Bunyi
dua kali ketukan pintu membuatkan Afham angkat kepala. Tanpa mendengar sebarang
arahan masuk, tombol pintu sudahpun dipulas dari luar. Terpacul wajah Inspektor
Haffis yang sedang berdiri tegak di muka pintu ofis lelaki itu. Afham kembali
memandang skrin komputernya dan Inspektor Haffis sudahpun mengambil tempat di
hadapan teman sejawatnya itu.
“Kau tak balik lagi ke?” tanya Afham
memecah sunyi antara mereka walaupun biji mata masih tidak beralih dari skrin
komputernya itu.
“Kau tanya aku ni, kau tak balik
lagi?” Haffis balas dengan soalan.
“Aku ada kerja sikit. Sekejap lagi aku
baliklah.”
“Macam mana dengan kes culik kanak –
kanak tu? Dah dapat kenal pasti suspeknya ke?”
“Dalam proses. Macam biasalah kerja –
kerja macam ni bukan senang nak siapkan dalam masa beberapa hari. Mahu makan
masa bertahun itupun kalau bernasib baik bolehlah settle cepat.”
“Betul tu. Kadang – kadang orang ramai
tak faham tugas polis ni macam mana. Tahu nak hentam polis aje suruh settle kes cepat. Hanya yang merasai
saja yang tahu.”
Haffis tumpang menyambung kata – kata
Afham. Pemuda itu hanya mengangguk perlahan tanda dia juga bersetuju dengan apa
baru yang diutarakan Haffis sebentar tadi.
“Kenapa kau datang jumpa aku ni?
Takkan saja – saja datang nak tanya perkembangan kes culik tu pula?”
“Hmmm aku sebenarnya nak minta maaf
dengan kau.” Haffis terus ke agenda utama. Bebola mata Afham serta – merta
tepat ke wajah temannya itu.
“Nak minta maaf pasal apa? Kau ada
buat salah dengan aku ke?”
“Bukan. Aku tahu kau nak sangat handle kes Roy tu tapi…” Haffis
mematikan kata tiba – tiba. Dia tahu Afham sendiri sedia maklum ayat apa yang
patut disambung seterusnya itu.
“Tak apalah, Fis. Bukan salah kau pun.
Kalau ada rezeki nanti, aku sambung balik dalam kes tu. Aku dah boleh terima
dah sekarang.” Nada Afham bersahaja. Tenang.
“Pertukaran kita ni berlaku secara
mengejut. Aku tahu kau mesti rasa tak adil. Tapi kau jangan risau, aku dan
pasukan aku akan berkas Roy tu secepat mungkin. Aku janji dengan kau, Am.”
“Baguslah kalau macam tu.” Afham
senyum kecil. Hanya membalas pendek. Nak kata ikhlas sangat pun, tak adalah
sepenuh hati. Dia hanya mampu akur pada arahan yang telah dikeluarkan secara
tiba – tiba itu.
“Sebenarnya aku ada benda nak bagitahu
kau ni, Am.”
“Bagitahu apa?”
Sekali lagi biji mata Afham menikam
tepat anak mata Haffis. Sabar menunggu temannya itu menyambung kata.
“Pertukaran kita ni dibuat secara mengejut
sebenarnya bersebab.”
“Sebab apa?”
Keluhan kecil dibebaskan buat beberapa
saat. Lambat – lambat Haffis ingin menyambung kata.
“Hmmm sebab pihak atasan dah tahu
hubungan kau dengan Inspektor Syahika dulu. Jadi kes berat macam ni kalau boleh
dia orang tak nak ada emosi apa – apa.”
Afham tersentak hebat. Kelopak mata
tidak berkedip memandang wajah temannya itu. Lidah terus kelu untuk berbicara.
Wajah arwah kekasihnya dulu sudahpun bermain dalam kotak fikiran.
“Kau ingat aku ni bodoh sangat ke tak
professional dalam tugas?!” nada Afham melangit tak semena – mena.
“Bukan maksud aku macam tu tapi kau
pun tahu kan polisi kerja kita ni macam mana? Aku tahu sebab utama kau terlalu
ambil berat kes Roy ni untuk membalas balik apa yang berlaku ke atas arwah Ika.
