Kedua
– dua belah kaki digoyangkan sambil ralit menggigit buah epal. Hmmm tenang
betul dunia bila duduk kat rumah ni. Kalau tak disebabkan tuan rumah ni yang
berkira sangat, aku pun tak inginlah nak tinggal kat rumah saudara – mara kau
tu. Fiska cebik sendiri bila mengimbau kembali adegan dia dimarahi Afham tempoh
hari. Mana mungkin untuk dia lupakan saat dia dihina sampai begitu sekali.
Perkataan ‘hina’ tu nampak macam kejam sangat aje.
“Amboi, senang hati nampak!” Najwa
melabuhkan punggung di atas sofa. Lega bila melihat temannya itu masih
berkeadaan baik.
“Tak adalah senang hati manapun. Biasa
aje.” Balas Fiska ada tidak. Najwa dah mencebik.
“Macam mana dengan bilik sewa baru
kau? Okey ke?”
“Okey sangat. Cuma adalah sikit –
sikit yang tak okey tu.” ‘Sikit – sikit yang tak okey tu’ sudah tentulah merujuk
kepada lelaki yang bernama Afham.
“Tak apalah. Aku pun dah lega bila
dapat tahu kau dah ada tempat tinggal. Tapi bos tadika tempat kau kerja tu kira
baik sungguhlah, kan? Siap tolong sewakan bilik kat rumah dia lagi untuk kau.”
“Haah, dia memang baik pun. Lagipun,
dalam rumah dia tak ada sesiapapun. So,
dia offer aku menyewa kat rumah dia bila
aku tanya dia ada tahu tak mana – mana owner
rumah yang nak sewakan bilik.”
Tak sangka pula malam yang aku tipu
aku duduk kat rumah bos aku tu betul – betul jadi kenyataan, Wa. Kata – kata
yang hanya disimpan dalam hati. Dalam diam dia sememangnya sudah menitip
berjuta syukur kepada Allah SWT kerana telah menyenangkan dia tika dia dalam
kesusahan.
“Eh, dia tak ada ahli keluarga lain ke
yang tinggal dengan dia?”
Fiska geleng. “Tak ada. Cuma kadang –
kadang tu adalah anak saudara dia dua orang ni datang bertandang ke rumah dia.”
“Oh, laki ke perempuan anak saudara
dia tu?” perasaan teruja tiba – tiba ingin tahu.
“Entahlah. Laki kut. Aku pun tak ambil
tahu sangat pasal anak – anak saudara dia tu. Aku buat hal aku ajelah.”
Cis, penipu! Iya sangatlah tu tak
ambil tahu pasal anak – anak saudara Mak Ucu. Aku kenal dia orang dulu sebelum
kenal Mak Ucu.
“Handsome
tak, Ika?” riak Najwa benar – benar sudah bersinar mengharapkan kekacakan
lelaki – lelaki yang dimaksudkan.
“Handsome
apanya? Muka anak saudara bos aku tu sikit aje lagi nak sama dengan penyangak,
tahu? Itupun kau belum tengok perangai dia yang macam hantu tu lagi.”
Fiska ketawa besar seorang diri. Puas
sungguh hatinya dapat mengumpat Afham di belakang. Tak dapat balas cara kasar,
aku balas cara halus.
“Dua – dua anak saudara bos kau tu
muka macam penyangak?”
Tawa mati. Gadis itu berdehem sedikit.
“Seorang aje yang muka macam tu. Seorang lagi muka macam bunga. Manis sepanjang
masa. Rasa macam boleh kena kencing manis pula aku bila bercakap dengan dia.”
“Tak apalah kalau macam tu. Asalkan
kau dah ada tempat tinggal yang selamat, aku dah bersyukur dah. Hmmm pasal
abang kau pula macam mana?”
Soalan yang baru sahaja diajukan
temannya itu membuatkan Fiska mengeluh berat serta – merta. “Macam tu sajalah.
Aku pun tak tahu nak mula dari mana nak cari abang aku tu.”
“Hari tu kau kata ada orang dalam
boleh minta tolong. Mana orang dalamnya tu?”
Serta – merta wajah Inspektor Afham
muncul di ruang minda. Memang dia pernah berniat nak minta tolong anggota polis
itu dulu. Tapi bila mengenangkan insiden malam keramat untuk ke kedai runcit
membeli sabun basuh kain itu, lebih baik lupakan sajalah niat dia untuk meminta
tolong. Buat kena halau terus dari rumah Mak Ucu aje karang.
***
“Am malaslah, Mak Ucu.”
“Kamu ni, hari cuti orang minta tolong
pun malas?” Mak Ucu dah naik suara bila melihat anak saudaranya yang masih berbaring
di atas sofa sambil menonton televisyen dengan penuh perasaan senang hatinya
itu.
“Sebabkan hari cutilah Am malas. Am
nak rehat. Tak nak keluar mana – mana pun.” Balas pemuda itu lagi.
