Usai
membayar harga makanan yang dipesan tadi, Fiska segera melangkah keluar dari
ruang restoran. Bersyukurlah dapat makan mee goreng mamak untuk hari ni. Nak
memilih makanan sangat pun, dia sendiri kurang mahir dengan jalan di kawasan
bandar itu. Kalau kat kampung, cakap aje nak makan apa. Semua kedai makan dia
tahu apa yang istimewanya masakan mereka.
“Berhenti!!!”
Langkah mati serta – merta. Lengannya
ditarik kasar tiba – tiba. Betapa terperanjatnya dia kala itu bila tubuhnya
ditarik ke dalam pangkuan seorang lelaki. Biji mata terbeliak. Perut pula sudah
kecut. Terasa sesak nafas bila memandang wajah pemuda yang sedang menggenggam
kemas lengannya sekarang.
Dalam masa beberapa saat sahaja Fiska
terduduk di atas jalan. Pemuda itu pula terus pasang langkah mengejar lelaki
yang sedang memecut dengan motosikal di hadapan matanya itu. Dia hanya mampu
terpinga sendirian. Apa yang dah berlaku?
“Cik tak apa – apa?”
Gadis itu segera kalih muka ke arah
gerangan yang sedang bertanya. Lidah sudah pasti kelu. Tak tahu dia nak jawab
apa walaupun dia tahu keadaannya memang tak ada apa – apapun sekarang.
“Jom, masuk kereta. Saya hantar cik
pergi hospital.” Pelawa Darish dengan senyum. Pintu kereta di sebelah pemandu
sudahpun dibukakan untuk Fiska.
“Eh, tak apalah! Saya okey aje cuma…”
biji mata dihalakan pula ke arah bayang pemuda yang masih berlari laju mengejar
motosikal itu.
Alamak, handbag aku!
Sepantas kilas, Fiska menerobos ruang
kereta Darish. “Encik, tolong saya kejar motosikal kat depan sana tu. Cepat!!!”
Arahan diberi tanpa rasa segan
silunya. Ah, apa nak jadi pun jadilah! Kurang ajar punya peragut! Berani kau
ragut handbag aku! Darish hanya
menurut arahan. Pedal minyak mula ditekan rapat. Baru sahaja kereta mulai
bergerak laju, pemuda itu menekan pedal brek tiba – tiba. Kereta berhenti dan
Fiska pandang Darish bagai nak telan lelaki itu hidup – hidup. Dia ni dah
kenapa? Aku suruh kejar motor tu boleh pula berhenti tepi jalan ni.
Tak semena – mena seorang lelaki
menerobos masuk ke dalam kereta itu pula. Buat kesekian kalinya, Fiska
terperanjat. Ni bukan ke lelaki yang kejar peragut tu tadi?
“Rish, cepat Rish kejar dia! Laju
lagi. Cepat! Dia masuk selekoh tu tadi.” Giliran Afham pula memberi arahan. Sekali lagi Darish
mengangguk. Arahan diterima!
***
“Dah settle dah ke, Am?” Darish dan Fiska segera bingkas dari ruang
menunggu bila terlihatkan kelibat sepupunya keluar dari dalam ofis di balai
polis itu.
“Settle
dah. Kau dah buat report ke belum?
Ada barang yang hilang tak?” biji mata dihalakan ke arah Fiska pula.
“Dah buat dah. Tak ada barang yang
hilang. Alhamdulillah.” Balas gadis itu dengan senyum. Darish juga senyum kecil
tanda lega bila semuanya sudah selamat.
“Baguslah kalau macam tu. Ramai betul
anak muda kita yang nak jadi peragut sekarang ni. Baru 17 tahun aku tanya umur
budak tu tadi. Mana dia belajar meragut pun entahlah. Sekolah tak pergi lepas
tu pergi meragut. Cikgu tak ajar ke apa?” bebelan Afham yang baru saja sampai
di telinga Darish itu membuatkan pemuda yang bergelar cikgu itu terbuka pintu
hati untuk membidas.
“Kau tak boleh nak salahkan cikgu
seratus peratus. Ibu bapa juga kena mendidik anak – anak. Cikgu ada ramai anak
murid kat sekolah tu. Takkan cikgu nak fokus kat seorang anak murid saja.
Pendidikan yang utama diberikan adalah dari rumah. Betul tak, cik…” Berjela
Darish membela kerjayanya. Biji mata dihalakan ke arah Fiska yang turut
mengangguk tanda menyokong kata – kata Darish.