Kau nak tangkap Roy dengan tangan kau sendiri sebab dia yang bunuh Ika waktu
operasi kita dulu, betul tak? Satu benda aje aku minta kat kau. Yakinlah Am,
Roy tetap akan diberkas juga suatu hari nanti walaupun bukan dengan tangan kau
sendiri.” Jelas Haffis berjela.
“Macam mana pihak atasan boleh tahu
benda ni?” nada rendah cuba dikawal. Cuba berlagak tenang.
“Aku sendiri pun tak tahu macam mana
pihak atasan tahu pasal kau ni. Aku terpaksa bagitahu kau ni sebab aku tak nak
kau rasa tak adil tanpa sebab kenapa kau terpaksa keluar dari kes Roy ni.”
Afham hanya diam. Tidak membalas apa –
apa. Tak tahu perasaan apa lagi yang patut hadir dalam hatinya sekarang. Sedih?
Kecewa? Semua tu dah tak guna.
“Aku minta maaf, Am. Aku sendiri pun
harap sangat pihak atasan boleh tukarkan kau ke unit narkotik semula. Buat masa
ni kau fokuslah dulu dengan kes culik kanak – kanak tu dan doalah banyak –
banyak. Kes penculikan kanak – kanak nipun bukan calang – calang kes boleh settle cepat.”
Tanpa mengulas sebarang kata dari
temannya itu, Afham segera menekan butang shut
down komputernya.
“Jomlah balik. Dah lewat dah ni.” ajak
Afham sambil mengemas sedikit mejanya yang agak berterabur itu.
Haffis yang cukup memahami rasa hati
temannya kala itu hanya sempat mengangguk perlahan. Serta – merta dia bingkas
untuk berlalu dari ruang ofis temannya itu.
“Jom.”
Sebaik sahaja pintu ofisnya tertutup kembali,
Afham bersandar lemah di kerusi. Teramat lemah. Tingkahnya yang sedang mengemas
tadi terus terhenti. Sepotong nama Nurul Syahika kembali berlegar di ruang
minda. Sungguh dia terlalu rindu akan nama gadis yang dipanggil Ika yang juga merupakan
bakal tunangnya suatu ketika dulu. Namun, jodoh bukan berpihak kepada mereka
berdua.
***
“Ika!”
Fiska menjarakkan sedikit corong suara
telefon bimbitnya dari telinga. “Kau ni dah kenapa jerit – jerit, Wa? Nak bagi
aku sakit jantung ke apa?”
“Kau bagitahu aku sekarang kau kat
mana? Kenapa tak call aku? Kenapa tak
bagitahu aku owner rumah aku tu halau
kau?”
Melangit nada temannya yang bertubi –
tubi dengan soalan itu. Tak puas hati betul dia rasa. Ada ke patut halau
seorang perempuan pada waktu malam – malam begini? Dasar keturunan haji bakhil.
Tak berhati perut sungguh. Memang patutlah tuan rumahnya itu andartu sampai
sekarang. Perangai hodoh tak ada siapapun yang sudi nak buat bini.
“Ala, aku okeylah. Lagipun kau kat
kedai waktu tu. Aku malas nak kacau kau.”
“Kalau bukan housemate aku yang bagitahu kau kena halau ni, kau memang tak call aku, ya? Sengaja nak buat aku
risau?”
“Kau janganlah risau. Lagipun memang
salah aku pun main tinggal atas harta orang lain tanpa minta izin. Memang
padanlah muka aku.”
“Bukan salah kau. Salah owner aku yang kedekut tahi hidung masin
tu. Berkira sangat. Macamlah rumah dia tu banglo. Rumah pun bocor sana – sini.
Hisy, kau datang bakeri aku sekarang, Ika! Aku call owner rumah aku tu sekejap. Biar aku sound dia sikit.”
“Wa, jangan Wa! Jangan cari masalah,
Wa. Aku okeylah. Aku dah jumpa pun rumah sewa baru. Kau jangan risau. Aku tak
nak kau susah sebab aku pula.” Fiska cepat – cepat menyambung sebelum Najwa
memutuskan panggilan.