“Kalau tak sebab ada mesyuarat PIBG
sekolah tu, Rish tak minta tolong kamu pun. Tolonglah dia. Rish dan pesan kat
Mak Ucu pagi tadi. Janganlah degil sangat. Lagipun, inilah masanya untuk kamu
minta maaf dekat Ika, kan?”
Minta maaf? Afham dah kerling wajah
ibu saudaranya itu. “Masalahnya kenapa Am pula yang kena pergi teman Cinta Fiska
tu shopping? Nanti mesyuarat habis,
suruhlah Rish pergi teman perempuan tu. Ni lagi satu, sejak bila pula dia orang
berdua rapat sangat sampai nak shopping
sekali?”
“Rish minta tolong Ika. Sebab tu Rish
kena teman Ika pergi shopping pakaian
yang sesuai. Tapi disebabkan dia ada hal tiba – tiba hari ni, dia suruhlah Mak
Ucu bagitahu kamu tolong temankan Ika pergi beli pakaian untuk dia.” Jelas
wanita itu satu persatu.
Afham kerut dahi beberapa saat.
“Pakaian? Rish minta tolong apa?”
“Rish tak ada cerita apa – apa ke kat
kamu? Pelik.” Giliran Mak Ucu pula hairan.
Afham hanya menggelengkan kepala laju.
Belum sempat dia membalas kata, kedengaran nada dering telefon bimbit sedang
memanggil. Tertera nama sepupunya di hadapan skrin telefon. Panjang umur
sungguh.
“Am, kau tolong teman Ika ya? Aku dah
janji dengan dia hari ni tapi aku tak rasa meeting
aku ni habis awal. Kasihan dia tunggu aku lama pula nanti.” Darish terus
bersuara tanpa sebarang salam diberi.
“Event
apa yang kau dengan perempuan tu nak pergi sampai beria – ria sangat nak kena shopping dulu ni?”
Afham sudah mengeluh kecil. Tak pasal
– pasal dia yang menjadi mangsa kena teman Cinta Fiska hari ni. Bukannya dia
tak suka nak teman gadis itu, tapi disebabkan dia dah tersilap besar marah
orang tak tentu pasal malam itu. Sejuta kali dia rasa bersalah. Aduhai!
“Tak ada event apa sangat pun. Cuma aku minta tolong Ika menyamar jadi
kekasih aku depan mama dan papa. So,
dia orang nak jumpa Ikalah Ahad ni.” ujar Darish selamba.
Afham tersentak hebat. “Menyamar jadi
kekasih kau?!”
“Haah, kalau tak mama aku nak masuk
meminang anak kawan dia untuk aku. Gilalah!”
“Hmmm rumit kes kau ni, Rish. Habis
tu, Cinta Fiska setuju ke nak tolong?”
“Setujulah. Kalau tidak, takkan aku
dengan dia boleh berjanji nak pergi shopping
hari ni. Kau tolong aku, ya? Sekejap lagi aku call Ika bagitahu kau teman dia.”
“Tak payah call dia. Dia balik rumah nanti, aku temanlah dia.” Balas Afham
lemah. Serba – salah betul dirinya dirasakan sekarang. Tolong salah, tak tolong
lagilah salah.
“Okey. Thanks, Am. Jasamu dikenang.” Talian segera dimatikan.
Keluhan berat dibebaskan buat
seketika. Dikenanglah sangat! Apa aku nak cakap dengan perempuan itu nanti pun
entahlah.
***
Tapak
kaki betul – betul mati di hadapan kereta inspektor polis itu. Fiska pandang
kiri sekejap. Kemudian, dia pandang kanan pula. Bila terlihatkan wajah Afham
yang sudah merenung dia dari dalam kereta membuatkan gadis itu menukar langkah.
Takkan tak habis – habis lagi nak cari gaduh dengan aku. Gadis itu segera
mempercepatkan langkah berjalan menuju ke rumah Mak Ucu.
“Hoi, Fiska! Tunggu.” Afham cepat –
cepat melompat keluar dari dalam kereta.
Fiska diamkan kakinya sekejap. Dia
panggil aku ke? Kena lari lebih laju ni nampaknya. Belum sempat gadis itu
memasang langkah seribu, lengannya direntap pemuda itu. Mati kau, Ika! Memang
mati aku kena tadah telinga sekali lagi dengan lelaki puaka ni.
“Kau nak ke mana? Tak dengar ke aku
panggil kau tadi?”
“Awak nak apa lagi? Saya tak ada
urusan dengan awak pun. Tolonglah jangan kacau saya lagi.” Fiska memberanikan
diri untuk menjawab.
“Memanglah kau tak ada urusan dengan
aku tapi aku ni ada urusan dengan kau. Jom, ikut aku!” Langkah Afham terhenti
bila Fiska menarik lengannya semula.
“Awak nak marah saya apa pula kali ni?
