Belakang
gadis yang sedang berlalu pergi sebaik sahaja mereka berdua turun dari tangga
bas itu dipandang sejenak. Terasa ada satu perasaan asing yang hadir tiba –
tiba kala itu. Sedih? Tak mungkin! Kenal pun tidak. Tetapi tak apalah. Semoga
budak Cinta Fiska ni selamat sampai ke tempat yang dituju. Dia pun dah besar
panjang, pasti tahu jaga diri. Tahu nak bezakan yang mana yang baik dan yang
mana buruk. Lagipun Malaysia ada pihak berkuasa yang melindungi dan
mempertahankan keselamatan rakyatnya. Kalau ada kecemasan boleh call 999. Eh, sekejap! Yang aku ni dah
kenapa? Lebih – lebih pula fikirkan pasal perempuan tu. Bawak mengucap, Am! Balik
rumah sekarang juga.
“Yup!”
Bunyi deringan telefon bimbit dari poket seluar segera dimatikan bila melihat
nama Darish terpapar di skrin.
“Yup
aje?! Kau kat mana ni, Am?”
“Kat bus station. Kenapa?”
“Bus
station? Kau tahu tak aku dan Mak Ucu macam orang gila pergi balai cari
kau?!” nada Darish jelas tidak puas hati tambah pula bila terdengar Afham
tergelak kecil.
“Semangat betul kau orang cari aku
sampai ke balai. Aku ada aje ni, ha.”
“Semangat kau cakap? Kau tak tahu
betapa runtuhnya semangat kita orang bila dapat tahu kau hilang semalam.”
Sekali lagi Darish bidas.
“Ala, ni Afhamlah! Muhammad Afham
Nazhan bin Muhammad Nazrin. Hidup lagi ni. Cakap kat Mak Ucu jangan risau. Aku
balik sekarang.”
“Kau memanglah hidup tapi anak buah
kau tu… Aku rasa lebih baik kau balik balai dulu. Jangan balik rumah lagi.”
“Anak buah aku? Kenapa dengan anak
buah aku, Rish?” pemuda itu tersentak. Terasa sesuatu yang kurang enak bakal
disampaikan kepadanya nanti.
“Kau baliklah balai dulu. Nanti aku
bagitahu Mak Ucu yang kau dah selamat.”
“Okey! Kau tolong bagitahu Mak Ucu,
ya? Nanti aku balik rumah.”
“Yalah. Hati – hati, Am.
Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.” Talian pantas
dimatikan. Bergetar tangan memasukkan telefon bimbit ke dalam poket semula bila
memikirkan sesuatu yang buruk telah berlaku kepada anggotanya. Langkah seribu
segera dipasang.
***
Mee
segera dikunyah dan ditelan dengan rakusnya. Sedap pula Mamee Slurp perisa itik
ni. Tak pernah kutahu selama ini. Teman yang dari tadi setia menemani di meja
makan itu hanya mampu menggeleng perlahan. Bertambah laju gelengan bila melihat
Fiska membuka tudung periuk nasi untuk mencedok nasi ke dalam pinggan pula.
“Dah berapa hari kau tak makan ni,
Ika? Dah macam pelarian aku tengok.” Najwa akhirnya bersuara.
“Lauk apa kau masak hari ni, Wa?
Lapar.” Fiska cebik bibir. Tayang muka comel.
“Sekejap! Kau ni dah kenapa? Tadi dah bantai maggi aku dua bungkus. Ni nak
makan nasi pula. Tak pecah perut ke nanti?”
“Ala, bagilah aku makan, Wa. Dapat
pahala tau layan tetamu dengan baik.”
“Yalah. Aku bukan tak bagi kau makan
tapi pelik aku tengok. Lauk ada bawah tudung saji tu. Ambillah.”
“Yes!
Thank you, my friend.” Tanpa membuang masa, Fiska mencapai lauk – pauk yang
terhidang di bawah tudung saji itu.
“Kau dari mana ni, Ika? Datang tak
bagitahu pun.” Sekali lagi Najwa bersuara sambil ralit memerhatikan sahabatnya
itu menjamu selera.
“Kalau aku cerita kat kau, mesti kau
takkan percaya. Lebih baik kau tak payah tanya aku dari mana, okey?” kunyahan
diteruskan menikmati kesedapan makanan yang dijamah. Pandai juga Si Najwa ni
masak.
“Mulalah tu nak mengarut. Baik kau
bagitahu aku cepat sebelum…”
“Aku dari kampunglah. Dari mana lagi,
kan?”
“Dari kampung ke sini nak buat apa?
Kedai runcit kau kat kampung tu siapa jaga yang kau datang sini?” pelik pula
bila memikirkan tindakan sahabatnya itu.
“Tak ada siapa yang jaga pun. Aku
tutup.”
“Pulak? Tak ada angin, tak ada ribut
kau tiba – tiba sampai kat Ipoh ni, pelik sungguh.”