“Rumah sewa baru? Dalam masa beberapa
jam ni, kau dah jumpa rumah sewa baru? Kau jangan tipu aku, Ika. Kau kat mana
sekarang? Cakap cepat!” Najwa mengeraskan suara lagi.
“Aku dekat… errr… dekat…”
“Dekat mana ni?!”
“Dekat rumah bos tadika yang aku kerja
ni.”
Tak tahulah tak ada angin, tak ada
ribut macam mana jawapan ni boleh terkeluar dari mulut dia. Tak apalah, janji
selamat.
“Rumah bos kau? Betul ke? Takkan bos
yang kau baru kerja dengan dia seminggu tu, dia bagi kau tumpang rumah dia?”
Najwa seakan tidak percaya. Nampak macam drama sangat aje.
“Betullah. Buat apa aku nak tipu kau?
Kebetulan bos aku tu nak cari penyewa bilik kat rumah dia. So, aku contact dia
ajelah cakap nak sewa bilik tu.” Sejak bila kau pandai berlakon ni, Ika?
Najwa diam sekejap. “Rumah bos kau tu
kat mana? Aku nak pastikan kau betul – betul ada kat tempat yang selamat sekarang.”
“Kat kawasan Gopeng ni. Nanti aku
bagitahu kau alamat dia, ya? Nak tanya sekarang pun bos aku mesti dah tidur.
Aku pun dalam bilik ni.” bohong Fiska lagi.
“Hmmm tak apalah kalau macam tu. Betul
ni kau ada dalam bilik? Bukan kat tempat – tempat yang tak selamat?”
“Betul, Wa. Ni bilik aku ni siap ada
tv lagi. Cuba dengar drama Samarinda tv3 yang kau suka tengok tu. Betul tak?”
Fiska menghalakan corong telefon bimbit ke arah punca suara televisyen.
“Yalah, aku percaya. Tapi ingat, kalau
ada apa – apa hal bagitahu aku. Esok bagi alamat tempat tinggal kau sekarang.
Aku nak check nanti.” sambung
temannya lagi.
“Baik, bos. Terima kasih tau, Wa.”
“Terima kasih sebab apa?”
“Sebab tumpangkan aku kat rumah kau
selama ni. Dan terima kasih sebab ambil berat pasal aku.” Terasa kelopak mata
ingin bergenang dengan air.
“Ala, kita kan kawan. Lagipun kau tu
baru lagi kat sini. Sejak dari hari pertama kau datang dari kampung tu pun, aku
dah risau pasal kau. Tapi alhamdulillahlah kau selamat sekarang. Kirim salam
aku kat bos kau tu nanti, ya?”
“In shaa Allah. Kau kat bakeri lagi ke
ni? Tutuplah kedai tu. Dah lewat ni.”
“Aku memang nak balik dah tapi bila housemate aku call bagitahu pasal kau tu yang aku terus call kau. Tak apalah. Kau pun tidurlah. Tutup tv tu. Mesti penat,
kan?”
“Sekejap lagi aku tidurlah. Kau tu
balik rumah hati – hati.”
“Yalah. Jangan lupa kunci pintu bilik
kau tu. Sekarang ni lelaki ke perempuan sama saja jahatnya. Hati – hati sama.”
Sempat lagi Najwa berpesan.
“Ya, jangan risau. Okeylah,
assalamualaikum.”
Tanpa mendengar sebarang balasan,
talian segera dimatikan. Fiska mengeluh berat buat seketika. Memang aku dalam
bilik pun sekarang ni, Wa. Tapi dalam bilik hotellah. Mustahil sangatlah aku
dapat cari bilik sewa tengah – tengah malam macam ni. Nasib baik ada hotel
bajet. Kalau tak, ada juga yang tidur bawah jambatan malam ni. Hisy, tak
sanggup! Aku kena cari bilik sewa secepat mungkin juga.
