Followers

Monday, 22 August 2016

~Katakan Tidak Pada Cinta 14~


“Puan Faridah cakap awak adalah orang terakhir yang pulang pada hari Nurul Atikah diculik, betul tak?” tanya Afham kepada Cik Yasmin yang juga merupakan guru tadika di pra sekolah itu.
          “Betul, tuan.” Balas wanita itu tenang.
          “Habis tu, awak tak ada nampak apa – apa yang mencurigakan ke semasa menunggu budak – budak tu semua balik?”
          “Tak ada pun, tuan. Waktu saya perhatikan budak – budak tu semua, kesemuanya penjaga mereka yang datang ambil. Tak adapun orang yang tak dikenali.”
          “Awak langsung tak bergerak dari tempat yang awak tunggu tu ke? Ke awak ada ke mana – mana? Tandas ke?”
          “Saya memang tunggu dekat gazebo tempat budak – budak tu selalu tunggu penjaga dia orang. Saya tak bergerak ke mana pun sampai kesemuanya dah selamat pulang.”
          “Awak betul – betul perhatikan budak – budak tu ke atau sambil bermain telefon bimbit?” sangkal pemuda itu tak semena – mena.
          Guru tadika itu diam sekejap. “Kalau saya tengok handphone sekejap pun takkanlah tak boleh?”
          “Boleh tu boleh cuma dari benda kecil macam nilah yang selalunya berlaku kecuaian tanpa kita sedari.”
          “Saya tahu. Tapi benda macam ni bukan kita tahu nak berlaku. Saya rasa saya tak cuai pun waktu jaga budak – budak tu. Mereka memang ada di sekitar saya saja. Tak ke mana pun.”
          “Macam mana pula dengan keadaan sekitar tadika ni? Ada yang mencurigakan tak hari tu?” Afham masih meneruskan soalan.
          “Sekitar tadika? Maksud tuan macam mana?”
          “Contohnya, kalau – kalau awak ada nampak kereta yang diparkir tepi jalan kat sekitar kawasan tadika pada hari kejadian tu. Ada nampak apa – apa seperti yang saya gambarkan tu?”
          “Tak adapun, tuan. Tapi hari tu saya ada rasa pelik juga sebenarnya.”
          “Pelik? Kenapa?” berdebar pula menunggu wanita itu menyambung kata.
          “Ada orang jual ais krim tak jauh dari kawasan tadika ni. Sepanjang saya mengajar kat sini, saya tak pernah nampak pun orang jual ais krim. Hari tu, pertama kali saya nampak. Saya fikir dia baru berniagalah kut.” Jelas Cik Yasmin satu persatu.
          “Jual ais krim? Dia jual macam mana?”
          “Dia datang jual ais krim dengan motorsikal aje. Ala, yang ada orang jual ais krim bawa peti ais krim kat tepi motor tu.”
          Inspektor polis itu mengangguk perlahan. Tangannya seperti mencatat sesuatu di dalam buku hitam yang selalu dibawanya bersama.
          “Ada budak – budak yang pergi beli ais krim tu ke?”
          “Tak adapun. Budak – budak kesemuanya ada dengan saya waktu tu.”
          “Termasuk Nurul Atikah?”
          “Ya, tuan. Nurul Atikah pun ada dengan saya waktu tu. Saya masih ingat lagi.” Wanita itu membalas yakin.
          Satu keluhan kecil dihembus sejenak. “Kalau macam tu, tak apalah. Apa – apa hal nanti saya datang sini balik. Terima kasih sebab bagi kerjasama.”
          “Sama – sama, tuan.” Wanita itu mengangguk sedikit sebelum memandang kelibat Afham yang sudahpun bingkas dari ruang itu.
          Buku hitam yang digunakan tadi dimasukkan ke dalam poket jaket semula. Dari jauh lagi sudah kelihatan kelibat Fiska yang sedang berjalan menuju ke ofis guru tadika itu. Jam ditangan kirinya dipandang buat seketika. Pukul 9 pagi budak ni baru datang kerja?! Sebelum Mak Ucu marah dia datang lambat, biar aku yang marah dia dulu. Tapak kaki betul – betul berhenti di tengah – tengah kaki lima. Fiska terpaksa mematikan langkahnya bila dihalang lelaki itu. Serta – merta biji mata tepat ke wajah inspektor polis itu. Dah lama hidup ke polis seorang ni? Aku dahlah lambat ni.
          “Amboi, budak – budak dah mula belajar cikgu baru nak datang tadika ke?” tegur Afham dengan bagusnya dia memeluk tubuh berdiri tegak di tengah – tengah alam itu.
          “Saya ada hal tadi. Lagipun, saya dah call Mak Ucu minta excuse.”
          “Oh, habis tu siap galas beg sekolah lagi tu nak pergi mana? Banyak betul kau bawa barang datang kerja.” Afham menjenguk sedikit ke belakang Fiska yang sedang menggalas beg berwarna biru gelap itu.
