Followers

Monday, 22 August 2016

~Katakan Tidak Pada Cinta 15~


Sepucuk pistol digosok lembut agar berkilat warna hitamnya. Harta yang paling bernilai buat penjenayah yang digelar Roy itu. Pistol itu sudah banyak berjasa dalam hidupnya. Dia akan makan sesiapa sahaja yang mengganggu ketenteraman tuannya. Tak kira sama ada lelaki mahupun perempuan.
          “Tembak saja, Am! Tembak lelaki tak guna ni. Jangan pedulikan saya.” rintihan sayu seorang gadis yang sedang menaruhkan nyawanya di dalam genggaman penjenayah.
          “Ika, please… Jangan buat macam ni. Jangan nak berkorban tak tentu pasal. Roy! Kau lepaskan perempuan tu sekarang juga!!!” tengking Afham sekuat hati. Tak guna!
          Sungguh dia tak sanggup melihat perempuan yang dicintainya itu dicengkam lehernya. Pistol juga sudah diacu ke kepala Inspektor Nurul Syahika. Menggigil Afham mengacukan pistolnya ke arah Roy pula.
          “Wow! Dua orang anggota polis ni sedang bermain cinta rupanya. Tak sia – sialah aku buat tawanan polis wanita ni, ya? Kekasih kau rupanya, Inspektor Afham. Dah berapa lama kau orang bercinta ni?”
          Roy meledak tawa besar. Puas hati bila melihat wajah resah inspektor yang sering menganggu kerjanya selama ini. Dadah yang bernilai RM9 juta lesap sekelip mata angkara operasi pihak polis. Seronok sangat kacau barang – barang aku, kan? Hari ni biar aku balas dengan setimpal perbuatan kau orang semua tu.
          Afham sudah tak keruan. Kalau dia mara setapak lagi dari situ maka nyawa Ika kemungkinan besar melayang begitu sahaja. Tetapi takkan dia nak jadi tugu negara menyaksikan Roy menyeksa kekasihnya itu. Ya Allah, bantulah aku! Selamatkan Ika!
          “Am, awak tunggu apa lagi?! Tembaklah. Jangan fikir banyak. Tembak sekarang juga kalau awak lepaskan dia, lebih ramai lagi yang terkorban. Dengarlah cakap saya ni, Am!” rayu inspektor wanita itu lagi.
          Air mata sudah berjurai membasahi pipi. Ika redha. Dia sanggup mengorbankan nyawanya asalkan lelaki syaitan itu tumpas. Biar dia seorang sahaja yang pergi demi menyelamatkan bangsa dan negara.
          “Tak boleh, Ika. Awak kena selamat. Roy pun tak boleh mati sebab kita akan bawa dia ke muka pengadilan sama – sama. Saya janji, Ika. Kes ni akan selesai hari ni juga.”
          “Alahai, sweetnya kau orang ni! Tapi aku rasa kes ni takkan selesai hari ni kut. Sebab yang selesai cuma kekasih kau saja, Am. 1… 2… 3…” Panggg! Bunyi satu tembakan dilepaskan tanpa sebarang amaran.
          Afham tergamam beberapa saat. Tersentak hebat dibuatnya bila melihat tubuh kekasihnya sudah terkulai layu di atas tanah. Sepantas kilat, Afham mengacukan pistolnya mencari kelibat Roy yang sudahpun melompat masuk ke dalam perut kereta. Berdas – das tembakan dilepaskan ke arah kereta yang sedang meluncur laju meninggalkan kawasan itu. Namun, penjenayah itu tetap dapat melarikan diri walaupun sudah habis peluru Afham menembak. Bodoh! Shit!
          Bagaikan tiada udara lagi untuk lelaki itu bernafas bila melihat kepala kekasihnya itu sudah berlumuran darah. Bergetar satu tubuh bila kepala polis wanita itu diletakkan ke atas ribanya. Diusap lembut wajah yang sudah dijemput Ilahi itu. Inspektor Nurul Syahika, saya sayangkan awak. Sangat – sangat. Awak dengar kata – kata saya ni, kan?       
          Lamunan kisah lalu yang agak memberi kesan dalam membuatkan lelaki durjana yang masih membelai pistolnya itu senyum sinis sendiri. Mesti kau dah lapar kan, pistol? Dah lama kita tak makan orang, kan? Agak – agak selepas ni kau nak makan siapa pula? Adakah Inspektor Afham orangnya? Panggg! Picu pistolnya terus dilepaskan ke arah cermin di dalam ofis. Roy ketawa besar tak semena – mena.
***
          “Assalamualaikum, Mak Ucu…” kata mati serta – merta bila terpandang kelibat seorang gadis di dalam rumah ibu saudaranya itu.
          “Mak Ucu oh Mak U…” begitu juga dengan Darish.
          Langkah terhenti di muka pintu. Tergamam kedua – dua pemuda itu dibuatnya. Terkedip – kedip biji mata bila memandang Cinta Fiska yang sedang memberi senyuman manis berserta tangannya melambai lembut buat kedua – dua lelaki tampan itu. Terperanjat bukan main lagi mamat berdua ni. Macam tak pernah tengok muka aku pula selama ni.
