Followers

Tuesday, 16 August 2016

~Katakan Tidak Pada Cinta 11~


So, hi – tea yang mama beria – ria sangat suruh Rish pergi tu sebab nilah, ya? Nak kenalkan Rish dengan anak perempuan tan sri?” tenang pemuda itu menyuap nasi goreng ke dalam mulutnya.
          “Yalah. Apa salahnya, kan? Lagipun tan sri tu dah banyak tolong bisnes papa dengan mama. Kan lebih baik kita rapatkan hubungan keluarga kita dengan keluarga tan sri ni.” ujar Puan Hanim separa memujuk anak terunanya itu.
          “Kenapa, ma? Tak cukup lagi ke dengan duit bisnes mama dengan papa sampai nak jual anak pula sekarang ni?” selamba Darish balas pedas. Rasa nak berasap kepala kala itu.
          “Darish Izuan!!!”
          “Suka hati mama dan papalah nak buat apapun. Rish tak ada hati langsung nak follow plan mama dan papa tu. Sedangkan saudara sendiri pun mama jauhkan, inikan sibuk dengan keluarga lain yang nak dirapatkan. Lupakan ajelah hasrat mama dan papa tu, ya?”
          “Kamu nak perli mama pasal budak Am tu lagi, ya?”
          “Bukan perli, ma. Tapi Rish cuma nak ingatkan mama aje. Kalau darah daging sendiri pun kita tak rapat, tak guna kita nak rapat dengan orang lain pula. Lagipun cukup – cukuplah tu dengan agenda mama semua ni. Sekarang ni bukannya zaman batu nak tentukan siapa jodoh anak. Isteri Rish biar Rish yang cari sendiri.”
          “Kamu ni Rish, makin lama makin pandai menjawab mama tengok. Mama ni orang yang melahirkan kamu, orang yang mengandungkan kamu 9 bulan 10 hari. Jangan lupa tu, Rish.”
          “Rish ingat mama tu siapa. Langsung tak ada niat pun Rish nak biadap dengan mama. Cuma Rish minta sangat mama jangan nak rancang yang bukan – bukan untuk hidup Rish. Macam cita – cita Rish nak jadi cikgu, mama dan papa tak dapat halang. Macam tu jugalah siapa pasangan hidup Rish. Harap mama fahamlah, ya?”
          Puan Hanim mengeluh berat buat seketika. “Kenapalah kamu ni degil sangat, Rish?”
          “Sedegil – degil Rish, degil lagi mama dan papa buat kat Am macam tu. Dan lagi satu.”
          Wanita itu menikam tajam anak mata Darish Izuan. Masih menunggu beberapa potong ayat yang bakal keluar dari mulut anak lelakinya itu.
          “Rish dah janji Rish hanya akan kahwin bila Am kahwin.”
          “Kamu ni dah hilang akal gamaknya, Rish? Kalau anak perempuan tu tak kahwin, kamu pun tak nak kahwinlah ya? Apalah yang budak tu buat kat kamu sampai kamu sanggup taruhkan hidup untuk dia?” Puan Hanim sudah menggeleng perlahan. Tak tahulah apa yang difikirkan oleh anak terunanya itu.
          “Rish dah janji depan Mak Ucu. Hanya Mak Ucu yang sayangkan kami berdua. Sedangkan mama sendiri pun sanggup jual anak sendiri demi harta.” Sekali lagi Darish provok. Memang selamba badak sungguh.
          “Tak apalah, Rish. Suatu hari nanti mama yakin kamu akan kembali kepada mama dan papa. Waktu tu kamu akan tahu kebenaran yang menyebabkan mama dan papa bencikan sepupu kesayangan kamu tu.”
          “Kalau macam tu, mama cerita ajelah sekarang kebenaran tu. Tak perlu nak tunggu suatu hari nanti pun.”
          “Mama balik dulu. Kamu sambunglah makan.” Beg tangan segera dicapai sebelum bingkas dari ruang makan di rumah milik Afham itu.
          “Kirim salam papa.” Sempat lagi Darish berpesan sebelum menyambung makannya kembali.
          Sampai sahaja di muka pintu, langkah wanita itu mati tiba – tiba. Air muka segera berubah kelat bila melihat wajah anak saudaranya yang sedang mengukir senyum. Jangan kata nak balas senyum, salam yang dihulur Afham juga tidak langsung disambut. Darish yang hanya memerhati adegan itu sudah menggeleng kepala. Kejam sungguh mama. Puan Hanim terus berlalu menuju ke kereta mewahnya tanpa sebarang bicara. Afham pula hanya mampu mengeluh dalam diam.
          “Sorry, Am.” Hanya kata maaf yang mampu keluar dari bibir Darish setiap kali Puan Hanim menunjukkan rasa benci kepada sepupunya itu.
