Followers

Tuesday, 16 August 2016

~Katakan Tidak Pada Cinta 12~


Air mineral yang sedang diteguk terus terbantut bila terdengar bunyi cermin tingkap keretanya diketuk dua kali. Kepala segera dipaling mencari gerangan orang yang menganggu ketenteramannya kala itu. Terlihat sahaja wajah Fiska yang sedang menayangkan barisan giginya yang tersusun rapi, pantas cermin tingkap keretanya diturunkan sedikit.
          “Nak apa?” agak keras nada Afham bertanya.
          “Awak buat apa kat sini? Mak Ucu ada kat dalam ofis. Pergilah jumpa dia.” Fiska balas sengih.
          Tak sangka pula boleh ternampak polis bermulut hantu ni duduk termenung di dalam kereta waktu dia tunggu bas tadi. Ke dia ada tunggu siapa – siapa? Nak tunggu siapanya kat kawasan tadika ni? Budak – budak aje yang ada kat sini pun.
          “Bila masa aku cakap nak jumpa Mak Ucu?” Afham soal lagi.
          Fiska diam beberapa saat. Habis tu yang kau tunggu dalam kereta ni, tunggu aku balik kerja ke? Nak saja aku tanya soalan yang bakal memalukan tujuh keturunan aku itu. Orang cakap elok – elok, balaslah elok – elok. Itupun susah ke?
          “Saya ingat awak nak jumpa Mak Ucu. Kalau bukan, tak apalah. Sorry.
          Gadis itu mencebik sedikit sebelum langkahnya mula menuju ke kawasan tempat perhentian bas yang ditunggunya tadi. Afham dengan muka yang tak ada sebarang perasaan menyambung tugasnya kembali. Baru sahaja biji mata hendak meliar ke kawasan pra sekolah itu, tingkahnya sekali lagi terbantut.
          Bunyi deruman bas berlalu laju meninggalkan kawasan itu. Terperanjat Afham tak semena – mena bila Fiska menerobos masuk ke dalam perut kereta. Bukan tadi dia dah blah ke dari sini? Perempuan ni nak apa lagi?! Kecik besor, kecik besor aje dia pandang gadis yang sedang tercungap – cungap di sebelahnya itu.
          “Bas dah tinggal saya.” Fiska cuba menarik nafas perlahan.
          “Habis tu?”
          “Saya tumpang awak, boleh? Dah tak ada bas dah petang – petang macam ni. Tu bas yang last.” Gadis itu tayang muka sedih. Mudah – mudahan lembutlah hati polis bermulut hantu di hadapan matanya ini.
          “Kau ni, kan? Kau ingat aku saja – saja ke duduk dalam kereta kat sini? Dah tahu kau tengah tunggu bas, yang ramah sangat datang tegur aku kat sini kenapa?”
          “Saya ingat bas lambat lagi nak sampai. Manalah saya tahu nak kena tinggal macam ni.”
          Afham tarik nafas panjang sejenak. Cuba bertenang. “Aku tengah kerja sekarang ni. Kau baliklah naik teksi.”
          “Ada ke petang – petang macam ni teksi lalu kat sini?”
          “Mestilah ada. Memang tugas pemandu teksi cari penumpang.”
          “Kalau tak ada macam mana?”
          Keluhan berat dibebaskan. Banyak menjawab pula budak perempuan ni. “Aku call teksi untuk kau. Sekarang kau pergi tunggu kat tempat tunggu bas tu semula. Jangan kacau aku buat kerja, faham?”
          “Yalah.” Mendengarkan arahan yang tidak berhati perut dari inspektor polis itu, Fiska hanya mampu mencebik.
          Lantas tapak kaki melangkah lemah menuju ke pondok perhentian bas semula. Aku baru aje nak jimat, dah kena naik teksi pula. Padan muka aku juga. Lain kali sibuk lagi hal orang. Ramah tak kena tempat. Kan dah kena tinggal bas.