          “Mak Ucu solat. Masuklah awak dan awak.” Balas gadis itu lembut.
          Sebagai tetamu di dalam rumah itu, haruslah dia bersikap ramah – tamah walaupun bila melihat wajah kelat polis bermulut hantu tu macam tak puas hati saja dengan kehadirannya di situ. Ala, bukan rumah dia pun! Cemburu tak bertempat pula. Yang si cikgu pula masih memandang lama wajah gadis itu. Ni memang bukan kebetulan dah ni. Ni suratan namanya.
          “Kau buat apa kat sini? Kerja overtime ke?” soal Afham pelik.
          “Haah, macam mana awak boleh ada kat rumah Mak Ucu saya ni, Ika?” giliran Darish pula menyoal.
          “Mestilah Mak Ucu yang jemput budak ni datang rumah. Ada kerja apa – apalah tu Mak Ucu nak suruh dia tolong.”
          Belum sempat Fiska buka mulut, Afham sendiri yang tolong menjawab soalan yang ditanya tadi. Kecil sahaja biji mata memandang lelaki penyibuk itu. Dia yang tanya, dia pula yang jawab sendiri.
          “Oh, kalau macam tu bolehlah saya tolong sekali! Saya pun tengah free ni.” Darish sengih tak semena – mena.
          Fiska dah balas dengan senyum. Baik sungguhlah cikgu seorang ni. Afham perhati sekejap gelagat Darish dan Fiska itu. Tak tahu nak kata apa.
          “Hai, sejak bila kamu rajin sangat ni Rish? Mak Ucu minta tolong hantar kunci rumah kat tadika pun merungut.” Sampuk Mak Ucu yang baru saja datang entah dari celah mana. Nampak sangat dia dah pasang telinga dari tadi lagi.
          Darish telan air liur sedikit. Mak Ucu ni tak habis – habis dengan kes suruh hantar kunci rumah dia tempoh hari. Aku dah berubahlah. Takkan merungut lagi. Sumpah!
          “Tu sebab Rish dah lambat nak pergi sekolah, Mak Ucu. Bukan sengaja Rish merungut.”
          “Dah. Jom makan. Ika dah masak special untuk kita semua. Betul tak, Ika?”
          Fiska yang agak terperanjat bila namanya disebut segera ukir senyum. Segan pula bila semua biji mata sudah tertumpu kepadanya.
          “Tak adalah special pun. Biasa aje, Mak Ucu.”
          “Speciallah dah orang lain yang masak. Mak Ucu pun dah boring asyik makan masakan sendiri.”
          “Wah, tunggu apa lagi? Jom cepat!”
          Darish jadi teruja tak semena – mena. Mak Ucu dan Fiska sudahpun bergerak ke dapur untuk menghidangkan makanan di ruang makan. Afham yang dari tadi membatu di situ segera menarik lengan sepupunya yang sudah berniat untuk membontoti kedua – dua wanita itu ke dapur.
          “Kau ni dah kenapa, Rish? Excited semacam aku tengok.”
          “Excited? Mana ada. Aku rasa biasa aje.”
          “Biasa apa bendanya kalau selipar pun kau dah terlupa nak buka waktu masuk rumah tadi. Kalau ya pun dah kebulur, takkan nak pakai selipar dalam rumah kut.” Afham pandang kedua – dua kaki Darish yang masih lengkap tersarung seliparnya. Begitu juga dengan Darish.
          “Alamak, sorry bro, sorry! Aku terlupa.”
          Cepat – cepat Darish meletakkan seliparnya di luar rumah semula. Afham pula terus menapak menuju ke dapur untuk menolong apa yang patut. Tak ada apapun yang hendak ditolong biasanya. Setakat tolong angkat pinggan lauk bawa ke meja makan tu dia terror sangatlah.
          “Amboi, banyaknya lauk! Siap dengan ayam grill…” membulat biji mata Afham bila melihat seekor ayam panggang blackpepper baru saja ditatang Mak Ucu untuk dibawa ke ruang makan.
          “Panggang dalam oven aje. Janganlah teruja sangat.” Tegur Fiska selamba yang baru berlalu melintasi pemuda itu sambil memegang jag yang berisi air sirap.
          “Ada happy birthday siapa – siapa ke malam ni, Mak Ucu? Makanan macam gempak sangat aje.” Tanya Afham hairan. Entah bila masa dia sudah tercongok di meja makan menunggu nasi dicedokkan ke dalam pinggannya.
          “Birthday Ika ke hari ni?” giliran Darish pula bertanya.
          Dia juga tumpang pelik. Nak jumpa makanan banyak macam ni biasanya bulan puasa aje. Itupun kerja dia dengan Afham yang borong makanan kat bazar ramadhan. Kalau hari – hari biasa, Mak Ucu akan masak sayur satu jenis dan ikan atau ayam atau udang atau sotong. Mustahil boleh nampak pelbagai makanan jenis protein yang berlainan di atas meja makan macam apa yang sedang berlaku malam ini.