          “Sorry apanya kau ni? Kau dah makan ke? Aku baru nak ajak dinner kat rumah Mak Ucu.”
          Afham sengih. Tukar topik. Memang dia sudah maklum dengan sikap Puan Hanim yang terlalu dingin kepada dirinya sejak dari dulu lagi. Apa yang Puan Hanim bencikan sangat dengan keluarga dia pun entahlah. Padahal Puan Hanim merupakan kakak kandung kepada arwah ibunya dan Mak Ucu merupakan adik bongsu kepada mereka berdua.
          “Dinner rumah Mak Ucu? Mak Ucu ada ajak ke?”
          “Sejak bila pula kena tunggu dia ajak baru kita boleh pergi? Macam tak biasa pula redah aje dapur dia.”
          Darish hambur tawa bila mendengar balasan dari sepupunya itu. “Okey, sekarang juga aku siap.”
***
Rintik – rintik hujan renyai yang menghiasi malam itu dipandang sayu. Sengaja dibiarkan jendela sedikit terbuka untuk membenarkan angin masuk menyejukkan suasana ruang tamu rumah sewa temannya itu. Lamunan serta – merta terhenti bila terdengar bunyi sebiji cawan yang berisi milo panas diletakkan di atas meja.
          “Perut kau macam mana? Dah okey, Ika?” tanya Najwa seraya melabuhkan punggungnya di atas sofa.
          “Okey dah cuma kena jaga makan ajelah macam yang doktor pesan.”
          Fiska masih lagi melemparkan pandangan ke luar jendela. Bila difikirkan masalahnya, kepala mula runsing. Tetapi jika dibiarkan masalahnya begitu sahaja, sampai bila hendak selesai. Dia betul – betul buntu mencari jalan penyelesaian.
          “Kau fikirkan abang kau ke, Ika?”
          Soalan yang diaju dibiarkan menyepi. Mengangguk tidak. Menggeleng pun tidak. Sudah terang lagi bersuluh memang dia sedang memikirkan tujuan asal dia datang ke tempat itu.
          “Macam mana aku nak cari abang aku tu, Wa? Kau ada idea tak?”
          Najwa ketawa kecil mendengar soalan yang ditujukan buat dirinya pula. “Sebelum kau tanya aku pasal idea nak cari abang kau tu kan, aku nak tanya sikit ni.”
          Telinga sudah dipasang lebar – lebar untuk mendengar soalan dari mulut Najwa. Tak sabar pula rasa nak jawab soalan yang agak cepumas tika itu.
          “Kau yakin ke abang kau ada kat sini? Malaysia ni besar kut. Mana tahu kalau – kalau dia dah pindah ke negeri lain.”
          “Aku yakin dia ada kat sini. Alamat terakhir aku tanya kawan dia, dia masih kat Perak.”
          “Tak semestinya. Kawan dia yang kau tanya tu, masih contact dengan dia ke?”
          “Entahlah. Aku tak tanyalah pula. Lagipun, cuma kawan dia yang tu aje aku kenal pun. Kawan lain aku tak kenal.”
          Najwa sudah mengeluh lembut dengan balasan sedemikian rupa. “Aku memang betul – betul kasihan dengan kau ni, Ika. Kalau aku jadi kau, aku tak mampu dah nak cari orang yang kita tak tahu kat mana lokasi dia sekarang ni. Bukan senang kau nak cari seorang diri macam ni saja.”
          “Habis tu, apa yang aku boleh buat lagi? Abang aku tu sajalah satu – satunya saudara kandung yang aku ada. Walau apapun aku tetap kena cari dia.”
          “Hmmm kau cuba tanya kat JPN mana tahu kalau – kalau dia orang boleh tolong kau carikan alamat abang kau.” Najwa beri cadangan.
          “Boleh ke JPN tolong aku cari orang? Maklumat private kut. Siapa nak bagitahu aku? Kalau ada orang dalam tak apalah juga.” hambar nada Fiska.
          “Kalau macam tu, kau buat laporan polis ajelah. Cakaplah nak cari orang hilang kena culik.” Najwa tunjuk sengih mengusik.
          “Idea kau tu dahsyat betul. Kau ingat nak buat laporan polis ni benda yang main – main ke? Silap hari bulan, aku yang kena saman atas tuduhan penipuan.”
          “Yalah, aku bergurau ajelah. Macam yang kau cakap tadilah, kalau ada orang dalam memang senanglah kerja kau nak cari abang kau tu. Kalau setakat kau seorang diri aje, lebih baik kau upah personal detective aje.”
          “Siapa cakap aku seorang diri?”