          Usai menghubungi perkhidmatan teksi di kawasan yang berdekatan, Afham kembali meninjau persekitaran pra sekolah ibu saudaranya itu. Lima belas minit berlalu, kelihatan kereta Mak Ucu sudahpun bergerak meninggalkan kawasan tadika. Jarum jam tangan yang sudah menginjak ke angka enam suku petang itu dikerling sekejap. Kelibat gadis yang tertunduk memandang lantai menunggu teksi yang masih belum kunjung tiba diperhati lama. Teksi negara mana yang aku call tadi sampai sekarang tak sampai – sampai lagi?
          Fiska segera angkat kepala bila terdengar sebuah kereta berhenti betul – betul di hadapan pondok perhentian bas itu. Mengantuk betul tunggu teksi datang. Curi tulang ke apa pakcik – pakcik teksi ni? Namun, sangkaannya meleset sama sekali bila melihat kereta Afham yang berada di hadapan matanya sekarang. Wajah pemuda itu dipandang buat seketika cuba meminta penjelasan.
          “Masuklah. Aku hantar kau balik.”
          “Tapi, teksi?”
          “Teksi rosak.”
          “Semua rosak?”
          “Ya, semua teksi dalam dunia ni dah rosak. Masuk bengkel. Dah, jom cepat!”
***
Air muka serta – merta berubah kelat bila melihat hanya kelibat Puan Hanim dan abang iparnya saja yang berada di ruang makan restoran itu. Tidak kurang juga dengan Darish Izuan yang sudahpun mengeluh berat memandang wajah mamanya yang sedang tersenyum menunggu ketibaan dia dan Mak Ucu.
          “Duduklah.” Pelawa Puan Hanim kepada adik bongsu dan anak lelakinya yang masih tercegat di ruang itu.
          “Ni perjumpaan keluarga kita ke?” soal Mak Ucu tak semena – mena.
           “Yes. Saja kak long dan abang long nak belanja kita makan besar sikit malam ni. Duduklah. Boleh oder makanan cepat. Dah lapar ni.” Puan Hanim masih dengan senyumnya.
          “Kak long, rasanya kak long dah lupa kot apa yang adik pernah cakap kat kak long dulu.” Biji mata tepat menikam wajah kakak sulungnya itu.
          “Cakap apanya, dik? Banyak sangat yang kamu cakap. Kak long dah lupa.”
          Mak Ucu tarik nafas dalam buat beberapa saat. Cuba mengumpul segala kekuatan yang ada dalam diri. “Jangan jumpa adik selagi kak long tak terima Am dalam keluarga kita. Ingat lagi pasal tu?”
          Air muka Puan Hanim serta – merta berubah cuaca. Gigi sudah diketap geram. Tak habis – habis nama anak perempuan tu juga yang disebut di halwa telinga dia.
          “Kalau kak long tak ingat, tak apa. Tapi ini kali terakhir adik nak ingatkan kak long. Selagi Am tak duduk depan kak long dan abang long seperti satu keluarga, jangan harap kita dapat makan semeja lagi. Tolonglah ingat sampai mati benda ni.”
          Langkah Mak Ucu terus menonong meninggalkan ruang makan yang telah ditempah khas untuk keluarga mereka malam itu. Betapa sakitnya hati dia memikirkan sikap kakak sulungnya itu, hanya Allah yang tahu. Mak Ucu minta maaf, Am. Kak ngah, adik akan cuba sedaya upaya melindungi Am. Kak ngah jangan risau, adik akan tunaikan janji adik dulu. Am adalah anak adik, siapa pinggirkan Am bermakna dia juga pinggirkan adik.
          Darish Izuan sudah menggeleng kepala perlahan memandang kesal wajah kedua orang tuanya itu silih berganti. Puan Hanim masih kekal dengan wajah angkuhnya. Seperti tiada apa – apa yang berlaku sebentar tadi.
          “Kenapa? Rish pun nak salahkan mama?”
          “Tak adalah. Mama tak salah pun.”
          Belum sempat Puan Hanim ukir senyum lebar, Darish menyambung lagi.
