rotan dengan cikgulah ni, ya?” usik Darish dengan sengih.
          Fiska tergelak kecil. Comel. Sangat comel gadis itu.
          “Sorry. Sorry. Saya betul – betul minta maaf, Rish. Tak sangka pula yang awak ni cikgu.”
          “Tak apalah. Biasalah tu. Tapi kalau awak tanya saya beli buku untuk cucu ke? Ha, yang tu memang tak boleh dimaafkan.”
          Makin galak tawa gadis itu. Darish melebar senyum. Sempurna sungguh gadis itu dimatanya. Hati, kau dah kenapa?
***
          “Aku ingat aku nak cari kerjalah kat sini, Wa.” Punggung dilabuhkan di atas sofa yang bersebelahan dengan tempat duduk Najwa kala itu.
          “Bakeri kau tak nak pakai orang ke? Boleh aku tolong?” Fiska menyambung lagi dengan sengih.
          “Kenapa? Kedai runcit kau kat kampung tu dah bankrap ke sampai nak cari kerja kat sini?”
          “Hisy, mulut kau! Pantang keturunan aku sebut perkataan bankrap ni tau. Matematik aku dapat A SPM dulu. Mana boleh bankrap.” Bidas Fiska geram. Sesedap rasa je tuduh kedai aku macam tu.
          “Ada kaitan ke matematik A dengan bankrap?” Najwa sengih sinis. Sengaja menambah perisa pedas lagi.
          “Tak apalah kalau tak dapat tolong aku. Aku bukannya apa. Aku tak nak kau kehilangan peluang untuk mendapatkan pahala menolong orang dikala susah.” Nada rendah. Sepotong buah epal disambar seraya melemparkan pandangan ke kaca televisyen.
          “Alahai, bergurau sikit pun dah merajuk kau ni! Esok datanglah ke bakeri aku.”
          Bersinar biji mata Fiska serta – merta. “Kau nak bagi aku kerja ke, Wa? Terima kasih, Wa. Terima kasih sangat – sangat.”
          “Bukan kerja kat bakeri aku. Tapi tadi adalah orang datang bagi pamplet kerja kosong nak tumpang tampal kat kedai aku. Kau bolehlah try.”
          “Kerja kosong? Kerja apa?”
          “Cikgu tadika.”
          Buat seketika Fiska pandang tajam teman baiknya itu.
          “Kau nak perli aku ke apa ni?”
          “Perli apa pula? Matematik kau kan dapat A SPM dulu.” Najwa tarik sengih. Fiska pantas bagi jelingan sebiji.
          “Janganlah bagi idea mengarut, Wa. Tak kasihan ke kat kawan kau ni?”
          “Nak kasihan apanya? Kau bagitahu aku sekarang sebab apa kau datang sini? Sanggup tutup kedai nak dekat sebulan dah. Bila aku cakap kedai kau bankrap, tahu pula nak marah.”
          Air muka yang sedang berubah tak dapat dikawal. “Adalah sebabnya. Tak penting pun kalau kau tahu.”
          “Sebab apa?”
          Keluhan berat dibebaskan sekejap. “Aku nak cari abang kandung aku.”
          Seperti yang dijangka, Najwa terperanjat besar. Sungguh dia tak pernah mengetahui langsung akan perihal teman baiknya itu mempunyai abang kandung selama ini. Sangkanya Fiska hanya anak tunggal yang sudah kematian ibu bapa dan menumpang kasih di dalam keluarga saudaranya.
          “Kau ada abang, Ika?”
          “Haah, suatu ketika dulu aku ada abang sebelum aku ikut tinggal bersama keluarga pakcik aku. Sebab tu aku pindah kat kampung kau dulu.”
          “Habis tu, kenapa abang kau tak ikut sekali?”
          Soalan yang dia sudah agak akan ditanya seterusnya. Wajah Najwa dipandang dalam dan sengaja dia membiarkan soalan itu berlalu sepi. Tanpa sedar, kolam mata sudahpun berkaca. Mengingatkan masa lalu yang dia terlalu ingin cepatkan masa beredar. Dia perlu berjumpa dengan abangnya semula walau di manapun abangnya itu berada.
***
Bunyi dua kali ketukan meja membuatkan Afham mengangkat kepala. Kelibat yang berdiri di sebelah mejanya itu membuatkan dia terus berdiri tegak memberi tanda hormat. Air muka masih tenang menunggu apakah gerangan orang atasannya itu muncul di ofisnya pada waktu – waktu begini.
          “Dah pukul 9 malam. Tak balik lagi?”
          Jam di pergelangan tangan segera dipandang. Langsung dia tidak perasan jarum jam sudahpun menginjak ke angka 9.
          “Sekejap lagi saya baliklah, tuan. Tuan baru nak balik juga ke?”
          “Ya, ada kerja yang tak habis lagi tadi.”
          Afham hanya mengangguk tanda memahami. Adalah menjadi perkara biasa apabila anggota polis pulang lewat dari waktu yang sepatutnya. Kerana tanggungjawab dan amanah bukanlah perkara yang dipandang remeh.
          “Saya perlukan awak dalam kes penjualan organ kanak – kanak ni. Lepas tu saya akan usahakan untuk tukarkan awak ke unit narkotik semula, Inspektor Afham.”
          Ayat yang baru sahaja diutarakan oleh pihak atasannya itu membuatkan Afham tersentak buat seketika. Terdiam untuk membalas sebarang kata – kata.
          “Saya tak janji. Tapi, in shaa Allah.” Kata disambung lagi sebelum langkah mula beredar dari ruang itu.
          “Arahan diterima, tuan!” tabik hormat diberi berserta dengan senyuman yang sudahpun melebar di bibir. Alhamdulillah. Terima kasih, Ya Allah!

++bersambung++

No comments:

Post a Comment

sepatah komen anda ibarat setitik peluh petani..eh?