“Kau tak payah pelik sangat. Aku
datang sini bukan nak menyusahkan kau pun. Kau jangan risau, Wa.”
“Bukan macam tu maksud aku…”
“Cuma aku nak tumpang duduk rumah kau
ni aje. Tak apa, kan?” sambung Fiska dengan sengih di bibir.
Kecil aje biji mata memandang wajah
gadis yang bernama Cinta Fiska itu. “Aku tak ada hal pun kau nak tumpang tapi housemate aku yang lain nilah. Takut dia
orang tak selesa pula.”
“Kau cakaplah dengan dia orang, aku
tumpang sekejap aje. Nanti aku keluarlah. Aku bayar sewa. Jangan risau, ya?”
“Hmm apa dah berlaku sebenarnya ni,
Ika? Tak pernah – pernah pun kau buat perangai macam ni. Cuba cerita dengan
aku.”
“Tak ada apa – apapun. Nanti kau
bagitahu housemate kau yang lain, ya?
Tolong aku, tau? Tolong sangat – sangat.”
Keluhan kecil dibebaskan sejenak.
“Yalah. Kau makanlah dulu. Makan banyak sikit. Macam berabad tak jumpa makanan
saja aku tengok.”
Serta – merta tersedak mendengar balasan
dari temannya itu. Sampai hati kau perli aku, Wa?
***
“Kita tukar plan lain lepas ni. Roy memang betul – betul dah melampau. Aku akan
cari kau sampai dapat, Roy. Aku bersumpah!”
Meja di dalam bilik mesyuarat itu
ditumbuk kasar. Amarahnya bukan main kepalang lagi. Orang bawahannya yang
melihat hanya mampu mengunci bibir termasuk Faris. Tidak berani menyampuk.
“Faris!” Faris angkat kepala. Pandang
tepat ke wajah orang atasannya itu.
“Ya, tuan!”
“Kau dah hubungi ahli keluarga Akmal?”
“Dah, tuan!” nada rendah serta –
merta.
“Baguslah macam tu. Kita tunggu
laporan bedah siasat dulu nanti.” Baru sahaja Inspektor Afham menyudahkan ayat,
tombol pintu bilik mesyuarat itu dikuak dari luar.
“Aku akan ambil alih tempat kau
selepas ni, Am.” Tak semena – mena muncul Inspektor Haffis di ruang itu. Masing
– masing tergamam buat seketika.
“Ambil alih tempat aku? Maksud kau?”
Afham kerut dahi. Sudahlah tidak diundang masuk ke bilik mesyuarat itu, merapu
pula di siang – siang hari.
“Kau tak perlu bertugas lagi dalam
unit ni.”
“Apa yang kau merepek ni, Fis?”
semakin pelik pemuda itu dibuatnya. Berang pun ada rasa bila mendengar ayat
yang seribu kali tidak masuk akal itu buat dirinya.
“Yang lain keluar dulu.” Haffis memberi
arahan kepada anak – anak buah Afham. Kesemuanya akur lantas berlalu keluar
dari bilik itu. Bahang sudah mula terasa.
Nafas ditarik sedalamnya cuba untuk
menenangkan diri sendiri. Punggung segera dihenyak di atas kerusi menunggu
teman sejawatnya itu menyambung kata. Dalam hati sangat berharap ayat – ayat
yang keluar dari mulut Haffis tadi hanyalah gurauan semata – mata. Ah, tak ada
kerja Haffis nak bergurau dengan aku pasal ni pula!
“Kau dah ditukar ke unit lain, Am. Dan
aku ditugaskan untuk ambil alih tempat kau.”
Jeda. Buat seketika Afham pandang
tepat wajah Haffis yang sudahpun membebaskan keluhan berat. Dia sendiri pun
tidak tahu apa yang perlu disampaikan kepada teman sejawatnya itu. Semuanya
berlaku atas arahan orang atasan. Dan sememangnya mereka telah dilatih selama
sembilan bulan untuk patuh pada arahan!
“Bila berkuatkuasa benda ni?”
“Esok.” Pendek balasan Haffis.
Dia cuba membaca riak Afham yang
tampak seperti tenang itu. Pelik. Setahu dia, malah semua orang pun tahu yang
Afham bukannya seorang yang cepat tenang. Paling kurang pun, meja di dalam
bilik mesyuarat itu akan ditumbuknya seperti tadi.
“Aku ditukarkan ke unit mana?” sekali
lagi pegawai polis itu bertanya.
“Jabatan Siasatan Jenayah.”
“Bahagian mana?”
“Seksual dan kanak – kanak.”
Jawapan yang agak ringkas itu
membuatkan Afham terkunci bibir sekejap. Membulat biji mata pemuda itu menikam
biji mata temannya. Seakan tidak percaya dengan apa yang baru disampaikan oleh Inspektor
Haffis.
***
“Seksual dan kanak – kanak kau tahu
tak?! Aku rasa macam… Arghhh!”
