Tubuh
disandar lemah di atas sofa. Kelopak mata terasa berat ya amat untuk dicelik.
Mahu sahaja dia memejamkan mata yang sudah keletihan dek terlalu fokus terhadap
kes penculikan kanak – kanak itu. Mangsa yang keempat juga merupakan budak pra
sekolah setelah dibuat pengecaman identiti. Tapi yang peliknya kenapa tidak ada
sesiapapun ahli keluarga mangsa yang membuat laporan kehilangan?
Masuk kali ni, keempat – empat kes
penculikan dan pembunuhan yang sama berlaku. Aku yakin sangat ni semua kerja
penjenayah yang sama. Tapi sampai sekarang pun masih belum ada tanda – tanda suspek
menunggu kanak – kanak di kawasan pra sekolah pada waktu tamat persekolahan.
Cuma dalam kes Nurul Atikah ada peniaga menjual ais krim tapi bila ditanya kepada
tadika mangsa yang lain, tak adapun peniaga ais krim berada di kawasan pra
sekolah pada hari kejadian.
“Mana sabun basuh kain, Mak Ucu? Hari
tu beria – ria sangat offer diri nak pergi
beli. Mana? Mak Ucu nak basuh kain ni tak ada sabun.”
Suara wanita yang wujud di ruang tamu
itu tiba – tiba serta – merta mematikan lamunan Inspektor Muhammad Afham Nazhan
dengan kejamnya. Lupa sekejap hal kerja.
“Ala, Am lupalah nak beli hari tu. Sorry Mak Ucu, sorry.”
“Lupa? Habis tu, Mak Ucu nak basuh
kain macam mana ni? Dah dua hari tak basuh kain. Yang kamu keluar ke kedai
malam tu, pergi mana?”
Serta – merta insiden malam di mana
dia memarahi Cinta Fiska itu menerpa ke minda. Terasa bersalah pun ada bila
terlalu berkasar dengan seorang perempuan tapi yang perempuan tu berat mulut
sangat nak bagitahu sebab dia ke sini apahal? Entah – entah dia memang sudah
berniat jahat sejak dari awal lagi. Nak intip aku mungkin?
“Mak Ucu tengah bercakap dengan kamu
ni, Am.”
Sekali lagi lamunan lelaki itu mati.
“Ya, Am dengar. Am on call tiba – tiba malam tu. Sebab tu
Am terlupa nak ke kedai.” Bohong walaupun dia sudah dapat lihat riak Mak Ucu
yang sudah mula ingin menyinga itu.
“Kamu jangan nak tipu Mak Uculah, Am. Sebab
tak dapat nak basuh kain, biar Mak Ucu yang basuh kamu pula. Kamu cakap apa
dekat Ika malam tu, hah?” wanita itu pandang tepat wajah anak saudaranya tanpa
kedip.
“Cakap apa pula? Tak ada apapun. Lepas
Am dapat call, Am terus pergi balai.
Cinta Fiska balik rumahlah kut rasanya, kan?”
“Haah, memanglah balik rumah tapi
balik dengan muka sedih. Macam orang yang baru lepas menangis.”
“Menangis?” berubah sedikit air muka
Afham tiba – tiba.
“Yalah. Apa yang kamu cakap dekat dia
malam tu? Cuba bagitahu Mak Ucu elok – elok sebelum Mak Ucu tanya Ika sendiri
nanti.” Mak Ucu masih lagi tak putus asa.
“Am cuma tanya apa niat dia nak rapat
dengan keluarga kita. Tu saja.”
Keluhan kecil dibebaskan sejenak.
Memandangkan wajah anak saudaranya yang masih selamba itu membuatkan kepala
menggeleng perlahan.
“Soalan kamu tu membuatkan orang yang
disoal tu boleh salah faham tahu tak?”
“Masalahnya Mak Ucu, dia tu orang
luar. Entah dari mana – mana dia datang lepas tu nak duduk kat sini sekali. Padahal
dia dah tinggal dengan kawan dia kat rumah sewa. Bahaya, Mak Ucu. Kita tak tahu
apa niat dia. Kalau dia tu penjenayah, macam mana?” pemuda itu meluah dengan
rasa tidak puas hati.