“Panggil Ika aje.” Tutur Fiska dengan
senyum. Apa yang menarik dengan gadis ini adalah senyumannya. Murah dengan
senyum. Manis. Tambah pula wajah yang lembut dan cantik. Cukup sempurna di mata
sesiapa sahaja yang memandang.
“Oh, Ika! Cantik nama awak, Ika.”
Darish balas senyum. Fiska pula makin melebar senyum. Tersipu malu.
“Cinta Fiska?” Afham bersuara tak
semena – mena.
Darish segera kalih pandang ke wajah
sepupunya. Fiska apa lagi. Berubah air muka serta – merta bila memandang wajah pemuda
yang bernama Afham itu. Buat beberapa minit dia pandang wajah inspektor polis
itu. Baru dia teringat akan lelaki itu yang bersama – sama dengan dia di dalam
hutan tempoh hari. Patutlah dia tahu nama penuh aku. Cis!
“Hati – hati lain kali. Orang nak bawa
beg tangan, kau pun nak bawa beg tangan juga. Lepas tu, jalan pula lenggang
kangkung kat tepi jalan. Memang bersinarlah biji mata peragut bila tengok jenis
– jenis perempuan berperangai macam ni. Punca utama kes ragut ni makin menjadi
– jadi dalam negara kita adalah dari kecuaian diri sendiri.” tempelak Afham tak
pasal – pasal.
Fiska
yang mendengar sudah berasap telinga. Sudahlah lengannya sakit sebab terjatuh di
bahu jalan tadi, ada pulak yang ingin menyakitkan hati waktu itu. Mamat ni
memang tak puas hati dengan aku sejak lahir lagi ke macam mana?
“Amboi,
mulut tu sedapnya bercakap! Bila masa saya jalan lenggang kangkung pula, hah?!
Peragut tu yang tak berhati perut. Pergilah rompak bank ke kedai emas ke. Ini
tidak! Beg tangan cap ayam itu jugalah dia nak ragut pun. Dalam beg duit pun
ada berapa kupang saja tu.”
Pitching
suara mencerlang naik. Afham hanya tarik sengih sinis. “Bahaya tu tak mengira
siapa walaupun handbag kau tu cap
ayam dan berapa kupang pun yang ada dalam beg duit kau tu. Kau sendiri yang
kena beringat supaya jangan cuai lain kali.”
Fiska mencebik. Peragut punya pasal,
aku pula yang kena ceramah. “Baiklah, tuan polis. Saya akan berhati – hati lain
kali.”
Lagi
bertekak, lagi berjela syarahan pak cik polis ni karang.
“Bagus! Sudah. Pergi balik rumah kau
sekarang!”
“Nak baliklah ni. Terima kasih sekali
lagi, ya encik.” Sempat Fiska menguntum senyum manis buat Darish Izuan yang
masih lagi tidak mengalihkan pandangan dari wajah lembut gadis itu. Nada suara
automatik direndahkan.
“Sama
– sama, cik.” Cantik. Indah sungguh ciptaan Allah yang seorang ini.
***
“Tak banyak orang ambil barang ke hari
ni?” tegur seorang lelaki yang baru saja memasuki premis itu. Serbuk yang
berwarna putih seperti rupa tepung di dalam bekas disentuh lembut.
“Hari ni kurang sikit, bos. Tapi untuk
pengedar tetap macam biasa. Jangan risau, bos.”
“Kenapa kurang? Takkan aku baru tak
datang beberapa hari dah kurang?” lelaki itu menyoal lagi. Air muka tampak
kurang senang dengan jawapan yang baru diberikan oleh anak buahnya itu.
“Bukan macam tu, bos. Sekarang ni kena
hati – hati sikit. Bahaya. Banyak mata – mata yang intip kita sekarang.
Nasiblah baru – baru ni polis tak dapat jejak lagi. Itupun dah hampir – hampir.
Kalau tidak bungkus kita, bos.”
“Tak apalah. Tak lama lagi redalah polis
– polis bodoh tu semua. Apa – apapun hati – hati. Aku tak nak sikitpun polis
dapat hidu kawasan kita.”
“Baik, bos. Pasal tu, bos jangan
risau. Ditanggung beres!”
“Bagus!” Roy menepuk perlahan bahu
anak buahnya itu. Langkah diatur lagi memerhati pemprosesan dadah bersiaran
langsung di dalam premisnya itu.