Rambut yang jatuh ke dahi diraup kasar
ke belakang. Dua gelas besar teh tarik telahpun kosong diteguk Afham dalam masa
beberapa minit sahaja. Dahaga benar dia rasakan sekarang. Betapa seksa dia
menahan bahang di ofis tadi bila dikhabarkan berita buruk yang membuatkan dia
rasa dunia ni memang tidak adil.
“Sabar Am, sabar! Bersyukurlah.
Bukannya kau kena buang kerja pun. Cuma ditukarkan department. Lagipun, sekarang ni memang banyak kes penganiayaan
kepada kanak – kanak, kan? Apa salahnya kau berbakti di bahagian lain pula.”
Bersahaja Darish cuba menenangkan sepupunya itu. Kopi o’ panas diteguk sedikit.
“Kau tahu tak berapa lama aku buru Si…
Hmm…” Afham pandang sekeliling sekejap. Nasib baik tidak terlepas kata. Sebuah
keluhan terus dibebaskan tanpa segan silunya.
“Nak buat macam mana dah tak ada
rezeki kau dalam jenayah narkotik. Sabar ya, sabar.”
“Aku tak peduli. Aku akan merayu balik
nak masuk unit aku. Susah payah aku selama ni, tiba – tiba kena tukar begitu
saja. Orang lain senang – senang nak handle
kes guna maklumat yang aku cari sendiri? No
way, man!”
“Okey,okey. Nanti kau merayu balik.
Sekarang ni, jom pekena beriani dulu. Aku belanja.” Darish tarik sengih tiba –
tiba. Bau kuah kari di dalam restoran Mamak itu betul – betul menguji nafsu
makannya. Sampaikan dia tidak dapat menumpukan perhatian dalam sesi luahan hati
sepupunya itu.
“Aku tak ada moodlah nak makan. Kau makanlah seorang.”
“Eleh, tak ada mood apa kalau dah bedal roti canai banjir dua keping! Tak nak
makan sudah. Tawaran belanja dah tamat.”
“Tamat, tak tamat. Dah janji, kena
belanja jugalah!”
Baru sahaja Afham hendak mengangkat
punggung, tiba – tiba bebola mata tertancap ke arah susuk tubuh seorang gadis
yang sedang terpacak di hadapan kaunter pembayaran. Saraf – saraf otak mula
mencerna dengan sendirinya. Aku macam kenal aje perempuan tu tapi di mana, ya?
“Itu milo ais dua sama mee goreng dua,
berapa?”
Hmm memang kenal pun. Mendengarkan
suara gadis itu serta – merta ingatan kembali menjelma. Kelam – kabut Afham
menghenyakkan punggungnya kembali di kerusi. Kepala segera ditoleh ke tempat
lain. Yang pasti bukan ke arah kaunter pembayaran.
“Kata nak makan. Duduk balik buat apa?
Jomlah. Kau jangan expect aku nak
tolong ambil nasi dan lauk untuk kau pula, Am?” Darish tayang wajah pelik
melihat sepupunya yang kelihatan gelisah tak tentu pasal.
“Kau pergi ajelah ambil nasi dulu.
Kejap lagi aku ambil pula. Aku kena jaga tempat duduk ni. Nanti orang curi
tempat duduk kita pula.” Alasan tak masuk akal diberi. Biji mata sibuk
mengintai ke arah gadis yang juga sedang melilaukan biji matanya di kawasan
restoran itu.
Darish hambur tawa tak semena – mena.
“Kau ni nak menipu pun agak – agaklah. Punya banyak tempat kosong lain, tak ada
maknalah orang nak curi tempat duduk kita. Kenapa? Kau kenal perempuan tu?”
Soalan yang baru sahaja terbit dari
bibir sepupunya itu membuatkan Afham tersentak beberapa saat. “Taklah. Bila
masa pula aku kenal dia?”
“Habis tu, yang kau sakan menyorok
muka dari dia tu kenapa?”
“Mana ada aku menyorok. Kau ni jangan
mengarutlah. Pergi ambil nasi dulu. Kata tadi dah lapar.”
“Masalahnya obvious sangat yang kau tu sedang menyorok muka. Cakap dengan aku
pun pandang tepi. Pelik – pelik sungguh.” Bebel pemuda itu seraya bingkas
menuju ke sudut lauk – pauk yang telah terhidang.
Tolonglah jangan budak perempuan tu
perasan aku ada kat sini. Macam mana pula boleh jumpa dia kat sini? Bermakna
kawasan rumah dia pun dekat – dekat sinilah, ya? Alhamdulillah. Selamat pun dia
sampai rumah hari tu. Tapi alamat dalam ic dia yang aku tengok hari tu bukan
kat sini. Mungkin tu alamat kampung dia kot. Muhammad Afham Nazhan! Kau ni dah
kenapa? Melarat – larat pula fikirkan pasal budak sesat tu. Cukup Am, cukup!
++bersambung++
No comments:
Post a Comment
sepatah komen anda ibarat setitik peluh petani..eh?