          Sepantas kilat Najwa pandang tepat anak mata temannya itu. Tak jadi nak teguk air. “Ada orang lain yang nak tolong kau ke? Siapa?”
          “Adalah orang dalam yang boleh dipercayai.” Fiska tarik sengih. Misteri.
          “Orang dalam? Kau jangan macam – macam sangat, Ika. Kau baru lagi kat sini. Jangan terus percaya dengan orang yang kau tak kenal.” Najwa dah tayang muka pelik melihat wajah temannya itu.
          “Aku tahulah tapi aku yakin dia seorang saja yang boleh tolong aku buat masa ni. Tak ada orang yang sesuai lagi dah selain dia.” Semakin lebar senyuman gadis itu. Betul – betul yakin.
          “Tapi dia tu siapa?”
***
Jam ditangan mula dikerling seraya langkah dilajukan menuju ke ofis ibu saudaranya itu. Ala, Mak Ucu ni! Ada ke patut tinggal kunci rumah dia dekat aku? Tak pasal – pasal kena bergegas pergi tadika dia hantar kunci rumah dulu. Am lagi bijak sungguh. Semalam dia yang beria – ria ajak tidur rumah Mak Ucu, alih – alih awal pagi dah lesap tinggal aku seorang. Kurang asam punya sepupu!
          “Ni kunci rumah.” Darish senyum kelat sambil beberapa batang kunci dihulurkan kepada ibu saudaranya itu.
          “Terima kasih, anak saudaraku. Buat susah – susah aje nak hantar kunci kat Mak Ucu ni.” Mak Ucu tarik sengih.
          “Kalau Mak Ucu rasa susah kenapa tak kejut Rish awal tadi? Terkejut Rish bangun tadi tengok semua orang dah tak ada. Am pun sama.” Rungut pemuda itu meleret – leret.
          “Mak Ucu memang nak kejut tapi Mak Ucu pun dah terlambat nak keluar sebab tu Mak Ucu biar aje kamu berdua terbongkang kat ruang tamu tu. Pandai – pandailah kamu berdua nak bangun sendiri. Dua – dua dah besar panjang.”
          “Kalau Mak Ucu pun dah terlambat, Rish ni apa lagi? Dahlah nak kena singgah tadika Mak Ucu lagi hantar kunci rumah.”
          “Habis tu, salah Mak Uculah ni? Siapa yang gatal sangat tengok bola malam semalam sampai tak reti nak tidur?” Mak Ucu dah naik pitching sedikit.
          Darish serta – merta tunjuk sengih. “Okeylah. Rish pergi sekolah dululah. Dah lambat sangat dah ni.” Tukar topik sebelum Mak Ucu tayang muka singa pula.
          “Tahu pun. Jalan elok – elok.” Sempat wanita itu berpesan sebelum Darish berlalu dari ruang itu.
          Langkah sekali lagi dilajukan menuju ke tempat keretanya diparkir. Macam tak cukup tanah dia berjalan menghentak lantai. Dalam kepala sudah ligat memikirkan alasan apa yang patut diberikan setibanya dia di sekolah sekejap lagi. Hari ni pula ada perhimpunan mingguan sekolah. Mustahillah nak bagi alasan bangun lambat sebab tengok bola malam semalam. Cikgu jenis apalah kau ni, Rish oi!
          Kala itu juga, tak semena – mena bebola mata tertancap ke arah seorang gadis yang sedang khusyuk mengajar budak – budak kecil mengira di dalam kelas. Langkah mula menapak perlahan cuba mengintai gerangan perempuan yang agak familiar bagi pandangan matanya itu. Saat anak mata mereka bertembung, Darish benar – benar terperanjat. Fiska dengan pantas menghadiahkan senyuman manis buat pemuda yang masih tergamam di luar kelasnya itu. Siap dengan lambaian tangan lagi memandang lelaki yang bernama Darish Izuan.
          Rajin sungguh anak – anak saudara Puan Faridah Hanum ni datang bertandang ke tadika dia. Semalam Am, hari ni Rish pula. Hmmm encik polis tu tak datang pula ke hari ni? Sibuk kat balai kut. Tapi dah dua kali rasanya aku nampak dia datang sini. Ada hal penting ke? Eh, sekejap! Sejak bila kau pandai nak ambil tahu pasal polis bermulut hantu tu pula, Ika?
          Fiska mengajar kat sini? Bermakna dia kerja dengan Mak Ucu? Biar betik? Aku salah tengok orang ke apa ni? Sejak bila semua ni berlaku?! Digosok – gosok lembut kelopak matanya dengan tangan. Tersangatlah kebetulan!

++bersambung++

No comments:

Post a Comment

sepatah komen anda ibarat setitik peluh petani..eh?