          Beg baju aku ni dikatakan beg sekolah? Ketinggalan zaman betul. “Saya bawa buku budak – budaklah. Sibuk aje nak tahu. Tepilah sikit, orang nak jalan.” Bentak Fiska tak semena – mena.
          Lagi lama melayan polis ni, lagi banyak soalan yang ditembaknya nanti. Lebih baik dia angkat kaki dari situ secepat mungkin sebelum polis bermulut hantu ni keluar bahasa hantunya. Afham sudah tercengang memberi laluan kepada gadis itu semula. Tak sampai beberapa minit Fiska dah ghaib dari pandangan.
***
Kopi ais di dalam gelas diteguk rakus. Lega! Haus betul tekaknya tengahari itu. Kena pesan segelas kopi ais lagi ni nampaknya. Darish yang dari tadi hanya memerhati gelagat sepupunya itu sudah menggeleng kepala perlahan. Macam tak jumpa air setahun! Nak kata cuaca panas, mendung ajepun.
          “Kau dah dapat tukar balik ke unit narkotik kau tu, Am?” Darish memecah sunyi.
          Di rumah tak sempat nak tanya bila menyedari sepupunya yang agak kekangan masa semenjak dua tiga hari ini. Baru hari ni dapat lunch sekali. Niat untuk pulang lewat sikit dari sekolah tadi serta – merta dibatalkan bila Afham offer diri nak belanja makan. Rezeki jangan ditolak kata orang.
          “Belum. Aku kena handle kes culik kanak – kanak ni dulu.” Balas Afham acuh tak acuh.
          “Oh, kes baru ke?”
          “Lama dah. Ala, takkan kau tak tengok berita kut? Kes culik dan jual organ kanak – kanak tu.”
          Membulat biji mata Darish serta – merta. “Kes yang tengah panas kat berita tu kau handle, Am?”
          “Yalah. Kenapa? Tak percaya ke?”
          “Tolong tangkap syaitonnirrajim tu sampai dapat, Am. Memang tak ada otak manusia macam tu. Binatang pun tak berperangai macam tu tau!”
          Terasa perasaan marah mula membuak – buak dalam diri. Mana tidaknya, sudah sekian lama dia mengikuti perkembangan kes culik dan jual organ kanak – kanak itu di berita televisyen yang tersiar. Berapa banyak dah penjenayah tu kena sumpah – seranah dengan dia. Bukan sahaja dia yang menyumpah, seluruh rakyat Malaysia juga sudah memaki – hamun penyangak itu. Patut direjam sampai mati aje manusia macam tu.
          Keluhan berat dibebaskan sebelum tangan meraup wajah yang agak kepenatan itu. “Itulah yang aku tengah usahakan pun sekarang ni. Kes ni pula jadi semakin rumit. Harap – harap sempatlah berkas sebelum ada kanak – kanak lain pula yang jadi mangsa.”
          “Kasihan betul kanak – kanak yang tak bersalah tu. Semoga dipermudahkanlah tugas kau ni, Am.”
          “Memang kasihan sangat pun, Rish. Aku yang pergi tengok mayat mangsa dengan mata kepala aku sendiri ni, dah tak tahu nak cakap apa lagi. Lebih sadis bila dapat tahu mangsa terakhir tu belajar kat tadika Mak Ucu.”
          “Budak tadika Mak Ucu pun jadi mangsa penculikan tu juga ke?! Mak Ucu cakap apa?” rasa nak terkeluar biji mata Darish punya terkejut. Sungguh dia tak sangka.
          “Nak cakap apa lagi? Meraung teruklah dia. Budak – budak kat tadika dia tu dah anggap macam cucu dia dah. Aku nak bagitahu dia pun tak sanggup. Alih – alih dia dapat tahu sendiri bila tengok berita.”
          “Memanglah meraung. Siapa yang tak sayang anak didik sendiri. Kasihan Mak Ucu. Kalau penjenayah tu disabitkan kesalahan, apa hukuman yang setimpal dengan dia Am?” soal Darish lagi terasa ingin tahu.
          “Ikut pada budi bicara mahkamahlah. Kebiasaannya kes dahsyat macam ni memang kena hukum gantung sampai mati.”
          “Aku harap sangat gantung sampai mati. Biar dia rasa walaupun gantung tu tak sesakit dia ambil organ budak – budak tu semua.”
          “Penjenayah macam tu memang patut mati pun. Sekali aku dapat berkas dia, memang nahaslah aku kerjakan.” Sambung Afham bersahaja.
          Makanan yang baru sahaja dihidang pelayan itu segera disambar. Lapar tahap tujuh petala langit dah ni. Tak kurang juga dengan gelagat Darish yang sudah bersinar biji mata bila melihat menu pilihannya nasi goreng daging merah sudah terhidang di atas meja. Terus tadah tangan baca doa makan. Close topic.

++bersambung++

No comments:

Post a Comment

sepatah komen anda ibarat setitik peluh petani..eh?