“Kalau dia bukan penjenayah, kamu dah
berdosa besar tahu tuduh dia macam tu.”
Afham diam sekejap. Tidak membalas.
“Sudahlah, Am. Lebih baik kamu minta
maaf dengan Ika balik. Jangan ingat apa yang kamu fikir tu semuanya betul.”
“Minta maaf? Mak Ucu, tolonglah jangan
percaya orang sembarangan. Zaman sekarang ni baik lelaki mahupun perempuan semua
sama saja jahatnya. Jangan jadi baik sangat tolong orang tak bertempat, Mak
Ucu.” Afham menyambung lagi.
“Salah ke Mak Ucu tolong seorang gadis
yang dihalau dari rumah sewanya, yang langsung tak ada tempat tinggal untuk
meneruskan hidup dia di sini?”
Sekali lagi air muka pemuda itu
berubah cuaca. Tak mampu dikawal lagi. “Dia kena halau dari rumah sewa dia ke?
Kenapa, Mak Ucu?”
“Sebab dia tumpang rumah kawan dia tu
tanpa pengetahuan tuan rumah. Tuan rumah tu tak bagi dia kongsi bayar sewa
dengan kawan dia tu.”
“Habis tu, kenapa dia tak balik tempat
asal dia saja? Buat apa tinggal kat sini lagi kalau dah tak ada tempat
tinggal?”
“Sebab tujuan utama dia ke sini belum
selesai lagi. Macam mana dia nak balik?”
“Tujuan apa dia ke sini sebenarnya,
Mak Ucu?” terasa perasaan ingin tahu tentang gadis itu mula membuak – buak.
“Eh, kamu kan kawan dia! Takkan tak
tahu pula kenapa dia datang sini.” Mak Ucu sengaja kerut dahi.
“Kawan apa bendanya? Am dah pernah
tanya dia banyak kali dah, Mak Ucu. Tapi satu habuk dia tak pernah cerita pun.”
“Hmmm dia nak cari abang dia. Abang
kandung dia dah lama terpisah selepas ibu bapa dia orang dah meninggal dulu.”
Afham senyap. Sabar menunggu Mak Ucu
menyambung kata lagi. Memang dia sedia maklum Cinta Fiska merupakan anak yatim
piatu seperti dirinya.
“Mak Ucu kasihan dengar luahan dia
hari tu. Ika cakap abang dia dipaksa ikut pakcik mereka tinggal bersama. Sejak
pada hari ibu bapa mereka dah tak ada, dia dan abang dia pun terus diputuskan
talian adik beradik. Menangis – nangis dia bercerita dekat Mak Ucu. Tapi pasal
tinggal kat rumah Mak Ucu ni, Mak Ucu sendiri yang offer. Bila tengok dia bawa beg galas besar ke tadika pagi tu, Mak
Ucu peliklah. Tak sangka pula malam tu dia tidur kat hotel sebab kena halau
dengan tuan rumah.” Terasa bergenang pula kelopak mata bila berjela dia
jelaskan perihal gadis yang kurang bernasib baik itu.
Sebuah keluhan berat dilepaskan buat
seketika. Patutlah pagi tu aku nampak dia galas beg besar datang tadika. Cinta
Fiska, kenapalah kau tak terangkan dekat aku awal – awal lagi? Tak adalah aku
nak berkasar dengan kau malam tu.
“Apa yang Mak Ucu cerita dengan kamu
ni, janganlah sampaikan dekat Ika balik. Mak Ucu dah janji dengan Ika takkan
cerita dekat kamu mahupun Rish.”
“Yalah.”
Afham hanya membalas lemah. Terasa
begitu menggunung perasaan bersalah dalam diri. Tulah, kalau dapat tuduh orang
memang tak ingat dunia dah. Sekarang padan muka kena minta maaf balik. Aduh!
***
“Kau ni siapa sebenarnya, perempuan
parasit?”
Sekali lagi berdesing gegendang
telinga Fiska bila mengingatkan ayat keramat yang dihadiahkan buat dia pada
malam yang kononnya kena teman pergi beli sabun basuh kain itu. Perempuan
parasit dia panggil aku?! Sebiji bantal ditenung tajam. Seperti ingin
melepaskan sesuatu dendam yang amat luar biasa. Memang hantu betul polis
seorang ni. Dia ingat dia dah bagus sangat ke nak panggil aku macam tu?