          “Tapi mama dah buat ada seorang lagi manusia yang bencikan sikap mama ni. Nak tahu siapa?”
          “Kamu ni dah semakin kurang ajar dengan ibu bapa sendiri, Rish. Papa dah lama bersabar dengan perangai kamu ni.” belum habis Darish menyambung kata, Encik Lokman pula menyampuk.
          “Rish orangnya. Rish minta maaf banyak – banyak, pa. Tapi kalau mama dan papa tak nak kehilangan Rish, tolonglah jangan buat macam ni lagi. Kalau sungguhpun keluarga Am pernah ada dendam dengan keluarga kita suatu masa dulu, takkan putus talian darah kami walau apapun yang mama dan papa cuba buat. Am pergi dulu. Assalamualaikum.”
          “Rish!!! Darish Izuan!”
          Laungan Puan Hanim langsung tidak dihiraukan. Giliran pemuda itu pula meninggalkan ruang makan restoran itu tanpa segan silunya. Tapak kaki dilajukan mencari kelibat Mak Ucu yang bergegas keluar terlebih dahulu tadi. Jangan Mak Ucu tinggalkan aku kat sini sudah. Dahlah aku tak bawa kereta ni. Dia dah lupa ke aku tumpang kereta dia datang sini tadi?
***
          “Yang mana satu rumah kau?” tanya Afham bila tayar kereta yang dipandunya mula menyusur lorong jalan di kawasan rumah teres itu.
          “Corner lot hujung tu. Rumah warna hijau.” Balas Fiska dengan biji mata sudah terintai – intai rumah sewa temannya itu dari dalam kereta.
          Afham segera melajukan keretanya menuju ke rumah gadis itu. “Kau tinggal dengan siapa? Family ke?”
          Rasanya tak nampak penyibuk sangat kut soalan aku ni.
          “Hmmm dengan kawan. Rumah sewa kawan saya tu. Saya cuma tumpang buat sementara waktu.”
          “Kawan kau menyewa seorang aje ke kat rumah tu?”
          “Takpun. Ada lagi kawan – kawan dia yang lain menyewa sekali.”
          “Kawan – kawan dia okey ke dengan kau?”
          Okey, ini baru soalan penyibuk! Kau dah tak ada benda lain ke nak tanya, Am?
          Belum sempat Fiska membalas, tayar kereta Afham betul – betul diberhentikan di hadapan rumah teres setingkat yang berwarna hijau itu. Tali beg tangannya segera dikemaskan ke bahu semula.
          “Dah sampai dah. Terima kasih sebab tolong saya, encik polis.” Fiska senyum manis.
          “Sama – sama. Masuklah rumah cepat. Dah nak malam ni.”
          “Errr duit minyak kereta sekejap, ya?” cepat – cepat Fiska mencari beg duitnya. Afham dah tercengang beberapa saat.
          “Kau ni agak – agaklah sama. Ingat aku ni teksi ke nak bayar duit pula?”
          “Tapi encik polis nak hantar saya balik rumah pun pakai minyak juga. Duit tu.”
          “Tak apa. Aku halalkan aje.”
          “Mana boleh halalkan macam tu saja, encik polis. Saya bayar, ya?” sekali lagi Fiska mencari beg duitnya di dalam beg tangan.
          Tingkah gadis itu terbantut bila lengannya dipegang pemuda itu. “Tak payahlah. Kalau kau nak bayar sangat, nanti aku suruh Mak Ucu potong gaji kau.”
          “Potong gaji?” membulat biji mata Fiska sekejap.
          “Yalah. Nanti Mak Ucu potong gaji kau bayar duit minyak kereta hantar kau balik ni. Dah, pergi masuk rumah cepat!”
          “Yalah.”
          Dengan langkah yang teramat berat Fiska menapak keluar dari perut kereta. Usai pintu kereta ditutup, gadis itu berdiri tegak di hadapan pagar rumah menunggu kereta inspektor polis itu berlalu dari ruang mata. Kecil biji mata melihat kelibat kereta Afham menderum laju. Aku pelawa ayam ajepun nak bayar duit minyak kereta dia, boleh pula dia nak suruh Mak Ucu potong gaji aku? Gaji banyak pun kedekut. Cis!