          “Tak ada birthday siapapun. Mak Ucu saja suruh Ika masak lebih sikit malam ni. Bolehlah kita makan sama – sama. Lama dah kita tak makan ramai – ramai macam ni, kan?” Mak Ucu melabuhkan punggung di atas kerusi.
          “Errr kalau tak sedap tu, Ika minta maaflah ya? Ika main masak aje ikut tekak sendiri.” Celah gadis itu dengan sengih. Risau juga dibuatnya kalau – kalau makanannya dikritik hebat. Memang malu tujuh keturunan anak dara masak tak sedap.
          “Tengok rupa makanan nipun dah tahu sedap, Ika.” Darish menyampuk. Tak habis – habis dengan Ika dia.
          Afham terus tadah tangan untuk mengetuai bacaan doa makan. Doa dibaca laju bila perut sudah memanggil – manggil minta diisi. Usai doa diaminkan, dialah orang pertama yang mencedok lauk ke dalam pinggan nasi. Hmmm sedap juga budak ni masak. Tengok muka macam tak pandai masak. Suapan dilajukan.
          “Sedapnya Ika masak.”
          Mak Ucu menjamah dengan penuh berselera. Darish pula sudah mengangguk laju siap dengan menayangkan ibu jarinya tanda setuju dengan pujian Mak Ucu tadi. Fiska maintain sengih. Dia kerling sedikit kelibat inspektor polis yang masih menjamah makanan tanpa sebarang bicara. Nak harapkan pujian dari polis bermulut hantu tu? Lebih baik aku puji diri sendiri aje.
          “Lepas ni, Ika masak hari – harilah kat sini. Memang kena sangat dengan selera Mak Ucu.” Seloroh wanita itu.
          “Kalau macam tu, Ika kena datang sini hari – harilah ya?” Darish dah senyum lebar. Hari – hari jugalah aku akan datang rumah Mak Ucu kalau macam tu.
          “Datang sini hari – hari apanya? Memang Ika dah tinggal kat sini mulai hari ni.”
          Afham yang sedang mengunyah makanan terus tersedak. Perit tekaknya buat seketika. Kelam – kabut dia meneguk air sirap di dalam gelas. Begitu juga dengan Darish yang sudah terhenti menyuap makanan ke mulut. Kedua – dua pemuda itu terus pandang tepat ke wajah lembut Fiska sebaik sahaja mendengar Mak Ucu menghabiskan ayatnya yang terakhir.
          “Kau tinggal kat sini?!”
***
          “Am nak tanya satu benda boleh tak?” Afham memecah sunyi sambil tangan sibuk membilas pinggan mangkuk yang dicucinya tadi.
          “Tanyalah.” Balas Mak Ucu pendek.
          “Kenapa Mak Ucu percayakan budak Fiska tu? Kenapa Mak Ucu nak tolong dia sedangkan Mak Ucu sendiri pun tak kenal siapa dia?”
          “Mak Ucu tak kenal. Tapi kamu kan kenal dia. Apa salahnya Mak Ucu tolong dia.” Balas wanita itu lagi. Bersahaja.
          “Am kenal dia pun ada tidak aje, Mak Ucu. Itupun Am tak percaya dia sepenuhnya. Am pelik macam mana Mak Ucu boleh percaya dekat orang yang tidak dikenali seratus – peratus. Siap ajak tinggal di sini pula tu.” Pemuda itu menyambung lagi.
          “Am, ada tiga sebab kenapa Mak Ucu tolong budak Ika tu. Pertama sekali, sebab dia solat lima waktu tak tinggal. Solat ni tiang agama. Kalau dia memang berniat jahat, dia sendiri tahu solatnya selama ini hanyalah sia – sia. Kedua, dia dalam keadaan susah. Dia jujur dengan Mak Ucu dan bagitahu dia memang tak ada sesiapapun kat sini. Ketiga, sebab dia sebaya dengan arwah Wani. Bila Mak Ucu tengok muka dia, Mak Ucu rasa macam sedang tengok wajah anak perempuan Mak Ucu. Macam mana kalau Wani kat tempat dia? Mak Ucu tak sanggup tengok.”
          Kelopak mata yang mula bergenang air hangat segera diseka. Mengingatkan perihal anak perempuan Mak Ucu yang sudah dijemput menghadap Ilahi membuatkan Afham terdiam buat seketika. Terasa bersalah bila bertanya soalan yang membuatkan Mak Ucu kembali mengingati kisah dulu.
          “Am minta maaf, Mak Ucu. Am cuma tanya aje tadi.”
          “Tak apa. Am tanya tu sebab memang dah tugas Am suka menyiasat.”
          Afham hanya balas dengan ketawa kecil sekejap. Pura – pura ketawa. Sempat lagi tu Mak Ucu perli aku.

++bersambung++

No comments:

Post a Comment

sepatah komen anda ibarat setitik peluh petani..eh?