Aku rasa gelaran hantu tu terlalu
baiklah untuk kau, encik polis. Kalau diikutkan level mulut kau tu sesuai digelar puaka dah. Sesedap hati jantung
limpa kau aje nak panggil aku parasit! Hoi, parasit tu tumpang orang tak
bayarlah! Aku bayar tahu tak?! Mak Ucu potong gaji aku. Kau apa tahu, lelaki
puaka? Tak semena – mena bantal tidur yang ditenungnya tadi menjadi mangsa
tumbukan bertalu – talu.
Nah, rasakan kau! Lepas ni aku nak
tempah sarung bantal yang boleh cetak gambar lelaki puaka tu. Seronok sikit
bila nak wrestling kau. Baru nampak real. Tumbukan diteruskan lagi demi
melepaskan rasa geram kepada Muhammad Afham Nazhan. Pandai – pandai panggil aku
parasit sangat, kan? Fuh. Rambut hadapannya yang berjuntai ke muka ditiup
kasar. Puas hati sungguh bila kapas bantalnya sudah selamat berterbangan di
ruang udara. Walaupun bukan tuan punya badan yang kena belasah dengan aku
sekarang, aku dah cukup puas hati.
Hmmm abang… Adik rindukan abang. Abang
kat mana sekarang?
“Ya Allah, abang! Kenapa bersepah
kekabu bantal dalam bilik ni?” suara si ibu sudah memenuhi ruang bilik. Bantal
yang sedang direbut oleh sepasang adik beradik itu terlepas dari tangan.
Si abang sudah mengerling adiknya yang
hanya membisu di sisi. “Abang tak sengaja, bu. Abang ingat tak ada siapa yang
guna bantal tu dah.”
“Kalau tak ada siapa yang guna pun,
yang kamu berebut bantal ni kenapa? Kamu dah besar sepatutnya tunjukkan contoh
yang baik dekat adik.” Marah si ibu tepat ke wajah anak sulungnya itu.
“Abang minta maaf, bu. Abang janji tak
berebut lagi.”
“Ibu nak abang kemas balik bilik ni.
Malam ni jangan tidur pakai bantal. Tidur atas katil kosong saja.” Bebel si ibu
lagi sebelum meninggalkan ruang bilik anak lelakinya itu.
Si adik yang hanya mengunci mulut dari
tadi terus pandang wajah abangnya. “Adik minta maaf, abang.”
“Tak apalah, dik. Dah pergi masuk
bilik tidur. Dah malam dah ni. Ambil bantal abang ni.”
Bantal yang dihulurkan tidak disambut.
“Kenapa abang tak bagitahu ibu adik yang datang kacau abang? Adik yang buat
bantal tu koyak.”
Suara si comel yang serak seakan ingin
menangis itu serta – merta membuatkan abangnya senyum lebar. Kepala adiknya
digosok manja. Itulah satu – satunya harta yang dia ada termasuk ibu dan
bapanya.
“Sebab abang sayangkan adik. Abang ada
adik seorang saja.”
Air mata mengalir laju bila suara si
abang kembali berada dekat dengan halwa telinganya lagi. Kalau abang sayangkan
adik, kenapa tinggalkan adik macam tu saja? Adik pun dah tak ada sesiapa lagi
selain abang. Kat mana adik patut cari abang sekarang ni? Jomlah kita balik ke
rumah ibu dan ayah semula, abang.
***
Jam
ditangan mula dikerling. Bila terlihat kelibat Darish yang baru melangkah masuk
ke dalam kawasan kedai makan mamak itu, Fiska terus melambaikan tangannya.
Sebuah senyuman manis dihadiahkan buat lelaki yang juga murah dengan senyuman
seperti dia juga. Memang jauh beza sungguh dengan perangai si lelaki puaka itu.
“Lama dah awak sampai?” kerusi terus
ditarik seraya melabuhkan punggung berhadapan dengan gadis itu.
“Tak adalah lama sangat. Tapi sempat
jugalah oder teh ais dulu.” Fiska
sengih sambil menayangkan segelas teh ais yang sudah dihirup sedikit itu.