***
Biji
mata dihalakan tepat ke hadapan jalan. Konon fokus dalam pemanduan. Sesekali
kelibat Afham di sebelah dikerling. Pemuda itu masih tenang bermain dengan telefon
bimbitnya. Macam tidak ada apa – apa yang perlu dijelaskan kala itu.
“Kau tak pernah bagitahu aku pun kau
ada kawan perempuan, Am?” Darish bersuara memecah sunyi.
“Bila masa pula aku ada kawan
perempuan?” Afham soal balik. Pelik.
“Ika tu?”
“Tu bukan kawan aku.”
“Habis tu, kau tahu nama penuh dia
tu?”
“Sebab aku pernah tengok ic dia.”
Sepatah ditanya, sepatah dijawab.
“Ala, memang kerja kau pun selalu
tengok ic orang. Tapi kalau dah sampai kau ingat nama penuh dia tu, mesti kau
kenal dia.”
“Nama penuh Ika tu apa?” tanya Afham
tak semena – mena.
Darish diam dua saat. “Cinta Fiska.”
“Tengok. Kau pun ingat nama penuh dia,
kan? Walhal kau tak kenal dia. Nampak tak apa masalahnya di sini?” Afham tarik
sengih.
“Kau kenakan aku masalahnya di sini.” Darish
senyum senget.
“Ala, aku rasa kalau sesiapapun yang
tahu nama penuh dia mesti akan ingat juga. Nama dia kan unik. Jarang sangat ada
perempuan yang bernama Cinta ni.” Afham menyambung lagi.
“Ada relevannya di situ. Nama dia unik
dan cantik. Secantik orangnya.” Darish senyum lagi. Kali ni, lebih misteri
senyumnya.
“Rupa paras tu tak penting, Rish. Yang
penting tu, hati.”
“Kalau yang penting tu hati, kenapa
kau tak pernah buka hati kau?”
“Kau pernah buka ke hati kau yang kau
tanya pasal hati aku ni?”
Giliran Afham menjerat. Masing –
masing sengih.
“Aku tunggu perempuan yang mampu buka
hati aku ni.” jawapan selamat.
“Sama dengan jawapan kau.” Afham
sengih lagi.
“Cis!”
***
Skrin
telefon bimbit di tangan dari tadi menjadi tatapan. Sesekali kawasan sekeliling
tempat perhentian bas itu diperhati. Bunyi kenderaan yang dari tadi tidak putus
– putus itu betul – betul membingitkan halwa telinga. Dalam kepala sibuk berbicara
sendiri yang dia sendiri tidak pasti ke mana arah tujuannya sekarang.
“Ibu, tengok ni bu! Gambar girlfriend abang.” Berlari – lari budak
perempuan itu menayangkan sekeping gambar di tangan kecilnya.
“Adik! Bagilah balik. Pandai – pandai
aje ambil barang orang.” Si abang merungut. Tercungap – cungap dibuatnya penat
mengejar.
“Ibu, cepat bu tengok ni! Abang pergi
sekolah bukan nak belajar, dia bercinta bu. Cepat, bu. Tengok ni!” lidah
dijelir.
“Kalau abang dapat tangkap adik,
memang teruklah kena geletek sampai pengsan. Abang tak lepas dah!” amaran
keras. Geram sungguh dia dengan perangai adik manjanya itu.
“Ni apa yang berlari – lari dalam
rumah ni? Runtuh rumah ni nanti macam mana?” bebel si ibu pula.
“Adik ni, ibu. Ambil barang orang suka
hati. Bukan nak minta izin dulu.”
“Barang mana? Mari sini ibu tengok.”
Gambar di tangan terus diambil. Si adik dan abang terus diam. Ibu tarik sengih
tak semena – mena.
“Comel. Anak siapa ni, abang?”
“Comel? Ibu tak marah ke abang ada girlfriend?” protes si adik. Tak puas
hati bila misi untuk mengenakan abangnya tidak berjaya.
“Mari sini, dik. Abang nak pulas
telinga kamu kuat - kuat.”
“Okey, okey. Sakit abang! Sakit!!!”
Abang… abang kat mana sekarang? Bunyi
hon bas yang berhenti di hadapan tempat perhentian bas itu membunuh lamunan
dengan kejamnya. Kolam mata yang mula bergenang segera diseka.
++bersambung++
No comments:
Post a Comment
sepatah komen anda ibarat setitik peluh petani..eh?