          “Oh, nilah orang yang duduk secara haram kat rumah ni, ya?”
          Suara seorang perempuan yang agak melangit di muka pintu tak semena – mena membuatkan Fiska mengalih pandangan. Diamati wanita yang sudah pertengahan umur itu menapak mendekati dirinya yang masih tercegat di depan pagar.
          “Kenal tak akak ni siapa?” wanita itu bersuara lagi.
          Teragak – agak Fiska menggeleng. Nak geleng kepala pun dah rasa takut bila tengok riak wanita yang menyeramkan itu. Dia kenal aku ke?
          “Saya tak kenal.”
          “Yalah. Macam mana nak kenal kalau nak duduk rumah sewa tapi tak bagitahu dengan tuan rumah dulu? Tak ada adab agaknya tinggal di atas harta orang lain sesuka hati.”
          “Errr akak ni tuan rumah, ya? Maaf, kak. Saya sebenarnya memang nak bagitahu tuan rumah ni yang saya tumpang menyewa kat sini. Saya kongsi bayar sewa rumah dengan kawan saya Najwa tu. Saya tak duduk secara haram pun.” Jelas Fiska panjang lebar lengkap dengan senyuman manisnya. Cuba menyejukkan hati yang sedang hangat menyala itu.
          “Kamu tahu tak akak sewakan rumah ni kat budak – budak ikut bayaran kepala? Seorang kena bayar RM200. Kalau kamu kongsi bayar dengan Najwa, akak tak ada untung apa – apapun. Rugi balik adalah.”
          Astaghfirullahalazim. Berkira sungguhlah orang tua ni. Ni bukan kategori tahi hidung masin, ni mesti tahi hidung bangkai ni.
          “Kalau macam tu, saya kena bayar RM200 jugalah ya kak?”
          “Tak payah! Tu nampak tak beg – beg kamu kat tepi pintu tu?”
          Terperanjat besar bila melihat beg pakaiannya sudahpun sedia berada di tepi pintu rumah itu. Tergamam sungguh dibuatnya bila dah dapat agak sangat dah apa yang bakal berlaku selepas ini.
          “Kak, jangan halau saya kak. Saya boleh bayar sewa rumah penuh, kak. Saya minta maaf sangat. Saya tak tahu yang akak tak bagi kongsi bayar sewa rumah dengan kawan saya tu.” Fiska segera merayu.
          Sungguh tak sangka dia akan dihalau dari rumah itu. Mana ada tempat lain lagi yang dia boleh pergi. Kawan dia di situ hanya Najwa seorang saja. Kenapalah wanita ini langsung tidak berhati perut, Ya Allah?
          “Akak tak berurusan dengan orang yang tak beradap macam kamu ni. Nipun kira baguslah akak cakap elok – elok lagi ni. Akak tak mahu kamu duduk kat sini. Kalau kamu degil, dengan Najwa sekali akak halau nanti.” Wanita itu masih dengan arahan zalimnya.
          “Tapi, kak? Tolonglah saya, kak. Saya dah tak ada tempat lain nak pergi ni. Saya janji saya akan bayar penuh sewa rumah ni.” sekali lagi Fiska mencuba.
          “Tu bukan masalah akak. Pergi ambil beg – beg kamu semua. Nanti akak akan datang check lagi. Kamu jangan cuba – cuba nak duduk kat rumah ni lagi, faham?”
          Wanita yang lebih kurang sama perangai dengan firaun itu terus berlalu meninggalkan Fiska yang masih terkulat – kulat di halaman rumah. Kelopak mata yang sudah bergenang dengan air hangat itu segera diseka. Sedih sungguh memikirkan nasibnya yang agak malang itu. Ke mana lagi aku mampu untuk menapak di waktu sekarang? Adakah aku dah termasuk dalam golongan gelandangan?

++bersambung++

No comments:

Post a Comment

sepatah komen anda ibarat setitik peluh petani..eh?