Nak maki saya kat mana pula?” Fiska tikam tepat biji mata pemuda itu.
Afham diam sekejap. Buat beberapa
minit dia pandang wajah lembut gadis yang bertudung litup itu. “Aku ganti Rish
teman kau beli pakaian untuk jumpa parents
dia esok.”
Mendatar nada Afham membalas. Fiska
terus berubah air muka. Apa benda yang Si Darish buat ni? Apasal tak bagitahu
aku dulu kalau ya pun tak jadi nak teman? Aduh!
“Kenapa awak pula yang kena teman
saya? Rish pergi mana?”
“Dia ada meeting kat sekolah. Dia lupa nak bagitahu hari tu. So, dia minta aku tolong teman kau.”
“Kalau macam tu, saya tunggu dia habis
meeting sajalah. Awak tak payahlah
susah – susah…”
Belum sempat Fiska menghabiskan kata,
Afham sekali lagi menarik lengan gadis itu menuju ke keretanya semula.
“Apa awak buat ni?! Ingat lengan saya
ni apa? Main sentuh – sentuh perempuan pula. Haram, tahu tak?” bulat biji gadis
itu pandang wajah Afham.
“Tahu. Dulu yang kau pernah tampar
pipi aku dalam hutan, sepatutnya kau pun tahu tu haram.”
Gadis itu diam sekejap. Terimbau
semula ketika kali pertama dia melihat pemuda di hadapan matanya itu. “Tu sebab
darurat.”
“Rish meeting sampai malam karang. Lebih baik kau masuk dalam kereta
cepat.”
Topik ditukar. Fiska dah tercengang.
Sampai malam dia meeting? Meeting jenis apa tu?
“Nak masuk ke tidak ni?” pintu kereta
di sebelah penumpang sudah dibuka.
Fiska pandang sepi ruang kosong di
tempat duduk penumpang itu. Nak paksa – paksa aku pula? Ingat aku nak masuk
dalam kereta dia sangat ke? Jangan haraplah!
“1…”
Gadis itu sudah tersentak.
“2…”
Eleh, kiralah sampai sejuta pun! Aku
takkan masuk.
“Tak nak masuk sudah!”
Belumpun sempat kiraan sampai nombor
tiga, pintu kereta ditutup semula. Afham terus melangkah menuju ke tempat duduk
pemandu semula. Fiska dah kerut dahi melihat tingkah pemuda itu. Cis! Kira tak
sampai nombor tiga, dah give up! Tak
semena – mena gadis itu menerobos ke dalam perut kereta dengan sendirinya.
Afham hanya menahan sengih dalam diam.
“Aku minta maaf pasal malam tu.”
Teragak – agak Afham memecah sunyi
setelah hampir setengah perjalanan. Fiska yang dari tadi menyepi pandang ke
luar tingkap terus mengerling ke wajah pemuda itu.
“Aku minta maaf sebab bersangka buruk
dengan kau. Aku pun tak ada alasan apapun nak bagi kat kau. Tapi mungkin sebab
kerja aku yang sering berkait dengan penjahat sebab tu aku lebih hati – hati.”
Afham menyambung kata lagi.
“Tak apalah. Saya faham.”
Fiska hanya membalas pendek walaupun
jauh disudut hatinya dia sudah tidak mengambil hati sangat dengan insiden malam
itu. Yalah, semuanya berlaku secara kebetulan sangat. Siapa ajepun yang boleh
percaya, kan? Cuma yang salahnya bahasa yang Afham guna untuk memarahi dia
malam itu. Tak boleh nak guna bahasa elok – elok sikit ke?
“Lagi satu, aku minta maaf sebab guna
bahasa kasar dengan kau malam tu. Apapun alasan kau datang sini, aku yakin kau
ada sebab sendiri.” Sekali lagi kata maaf dipinta lelaki itu.
Fiska pandang tepat wajah Afham tak
semena – mena. Lain macam saja bunyinya ni. “Awak dah tahu sebab saya datang ke
sini ke?”
Lambat – lambat pemuda itu mengangguk.
Fiska hanya mampu menghela nafas panjang. Aku dah agak dah. Patutlah dia beria
– ria nak minta maaf.
“Kau tak payahlah bagitahu Mak Ucu
yang kau dah tahu aku tahu sebab kau datang ke sini.”
“Ha, elok sangatlah tu! Mak Ucu mesti
cakap kat awak jangan bagitahu saya yang dia bagitahu awak. Lepas tu, awak pula
cakap kat saya jangan bagitahu Mak Ucu yang saya dah tahu awak pun dah tahu
pasal ni.”
Fiska membulatkan biji matanya
memandang pemuda itu. Mak Ucu pun sama tak boleh pegang rahsia. Haih. Afham
hanya sengih kecil melihat riak gadis itu. Comel.
++bersambung++
No comments:
Post a Comment
sepatah komen anda ibarat setitik peluh petani..eh?