“Mamak! Bagi teh ais sama maggi goreng
macam biasa, ya?” laung pemuda itu tak semena – mena.
Nampak sangat selalu melepak kat kedai
ni. Tapi memanglah pun. Hari yang aku kena ragut kat depan kedai ni kan dia
dengan Am ada.
“Awak tak nak makan apa – apa ke, Ika?
Saya belanja.”
“Tak apalah. Saya dah makan dah pun
sebenarnya tadi. Awak cakap ada benda penting nak minta tolong saya, kan? Apa
dia?” gadis itu terus ke agenda utama.
Mana tidaknya, tiba – tiba dapat call dari pemuda itu cakap nak jumpa
dia. Pelik. Kenapa tak jumpa kat rumah Mak Ucu saja? Entah – entah Si Rish ni pun
nak sound aku macam sepupu dia buat
malam tu. Kalau Rish pun dah cakap macam tu juga kat aku, terpaksa jugalah aku
cari bilik sewa lain. Takkan nak bergaduh dengan semua ahli keluarga dia orang
ni pula. Banyak lagi benda penting yang patut aku uruskan sebenarnya.
“Saya ada masalah sikit ni, Ika. Dah
tak ada sesiapa dah yang saya mampu nak minta tolong. Hanya awak seorang saja
yang boleh.”
Fuh! Fiska dah hela nafas lega dalam
diam. Disebabkan kau bukan berperangai buruk macam sepupu kau yang suka sound – sound aku tak tentu pasal tu,
aku akan tolong kau apa sahaja, wahai Darish Izuan!
“Boleh aje. Awak nak saya tolong apa?”
Darish serta – merta ukir senyum
lebar. Rasa macam tak percaya pun ada. “Betul ni awak boleh tolong saya?”
“Betullah. In shaa Allah, saya boleh
tolong setakat yang saya mampu. Tapi awak nak saya tolong awak buat apa?”
lembut gadis itu membalas.
Lelaki dihadapannya itu sudah berjuta
kali cair bila memandang wajah gadis yang acapkali menampakkan lesung pipitnya
itu.
“Awak tolong jadi kekasih saya, ya?”
Air muka berubah cuaca. Fiska
tercengang hebat. Aku ada salah dengar ke apa ni?
“Jadi kekasih awak?” lambat – lambat
gadis itu ulang suara.
Darish mengangguk laju. Riak wajah
gadis itu cuba dibaca sama ada dia setuju ataupun tidak.
“Saya nak minta tolong awak menyamar
sebagai kekasih saya. Mama saya nak kenalkan saya dengan anak perempuan kawan
dia tapi saya tak nak. Saya bagi alasan yang saya ni dah ada kekasih. So, sebab tu saya nak minta awak tolong
saya menyamar sebagai kekasih saya. Boleh kan?” jelas lelaki itu satu persatu.
“Oh, menyamar!” Fiska dah ketawa kecil
sendiri. Sangkanya tadi betul – betul.
“Kenapa Ika?”
“Boleh. Saya memang pandai berlakon.
Awak memang tak silap oranglah minta tolong saya ni.” sekali lagi gadis itu
ketawa.
Darish dah senyum meleret bila
mendengar jawapan dari gadis itu. Sekurang – kurangnya dia dah lepas dari satu
masalah. Harap – harap mama dan papa berhentilah mencari jodoh untuk dia
selepas ini.
“Okey, bagus! Hari Ahad ni saya bawa
awak jumpa mama dan papa saya, ya? Esok kita pergi shopping dulu.”
“Shopping?
Shopping untuk apa?” Fiska kerut dahi.
“Eh, kalau nak berlakon mestilah kena
ada propsnya, Cik Cinta Fiska!”
Darish masih dengan senyumnya.
Props?
“Oh, okey! Lupa pula nak berlakon.” Fiska sengih. Buat – buat faham sudahlah,
Ika oi.
“Kalau awak tak nak berlakon pun tak
apa. Jadi terus kekasih saya yang betul.”
Fiska yang baru menghirup baki air teh
aisnya serta – merta tersedak. Bebola mata terus tepat ke wajah lelaki di
hadapan matanya itu. Dahsyat betul pickup
line dia ni!
++bersambung++
No comments:
Post a Comment
sepatah komen anda ibarat setitik peluh petani..eh?