***
“Mak Ucu ada staf baru ke kat tadika?”
soalan yang tak tercapai dek akal itu membuatkan Mak Ucu terus kalih pandang ke
wajah anak buahnya yang sedang memandu kereta di sebelah.
“Hai, sejak bila kamu ambil tahu pasal
staf Mak Ucu baru ke tak baru?”
“Tak adalah. Rish macam kenal aje bila
tengok muka cikgu baru kat tadika Mak Ucu tu. Tu yang tanya tu.” Balas pemuda
itu bersahaja. Biji mata masih ke hadapan jalan.
“Bila masa kamu tengok cikgu baru kat
tadika Mak Ucu tu pula?” wanita itu dah kerut dahi. Hairan dengan topik yang
baru diutarakan oleh anak saudaranya itu.
“Ala, Mak Ucu ni! Waktu Rish hantar
kunci rumah tulah Rish ternampak. Ika kan nama dia?”
Mak Ucu hanya menggangguk sekejap.
“Kenapa? Kawan kamu juga ke Si Ika tu?”
“Haah, Ika tu kawan Rish. Dia ada
kawan dengan orang lain lagi ke?”
“Dia cakap dia kawan Am tapi Am tak
mengaku pun Ika tu kawan dia. Sekarang kamu pula mengaku yang Ika tu kawan
kamu. Boleh pening Mak Ucu macam ni.”
Darish sudah ketawa kecil. “Ala,
macamlah Mak Ucu tak kenal perangai Am tu. Dia kenal budak Ika tu sebab kita
orang yang tolong waktu Ika kena ragut tempoh hari.”
“Oh, patutlah! Tak peliklah kalau kamu
berdua kenal Si Ika tu.”
“Tapi kebetulan sangat pula dia kerja
dengan Mak Ucu. Rish terkejut juga bila ternampak dia mengajar budak – budak tadi.”
“Tak payahlah nak terkejut sangat.
Lepas ni Mak Ucu tahu, confirm Rish
akan rajin datang tadika Mak Ucu selalu. Tak ada nak merungut – rungut dah bila
kena hantar kunci rumah.” Mak Ucu sengih mengusik. Siap pakej perli.
Wajah lelaki muda itu serta – merta
disimbah warna merah. Malu. “Ada ke situ pula Mak Ucu ni? Rish tanya aje pun.”
Tapi kebarangkalian untuk ke tadika Mak Ucu selalu tu macam tinggi saja. Gelak
jahat.
“Rish…”
“Ya, Mak Ucu.”
“Kalau boleh Rish janganlah melawan
sangat cakap mama dan papa Rish tu, ya? Walau apapun dia orang tetap ibu bapa yang
melahirkan Rish ke dunia ni.”
Beberapa ayat yang baru sahaja disuarakan
wanita itu segera membuat Darish Izuan berubah air muka.
“Rish bukan sengaja nak melawan dia
orang, Mak Ucu. Tapi Rish geram dengan perangai mama dan papa yang tak pernah
nak berubah. Keras hati sangat.”
“Mak Ucu tahu. Kalau tak, Mak Ucu pun
tak marah dia orang tadi. Cuma Mak Ucu tak nak Rish berkasar dengan ibu bapa
Rish sendiri. Syurga Rish masih lagi dengan dia orang. Ingat pesanan Mak Ucu
ni, ya?” lembut nada Mak Ucu seakan memujuk.
“Yalah, Mak Ucu. Rish tahu semua tu. Apa
yang mampu Rish tegur mama dan papa tu, Rish tegurlah. Selebihnya terserahlah
kat dia orang sendiri sama ada nak berubah ke tak nak.”
“In shaa Allah. Kita doa banyak –
banyak agar mama dan papa Rish tu lembut hati.”
Darish diam tidak membalas. Mengangguk
tidak, menggeleng pun tidak. Masih menumpukan perhatian dalam pemanduan. Dia
setuju dengan kata – kata ibu saudaranya itu cuma tak berapa yakin yang mama
dan papanya mampu lembut hati. Sekarang pun dah macam batu kerasnya.
No comments:
Post a Comment
sepatah komen anda ibarat setitik peluh petani..eh?